SHAH ALAM, 12 Ogos 2026 – Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) menafikan dakwaan menerusi kandungan di media sosial yang mengaitkan institusi ini dengan “skandal dana zakat” berjumlah RM1.3 bilion.
Zakat Selangor menegaskan bahawa dakwaan tersebut adalah TIDAK BERASAS dan menolak sekeras-kerasnya sebarang gambaran yang cuba mengaitkan institusi ini dengan penyelewengan atau salah guna dana zakat. Dakwaan sedemikian boleh menimbulkan kekeliruan serta menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap integriti pengurusan zakat di Selangor.
Berdasarkan prestasi rasmi Zakat Selangor bagi tahun 2025, sebanyak RM1.31 bilion zakat berjaya dikutip dan RM1.33 bilion diagihkan kepada asnaf di Negeri Selangor. Lebih 400,000 penerima zakat telah disantuni sepanjang tahun tersebut melalui pelbagai bentuk bantuan dan program yang dilaksanakan.
Untuk makluman Zakat Selangor merupakan institusi zakat rasmi di negeri ini yang diselia oleh Majlis Agama Islam Selangor, bernaung di bawah DYMM Sultan Selangor selaku Ketua Agama Islam Negeri Selangor.
Dalam melaksanakan amanah pengurusan zakat, Zakat Selangor berlandaskan peruntukan undang-undang dan tadbir urus yang ditetapkan. Pengurusan dana zakat dilaksanakan secara telus dan berintegriti melalui sistem kawal selia dan semak imbang yang menyeluruh, termasuk audit dalaman, audit luaran serta semakan oleh pihak berautoriti bagi memastikan dana zakat diurus secara cekap dan teratur.
Zakat Selangor menegaskan bahawa institusi ini tidak terikat dengan mana-mana parti politik. Sebarang cubaan mengaitkan Zakat Selangor dengan agenda, kepentingan atau naratif politik adalah tidak wajar, tidak bertanggungjawab dan perlu dihentikan serta-merta.
Penyebaran maklumat yang tidak berasaskan fakta dipandang serius kerana boleh menjejaskan nama baik, kredibiliti dan integriti institusi.
Sehubungan itu, semua pihak, termasuk pengendali akaun dan pencipta kandungan media sosial, ditegaskan supaya menghentikan penyebaran dakwaan tidak berasas serta memastikan setiap fakta dan sumber disahkan sebelum sesuatu kandungan diterbitkan atau disebarkan.
Zakat Selangor berhak mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang terus menghasilkan atau menyebarkan dakwaan tidak berasas sehingga menjejaskan nama baik, kredibiliti dan integriti institusi.
Orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak dapat dipastikan kesahihannya dan sentiasa merujuk saluran rasmi Zakat Selangor bagi mendapatkan maklumat yang tepat.
Maklumat prestasi dan laporan rasmi Zakat Selangor boleh dirujuk melalui www.zakatselangor.com.my/laporan-lzs.






