Utama Blog Halaman 23

PENDEPOSIT BANK KINI MUDAH TUNAI ZAKAT DI LZS

0

KUALA LUMPUR, 10 Mei 2019 – Para pendeposit di Bank Islam dan Bank Muamalat kini lebih mudah menunaikan zakat di Lembaga Zakat Selangor (LZS) apabila kedua-dua bank tersebut menawarkan kemudahan pengiraan dan potongan zakat secara automatik bagi akaun simpanan dan semasa. 

Terdahulu, Bank Islam telah melancarkan Kemudahan Pembayaran Zakat Akaun Simpanan Dan Pelaburan bersama Bank Islam pada 2 Mei 2019, manakala bersama Bank Muamalat telah melancarkan produk EZ-Zakat pada 7 Mei 2019. 

Kemudahan pembayaran ini adalah inisiatif LZS bersama kedua-dua bank untuk memudahkan pendeposit beragama Islam di bank tersebut mengeluarkan zakat bagi wang simpanan mereka di akaun simpanan dan semasa secara automatik apabila cukup haul dan nisab.

Pengeluar zakat di Selangor yang memiliki akaun simpanan dan semasa di kedua-dua bank tersebut boleh mendapatkan perkhidmatan ini dengan mengunjungi mana-mana cawangan Bank Islam atau Bank Muamalat dan mengisi borang yang disediakan.

SULTAN SELANGOR BERKENAN TERIMA BAYARAN ZAKAT PERNIAGAAN RM13.1 JUTA DAN SAMPAIKAN SUMBANGAN HARI RAYA KEPADA FAKIR, MISKIN DAN MUALAF SEMPENA MAJLIS BERBUKA PUASA BERSAMA RAKYAT

0

SHAH ALAM, 8 Mei 2019 – Sultan Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah Alhaj berkenan menerima pembayaran zakat perniagaan daripada enam syarikat korporat berjumlah RM13,121,349.08 dalam Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat di Masjid Negeri di sini hari ini.

Enam syarikat korporat tersebut ialah Kumpulan DRB-Hicom yang diwakili Pengarah Urusan Kumpulan, Dato’ Sri Syed Faisal Albar, menunaikan zakat perniagaan sebanyak RM4,638,039.24, diikuti Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain mengeluarkan zakat sebanyak RM2,859,821.53 dan Syarikat Kumpulan Worldwide Holdings Berhad yang mewakilkan Ketua Pegawai Eksekutif, Datin Paduka Norazlina Zakaria menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM2,750,353.00.

Sementara itu, Bank Islam Malaysia Berhad yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd Muazzam Mohamed menunaikan zakat berjumlah RM1,210,278.31, UMW Holdings Berhad diwakili oleh Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Azmin Che Yusoff mengeluarkan zakat perniagaan berjumlah RM1,162,857.00 dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) mewakilkan Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Sri Ahmad Omar menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM500,000.00. Kesemua syarikat ini menunaikan pembayaran zakat perniagaan bagi tahun kewangan berakhir 2018.

Pada majlis yang sama, Sultan Selangor turut berkenan menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada 72 orang asnaf fakir, 394 orang miskin serta 77 orang asnaf mualaf. Kesemua mereka menerima sumbangan zakat sebanyak RM500 setiap seorang, melibatkan jumlah zakat sebanyak 271,500.00.

Turut hadir, Dato’ Menteri Besar Selangor, Tuan Amirudin Shari, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Mohammed Khusrin Munawi, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Dato’ Haris Kasim serta Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Hadir sama, Ketua Pegawai Penyelaras LZS, Abdul Basith Hamid.

LZS AGIH BANTUAN ZAKAT RM26.3 JUTA KEPADA 54,509 ASNAF FAKIR, MISKIN DAN MUALAF PERSIAPAN RAMADAN & HARI RAYA

0

KEPONG, 12 Mei 2018 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) mula mengagihkan bantuan zakat sebanyak RM26,300,410 kepada 54,509 orang penerima asnaf fakir, miskin dan mualaf di seluruh Selangor bagi membantu golongan tersebut membuat persiapan awal menyambut kedatangan bulan Ramadan dan Hari Raya pada tahun ini.

Simbolik penyerahan bantuan disempurnakan oleh Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Dr. Daroyah Alwi di hadapan 150 orang asnaf fakir, miskin dan mualaf bersempena dengan Majlis Serahan Bantuan Ramadan dan Raya Lembaga Zakat Selangor 2019 di sini hari ini.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM7,029,560 diagihkan kepada 14,714 orang dalam kalangan asnaf fakir, manakala sebanyak RM17,737,360 diagihkan kepada 38,940 orang asnaf miskin dan RM1,533,490 diagihkan kepada 4,204 orang asnaf mualaf.

