Utama Blog Halaman 32

LZS HARGAI EJEN KUTIPAN DAN PENGELUAR ZAKAT KORPORAT SELANGOR

0

SHAH ALAM, 6 April 2018 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini meraikan ejen kutipan dan penolong amil LZS yang telah memberikan komitmen dan sumbangan dalam menyebarkan dakwah zakat serta membantu meningkatkan kutipan zakat bersempena Majlis Penghargaan LZS 2017 yang diadakan bertempat di Hotel Grand BlueWave di sini.

Mereka yang diraikan ini terdiri daripada daripada wakil firma audit dan percukaian, ejen syarikat, bank, pejabat pos dan penolong amil institusi pengajian tinggi (IPT) yang dilantik oleh LZS bagi membantu mengutip zakat di Selangor.

Turut diraikan, syarikat-syarikat korporat yang merupakan pengeluar zakat perniagaan dan majikan yang membuat bayaran zakat melalui potongan gaji di LZS. Sebanyak 15 anugerah termasuk tiga anugerah khas disampaikan dalam majlis tersebut.

DSC_6605

Universiti Putra Malaysia yang merupakan penolong amil IPT LZS, menerima Anugerah Muaz bin Jabal sebagai pengiktirafan atas peningkatan dari segi kutipan zakat dan pembayar baru serta komitmen terbaik sepanjang tahun 2017.

Manakala Mimos Berhad menerima pengiktirafan Anugerah Umar Abdul Aziz bagi peningkatan jumlah kutipan zakat melalui potongan gaji dan komitmen dalam pengurusan agihan semula terbaik bagi tahun 2017.

Sementara itu, Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI Selangor) yang merupakan syarikat pengeluar zakat menerima Anugerah Abdul Rahman bin Auf. Anugerah ini diberikan atas komitmen yang ditunjukkan menunaikan zakat perniagaan termasuklah menguruskan wakalah agihan (Pengurusan dan Inisiatif) pada tahun 2017.

Hadir sama dalam majlis tersebut, Setiausaha MAIS, Dato’ Bakhtiar Hussin dan Ofifcer In Charge LZS, Abdul Basith Hamid.

WAKALAH AGIHAN ZAKAT: PELUANG PENGELUAR ZAKAT SANTUNI ASNAF

0

SHAH ALAM, 28 Mac 2018 – Seramai 150 wakil daripada pelbagai syarikat korporat yang menunaikan zakat di Lembaga Zakat Selangor (LZS) hadir dalam Bengkel Bicara Wakalah Agihan Zakat bertempat di Hotel Grand Bluewave di sini  hari ini. 

Bengkel ini bertujuan memberi penerangan kepada pengeluar zakat korporat, individu dan majikan mengenai Wakalah Agihan Zakat yang diperkenalkan bagi memberi peluang kepada pengeluar zakat untuk mendapatkan pengembalian semula agihan zakat bagi diagihkan kepada asnaf yang layak.

DSC_6517

Melalui Wakalah Agihan Zakat, pengeluar zakat dilantik sebagai wakil bagi pihak LZS untuk mengagihkan sendiri zakat dengan pemantauan LZS berdasarkan kepada prinsip agihan zakat.

Antara asnaf yang layak menerima manfaat agihan ini termasuklah asnaf fakir, miskin, muallaf, fisabilillah dan gharimin (perubatan).

Hadir sama, Ahli Jawatankuasa Operasi Kutipan Zakat LZS, Dato’ Syed Ghazali Wafa Syed Adwam Wafa dan Ketua Divisyen Kutipan, Mohd Sabirin Mohd Sarbini.  

 

1,115 KOMPUTER RIBA UNTUK MAHASISWA TAJAAN LZS

0

SHAH ALAM, 24 Mac 2018 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menyerahkan 1,115 buah komputer riba bernilai RM2,241 setiap satu kepada mahasiswa daripada keluarga asnaf fakir dan miskin yang mendapat bantuan LZS dalam Program Agihan Pendidikan Pelajar Asnaf LZS 2018.

Majlis penyerahan disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Profesor Emeritus Dr. Muhamad Awang bertempat di Dewan Canselor, Management & Science University (MSU) di sini.

Mahasiswa ini terdiri daripada mereka yang mendapat tajaan LZS dan sedang mengikuti pengajian di institusi pangajian tinggi awam dan swasta (IPTA/S) di seluruh negara.

Bagi melayakkan menerima bantuan komputer riba itu, mereka perlu memperolehi Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 2.5 ke atas dan keutamaan diberikan kepada mahasiswa yang mengikuti pengajian dalam bidang kejuruteraan, pengurusan perniagaan dan teknologi maklumat.

