Utama Blog Halaman 24

MEMENUHI KEPERLUAN FAKIR MISKIN DAN MUALAF

0

SEPANG, 11 Mac 2019 – Peka dengan keperluan asnaf fakir, miskin dan mualaf, Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyediakan skim bantuan makanan bulanan bagi memenuhi golongan yang memerlukan ini.

Dalam usaha memenuhi kecukupan golongan ini, LZS dengan kerjasama Teraju Ekonomi Asnaf (TERAS) sentiasa bekerjasama bagi memastikan setiap bantuan makanan bulanan yang disalurkan memenuhi kualiti dan terus bermanfaat untuk penerima.

Menurut Eksekutif Agihan Makanan, TERAS Hazana binti Hayati@emam mukayat berkata operasi pengagihan makanan bulanan akan dilakukan setiap hari bermula jam 8.30 hingga 5.00 petang meliputi sembilan daerah di seluruh Selangor.

“Setiap hari sebanyak 12 buah lori akan bergerak bagi mengagihkan makanan dengan dibantu seramai 24 orang kakitangan. Manakala bagi setiap penghantaran pula dianggarkan sebanyak 50 hingga 70 buah rumah bergantung kepada jadual penghantaran.”

Penjadualan penghantaran adalah berbeza setiap hari bergantung kepada pengesahan penerima bantuan itu sendiri. Bantuan hanya akan diagihkan kepada nama penerima bantuan sahaja. Jika penerima tiada di rumah, satu notis pemakluman akan diberikan,“ katanya ketika operasi penghantaran makanan bulanan bagi daerah Sepang.

Tambahnya lagi, dalam tempoh tiga hari sekiranya tiada maklum balas daripada penerima, TERAS akan menghubungi semula bagi menstrukur semula jadual penghantaran kepada mereka.

Hazana berkata bagi daerah Sepang pula, hampir 400 orang penerima bantuan makanan bulanan. Bagi setiap penerima, LZS akan memberikan maklumat lengkap beserta alamat bagi memudahkan urusan penghantaran kepada mereka.

Menurutnya lagi, cabaran utama dalam mengagihkan bantuan ini adalah jarak perjalanan yang perlu ditempuh bagi setiap aktiviti penghantaran.

“Bagi Daerah Sepang ini, jarak kedudukan rumah penerima bantuan terletak berjauhan antara satu sama lain. Ada yang jarak penghantaran mengambil masa hampir dua jam perjalanan untuk sebuah rumah.”

“Maka cabaran ini terletak pada bahu pemandu dan kelindan yang membuat penghantaran. Selain itu, mereka juga perlu mahir dengan selok-belok kawasan penghantaran terutamanya jalan yang sempit dengan halangan seperti kabel pendawaian elektrik atau dahan pokok yang menghalang laluan,“ tambahnya lagi.

Jelas Hazana, “Setiap keluarga akan menerima makanan keperluan asas seperti beras, tepung, minyak dan gula. Manakala jumlah nilai bantuan pula berbeza bagi setiap penerima bergantung kepada bilangan tanggungan dalam keluarga mereka.”

Bagi penerima bantuan makanan bulanan, Mohd Husaini bin Ahmad, 33 berkata kehadiran TERAS yang mengagihkan bantuan makanan ini sangat membantu kepada mereka sekeluarga.

Beliau yang baru dua bulan menerima bantuan tersebut menzahirkan rasa syukur. Tambahan pula beliau telah mengalami kecelakaan jalan raya dan menyebabkan patah pada kedua-dua belah paha dan tidak mampu untuk bekerja buat masa terdekat ini

“Saya tidak mampu untuk berjalan dalam tempoh satu atau dua tahun lagi. Dulu saya bekerja sebagai pengawal keselamatan. Adalah pendapatan. Sekarang saya sudah tidak mampu bekerja dan tiada sumber pendapatan lain. Jadi bantuan yang saya terima sangat membantu,“ katanya.

Melalui skim bantuan makanan ini, LZS yakin mampu memberi manfaat kepada mereka yang menerima seterusnya meringankan beban yang ditanggung oleh mereka.