Setiap penerima mendapat bantuan zakat di antara RM300 dan RM1,000 bergantung kepada jumlah tanggungan. Bantuan ini diagihkan sama ada menerusi kredit ke akaun bank atau menggunakan kaedah V-Cash (Vaucher Tunai) atau serahan tunai di program.

Pada tahun ini, daerah Klang mencatatkan jumlah penerima bantuan tertinggi seramai 10,260 orang asnaf fakir, miskin dan mualaf melibatkan peruntukan agihan zakat sebanyak RM4,797,550. Ia diikuti daerah Petaling dengan jumlah penerima seramai 8,722 orang melibatkan peruntukan agihan zakat sebanyak RM3,939,770 dan daerah Hulu Langat mengagihkan sebanyak RM3,885,090 kepada 8,419 orang asnaf fakir, miskin dan mualaf.

Sementara daerah Hulu Selangor mengagihkan bantuan zakat sebanyak RM3,073,900 kepada 6,836 orang penerima, daerah Kuala Selangor mengagihkan bantuan zakat kepada 6,203 penerima melibatkan peruntukan agihan sebanyak RM2,803,200 dan daerah Gombak mengagihkan kepada 5,423 penerima dengan agihan zakat sebanyak RM2,518,100.

Tiga daerah lain iaitu daerah Kuala Langat mencatatkan seramai 4,701 penerima yang menerima bantuan Ramadan dan Hari Raya dengan jumlah agihan zakat sebanyak RM2,140,830 diikuti dengan daerah Sabak Bernam dengan jumlah penerima seramai 4,693 melibatkan jumlah agihan sebanyak RM1,969,110 dan daerah Sepang yang mencatatkan jumlah agihan sebanyak RM1,172,860 kepada 2,601 penerima fakir, miskin dan mualaf.

Sementara itu, dalam majlis yang sama syarikat Utas Maju Sdn. Bhd yang diwakili oleh Pengarah Urusan, Adnan Md. Noh menyerahkan zakat perniagaannya bagi tahun 2018 berjumlah RM148,002.51.

Turut hadir, Orang Besar Daerah Hulu Langat, Tuan Abdul Jalil Dato’ Abdul Rani dan Orang Besar Daerah Klang, Dato’ Abdul Ghani Pateh Akhir. Hadir sama, Ketua Pegawai Penyelaras LZS, Abdul Basith Hamid.

KADAR ZAKAT FITRAH DI SELANGOR KEKAL RM7

0

SHAH ALAM, 26 April 2019 – Kadar Zakat Fitrah yang ditetapkan untuk umat Islam di negeri Selangor pada tahun ini iaitu 2019M/1440H kekal RM7 seorang, sama seperti tahun sebelumnya.

Penentuan kadar zakat fitrah ini adalah berdasarkan kepada harga semasa bagi beras Super Tempatan Gred A seberat satu gantang Baghdad iaitu bersamaan 2.60kg.

Namun begitu bagi golongan yang berkemampuan, boleh memilih untuk menunaikan zakat fitrah mengikut harga beras yang dimakan bagi diri dan tanggungan.

Kadar zakat fitrah tersebut adalah sebanyak RM14.00 seorang bagi beras yang bernilai RM13.00 hingga RM44.00 (untuk harga beras seberat 5kg) dan RM21.00 seorang bagi beras yang bernilai melebihi RM44.00 (untuk harga beras seberat 5kg). Walau bagaimanapun, kadar bayaran zakat fitrah melebihi RM7.00 adalah sebagai galakan sahaja dan tiada paksaan kepada pengeluar zakat di Selangor.

Sehubungan itu, bagi memudahkan umat Islam menunaikan zakat fitrah, Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah melantik seramai 2,754 penolong amil fitrah di seluruh Selangor sepanjang bulan Ramadan ini.

Orang ramai juga boleh menunaikan zakat fitrah di 27 buah cawangan LZS di seluruh Selangor, di samping beberapa pasar raya terpilih di sekitar Lembah Klang. Zakat fitrah juga boleh ditunaikan melalui 14 Penolong Amil Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan 15 Penolong Amil Institut Pendidikan Islam Swasta (IPIS) di seluruh Selangor.

