SEPANG, 11 Mac 2019 – Peka dengan keperluan asnaf fakir, miskin dan mualaf, Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyediakan skim bantuan makanan bulanan bagi memenuhi golongan yang memerlukan ini.

Dalam usaha memenuhi kecukupan golongan ini, LZS dengan kerjasama Teraju Ekonomi Asnaf (TERAS) sentiasa bekerjasama bagi memastikan setiap bantuan makanan bulanan yang disalurkan memenuhi kualiti dan terus bermanfaat untuk penerima.

Menurut Eksekutif Agihan Makanan, TERAS Hazana binti Hayati@emam mukayat berkata operasi pengagihan makanan bulanan akan dilakukan setiap hari bermula jam 8.30 hingga 5.00 petang meliputi sembilan daerah di seluruh Selangor.

“Setiap hari sebanyak 12 buah lori akan bergerak bagi mengagihkan makanan dengan dibantu seramai 24 orang kakitangan. Manakala bagi setiap penghantaran pula dianggarkan sebanyak 50 hingga 70 buah rumah bergantung kepada jadual penghantaran.”

Penjadualan penghantaran adalah berbeza setiap hari bergantung kepada pengesahan penerima bantuan itu sendiri. Bantuan hanya akan diagihkan kepada nama penerima bantuan sahaja. Jika penerima tiada di rumah, satu notis pemakluman akan diberikan,“ katanya ketika operasi penghantaran makanan bulanan bagi daerah Sepang.

Tambahnya lagi, dalam tempoh tiga hari sekiranya tiada maklum balas daripada penerima, TERAS akan menghubungi semula bagi menstrukur semula jadual penghantaran kepada mereka.

Hazana berkata bagi daerah Sepang pula, hampir 400 orang penerima bantuan makanan bulanan. Bagi setiap penerima, LZS akan memberikan maklumat lengkap beserta alamat bagi memudahkan urusan penghantaran kepada mereka.

Menurutnya lagi, cabaran utama dalam mengagihkan bantuan ini adalah jarak perjalanan yang perlu ditempuh bagi setiap aktiviti penghantaran.

“Bagi Daerah Sepang ini, jarak kedudukan rumah penerima bantuan terletak berjauhan antara satu sama lain. Ada yang jarak penghantaran mengambil masa hampir dua jam perjalanan untuk sebuah rumah.”

“Maka cabaran ini terletak pada bahu pemandu dan kelindan yang membuat penghantaran. Selain itu, mereka juga perlu mahir dengan selok-belok kawasan penghantaran terutamanya jalan yang sempit dengan halangan seperti kabel pendawaian elektrik atau dahan pokok yang menghalang laluan,“ tambahnya lagi.

Jelas Hazana, “Setiap keluarga akan menerima makanan keperluan asas seperti beras, tepung, minyak dan gula. Manakala jumlah nilai bantuan pula berbeza bagi setiap penerima bergantung kepada bilangan tanggungan dalam keluarga mereka.”

Bagi penerima bantuan makanan bulanan, Mohd Husaini bin Ahmad, 33 berkata kehadiran TERAS yang mengagihkan bantuan makanan ini sangat membantu kepada mereka sekeluarga.

Beliau yang baru dua bulan menerima bantuan tersebut menzahirkan rasa syukur. Tambahan pula beliau telah mengalami kecelakaan jalan raya dan menyebabkan patah pada kedua-dua belah paha dan tidak mampu untuk bekerja buat masa terdekat ini

“Saya tidak mampu untuk berjalan dalam tempoh satu atau dua tahun lagi. Dulu saya bekerja sebagai pengawal keselamatan. Adalah pendapatan. Sekarang saya sudah tidak mampu bekerja dan tiada sumber pendapatan lain. Jadi bantuan yang saya terima sangat membantu,“ katanya.

Melalui skim bantuan makanan ini, LZS yakin mampu memberi manfaat kepada mereka yang menerima seterusnya meringankan beban yang ditanggung oleh mereka.