ZIARAH ASNAF: DEKATI KELUHAN DAN MASALAH ASNAF FAKIR, MISKIN & MUALAF

0

SUBANG, 11 Mac 2019 – Prihatin dengan masalah asnaf fakir dan miskin, Lembaga Zakat Selangor (LZS) turun padang mendekati golongan ini bagi mendengar masalah dan keluhan melalui aktiviti ziarah baru-baru ini.

Aktiviti rutin yang bersifat turun padang ini bertujuan menyelami kelangsungan hidup asnaf, di samping melihat keperluan lain yang layak disantuni oleh LZS. Pada masa sama, LZS turut mengemas kini maklumat keluarga dan tanggungan hasil daripada ziarah tersebut.

Menurut Ketua Operasi Daerah Petaling, Mohd Fadhli Yohman berkata aktiviti ziarah asnaf fakir, miskin dan mualaf ini adalah lebih kepada beramah mesra dan mendekati golongan ini.

“Kita berkesempatan meluangkan masa menziarahi lima buah keluarga pada hari ini. Dengan jumlah 8,700 keluarga asnaf fakir, miskin dan mualaf di daerah Petaling, amat sukar untuk kita menziarahi keseluruhan jumlah ini.”

Namun dengan dibantu Penolong Amil Kariah (PAK) Masjid Jumhuriah, Taman Dato Harun, tugas ini menjadi lebih mudah,“ katanya ketika ditemui di program tersebut.

Mohd Fadhli berkata, kesemua rumah dikunjungi merupakan keluarga asnaf fakir dan miskin yang mempunyai latar belakang keluarga atau tanggungan sakit kronik, terlantar dan tidak mampu untuk berjalan.

“Melalui aktiviti ini juga, kita mahu meluaskan peranan PAK itu sendiri agar mereka lebih dikenali oleh ahli kariah masing-masing di bawah pemantauan mereka.”

Tanpa mereka ini yang juga merupakan mata dan telinga LZS, kita juga tidak mampu untuk mengesan kes yang terpencil yang layak untuk dibantu,“ tambahnya lagi.

“Selain itu, dalam program ini kita turut menyumbang wang tunai dan barang keperluan asas bagi meringankan bebanan yang ditanggung mereka. Justeru, LZS menyeru kepada masyarakat untuk menyalurkan maklumat mereka yang memerlukan bantuan zakat,“ katanya.

 

 

 

 

 

 

 

CABARAN MENJEJAKI GOLONGAN YANG MEMERLUKAN

0

KLANG, 4 Mac 2019 – Turun padang menjejaki golongan yang layak menerima bantuan zakat antara cabaran terbesar buat calon Penolong Amil Kariah (PAK) dalam usaha menyantuni asnaf fakir dan miskin khususnya di Selangor.

Justeru itu, Lembaga Zakat Selangor (LZS) memberikan pendedahan awal kepada PAK yang bakal dilantik dalam pemilihan pencalonan bagi sesi 2019 untuk turut serta dalam aktiviti menjejaki golongan yang layak dibantu melalui Skuad Jejak Kemiskinan (SJK) di kariah Masjid Nurul Iman, Kg. Delek.

Bagi calon PAK, Abdul Rahim Bin Ibrahim, 32 tahun menjelaskan bagaimana cabaran yang dihadapi dalam menjejaki golongan ini agar tiada yang keciciran maklumat dalam proses permohonan bantuan.

“Antara kesulitan yang dihadapi adalah mengesan alamat rumah pemohon yang tidak lengkap. Ini ditambah pula dengan susunan kedudukan rumah tidak teratur yang menyukarkan lagi usaha menjejaki mereka yang memohon.”

Katanya lagi, “Maklumat yang salah dalam borang permohonan pula turut menjejaskan proses bancian. Pemohon seharusnya mengisi borang permohonan bancian dengan lengkap bagi memudahkan bukan sahaja LZS, malahan PAK untuk mengesan mereka seterusnya dapat membantu menyalurkan bantuan mengikut keperluan.”

“Tambah pula peranan PAK telah diperluaskan dengan diberi tanggungjawab untuk mengesyorkan 12 jenis bantuan yang bersesuaian mengikut kelayakan yang ditetapkan,” ujarnya lagi.

Bagi Zakaria Mat Taib, 52 pula berkata hasratnya ingin menjadi sebahagian daripada PAK adalah bagi membantu masyarakat di kawasan sekitar agar taraf kedudukan kewangan mereka lebih baik.