Untuk makluman, bantuan komputer riba merupakan bantuan tambahan kepada pelajar selain menerima bantuan sara diri bulanan dan pembiayaan yuran pengajian.

Sementara itu, dalam majlis yang sama menyaksikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang diwakili oleh Pengurus Besar Kanan Pejabat PTPTN Negeri, Wan Zabiah Wan Abu Bakar menyerahkan sumbangan ‘Kasihku Zakat Selangor’ berjumlah RM115,750.00.

Sumbangan tersebut adalah agihan semula zakat PTPTN yang disalurkan bagi pembukaan akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) dengan deposit RM50 setiap seorang kepada 2,315 murid tahun satu dalam kalangan keluarga asnaf fakir dan miskin yang berdaftar dengan LZS.

Pada masa sama kesemua murid tersebut turut akan menerima insentif geran sepadan RM50 lagi dari PTPTN.

LZS memperkenalkan program ‘Kasihku Zakat Selangor’ bagi memberi ruang kepada pengeluar zakat terutama dalam kalangan syarikat korporat bersama-sama menyantuni keperluan penerima zakat di Selangor yang semakin meningkat.

Turut hadir pada majlis berkenaan, Ketua Pegawai Kewangan LZS, Rapizah Muhammad Sharif dan Ketua Divisyen Pembangunan Asnaf, Zaharuddin Salim.

LZS TERIMA ZAKAT PERNIAGAAN LIMA SYARIKAT KORPORAT RM23.7 JUTA

0

KLANG, 22 Mac 2018 – Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima bayaran zakat perniagaan daripada lima syarikat korporat kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) berjumlah RM23,727,929.28 yang diserahkan dalam satu upacara di Istana Alam Shah di sini.

Lembaga Tabung Haji (LTH) diwakili Pengerusi LTH, Datuk Seri Panglima Abdul Azeez Abdul Rahim mendahului senarai syarikat pembayar dengan jumlah zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2017 sebanyak RM17,132,475.58, diikuti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang diwakili oleh Pengerusi PTPTN, Dato’ Dr. Shamsul Anuar Nasarah dengan jumlah zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2016 sebanyak RM2,770,500.00.

Manakala Northport (Malaysia) Berhad menunaikan zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2016 berjumlah RM1,496,256.00 yang diserah oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Azman Shah Mohd Yusof, sementara Bank Islam Malaysia Berhad diwakili oleh Pengerusinya, Datuk Zamani Abdul Ghani menyerahkan zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2017 berjumlah RM1,253,579.15 dan Central Spectrum (M) Berhad yang diwakili Pengarah Urusan, Dato’ Mahmud Abbas menyerahkan zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2016 berjumlah RM1,075,118.55.

Upacara penyerahan zakat turut dihadiri Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohammed Khusrin Munawi, Dato Seri’ Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid, Pengerusi LZS, Tan Sri Dato’ Seri Syed Anwar Syed Putra Jamalullail dan Timbalan Pengerusi LZS, Profesor Dato’ Dr. Aziuddin Ahmad.

Hadir sama Officer In Charge merangkap Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf, Abdul Basith Hamid, Ketua Divisyen Kutipan, Mohd Sabirin Sarbini dan Ketua Divisyen Komunikasi Korporat, Datin Setia Norajun Ainun Mohd Hashim.

LZS DILANTIK EJEN WANG TIDAK PATUH SYARIAH

0

SHAH ALAM, 19 Mac 2018 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyebarluas perkhidmatannya apabila dilantik sebagai ejen terimaan Wang Tidak Patuh Syariah (WTPS) oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Sejajar dengan pelantikan tersebut, kesemua 27 cawangan LZS di seluruh Selangor mula menyediakan perkhidmatan terimaan WTPS ini.

WTPS merujuk kepada sebarang bentuk pendapatan atau perolehan hasil daripada perbuatan atau transaksi yang bertentangan dengan hukum syarak. Ia meliputi pengeluaran dan penjualan barang tidak halal, aktiviti yang tidak selaras dengan syariah, jual beli sekuriti yang tidak patuh syariah, manfaat konvensional, judi atau pertaruhan, riba atau faedah serta harta rasuah atau curi.

Pemilik boleh menyerahkan WTPS di cawangan LZS sama ada dalam bentuk tunai, cek, kad debit dan kad kredit Islamik. Manakala bagi harta bukan tunai, pemilik boleh menyerahkannya kepada Baitulmal MAIS.

