SHAH ALAM, 8 Mei 2019 – Sultan Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah Alhaj berkenan menerima pembayaran zakat perniagaan daripada enam syarikat korporat berjumlah RM13,121,349.08 dalam Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat di Masjid Negeri di sini hari ini.

Enam syarikat korporat tersebut ialah Kumpulan DRB-Hicom yang diwakili Pengarah Urusan Kumpulan, Dato’ Sri Syed Faisal Albar, menunaikan zakat perniagaan sebanyak RM4,638,039.24, diikuti Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain mengeluarkan zakat sebanyak RM2,859,821.53 dan Syarikat Kumpulan Worldwide Holdings Berhad yang mewakilkan Ketua Pegawai Eksekutif, Datin Paduka Norazlina Zakaria menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM2,750,353.00.

Sementara itu, Bank Islam Malaysia Berhad yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd Muazzam Mohamed menunaikan zakat berjumlah RM1,210,278.31, UMW Holdings Berhad diwakili oleh Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Azmin Che Yusoff mengeluarkan zakat perniagaan berjumlah RM1,162,857.00 dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) mewakilkan Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Sri Ahmad Omar menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM500,000.00. Kesemua syarikat ini menunaikan pembayaran zakat perniagaan bagi tahun kewangan berakhir 2018.

Pada majlis yang sama, Sultan Selangor turut berkenan menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada 72 orang asnaf fakir, 394 orang miskin serta 77 orang asnaf mualaf. Kesemua mereka menerima sumbangan zakat sebanyak RM500 setiap seorang, melibatkan jumlah zakat sebanyak 271,500.00.

Turut hadir, Dato’ Menteri Besar Selangor, Tuan Amirudin Shari, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Mohammed Khusrin Munawi, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Dato’ Haris Kasim serta Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Hadir sama, Ketua Pegawai Penyelaras LZS, Abdul Basith Hamid.