Utama Blog Halaman 18

LZS TERIMA ZAKAT PERNIAGAAN CIMB ISLAMIC

0

SHAH ALAM, 14 Februari 2020 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menerima bayaran zakat perniagaan dari CIMB Islamic Bank Berhad berjumlah RM100,000.00 dalam satu majlis yang diadakan di Bangunan Zakat Selangor di sini.

Bayaran zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2019 itu diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, Ahmad Shahriman Shariff kepada Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop.

Hadir sama dalam majlis ini, Ketua Divisyen Kutipan, Sabirin Sarbini.

LZS KEMAS KINI KADAR HAD AL-KIFAYAH NEGERI SELANGOR

0

SHAH ALAM, 4 Februari 2020 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengemas kini kadar had al- kifayah bagi Negeri Selangor mulai tahun 2020 bagi menggantikan kadar lama yang telah digunakan sejak tahun 2018.

Pelaksanaan kadar had al-kifayah baru ini adalah berdasarkan kajian lapangan yang dijalankan bagi menilai keperluan asasi sesebuah keluarga umat Islam di Selangor.

Had al-kifayah merujuk kepada suatu kadar keperluan asasi paling minimum bagi sesebuah isi rumah yang ditetapkan oleh LZS, berdasarkan kajian lapangan terhadap kos sara hidup masa kini di negeri Selangor. Keperluan asasi tersebut meliputi makanan, pakaian, tempat tinggal, pengangkutan, kesihatan dan pendidikan yang berubah setiap tahun selari dengan peningkatan kos sara hidup.

Ia digunakan sewaktu bancian asnaf bagi menentukan isi rumah yang layak dikategorikan sebagai fakir dan miskin.

Melalui pelaksanaan kadar had al-kifayah baru ini, dijangka lebih ramai keluarga dapat dikenal pasti untuk didaftarkan sebagai asnaf fakir atau miskin di Selangor, seterusnya disantuni agar tidak terpinggir daripada menerima agihan zakat. Untuk rekod, seramai 55,089 keluarga asnaf fakir dan miskin yang berdaftar dengan LZS di Selangor telah disantuni dengan wang zakat sepanjang tahun 2019.

Sehubungan itu, setiap pemohon perlu melampirkan slip gaji (bagi yang bekerja), penyata KWSP terkini (bagi yang pernah bekerja) atau pengesahan pendapatan (sekiranya tidak bekerja) sebagai dokumen wajib sewaktu proses pemohonan di LZS.

Untuk makluman, kadar had al-kifayah mula diguna pakai oleh LZS sejak tahun 2001. Bagi menepati kehendak semasa, LZS telah mengemas kini kadar had al-kifayah bermula tahun 2001 hingga 2018.

Selain itu, kadar had al-kifayah terkini juga akan digunakan sebagai kadar tolakan dalam kaedah taksiran zakat pendapatan ke atas pengeluar zakat.

TUNAI ZAKAT KINI LEBIH MUDAH GUNA E-DOMPET

0

SHAH ALAM, 31 Januari 2020 – Masyarakat Islam kini lebih mudah menunaikan zakat apabila Lembaga Zakat Selangor (LZS) menawarkan pambayaran zakat melalui aplikasi e-dompet GoPayz yang dibangunkan oleh U Mobile.

Menerusi aplikasi ini, pengeluar zakat boleh menunaikan ibadah zakat harta seperti pendapatan, zakat perniagaan, zakat simpanan dan sebagainya serta zakat fitrah tanpa had kepada LZS pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

Para pelanggan hanya perlu mengikuti lima langkah mudah untuk membuat pembayaran zakat di GoPayz iaitu:
• Langkah 1: Daftar masuk aplikasi GoPayz (www.gopayz.com.my)
• Langkah 2: Tekan Services > Islamic > Zakat > Lembaga Zakat Selangor
• Langkah 3: Lengkapkan butiran/maklumat yang diminta
• Langkah 4: Anda akan dibawa ke laman “Lafaz Niat Bayar Zakat” & Sila tekan “Terus Bayaran”
• Langkah 5: Pilih Cara pembayaran untuk melengkapkan transaksi

MAKLUM BALAS ADIK MUHAMMAD ADAM

0

SHAH ALAM, 30 Januari 2020 – Berikut merupakan maklum balas Lembaga Zakat Selangor (LZS) berkenaan berita yang disiarkan di Sinar Harian bertajuk ‘Muhammad Adam Tabah Walaupun Lahir Tanpa Telinga Kanan’ pada 27 Januari 2020.