Selain WTPS, Zakat Selangor turut dilantik sebagai ejen wakaf bagi Perbadanan Wakaf Selangor yang boleh menerima wakaf berbentuk tunai.

Untuk maklumat lanjut layari www.zakatselangor.com.my atau hubungi Talian Zakat Selangor 1 300 88 4343.

ZAKAT SELANGOR UMUM PELANTIKAN KETUA PEGAWAI OPERASI 

0

SHAH ALAM, 15 Mac 2018  – Lembaga Zakat Selangor mengumumkan pelantikan Hajjah Ariffa Ariffin sebagai Ketua Pegawai Operasi – Korporat dan Projek Khas berkuat kuasa 1 Mac 2018.

Ariffa yang pernah berkhidmat dengan beberapa syarikat korporat mempunyai berpengalaman luas dalam bidang perancangan perniagaan dan strategi serta analisis dan penilaian perniagaan.

Antara jawatan yang pernah disandang sebelum ini ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif – Korporat, Kumpulan Media Karangkraf , Pengarah Bersekutu di Innovation Associates Consulting Group Sdn Bhd (iA), Pengurus Besar Bahagian Perkhidmatan Korporat Malaysia Building Society Berhad (MBSB) dan Tabung Haji Technologies.

Semoga dengan pelantikan ini akan memperkasakan lagi pengurusan zakat di Negeri Selangor.

 

ZIARAH ASNAF: MEMENUHI KEPERLUAN ASNAF FAKIR, MISKIN DAN MUALAF

0
 
SEPANG, 15 Mac 2018 – Lembaga Zakat Selangor hari ini mengadakan Program  Ziarah Asnaf Fakir, Miskin dan Mualaf bertempat di Kampung Sungai Buah, Sepang.
Program bersifat turun padang ini bertujuan menyelami kelangsungan hidup asnaf, di samping melihat keperluan lain yang layak disantuni oleh zakat. Dalam masa yang sama, LZS turut mengemas kini maklumat keluarga dan tanggungan hasil daripada ziarah tersebut.
Sebanyak 15 buah rumah telah dikunjungi dalam program ziarah kali ini yang turut dibantu oleh kakitangan LZS cawangan Sepang, Penolong Amil Kariah, Nazir Masjid Kampung Sungai Buah, Ketua Kampung Sungai Buah, Pejabat Agama Islam Daerah dan Penghulu Mukim Daerah Sepang. Selain itu, LZS turut menyampaikan bantuan keperluan asasi kepada keluarga terlibat sewaktu program tersebut
Salah seorang penerima Sapiah binti Alang, 94 yang dikunjungi berasa terharu dengan ziarah yang diadakan ini. Beliau sebelum ini telah menerima bantuan kecemasan dari Zakat Selangor. Melihat kepada faktor usianya yang lanjut, Zakat Selangor akan mempertimbangkan bantuan kewangan bulanan  di samping lampin pakai buang. 
 Manakala bagi asnaf mualaf Nurmiazara binti Nun, 26 berasa gembira dengan bantuan yang diberi sebagai seorang mualaf. Malah beliau berhasrat ingin memiliki rumah sendiri disebabkan sehingga kini beliau masih tinggal bersama ahli keluarga yang belum memeluk agama islam.
 Turut hadir sama Ketua Jabatan Pengurusan Operasi Agihan Daerah, Huzairi Ibrahim.

LZS SERAH 10 VAN JENAZAH KEPADA MASJID BERJUMLAH RM1.2 JUTA

0

 

PUCHONG, 9 Mac 2018 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah memperuntukkan sumbangan zakat sebanyak RM1,200,000.00 bagi membekalkan 10 buah van jenazah kepada masjid terpilih di Selangor. Majlis penyerahan kunci van kepada 10 wakil masjid disempurnakan oleh Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf, Abdul Basith Hamid di sini hari ini.

Sumbangan van jenazah merupakan salah satu jenis bantuan zakat di bawah asnaf fisabilillah bertujuan membantu memudahkan pengurusan jenazah. Ia diperuntukkan kepada masjid yang tidak memiliki kemudahan kenderaan untuk mengurus jenazah terutamanya di kawasan luar bandar, di samping mempunyai kariah yang ramai.    

Antara masjid yang terpilih ialah Masjid Kariah Kampung Kuala Perdik, Hulu Langat; Masjid Kariah Lubuk Kelubi, Hulu Langat; Masjid Kariah Sungai Kembong Hilir, Kajang; Masjid Kariah Kampung Jawa, Hulu Langat dan Masjid Kampung Seri Aman, Puchong.