“Melihat kepada kedaifan hidup masyarakat setempat, mendorong saya untuk membantu mereka agar kehidupan lebih selesa. Bagi menyelami kehidupan mereka bukan mudah. Saya perlu engenali mereka dengan lebih dekat lagi.”

“Bagaimana kita hendak menyalurkan bantuan kepada mereka jika kita sendiri tidak mengenali ahli kariah. Bagi saya ini cabaran kepada PAK untuk mengenali ahli kariahnya agar dapat mendengar keluhan dan rintihan kehidupan mereka,“ katanya.

Ujarnya lagi, “Apa yang penting masyarakat perlu berkunjung ke surau atau masjid kariah masing-masing agar mereka mudah dikenali masyarakat setempat.“

Berlainan pula bagi Zanariah Bte Mohamed Yusuf, 47 PAK yang telah dilantik berkata beliau sering menjadi tempat rujukan ketika menjadi ahli Biro Kebajikan Muslimat antara faktor mendorong untuk menabur bakti bagi membantu mereka yang terbeban.

“ Bagi saya cabaran utama adalah bagi kaum hawa itu sendiri. Saya sering mengikuti suami yang juga seorang PAK menjalankan bancian dan siasatan, melihat adakala ibu tunggal ini berasa malu untuk berkongsi bebanan hidup mereka kepada PAK yang dilantik dikalangan kaum adam , “.

“ Sebagai seorang wanita, saya dijadikan tempat untuk mengadu dan berkongsi masalah kerana kami lebih memahami sesama kami , “ katanya .

“ Justeru itu saya melihat perlu adanya PAK yang dilantik dikalangan wanita agar proses siasatan dan bancian lebih mudah , “ tambahnya lagi.

Melalui pemerkasaan PAK yang telah dilaksanakan bermula pada tahun 2017, iniasiatif ini dilihat memberi impak dalam peranan PAK membantu LZS terutama bagi menjalankan siasatan, bancian serta semakan permohonan asnaf fakir, miskin, mualaf dan gharimin.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

SJK: PLATFORM PENOLONG AMIL KARIAH TIMBA ILMU

0

KLANG, 1 Mac 2019 – Bagi mengelakkan keciciran penerima bantuan zakat di Selangor, Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan kerjasama Penolong Amil Kariah (PAK) mengadakan program Skuad Jejak Kemiskinan (SJK) bertempat di Masjid Nurul Iman, Kg. Delek, Klang baru-baru ini.

Operasi yang bersifat cari, siasat dan bantu ini bertujuan mengenal pasti individu atau keluarga yang memerlukan bantuan dan akan disenaraikan sebagai asnaf fakir, miskin dan mualaf di Selangor.

Menurut Ketua Operasi Agihan daerah Klang, Mohd Shahril Ritin borang siasatan asnaf telah diedarkan terlebih dahulu kepada kariah terbabit melalui PAK yang dilantik bagi mengenal pasti mereka yang layak berdasarkan kepada saringan awal haddul kifayah (garis penentuan kemiskinan).

“Sebanyak 76 permohonan telah diterima, namun hasil daripada saringan awal hanya 35 keluarga yang layak untuk dibanci berdasarkan haddul kifayah.”

Tambahnya lagi, “Daripada jumlah itu, 32 buah keluarga layak untuk didaftarkan sebagai asnaf fakir dan miskin LZS. Manakala tiga keluarga lagi tidak layak untuk menerima bantuan zakat. Bagaimanapun LZS akan mengesyorkan bantuan lain yang bersesuaian berdasarkan kepada keperluan keluarga tersebut.”

“Di samping itu, bancian kali ini turut disertai oleh calon PAK yang akan dilantik LZS bagi kariah Masjid Nurul Iman, Kg. Delek. Ia adalah sebahagian daripada pendedahan awal kepada mereka tentang gerak kerja siasatan dan bancian mengikut prosedur LZS yang telah ditetapkan,“ ujar lagi.