Berdasarkan kepada maklumat yang diperoleh, LZS segera menziarahi keluarga itu baru-baru ini. Hasil siasatan mendapati keluarga tesebut layak didaftarkan sebagai asnaf miskin. Untuk permulaan, LZS akan menyantuni keluarga ini dengan bantuan kewangan bulanan. LZS turut akan membantu pembelian bantuan alat pendengaran Muhammad Adam, yang pada masa ini dipinjam dari Hospital Sungai Buloh bernilai RM8,000.00.

Berkaitan dengan pembedahan implan telinga yang dianggarkan berjumlah RM20,000.00, LZS akan menyalurkan bantuan tersebut setelah mendapat pengesahan hospital.

Manakala bantuan lain akan disalurkan berdasarkan kepada keperluan keluarga ini dari semasa ke semasa bergantung kepada syarat dan kelayakan.

LZS BANTU PUTERI BALQIS

0

SHAH ALAM, 13 Januari 2020 – Berikut merupakan maklum balas Lembaga Zakat Selangor (LZS) berkenaan kisah pelakon cilik, Puteri Balqis Azizi yang dikongsikan dalam program Bersamamu TV3 pada 12 Januari 2020.

Untuk makluman, LZS turut turun padang dengan krew Bersamamu menziarahi Puteri Balqis dan ibunya, Norashikin Mohamad Aziz bagi melihat keadaan terkini mereka. Puteri Balqis sebelum ini dilaporkan menghidapi masalah kesihatan sejak dua tahun lalu yang menyebabkan beliau kerap demam berpanjangan, sesak nafas dan muntah.

Ekoran keadaan kesihatannya itu, Puteri Balqis terpaksa menghentikan aktiviti lakonannya. Bagi meneruskan kelangsungan hidup, Puteri Balqis dan ibunya menjual buku ‘38 Poems Of Puteri Balqis’ hasil tulisannya di sekitar Masjid Jamek, Masjid India, Pasar Seni atau Jalan Petaling di ibu negara.

Sehubungan itu hasil siasatan LZS, keluarga Puteri Balqis didaftarkan sebagai asnaf miskin daerah Petaling. Buat permulaan, LZS menyalurkan bantuan kecemasan kepada keluarga Puteri Balqis. Selain itu, mereka juga disantuni dengan bantuan kewangan bulanan bermula Januari dan LZS akan menyelesaikan bil utiliti yang tertunggak.

LZS turut mempertimbangkan bantuan perubatan bagi membolehkan beliau meneruskan rawatan penyakit yang dihadapinya setelah mendapat pengesahan perubatan daripada hospital. Manakala bantuan zakat lain akan disalurkan berdasarkan kepada keperluan mereka bergantung kepada syarat dan kelayakan.

LZS LANJUTKAN WAKTU OPERASI 2 HARI TERAKHIR 2019

0

SHAH ALAM, 30 Disember 2019 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) melanjutkan waktu operasi cawangan LZS di seluruh Selangor hingga pukul 8.00 malam bermula pada 30 Disember hingga 31 Disember ini bagi memudahkan masyarakat Islam menunaikan zakat sebelum berakhir tahun 2019. Manakala, waktu operasi di Kompleks UTC Shah Alam sehingga 10 malam.

Antara perkhidmatan yang disediakan termasuklah khidmat runding cara zakat, taksiran pelbagai jenis zakat harta dan juga bayaran zakat. Selain itu, kemudahan pembayaran menerusi kad kredit Islamik dan kad debit turut disediakan di cawangan.

Bagi mengelakkan kesesakan menunaikan zakat di cawangan, LZS menyediakan kemudahan ‘Cashless ATM’ di lima cawangan iaitu di ibu pejabat LZS, Seksyen 14, Petaling Jaya, Puchong, Kajang dan Bangi.

Selain itu, orang ramai juga boleh menunaikan zakat melalui pelbagai medium lain yang disediakan termasuklah kemudahan ezakatpay di portal LZS dan perbankan internet.

Justeru itu, LZS menyeru kepada orang ramai untuk menunaikan zakat lebih awal agar tidak tidak tergesa-gesa di saat akhir. Rebutlah peluang menunaikan zakat sebelum 31 Disember untuk layak rebat cukai pendapatan.

Maklumat lanjut, hubungi Talian Zakat Selangor 1 300 88 4343.

27 CAWANGAN LZS DIBUKA TUJUH HARI SEMINGGU SEPANJANG DISEMBER

0

SHAH ALAM, 17 Disember 2019 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) membuka kesemua 27 cawangannya di seluruh negeri Selangor tujuh hari seminggu termasuk pada cuti umum sepanjang bulan ini.

