SHAH ALAM, 24 Mac 2018 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menyerahkan 1,115 buah komputer riba bernilai RM2,241 setiap satu kepada mahasiswa daripada keluarga asnaf fakir dan miskin yang mendapat bantuan LZS dalam Program Agihan Pendidikan Pelajar Asnaf LZS 2018.

Majlis penyerahan disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Profesor Emeritus Dr. Muhamad Awang bertempat di Dewan Canselor, Management & Science University (MSU) di sini.

Mahasiswa ini terdiri daripada mereka yang mendapat tajaan LZS dan sedang mengikuti pengajian di institusi pangajian tinggi awam dan swasta (IPTA/S) di seluruh negara.

Bagi melayakkan menerima bantuan komputer riba itu, mereka perlu memperolehi Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 2.5 ke atas dan keutamaan diberikan kepada mahasiswa yang mengikuti pengajian dalam bidang kejuruteraan, pengurusan perniagaan dan teknologi maklumat.

Untuk makluman, bantuan komputer riba merupakan bantuan tambahan kepada pelajar selain menerima bantuan sara diri bulanan dan pembiayaan yuran pengajian.

Sementara itu, dalam majlis yang sama menyaksikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang diwakili oleh Pengurus Besar Kanan Pejabat PTPTN Negeri, Wan Zabiah Wan Abu Bakar menyerahkan sumbangan ‘Kasihku Zakat Selangor’ berjumlah RM115,750.00.

Sumbangan tersebut adalah agihan semula zakat PTPTN yang disalurkan bagi pembukaan akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) dengan deposit RM50 setiap seorang kepada 2,315 murid tahun satu dalam kalangan keluarga asnaf fakir dan miskin yang berdaftar dengan LZS.

Pada masa sama kesemua murid tersebut turut akan menerima insentif geran sepadan RM50 lagi dari PTPTN.

LZS memperkenalkan program ‘Kasihku Zakat Selangor’ bagi memberi ruang kepada pengeluar zakat terutama dalam kalangan syarikat korporat bersama-sama menyantuni keperluan penerima zakat di Selangor yang semakin meningkat.

Turut hadir pada majlis berkenaan, Ketua Pegawai Kewangan LZS, Rapizah Muhammad Sharif dan Ketua Divisyen Pembangunan Asnaf, Zaharuddin Salim.