LZS SERAH SUMBANGAN ZAKAT RM467 RIBU KEPADA RUMAH KEBAJIKAN WARGA EMAS

0
SEMENYIH, 27 Februari 2019 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menyerahkan sumbangan zakat berjumlah RM467,750.00 berupa set peralatan fisioterapi kepada lima buah rumah kebajikan warga emas dalam satu majlis penyerahan yang disempurnakan oleh Orang Besar Daerah Hulu Langat, Abdul Jalil Abdul Rani di sini.
Lima buah rumah kebajikan tersebut ialah Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, Persatuan Kebajikan Al-Fikrah Malaysia, Pertubuhan Kebajikan Penyayang Hani, Pusat Jagaan Siti Nor Aini dan Pusat Jagaan Nur Hasanah. Setiap rumah kebajikan ini masing-masing menerima set peralatan fisioterapi bernilai RM93,550.00.
Sumbangan tersebut merupakan salah satu jenis bantuan zakat di bawah asnaf fisabilillah bagi memberi sokongan kesihatan kepada golongan warga emas yang memerlukan, sekali gus dapat menikmati kualiti hidup yang lebih baik. Selain itu, ia adalah antara inisiatif LZS bagi memanfaatkan agihan zakat kepada masyarakat.
Untuk makluman, sebelum ini lima buah rumah kebajikan tersebut adalah antara penerima sumbangan zakat berbentuk geran tahunan bagi membantu mereka melaksanakan operasi dan aktiviti di rumah kebajikan. Pada tahun 2018, LZS telah menyumbang sebanyak RM1.6 juta dalam bentuk geran tahunan kepada rumah-rumah kebajikan warga emas, pertubuhan Islam bukan kerajaan (NGO-i) dan pertubuhan anak-anak yatim yang berdaftar dengan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
Hadir sama dalam majlis ini, Ketua Pegawai Penyelaras (Officer In Charge) LZS, Abdul Basith Hamid.

LZS PRIHATIN NASIB KELUARGA ALLAHYARHAM SUHAIMI

0

PUCHONG, 26 Februari 2019 – Prihatin dengan nasib keluarga Allahyarham Mohamad Suhaimi Khamis yang maut dalam kebakaran membabitkan kemalangan antara sebuah lori membawa muatan barang dengan lori tangki minyak, pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah menziarahi balu Allahyarham, Katijah Abdul Karim di sini hari ini.

Dalam pertemuan tersebut, LZS telah menyerahkan bantuan kecemasan tunai sebanyak RM500 kepada Katijah bagi meringankan beban keluarganya.

Daripada pertemuan itu juga, LZS melalui penolong amil kariah akan membuat tindakan susulan untuk melihat keperluan lain keluarga ini terutamanya melibatkan pendidikan anak-anak allahyarham.  

Untuk makluman, Allahyarham meninggalkan seorang balu, yang sedang hamil tujuh bulan dan tiga anaknya termasuk pasangan kembar, Mohamad Amar, Mohamad Ameer, 9 tahun, dan Nurul Afiqah, 8 tahun.

LZS JALIN HUBUNGAN KERJASAMA OPTIMUMKAN KUTIPAN ZAKAT

0

SHAH ALAM, 21 Februari 2019 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) giat menjalinkan kerjasama dengan ejen kutipan zakat bagi memastikan kutipan zakat dapat dioptimumkan, di samping memperkasakan agihan zakat di Selangor untuk tahun 2019 ini.

Bagi merealisasikan hasrat tersebut seramai 200 orang peserta terdiri daripada ejen kutipan LZS hadir dalam program Liqa’ Ejen yang diadakan bertempat di Hotel De Palma di sini hari ini.

Menurut Pengarah Program, Rosli Abdullah, program ini merupakan acara tahunan yang diadakan bagi menghimpunkan dan meraikan ejen kutipan lantikan LZS. Dalam program itu, para ejen telah diberi taklimat prestasi pencapaian kutipan zakat 2018, selain hala tuju baharu bagi tahun 2019 agar seiring dengan misi dan visi LZS.

“Kami melihat program ini sebagai satu platform bagi LZS untuk menjalin hubungan yang baik dengan ejen yang dilantik agar maklumat tepat berkaitan pengurusan zakat di Selangor dapat disalurkan terus pada kumpulan sasar. Namun, sedikit kelainan pada program kali ini dilakukan untuk memastikan ejen-ejen kami meliputi Ejen Perunding, Ejen Institusi Pendidikan Islam Swasta (IPIS) dan Ejen IPT  diberi pendedahan dan kefahaman berkaitan zakat di Selangor.