Waktu operasi pada hari Isnin hingga Jumaat di seluruh cawangan bermula jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang. Manakala, pada hari Sabtu dan Ahad serta cuti umum, cawangan LZS dibuka dari jam 9.00 pagi hingga 3.00 petang. Waktu operasi turut dilanjutkan sehingga jam 8 malam bermula 28 hingga 31 Disember bagi memberi peluang kepada masyarakat menunaikan zakat sebelum berakhir tahun 2019.

Selain taksiran zakat, orang ramai boleh mendapatkan perkhidmatan runding cara zakat, bayaran zakat serta melaksanakan urusan permohonan agihan zakat. Cawangan LZS turut menyediakan perkhidmatan pembayaran zakat menerusi kad kredit Islamik dan kad debit.

Di samping itu, LZS menyediakan saluran lain bagi memudahkan pengeluar zakat menunaikan zakat mereka iaitu melalui saluran atas talian di ezakatpay dan perbankan internet. Orang ramai juga boleh menunaikan zakat melalui ejen kutipan LZS yang bertauliah.

Pertanyaan lanjut hubungi Talian Zakat Selangor 1-300-88-4343.

41 SYARIKAT KORPORAT TUNAI ZAKAT PERNIAGAAN RM6.2 JUTA

0

SHAH ALAM, 18 Disember 2019 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menerima zakat perniagaan daripada 41 buah syarikat berjumlah RM6,182,830.76 dalam satu majlis yang diadakan bertempat di Wisma PKPS di sini.

Cyberview Sdn. Bhd. mendahului senarai syarikat yang menunaikan zakat perniagaan, telah menyerahkan zakatnya berjumlah RM951,200.11, diikuti Radicare (M) Sdn. Bhd. sebanyak RM676,485.00 dan Syarikat Perumahan Pegawai Kerajaan Sdn. Bhd. yang mengeluarkan zakat perniagaannya berjumlah RM500,000.00

Manakala syarikat lain yang turut menyerahkan zakat perniagaannya termasuklah, Dagang Net Technologies Sdn. Bhd yang mengeluarkan zakat sebanyak RM446,168.00, Tradewinds International Insurance Brokers Sdn. Bhd. sebanyak RM400,000.00, TM Auto Lease Sdn. Bhd sebanyak RM381,318.00 dan PWN Exellence Sdn. Bhd. sebanyak RM317,443.87.

Dalam majlis sama, LZS turut menyampaikan pelbagai jenis bantuan zakat dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM196.154.00. Mereka ialah Zalida Syuhada Ahmad Taman menerima bantuan perubatan berjumlah RM80,000.00 bagi membiayai kos pembedahan plastik anaknya yang ditimpa musibah kebakaran, diikuti Fatin Farhana Abdul Wahid turut menerima bantuan sama sebanyak RM30,000.00 bagi rawatan pemindahan buah pinggang. Sementara itu, Muhammad Sirajudin Abdullah menerima bantuan zakat sebanyak RM14,700.00 bagi membiayai rawatan dialisis.

Dua individu lagi merupakan penerima bantuan pendidikan iaitu Nurshafiqah Abdullah yang merupakan asnaf mualaf, menerima bantuan zakat berjumlah RM46,954.00 bagi melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Syariah dengan Mualamat. Manakala Md. Nawawi Md. Zain yang mengikuti Sijil Kemahiran Malaysia dalam jurusan elektrik menerima bantuan zakat sebanyak RM24,500.00.

Turut menyaksikan lima syarikat pengeluar zakat menyerahkan sumbangan ‘Kasihku Zakat Selangor’ berjumlah RM737,565.50.Etiqa General Takaful Berhad menyerahkan sumbangan ‘Kasihku Zakat Selangor’ berjumlah RM379,687.50 dan Etiqa Family Takaful Berhad yang menyerahkan sumbangan berjumlah RM124,125.00. Kedua-dua syarikat ini diwakili oleh Ketua Pengurusan Shariah, Dr. Mohamed Hadi Abdul Hamid.

Manakala, Lembaga Tabung Haji (TH) diwakili Pengarah TH Negeri Selangor, Mohd Nasir Mohd Yusoof menyerahkan sumbangan ‘Kasihku Zakat Selangor’ berjumlah RM150,000.00. Ini diikuti oleh Alliance Islamic Bank Berhad diwakili oleh Ketua Jabatan Shariah, Mohd Shidek Nazaran menyerahkan sumbangan berjumlah RM56,250.00 dan Cyberview Sdn. Bhd yang mewakilkan Pengarah Urusan, Mohd Najib Ibrahim menyerahkan sumbangan ‘Kasihku Zakat Selangor’ sebanyak RM27,500.00.

