SHAH ALAM, 13 Julai 2026 – Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) hari ini memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Albukhary International University (AIU) bagi memperkukuhkan pelaksanaan Bantuan Dermasiswa Pengajian Tinggi (BDPT), sekali gus memperluaskan akses pendidikan tinggi kepada pelajar asnaf melalui tajaan pendidikan yang lebih menyeluruh.
Bagi fasa permulaan, kerjasama ini menyasarkan pengambilan 50 pelajar asnaf untuk melanjutkan pengajian di AIU menerusi tajaan pendidikan yang disediakan kedua-dua pihak. AIU akan menawarkan tajaan penuh merangkumi yuran pengajian, penginapan dan wang saku sepanjang tempoh pengajian, manakala Zakat Selangor melengkapkan keperluan pelajar menerusi Bantuan Persediaan Masuk serta Bantuan Keperluan Pendidikan, termasuk buku rujukan dan peralatan pembelajaran.
Majlis menandatangani perjanjian tersebut menyaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Selangor, Mohd Khaidzir Shahari dan Naib Canselor AIU, Profesor Dato’ Ir. Dr. Mohd Saleh Jaafar menandatangani Memorandum Perjanjian yang menjadi asas kepada kerjasama strategik antara kedua-dua organisasi dalam memperkasa pembangunan modal insan asnaf melalui pendidikan.
Kerjasama ini merupakan sebahagian daripada penambahbaikan BDPT Zakat Selangor yang memberi fokus kepada pengukuhan model bantuan pendidikan bagi meningkatkan keberkesanan penyaluran bantuan serta menyokong kejayaan pelajar asnaf sehingga menamatkan pengajian.
Mohd Khaidzir Shahari dalam ucapan berkata, kerjasama itu menzahirkan komitmen Zakat Selangor untuk memastikan bantuan zakat memberi impak yang berpanjangan melalui pendidikan.
“Kerjasama ini bukan sekadar membantu pelajar memasuki universiti, tetapi memastikan mereka berjaya menamatkan pengajian, memiliki ilmu dan kemahiran yang relevan serta bersedia melangkah ke alam pekerjaan. Kejayaan sebenar bantuan zakat ialah apabila ia berjaya mengubah kehidupan penerimanya.”
Tambah beliau, kerjasama dengan AIU diharap menjadi model kerjasama yang dapat melahirkan graduan asnaf berilmu, berdaya saing dan mampu mengubah kehidupan mereka melalui pendidikan.
Pelaksanaan kerjasama ini dijangka memberi manfaat kepada lebih ramai pelajar asnaf yang layak dengan membuka akses kepada pendidikan tinggi berkualiti tanpa dibebani kekangan kewangan. Selain meningkatkan peluang menamatkan pengajian, inisiatif ini turut memperkukuhkan kebolehpasaran graduan dan membantu meningkatkan taraf sosioekonomi asnaf melalui peluang pekerjaan yang lebih baik.