Manakala masjid lain termasuklah, Masjid Al-Ubudiah, Hulu Selangor; Masjid Nurul Husna Felda Sungai Tengi Selatan, Hulu Selangor; Masjid Ar-Ridzuan, Bestari Jaya; Masjid At-Taqwa, Kuala Selangor dan Masjid An’Nur Kampung Kanchong Tengah, Kuala Langat.

Untuk makluman, sumbangan van jenazah ini adalah sebahagian kecil daripada sumbangan zakat di bawah Program Pembangunan Institusi Agama. Sejak 2013 sehingga kini, LZS telah menyumbangkan 50 buah van dengan jumlah keseluruhan RM6.0 juta.

KASIHKU ZAKAT SELANGOR: ASNAF LZS DAPAT MANFAAT RM1.3 JUTA ZAKAT PUNCAK NIAGA

0

SHAH ALAM, 28 Februari 2018 – Asnaf yang berdaftar dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerima manfaat daripada wang zakat Puncak Niaga Holdings Berhad berjumlah RM1,300,000.00 yang diterima melalui sumbangan program ‘Kasihku Zakat Selangor’ di sini hari ini.

Sumbangan tersebut adalah sebahagian agihan semula zakat Puncak Niaga Holding Berhad yang disalurkan bagi membiayai pembinaan rumah 10 keluarga asnaf fakir dan miskin di daerah Kuala Selangor. Bantuan pembinaan rumah ini adalah antara bantuan yang disediakan oleh LZS bagi memenuhi keperluan asasi asnaf fakir dan miskin di Selangor, agar mereka dapat menikmati kehidupan yang lebih berkualiti.

Di samping itu, sebanyak RM500,000.00 wang zakat tersebut juga disalurkan bagi membiayai kos rawatan seramai 21 pesakit dialisis LZS daerah Kuala Selangor, seterusnya meringankan beban pesakit khususnya dalam kalangan mereka yang berpendapatan rendah.

DSC_5617

Sementara RM300,000.00 lagi akan dimanfaatkan sebagai wang saku tambahan bagi 1,000 pelajar asnaf di institut pengajian tinggi.

Bagi Mohd Nor bin Ijol, 63 memanjatkan rasa syukur ke atas Allah S.W.T atas pemberian bantuan ini.

“ Perasaan gembira dan bersukur kepada Allah S.W.T kerana selama ini saya menumpang tinggal bersama-sama anak saya. Kini saya mampu untuk memiliki rumah sendiri selain saya juga turut menerima bantuan kewangan bulanan dan bantuan makanan seperti beras, minyak masak dan lain-lain”, katanya.

Manakala bagi Asmah binti Said, 65 yang berasal dari Tanjong Karang, Selangor melafazkan rasa syukur atas bantuan rumah ini.

“Saya suka dan senang hati dapat bantuan rumah ini, tambahan pula selama ini menumpang rumah orang hampir 17 tahun. Saya mengucapkan terima kasih kepada pembayar zakat di Selangor yang menyumbang zakat dapat meringankan beban saya untuk memiliki rumah ini”, katanya ketika ditemubual.

DSC_5646

LZS memperkenalkan program ‘Kasihku Zakat Selangor’ bagi memberi ruang kepada pengeluar zakat terutama dalam kalangan syarikat korporat bersama-sama menyantuni keperluan penerima zakat di Selangor yang semakin meningkat.

‘Kasihku Zakat Selangor’ diperkenalkan sebagai inisiatif kepada syarikat korporat yang mengeluarkan zakat sebanyak RM50,000 ke atas.

Melalui ‘Kasihku Zakat Selangor’, syarikat berkaitan boleh memohon agihan semula 3/8 atau 37.5 peratus daripada jumlah bayaran zakat yang dikeluarkan pada tahun semasa untuk diagihkan kepada asnaf fakir dan miskin berdaftar dengan Zakat Selangor termasuk asnaf fisabilillah.

Wang zakat ini akan disalurkan berdasarkan empat pakej utama yang ditawarkan iaitu pakej bantuan pendidikan, bantuan modal, bantuan perubatan dan bantuan sosial.

Sehingga tahun 2017 sebanyak 32 syarikat korporat dan individu telah menyertai ‘Kasihku Zakat Selangor’ dengan jumlah sumbangan agihan sebanyak RM17.8 juta.

Turut hadir, Pengarah Eksekutif Bahagian Pembangunan Perniagaan Puncak Niaga Holdings Berhad, Dato’ Nasir Khan Ildan Khan, Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Bakhtiar Hussin dan Officer In Charge merangkap Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf LZS, Abdul Basith Hamid.

Berita Terkini