SHAH ALAM, 8 Jun 2021 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menyediakan pengangkutan khas, khusus bagi merealisasikan program Skuad Vaccine On The Go (VOTG).

Majlis pelancaran dan pelepasan Skuad VOTG ini disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj di Istana Bukit Kayangan di sini hari ini.

Tiga buah kenderaan MPV LZS diaktifkan sebagai kenderaan Skuad VOTG bagi membawa petugas-petugas kesihatan menyampaikan perkhidmatan pemberian vaksin kepada 265 buah Pusat Jagaan Warga Emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU) di seluruh Selangor bermula pada 8 Jun 2021.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop, penggunaan kenderaan LZS ini merupakan inisiatif khidmat masyarakat LZS bagi menyokong Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

“Ia merupakan sumbangan LZS untuk sama-sama membantu menangani keperluan kritikal dalam usaha memberi vaksin kepada masyarakat. Lebih ramai rakyat Selangor divaksinasi dengan segera, maka lebih cepat kita dapat mencapai matlamat imuniti kelompok seterusnya dapat melawan pandemik COVID-19 ini dan kembali ke norma biasa.”