Untuk makluman, LZS memperkenalkan program ‘Kasihku Zakat Selangor’ bagi memberi ruang kepada pengeluar zakat terutama dalam kalangan syarikat korporat bersama-sama menyantuni keperluan penerima zakat di Selangor yang semakin meningkat.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop dan Ketua Divisyen Kutipan LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini.

PEMANDU GRAB KINI BOLEH BUAT POTONGAN ZAKAT

0

PETALING JAYA, 12 Disember 2019 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan kerjasama Grab Malaysia di bawah program Grab Benefits, menawarkan kaedah caruman zakat bulanan untuk pemandu Grab melalui aplikasi Grab Driver.

Menurut Ketua Operasi Grab Malaysia, Rashid Shukor, tinjauan dalaman mereka mendapati pemotongan zakat merupakan salah satu di antara permintaan utama dalam kalangan pemandu mereka, yang rata-ratanya terpanggil untuk menyelesaikan kewajipan berzakat.

‘Grab Benefits Partner Luncheon’ telah diadakan pada 10 Disember di ibu pejabat Grab Malaysia, dan LZS turut sama di majlis tersebut diwakili oleh Ketua Jabatan Majikan Divisyen Kutipan, Muhd Fikri Naim Harun.

Menurut Fikri, LZS terbuka untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak yang berminat bagi memudahkan urusan menunaikan zakat.

“Seiring langkah ke arah transformasi digital, skim caruman zakat bulanan pemandu Grab ini diharap dapat menggalakkan pemandu Grab untuk turut sama memanfaatkan kemudahan teknologi dalam beribadat.

“Pemotongan akan dilakukan pada setiap bulan menerusi e-wallet pemandu. Di samping itu pemandu juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik yang ditawarkan sempena Kempen Grab 2019 Zakat Selangor yang sedang berlangsung hingga 31 Disember ini,” ujar beliau.

Tambahnya, Pemandu Grab yang berminat membuat caruman zakat bulanan dengan LZS boleh melayari laman sesawang di https://www.zakatselangor.com.my/kempengrab2019/.

 

AL-BIRUNI ZAKAT SELANGOR – INISIATIF LZS SANTUNI KANAK-KANAK MISKIN BANDAR

0

PETALING JAYA, 10 Disember 2019 – Inisiatif Lembaga Zakat Selangor (LZS) mewujudkan projek perintis Al-Biruni Zakat Selangor bagi menjadi hub inovasi dan pembelajaran dilihat sebagai langkah pertama dalam usaha menyantuni kanak-kanak miskin bandar.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Korporat dan Projek Khas LZS, Ariffa Ariffin, projek perintis yang dilaksanakan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Mentari, Petaling Jaya itu bertujuan untuk menyantuni kanak-kanak terutama dalam kalangan asnaf fakir dan miskin.

“Idea projek ini bertitik tolak daripada laporan kaji selidik yang diterbitkan oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada Februari 2018 yang bertajuk `Kanak-Kanak Pinggiran’ berkisar masalah kemiskinan kanak-kanak bandar di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya.”

Justeru itu, LZS mengambil inisiatif mewujudkan Al-Biruni Zakat Selangor bagi menyediakan ruang belajar dan sosial yang selamat serta kondusif. Projek yang dilaksanakan dengan kerjasama rakan strategik ADAB Youth Garage (AYG) itu mula beroperasi sejak 1 April lalu menyasarkan penyertaan kanak-kanak dari usia 7 hingga 17 tahun di PPR tersebut.

Di samping itu, Biruni Zakat Selangor turut menawarkan bantuan akademik, mengurangkan masalah sosial selain membantu kanak-kanak yang cemerlang dalam pelajaran tetapi terhalang kerana kemiskinan dan kekurangan kemudahan.

Antara aktiviti yang dijalankan adalah solat berjemaah, kelas mengaji, menyiapkan kerja rumah, usrah santai, riadah dan sukan serta program khas bersama sukarelawan dan NGO.

“Di sinilah mereka berkumpul untuk menjalankan aktiviti ulang kaji pembelajaran, kerana kesibukan ibu bapa yang bekerja pakai dua tiga syif.  Di samping itu juga LZS akan cuba menyediakan ustaz untuk mengajar anak-anak di sini mengaji al-Quran dan guru untuk mengajar tuisyen secara percuma,” jelas Ariffa.

Mengikut rekod, terdapat 91 keluarga asnaf dan fakir miskin di blok 9 dan 10 PPR Desa Mentari dengan 81 peratus terdiri daripada kanak-kanak.

Berita Terkini