Dalam perkembangan yang sama, LZS akan membuka 27 cawangannya di seluruh Selangor selama tujuh hari seminggu termasuk cuti umum sepanjang Ramadan ini. Ini bagi memudahkan masyarakat yang mengambil kesempatan menunaikan zakat harta dan fitrah pada bulan Ramadan. Waktu urusan pada hari bekerja bermula dari 8.30 pagi hingga 4.30 petang. Manakala pada hari Sabtu, Ahad dan cuti umum, cawangan LZS akan dibuka bermula 9.00 pagi hingga 3.00 petang.

LZS HARGAI EJEN KUTIPAN DAN PENGELUAR ZAKAT KORPORAT SELANGOR

0

SHAH ALAM, 24 April 2019 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini meraikan ejen kutipan dan penolong amil LZS yang telah memberikan komitmen dan sumbangan dalam menyebarkan dakwah zakat serta membantu meningkatkan kutipan zakat bersempena Majlis Penghargaan LZS 2018 yang diadakan di sini.

Mereka yang diraikan ini terdiri daripada daripada wakil firma audit dan percukaian, ejen syarikat, bank, pejabat pos dan penolong amil institusi pengajian tinggi (IPT) yang dilantik oleh LZS bagi membantu mengutip zakat di Selangor.

Turut diraikan, syarikat-syarikat korporat yang merupakan pengeluar zakat perniagaan dan majikan yang membuat bayaran zakat melalui potongan gaji di LZS.

Sebanyak 18 anugerah termasuk Anugerah Khas membabitkan tiga kategori diserahkan dalam majlis tersebut.

Universiti Putra Malaysia yang merupakan penolong amil IPT LZS, menerima Anugerah Muaz bin Jabal sebagai pengiktirafan atas peningkatan dari segi kutipan zakat dan pembayar baru serta komitmen terbaik sepanjang tahun 2018.

Manakala Celcom Axiata Berhad menerima pengiktirafan Anugerah Umar Al-Khatab bagi peningkatan jumlah kutipan zakat melalui potongan gaji dan komitmen dalam pengurusan agihan semula terbaik bagi tahun 2018.

Sementara itu, Lembaga Tabung Haji yang merupakan syarikat pengeluar zakat tertinggi di LZS menerima Anugerah Abdul Rahman bin Auf. Anugerah ini diberikan atas komitmen yang ditunjukkan dalam menunaikan zakat perniagaan termasuklah menguruskan wakalah agihan pada tahun 2018.

Hadir sama dalam majlis tersebut, Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Profesor Emeritus Dr. Muhamad Awang dan Jawatankuasa Operasi Kutipan LZS, Dato’ Syed Ghazali Wafa Syed Adhwam Wafa. Turut hadir, Ofifcer In Charge, Abdul Basith Hamid.

ZAKAT DIDIK DEKATI PELAJAR & GURU SAMBEST

0

SUBANG JAYA, 17 April 2019 – Program Zakat Didik anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) berjaya menarik minat lebih 500 orang pelajar dan guru-guru Sekolah Agama Menengah Bestari Subang Jaya yang diadakan baru-baru ini.

Program berbentuk santai ini turut mendapat kerjasama pihak Sambest dan IPD Subang Jaya.

Ia dimulakan dengan taklimat daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) disampaikan oleh Tuan ASP Nazri Harun dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Subang Jaya yang memberikan penekanan isu pencegahan jenayah dalam pelajar.

Slot kedua pula disampaikan oleh wakil LZS, Ustaz Masrol Mohd Rasid yang memberi penekanan terhadap keperluan membayar zakat dalam menyeimbangi keperluan sosioekonomi ummah dan keberkatan harta. Ia telah menarik sejumlah 53 orang pengeluar zakat menyertai Skim Potongan Gaji (Skim Berkat).

Para pelajar juga diberi kefahaman berzakat melalui simulasi sedekah dan ianya sangat praktikal serta mudah untuk dilaksanakan. Penampilan khas pelawak terkenal Saiful Apek turut mencuit hati pelajar dan guru-guru yang berkongsi pengalaman hidup beliau  berkaitan keberkatan.

Turut diraikan majlis hari lahir bagi pelajar yang lahir pada bulan April untuk mewujudkan suasana seronok dalam penyampaian dakwah diselang seli dengan soalan kuiz dalam memantapkan lagi kefahaman zakat dalam kalangan para pelajar.