Tambah Rosli lagi, “Melihat kepada jumlah ejen yang dilantik, kami yakin mampu mencapai sasaran kutipan zakat yang ditetapkan bagi tahun 2019  berdasarkan prestasi kutipan zakat yang lepas.”

Untuk makluman, ejen kutipan LZS akan dilantik bagi tempoh dua tahun dan pelantikan perlu diperbaharui berdasarkan kepada pencapaian prestasi dan sasaran kutipan yang telah ditetapkan. Bagi setiap ejen kutipan LZS, jumlah minimum kutipan zakat yang disyaratkan sebanyak RM50,000.

Sehingga kini LZS telah melantik sebanyak 144 ejen kutipan zakat yang bertauliah di seluruh Selangor. Pada majlis yang sama LZS turut menyampaikan hadiah kepada pemenang Kempen Insentif Ramadan 2018 dan Kempen Insentif Disember 2018.

Hadir sama, Ketua Divisyen Kutipan LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini.

LZS BANTU BIAYAI KOS PEMBEDAHAN ADIK AZALEA

0
SUNGAI BULOH, 21 Februari 2019 – Musibah menimpa adik Azalea Hani Abdul Rahim, mangsa melecur seluruh badan akibat terkena sambal popiah yang mendidih telah mendapat perhatian Lembaga Zakat Selangor (LZS).
LZS akan menyalurkan bantuan zakat bagi membiayai kos rawatan termasuk pembedahan dan pemulihan adik Azalea. Bantuan pertama sebanyak RM20,000 bagi pembedahan membuang kulit mati yang dijangka akan dilaksanakan pada Jumaat ini, akan dibiayai melalui Tabung Kebajikan Pesakit Zakat Selangor.
Untuk makluman, Tabung Kebajikan Pesakit Zakat Selangor merupakan inisiatif LZS dengan kerjasama 18 buah hospital dan institut perubatan sekitar Selangor dan Kuala Lumpur. Objektif utama, adalah bagi meringankan bebanan pesakit Islam yang kurang berkemampuan dan memerlukan kos pembiayaan bagi menjalani rawatan di hospital, di samping memudahkan urusan permohonan bantuan pesakit.
Dalam satu pertemuan yang diadakan, LZS turut menyerahkan bantuan kecemasan tunai sebanyak RM500 kepada ibunya, Zalida Syuhana Ahmad Tamam bagi meringankan beban beliau berulang-alik ke hospital.
Pihak LZS akan terus melaksanakan pemantauan terhadap keluarga ini dan bantuan zakat lain akan disalurkan berdasarkan kepada keperluan mereka bergantung kepada syarat dan kelayakan.

LZS SALUR BANTUAN MANGSA RIBUT

0

KUALA SELANGOR, 19 Februari 2019 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menyalurkan sumbangan zakat kepada 183 mangsa ribut di sembilan buah kampung mukim Tanjong Karang dalam satu majlis yang diadakan di Dewan Seri Tiram Jaya di sini.

Setiap mangsa menerima sumbangan zakat sebanyak RM300, di samping sumbangan berjumlah RM500 dari Kerajaan Negeri.

Selain itu, mangsa ribu yang terdiri daripada asnaf fakir dan miskin berdaftar dengan LZS turut menerima bantuan bagi baik pulih rumah serta pembinaan rumah bergantung kepada kerosakan yang dialami.

Semoga sumbangan zakat ini dapat meringankan beban yang dihadapi oleh mangsa bencana tersebut dan diharap kesemua mangsa tabah di atas ujian yang menimpa mereka ini.

 

 

LZS TERIMA ZAKAT PERNIAGAAN KUMPULAN PNB RM5 JUTA

0

SHAH ALAM, 14 Februari 2019 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menerima pembayaran zakat perniagaan daripada Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) berjumlah RM5,069,375.00.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima pembayaran zakat perniagaan tersebut bagi tahun kewangan 2017 daripada Pengerusi PNB, Tan Sri Dr. Zeti Aziz dalam satu upacara yang diadakan di Istana Bukit Kayangan di sini.

Hadir sama Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohammed Khusrin Munawi, Pengerusi Lembaga Zakat Selangor (LZS), Tan Sri Dato’ Seri Syed Anwar Jamalullail dan Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid. Turut hadir, Ketua Pegawai Penyelaras (Officer In Charge) LZS, Abdul Basith Hamid.

Berita Terkini