KEPONG, 12 Mei 2018 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) mula mengagihkan bantuan zakat sebanyak RM26,300,410 kepada 54,509 orang penerima asnaf fakir, miskin dan mualaf di seluruh Selangor bagi membantu golongan tersebut membuat persiapan awal menyambut kedatangan bulan Ramadan dan Hari Raya pada tahun ini.

Simbolik penyerahan bantuan disempurnakan oleh Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Dr. Daroyah Alwi di hadapan 150 orang asnaf fakir, miskin dan mualaf bersempena dengan Majlis Serahan Bantuan Ramadan dan Raya Lembaga Zakat Selangor 2019 di sini hari ini.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM7,029,560 diagihkan kepada 14,714 orang dalam kalangan asnaf fakir, manakala sebanyak RM17,737,360 diagihkan kepada 38,940 orang asnaf miskin dan RM1,533,490 diagihkan kepada 4,204 orang asnaf mualaf.

Setiap penerima mendapat bantuan zakat di antara RM300 dan RM1,000 bergantung kepada jumlah tanggungan. Bantuan ini diagihkan sama ada menerusi kredit ke akaun bank atau menggunakan kaedah V-Cash (Vaucher Tunai) atau serahan tunai di program.

Pada tahun ini, daerah Klang mencatatkan jumlah penerima bantuan tertinggi seramai 10,260 orang asnaf fakir, miskin dan mualaf melibatkan peruntukan agihan zakat sebanyak RM4,797,550. Ia diikuti daerah Petaling dengan jumlah penerima seramai 8,722 orang melibatkan peruntukan agihan zakat sebanyak RM3,939,770 dan daerah Hulu Langat mengagihkan sebanyak RM3,885,090 kepada 8,419 orang asnaf fakir, miskin dan mualaf.

Sementara daerah Hulu Selangor mengagihkan bantuan zakat sebanyak RM3,073,900 kepada 6,836 orang penerima, daerah Kuala Selangor mengagihkan bantuan zakat kepada 6,203 penerima melibatkan peruntukan agihan sebanyak RM2,803,200 dan daerah Gombak mengagihkan kepada 5,423 penerima dengan agihan zakat sebanyak RM2,518,100.

Tiga daerah lain iaitu daerah Kuala Langat mencatatkan seramai 4,701 penerima yang menerima bantuan Ramadan dan Hari Raya dengan jumlah agihan zakat sebanyak RM2,140,830 diikuti dengan daerah Sabak Bernam dengan jumlah penerima seramai 4,693 melibatkan jumlah agihan sebanyak RM1,969,110 dan daerah Sepang yang mencatatkan jumlah agihan sebanyak RM1,172,860 kepada 2,601 penerima fakir, miskin dan mualaf.

Sementara itu, dalam majlis yang sama syarikat Utas Maju Sdn. Bhd yang diwakili oleh Pengarah Urusan, Adnan Md. Noh menyerahkan zakat perniagaannya bagi tahun 2018 berjumlah RM148,002.51.

Turut hadir, Orang Besar Daerah Hulu Langat, Tuan Abdul Jalil Dato’ Abdul Rani dan Orang Besar Daerah Klang, Dato’ Abdul Ghani Pateh Akhir. Hadir sama, Ketua Pegawai Penyelaras LZS, Abdul Basith Hamid.