PETALING JAYA, 12 Disember 2019 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan kerjasama Grab Malaysia di bawah program Grab Benefits, menawarkan kaedah caruman zakat bulanan untuk pemandu Grab melalui aplikasi Grab Driver.

Menurut Ketua Operasi Grab Malaysia, Rashid Shukor, tinjauan dalaman mereka mendapati pemotongan zakat merupakan salah satu di antara permintaan utama dalam kalangan pemandu mereka, yang rata-ratanya terpanggil untuk menyelesaikan kewajipan berzakat.

‘Grab Benefits Partner Luncheon’ telah diadakan pada 10 Disember di ibu pejabat Grab Malaysia, dan LZS turut sama di majlis tersebut diwakili oleh Ketua Jabatan Majikan Divisyen Kutipan, Muhd Fikri Naim Harun.

Menurut Fikri, LZS terbuka untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak yang berminat bagi memudahkan urusan menunaikan zakat.

“Seiring langkah ke arah transformasi digital, skim caruman zakat bulanan pemandu Grab ini diharap dapat menggalakkan pemandu Grab untuk turut sama memanfaatkan kemudahan teknologi dalam beribadat.

“Pemotongan akan dilakukan pada setiap bulan menerusi e-wallet pemandu. Di samping itu pemandu juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik yang ditawarkan sempena Kempen Grab 2019 Zakat Selangor yang sedang berlangsung hingga 31 Disember ini,” ujar beliau.

Tambahnya, Pemandu Grab yang berminat membuat caruman zakat bulanan dengan LZS boleh melayari laman sesawang di https://www.zakatselangor.com.my/kempengrab2019/.