SEPANG, 15 Mac 2018 – Lembaga Zakat Selangor hari ini mengadakan Program  Ziarah Asnaf Fakir, Miskin dan Mualaf bertempat di Kampung Sungai Buah, Sepang.
Program bersifat turun padang ini bertujuan menyelami kelangsungan hidup asnaf, di samping melihat keperluan lain yang layak disantuni oleh zakat. Dalam masa yang sama, LZS turut mengemas kini maklumat keluarga dan tanggungan hasil daripada ziarah tersebut.
Sebanyak 15 buah rumah telah dikunjungi dalam program ziarah kali ini yang turut dibantu oleh kakitangan LZS cawangan Sepang, Penolong Amil Kariah, Nazir Masjid Kampung Sungai Buah, Ketua Kampung Sungai Buah, Pejabat Agama Islam Daerah dan Penghulu Mukim Daerah Sepang. Selain itu, LZS turut menyampaikan bantuan keperluan asasi kepada keluarga terlibat sewaktu program tersebut
Salah seorang penerima Sapiah binti Alang, 94 yang dikunjungi berasa terharu dengan ziarah yang diadakan ini. Beliau sebelum ini telah menerima bantuan kecemasan dari Zakat Selangor. Melihat kepada faktor usianya yang lanjut, Zakat Selangor akan mempertimbangkan bantuan kewangan bulanan  di samping lampin pakai buang. 
 Manakala bagi asnaf mualaf Nurmiazara binti Nun, 26 berasa gembira dengan bantuan yang diberi sebagai seorang mualaf. Malah beliau berhasrat ingin memiliki rumah sendiri disebabkan sehingga kini beliau masih tinggal bersama ahli keluarga yang belum memeluk agama islam.
 Turut hadir sama Ketua Jabatan Pengurusan Operasi Agihan Daerah, Huzairi Ibrahim.