Utama Blog Halaman 164

LZS (MAIS) TERIMA LEBIH RM600 RIBU ZAKAT PERNIAGAAN

0

Shah Alam – Lembaga Zakat Selangor (MAIS) menerima zakat perniagaan daripada enam entiti korporat berjumlah RM629,613.34 dalam satu majlis pembayaran zakat yang diadakan di sini baru-baru ini.

Pengerusi LZS (MAIS), Dato’ Setia Hj. Mohamad Adzib Mohd Isa telah menerima zakat-zakat tersebut daripada Bank Islam Berhad sebanyak RM309,550, Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Selangor sebanyak RM150,063.34 dan Selangor Industrial Corporation Sdn Bhd berjumlah RM100,000.

Manakala Bakti Suci Properties Sdn Bhd pula menyerahkan zakat perniagaannya sebanyak RM50,000, Bakti Suci Trading Sdn Bhd berjumlah RM15,000 dan Pertubuhan Peladang Kawasan Sg. Besar menyerahkan zakat perniagaannya berjumlah RM5,000.

Turut diadakan dalam majlis tersebut ialah sesi percambahan minda yang bertajuk ‘Mekanisme Agihan Zakat di Negeri Selangor’ disampaikan oleh Pengurus Besar LZS (MAIS), Tn. Hj. Ahmad Shahir Makhtar.

Sesi dialog bertajuk ‘Zakat Perniagaan: Di Antara Manifestasi Iman & Penguatkuasaan Undang-Undang’ turut diadakan dengan mengundang panelis terdiri daripada Pensyarah Jabatan Syariah & Undang-undang Universiti Malaya merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS (MAIS), Prof. Datuk Dr. Abdul Monir Yaacob, Pengarah Kewangan UKM Holdings Sdn Bhd, Prof. Madya Syed Mohd Ghazali Wafa Syed Adwam Wafa dan Presiden Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia, En. Abd. Aziz Abu Bakar.

LZS (MAIS) SUMBANG RM50,000 BANTU DANA PEMBINAAN SURAU AL-FAIZIN

0

Klang–Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS meneruskan usaha membantu meningkatkan pembangunan institusi agama dengan menyumbang sebanyak RM50,000 kepada Surau Al-Faizin, Taman Dato’ Bandar di sini pada 3 Februari 2007.

Bantuan berbentuk wang tunai itu bertujuan menambah dana pembinaan surau tersebut yang menelan belanja kira-kira RM250,000 boleh memuatkan seramai 300 orang jemaah pada satu-satu masa.

Dalam perkembangan berkaitan, tahun lalu LZS (MAIS) membelanjakan sebanyak RM2.6 juta wang zakat bagi membina dan membaikpulih surau di bawah asnaf Fisabilillah yang melibatkan sebanyak 149 buah surau di seluruh Selangor.

Dalam majlis yang sama, Baitulmal Selangor turut turut menyumbang sebanyak RM10,000 melalui dana Skim Saham Wakaf Selangor.

Dalam majlis ini, LZS (MAIS) diwakili Pengurus Besarnya, Ahmad Shahir Makhtar. Turut hadir, Dato’ Orang Kaya Maha Bijaya, Orang Besar Daerah Klang, Dato’ Setia Diraja Hj. Abd. Ghani bin Hj Pateh Akhir; Timbalan Pengurus Besar LZS (MAIS), Aidi Munawer Ahmed Shukri dan Ketua Jabatan Dakwah dan Kutipan LZS (MAIS), Hajjah Adibah Abdul Wahab.

DR. AWANG ADEK RASMI PERSIDANGAN ZAKAT DAN CUKAI PERINGKAT KEBANGSAAN 2007

0

Kuala Lumpur – Timbalan Menteri Kewangan II, Datuk Dr. Awang Adek Hussin telah merasmikan Persidangan Zakat dan Cukai Peringkat Kebangsaan 2007 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini pada 22 Mei.

Persidangan yang bermula 22 hingga 24 Mei ini dengan bertemakan Pemantapan Sistem Zakat dan Cukai ke Arah Kemajuan Ekonomi Ummah telah dianjurkan bersama Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji, Jabatan Perdana Menteri, Lembaga Zakat Selangor (LZS-MAIS), Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dan Persatuan Akauntan dan Percukaian Malaysia (MATA).

