SHAH ALAM, 13 Januari 2020 – Berikut merupakan maklum balas Lembaga Zakat Selangor (LZS) berkenaan kisah pelakon cilik, Puteri Balqis Azizi yang dikongsikan dalam program Bersamamu TV3 pada 12 Januari 2020.

Untuk makluman, LZS turut turun padang dengan krew Bersamamu menziarahi Puteri Balqis dan ibunya, Norashikin Mohamad Aziz bagi melihat keadaan terkini mereka. Puteri Balqis sebelum ini dilaporkan menghidapi masalah kesihatan sejak dua tahun lalu yang menyebabkan beliau kerap demam berpanjangan, sesak nafas dan muntah.

Ekoran keadaan kesihatannya itu, Puteri Balqis terpaksa menghentikan aktiviti lakonannya. Bagi meneruskan kelangsungan hidup, Puteri Balqis dan ibunya menjual buku ‘38 Poems Of Puteri Balqis’ hasil tulisannya di sekitar Masjid Jamek, Masjid India, Pasar Seni atau Jalan Petaling di ibu negara.

Sehubungan itu hasil siasatan LZS, keluarga Puteri Balqis didaftarkan sebagai asnaf miskin daerah Petaling. Buat permulaan, LZS menyalurkan bantuan kecemasan kepada keluarga Puteri Balqis. Selain itu, mereka juga disantuni dengan bantuan kewangan bulanan bermula Januari dan LZS akan menyelesaikan bil utiliti yang tertunggak.

LZS turut mempertimbangkan bantuan perubatan bagi membolehkan beliau meneruskan rawatan penyakit yang dihadapinya setelah mendapat pengesahan perubatan daripada hospital. Manakala bantuan zakat lain akan disalurkan berdasarkan kepada keperluan mereka bergantung kepada syarat dan kelayakan.