 

MAHABBAH CYCLING: LZS SUMBANG RM80 RIBU BIAYAI MESIN HEMODIALISIS

0
zakat selangor basikal sumbangan dialisis
zakat selangor basikal sumbangan dialisis

KLANG, 16 Mac 2019 – Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah, Raja Muda Selangor berkenan mencemar duli berangkat hadir ke program Mahabbah Cycling anjuran bersama Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) baru-baru ini.

Program bersempena dengan Hari Buah Pinggang Sedunia ini mendapat sambutan dengan kehadiran hampir 500 orang peserta berbasikal. Dalam program tersebut, LZS turut menyerahkan sumbangan zakat berjumlah RM80,000 bagi membiayai pembelian mesin hemodialisis baharu di Pusat Dialisis Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Turut memberi sumbangan termasuklah Bank Simpanan Nasional (BSN) berjumlah RM282,000, Central Sugar Refinery (CSR) RM200,000, Lembaga Tabung Haji RM100,000, Central Spectrum (M) Sdn Bhd RM40,000.00, dan juga Celcom Axiata Berhad RM40,000.

Dalam program tersebut, baginda bersama peserta terdiri daripada anggota kelab berbasikal dan orang awam berkayuh sejauh 12 kilometer, kira-kira jam 9 pagi bermula dari Masjid Al-Islah, Kampung Sementa, di sini.

Baginda turut berkenan menyampaikan bantuan perubatan dan barangan keperluan harian sumbangan daripada LZS kepada dua keluarga asnaf iaitu Mohd Azhar Abdul Aziz berjumlah RM7,800 dan keluarga pesakit dialisis Hasnul Hatimah Abu Bakar berjumlah RM14,160.

Hadir sama, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YIDE, Datuk Bakhtiar Hussin.

INISIATIF PRIHATIN TINGKAT KEFAHAMAN KUTIPAN & AGIH ZAKAT

0

KUALA LANGAT, 25 Mac 2019 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengadakan program Inisiatif Prihatin yang berlangsung di syarikat AVP Engineering Sdn Bhd baru-baru ini.

LZS yang diwakili oleh Jabatan Majikan, Jabatan Perniagaan dan Jabatan Pengurusan Operasi Asnaf Daerah Kuala Langat bertujuan untuk mengenal pasti individu dalam kalangan kakitangan yang layak menerima bantuan zakat.

Selain itu, satu sesi taklimat berkaitan Skim Potongan Gaji (SPG) dan zakat perniagaan bagi memberi kefahaman kepada kakitangan yang hadir. Turut dibuka kaunter taksiran zakat dan bancian asnaf.

PROGRAM DERMA DARAH DAPAT SAMBUTAN

0

SHAH ALAM, 19 Mac 2019 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan kerjasama Pusat Darah Negara (PDN) hari ini menganjurkan Program Derma Darah bertempat di Bangunan Zakat Selangor di sini.

Program yang mendapat sambutan daripada warga kerja dan masyarakat awam di sekitar Shah Alam ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat LZS bagi membantu PDN menampung keperluan darah yang semakin berkurangan.

Di samping itu, ia bagi memberi kesedaran dan galakan kepada warga kerja serta masyarakat tentang kepentingan membantu mereka yang memerlukan terutama bagi menyelamatkan nyawa.

ANAK SELANGOR LEPASAN SPM DIPELAWA MOHON DERMASISWA

0

SHAH ALAM, 19 Mac 2019 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mempelawa pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berkelayakan dan memenuhi syarat untuk memohon Dermasiswa Zakat dan Dermasiswa Khas Menteri Besar Selangor yang dibuka pada 14 Mac 2019 baru-baru ini.

Tawaran ini terbuka kepada anak-anak Selangor yang berhasrat menyambung pengajian dalam bidang Pengajian Islam, Bahasa Arab atau Ulum Islamiah di universiti di Mesir dan Jordan bagi sesi 2019/2020.

Pemohon boleh melayari laman web LZS di www.zakatselangor.com.my untuk mengetahui syarat-syarat dan kriteria beserta borang permohonan.

Tawaran dermasiswa ini akan ditutup 14 hari daripada tarikh keputusan rasmi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dikeluarkan. Sebarang pertanyaan atau keterangan lanjut, boleh hubungi Unit Pengajian Tinggi, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di talian 03-55143576.

Untuk makluman sehingga kini terdapat 143 orang mahasiswa tajaan LZS yang sedang menyambung pengajian di Mesir dan 80 orang mahasiswa di Jordan melibatkan pembiayaan zakat sebanyak RM4.6 juta setahun.

Berita Terkini