KLANG, 1 Mac 2019 – Bagi mengelakkan keciciran penerima bantuan zakat di Selangor, Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan kerjasama Penolong Amil Kariah (PAK) mengadakan program Skuad Jejak Kemiskinan (SJK) bertempat di Masjid Nurul Iman, Kg. Delek, Klang baru-baru ini.

Operasi yang bersifat cari, siasat dan bantu ini bertujuan mengenal pasti individu atau keluarga yang memerlukan bantuan dan akan disenaraikan sebagai asnaf fakir, miskin dan mualaf di Selangor.

Menurut Ketua Operasi Agihan daerah Klang, Mohd Shahril Ritin borang siasatan asnaf telah diedarkan terlebih dahulu kepada kariah terbabit melalui PAK yang dilantik bagi mengenal pasti mereka yang layak berdasarkan kepada saringan awal haddul kifayah (garis penentuan kemiskinan).

“Sebanyak 76 permohonan telah diterima, namun hasil daripada saringan awal hanya 35 keluarga yang layak untuk dibanci berdasarkan haddul kifayah.”

Tambahnya lagi, “Daripada jumlah itu, 32 buah keluarga layak untuk didaftarkan sebagai asnaf fakir dan miskin LZS. Manakala tiga keluarga lagi tidak layak untuk menerima bantuan zakat. Bagaimanapun LZS akan mengesyorkan bantuan lain yang bersesuaian berdasarkan kepada keperluan keluarga tersebut.”

“Di samping itu, bancian kali ini turut disertai oleh calon PAK yang akan dilantik LZS bagi kariah Masjid Nurul Iman, Kg. Delek. Ia adalah sebahagian daripada pendedahan awal kepada mereka tentang gerak kerja siasatan dan bancian mengikut prosedur LZS yang telah ditetapkan,“ ujar lagi.