SHAH ALAM, 19 Mac 2019 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mempelawa pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berkelayakan dan memenuhi syarat untuk memohon Dermasiswa Zakat dan Dermasiswa Khas Menteri Besar Selangor yang dibuka pada 14 Mac 2019 baru-baru ini.

Tawaran ini terbuka kepada anak-anak Selangor yang berhasrat menyambung pengajian dalam bidang Pengajian Islam, Bahasa Arab atau Ulum Islamiah di universiti di Mesir dan Jordan bagi sesi 2019/2020.

Pemohon boleh melayari laman web LZS di www.zakatselangor.com.my untuk mengetahui syarat-syarat dan kriteria beserta borang permohonan.

Tawaran dermasiswa ini akan ditutup 14 hari daripada tarikh keputusan rasmi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dikeluarkan. Sebarang pertanyaan atau keterangan lanjut, boleh hubungi Unit Pengajian Tinggi, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di talian 03-55143576.

Untuk makluman sehingga kini terdapat 143 orang mahasiswa tajaan LZS yang sedang menyambung pengajian di Mesir dan 80 orang mahasiswa di Jordan melibatkan pembiayaan zakat sebanyak RM4.6 juta setahun.