SHAH ALAM, 17 Disember 2019 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) membuka kesemua 27 cawangannya di seluruh negeri Selangor tujuh hari seminggu termasuk pada cuti umum sepanjang bulan ini.

Waktu operasi pada hari Isnin hingga Jumaat di seluruh cawangan bermula jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang. Manakala, pada hari Sabtu dan Ahad serta cuti umum, cawangan LZS dibuka dari jam 9.00 pagi hingga 3.00 petang. Waktu operasi turut dilanjutkan sehingga jam 8 malam bermula 28 hingga 31 Disember bagi memberi peluang kepada masyarakat menunaikan zakat sebelum berakhir tahun 2019.

Selain taksiran zakat, orang ramai boleh mendapatkan perkhidmatan runding cara zakat, bayaran zakat serta melaksanakan urusan permohonan agihan zakat. Cawangan LZS turut menyediakan perkhidmatan pembayaran zakat menerusi kad kredit Islamik dan kad debit.

Di samping itu, LZS menyediakan saluran lain bagi memudahkan pengeluar zakat menunaikan zakat mereka iaitu melalui saluran atas talian di ezakatpay dan perbankan internet. Orang ramai juga boleh menunaikan zakat melalui ejen kutipan LZS yang bertauliah.

Pertanyaan lanjut hubungi Talian Zakat Selangor 1-300-88-4343.