SHAH ALAM, 4 Mei 2021 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengesahkan dua daripada ibu tunggal yang mendakwa tidak menerima bantuan dari mana-mana agensi sebelum ini adalah asnaf zakat.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop dalam sidang akhbar yang diadakan, ibu tunggal pertama tersebut merupakan asnaf miskin yang berdaftar dengan LZS dan masih menerima bantuan zakat sehingga kini. Beliau yang mempunyai tiga tanggungan menerima bantuan zakat termasuklah bantuan kewangan bulanan, bantuan pendidikan, bantuan hutang keperluan hidup dan bantuan hari raya.

“Keluarga ibu tunggal ini turut menerima bantuan sewa rumah di mana sewa rumah ini dibiayai oleh LZS sehingga Disember 2021. Manakala ibu tunggal kedua merupakan penerima bantuan Baitulmal MAIWP dari tahun 2012 hingga 2017. Berdasarkan rekod LZS, beliau telah menerima bantuan bagi menyelesaikan tunggakan sewa rumah pada tahun 2017 daripada LZS. Tidak ada permohonan lain yang pernah dibuat selepas itu.”

Sementara ibu tunggal ketiga bukan berstatus ibu tunggal kerana masih bersuami. Beliau baru menghantar permohonan pendaftaran sebagai asnaf fakir dan miskin, namun dokumen yang dilampirkan tidak lengkap kerana tidak menyertakan dokumen perceraian.

“LZS memandang serius dakwaan terbabit kerana LZS sentiasa memastikan golongan asnaf di Selangor disantuni sebaik mungkin dengan bantuan 2,000 penolong amil kariah seluruh Selangor.”

“Kebersamaan semua pihak amat diharapkan dan dihargai kerana semua pihak saling lengkap-melengkapi lebih-lebih lagi dalam situasi pandemik Covid-19.”

Untuk makluman sehingga bulan April 2021, LZS telah menyantuni seramai 58,714 keluarga asnaf fakir dan miskin dan 5,808 orang mualaf.

Daripada jumlah tersebut, seramai 17,535 orang merupakan ibu tunggal yang mendapat manfaat zakat sepanjang tahun ini. Ibu tunggal ini merujuk kepada ibu yang membesarkan dan mendidik anaknya seorang diri tanpa kehadiran suami disebabkan perceraian, kematian atau ditinggalkan (diabaikan) oleh pasangan.