SUBANG, 11 Mac 2019 – Prihatin dengan masalah asnaf fakir dan miskin, Lembaga Zakat Selangor (LZS) turun padang mendekati golongan ini bagi mendengar masalah dan keluhan melalui aktiviti ziarah baru-baru ini.

Aktiviti rutin yang bersifat turun padang ini bertujuan menyelami kelangsungan hidup asnaf, di samping melihat keperluan lain yang layak disantuni oleh LZS. Pada masa sama, LZS turut mengemas kini maklumat keluarga dan tanggungan hasil daripada ziarah tersebut.

Menurut Ketua Operasi Daerah Petaling, Mohd Fadhli Yohman berkata aktiviti ziarah asnaf fakir, miskin dan mualaf ini adalah lebih kepada beramah mesra dan mendekati golongan ini.

“Kita berkesempatan meluangkan masa menziarahi lima buah keluarga pada hari ini. Dengan jumlah 8,700 keluarga asnaf fakir, miskin dan mualaf di daerah Petaling, amat sukar untuk kita menziarahi keseluruhan jumlah ini.”

Namun dengan dibantu Penolong Amil Kariah (PAK) Masjid Jumhuriah, Taman Dato Harun, tugas ini menjadi lebih mudah,“ katanya ketika ditemui di program tersebut.

Mohd Fadhli berkata, kesemua rumah dikunjungi merupakan keluarga asnaf fakir dan miskin yang mempunyai latar belakang keluarga atau tanggungan sakit kronik, terlantar dan tidak mampu untuk berjalan.

“Melalui aktiviti ini juga, kita mahu meluaskan peranan PAK itu sendiri agar mereka lebih dikenali oleh ahli kariah masing-masing di bawah pemantauan mereka.”

Tanpa mereka ini yang juga merupakan mata dan telinga LZS, kita juga tidak mampu untuk mengesan kes yang terpencil yang layak untuk dibantu,“ tambahnya lagi.

“Selain itu, dalam program ini kita turut menyumbang wang tunai dan barang keperluan asas bagi meringankan bebanan yang ditanggung mereka. Justeru, LZS menyeru kepada masyarakat untuk menyalurkan maklumat mereka yang memerlukan bantuan zakat,“ katanya.