SHAH ALAM, 18 Disember 2019 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menerima zakat perniagaan daripada 41 buah syarikat berjumlah RM6,182,830.76 dalam satu majlis yang diadakan bertempat di Wisma PKPS di sini.

Cyberview Sdn. Bhd. mendahului senarai syarikat yang menunaikan zakat perniagaan, telah menyerahkan zakatnya berjumlah RM951,200.11, diikuti Radicare (M) Sdn. Bhd. sebanyak RM676,485.00 dan Syarikat Perumahan Pegawai Kerajaan Sdn. Bhd. yang mengeluarkan zakat perniagaannya berjumlah RM500,000.00

Manakala syarikat lain yang turut menyerahkan zakat perniagaannya termasuklah, Dagang Net Technologies Sdn. Bhd yang mengeluarkan zakat sebanyak RM446,168.00, Tradewinds International Insurance Brokers Sdn. Bhd. sebanyak RM400,000.00, TM Auto Lease Sdn. Bhd sebanyak RM381,318.00 dan PWN Exellence Sdn. Bhd. sebanyak RM317,443.87.

Dalam majlis sama, LZS turut menyampaikan pelbagai jenis bantuan zakat dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM196.154.00. Mereka ialah Zalida Syuhada Ahmad Taman menerima bantuan perubatan berjumlah RM80,000.00 bagi membiayai kos pembedahan plastik anaknya yang ditimpa musibah kebakaran, diikuti Fatin Farhana Abdul Wahid turut menerima bantuan sama sebanyak RM30,000.00 bagi rawatan pemindahan buah pinggang. Sementara itu, Muhammad Sirajudin Abdullah menerima bantuan zakat sebanyak RM14,700.00 bagi membiayai rawatan dialisis.

Dua individu lagi merupakan penerima bantuan pendidikan iaitu Nurshafiqah Abdullah yang merupakan asnaf mualaf, menerima bantuan zakat berjumlah RM46,954.00 bagi melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Syariah dengan Mualamat. Manakala Md. Nawawi Md. Zain yang mengikuti Sijil Kemahiran Malaysia dalam jurusan elektrik menerima bantuan zakat sebanyak RM24,500.00.

Turut menyaksikan lima syarikat pengeluar zakat menyerahkan sumbangan ‘Kasihku Zakat Selangor’ berjumlah RM737,565.50.Etiqa General Takaful Berhad menyerahkan sumbangan ‘Kasihku Zakat Selangor’ berjumlah RM379,687.50 dan Etiqa Family Takaful Berhad yang menyerahkan sumbangan berjumlah RM124,125.00. Kedua-dua syarikat ini diwakili oleh Ketua Pengurusan Shariah, Dr. Mohamed Hadi Abdul Hamid.

Manakala, Lembaga Tabung Haji (TH) diwakili Pengarah TH Negeri Selangor, Mohd Nasir Mohd Yusoof menyerahkan sumbangan ‘Kasihku Zakat Selangor’ berjumlah RM150,000.00. Ini diikuti oleh Alliance Islamic Bank Berhad diwakili oleh Ketua Jabatan Shariah, Mohd Shidek Nazaran menyerahkan sumbangan berjumlah RM56,250.00 dan Cyberview Sdn. Bhd yang mewakilkan Pengarah Urusan, Mohd Najib Ibrahim menyerahkan sumbangan ‘Kasihku Zakat Selangor’ sebanyak RM27,500.00.

Untuk makluman, LZS memperkenalkan program ‘Kasihku Zakat Selangor’ bagi memberi ruang kepada pengeluar zakat terutama dalam kalangan syarikat korporat bersama-sama menyantuni keperluan penerima zakat di Selangor yang semakin meningkat.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop dan Ketua Divisyen Kutipan LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini.