KLANG, 22 Mac 2018 – Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima bayaran zakat perniagaan daripada lima syarikat korporat kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) berjumlah RM23,727,929.28 yang diserahkan dalam satu upacara di Istana Alam Shah di sini.

Lembaga Tabung Haji (LTH) diwakili Pengerusi LTH, Datuk Seri Panglima Abdul Azeez Abdul Rahim mendahului senarai syarikat pembayar dengan jumlah zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2017 sebanyak RM17,132,475.58, diikuti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang diwakili oleh Pengerusi PTPTN, Dato’ Dr. Shamsul Anuar Nasarah dengan jumlah zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2016 sebanyak RM2,770,500.00.

Manakala Northport (Malaysia) Berhad menunaikan zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2016 berjumlah RM1,496,256.00 yang diserah oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Azman Shah Mohd Yusof, sementara Bank Islam Malaysia Berhad diwakili oleh Pengerusinya, Datuk Zamani Abdul Ghani menyerahkan zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2017 berjumlah RM1,253,579.15 dan Central Spectrum (M) Berhad yang diwakili Pengarah Urusan, Dato’ Mahmud Abbas menyerahkan zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2016 berjumlah RM1,075,118.55.

Upacara penyerahan zakat turut dihadiri Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohammed Khusrin Munawi, Dato Seri’ Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid, Pengerusi LZS, Tan Sri Dato’ Seri Syed Anwar Syed Putra Jamalullail dan Timbalan Pengerusi LZS, Profesor Dato’ Dr. Aziuddin Ahmad.

Hadir sama Officer In Charge merangkap Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf, Abdul Basith Hamid, Ketua Divisyen Kutipan, Mohd Sabirin Sarbini dan Ketua Divisyen Komunikasi Korporat, Datin Setia Norajun Ainun Mohd Hashim.