Persidangan ini mengumpulkan perwakilan daripada pelbagai sektor, khususnya yang bersangkutan dengan aspek perlaksanaan zakat dan juga percukaian Malaysia. Ia juga memfokuskan ke arah kefahaman mengenai sistem pentadbiran dan perundangan zakat serta pendedahan mengenai implikasi dan layanan zakat dalam sistem percukaian Malaysia.

Turut dibincangkan pendedahan mengenai agihan dan pengurusan wang zakat serta potensi dan cabaran zaakt perniagaan.

Menurut Pengarah Persidangan, Abd. Aziz Abu Bakar, persidangan ini bertujuan memberikan imput kepada pihak penggubal dasar mengenai hala tuju zakat dan percukaian di negara ini.

“Hal ini sejajar dengan saranan dan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai Pusat Perkhidmatan Kewangan Islam serantau dan meningkatkan kepercayaan dunia terhadap Malaysia sebagai peneraju Sistem Kewangan Islam global,” jelas beliau lagi.

Antara pembentang kertas kerja pada persidangan ini ialah, Timbalan Setiausaha Bahagian Ekonomi dan Antarabangsa, Kementerian Kewangan, Dato’ Dr. Mohd Irwan Siregar dan Penyarah Jabatan Fiqh dan Usul Universiti Malaya, Prof. Dato’ Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid.

Turut menjadi pembentang ialah, Yang DiPertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Dato’ Syed Amin Al-Jefri serta Dekan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia, Dr. Muhamad Muda

PUSAT KUTIPAN ZAKAT PAHANG LAWAT LZS (MAIS)

0

Shah Alam – Delegasi daripada Pusat Kutipan Zakat Pahang melawat Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS bagi bekongsi pengalaman dalam pengurusan kutipan dan agihan zakat di Selangor pada 14 Mei di sini.

Lawatan selama setengah hari itu disertai seramai 35 orang ahli diketuai oleh Pengurs Besar Pusat Kutipan Zakat Pahang,Tn. Hj Halidan Mat Daud.

Delegasi telah diberi taklimat ringkas berkenaan LZS (MAIS) oleh Timbalan Pengurs Besar (Pengurusan), Aidi Munawer Ahmed Shukri.

Turut hadir semasa lawatan ialah Aktar Sahari, Ketua Jabatan Pembangunan Korporat dan Adibah Abdul Wahab, Ketua Jabatan Dakwah dan Kutipan, LZS (MAIS)

KEMPEN MESRA KAKITANGAN PROTON

0

Shah Alam, Unit Operasi Majikan Lembaga Zakat Selangor (MAIS) telah mengadakan kaunter pameran dan penerangan sempena hari kempen mesra kakitangan di Proton Shah Alam selama dua hari pada 14hb dan 15hb Mac yang lepas.

Terdapat pelbagai agensi swasta dan kerajaan membuka kaunter pameran pada hari tersebut. Dalam kempen tersebut kaunter LZS(MAIS) telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan sepanjang kempen tersebut berlangsung.

Sebanyak 147 penyertaan baru telah menyertai SPG (SKIM BERKAT) iaitu satu kaedah membayar zakat melalui skim potongan gaji. Jumlah potongan gaji yang berjaya diperolehi oleh LZS (MAIS)dalam kempen tersebut adalah berjumlah RM3,251.00 sebulan daripada kakitangan baru yang menyertai Skim Berkat di kilang proton tersebut.

Majlis ini telah dirasmikan oleh Dato’ Syed Zainal Abidin Syed bin Mohamad Tahir, Pengarah Urusan Proton. Diharapkan dengan adanya kempen seperti ini akan memberi kesedaran berzakat dan menggalakkan kakitangan swasta dari pelbagai sektor menunaikan kewajipan mereka dengan lebih mudah.

LZS (MAIS) LANCAR KERJASAMA DENGAN OCBC BANK

0

Kuala Lumpur – Lembaga Zakat Selangor (MAIS) menjalinkan kerjasama dengan OCBC Bank (Malaysia) dengan melancarkan perkhidmatan zakat menerusi internet dan ATM bagi memudahkan pelanggan beragama Islam menunaikan kewajipan berzakat.

Kerjasama ini menjadikan OCBC Bank sebagai bank asing pertama yang menawarkan kedua-dua kemudahan serentak kepada para pelanggannya yang ingin menunaikan zakat. Untuk membuat pembayaran, pelanggan boleh log masuk ke laman web www. ocbc.com.my atau mengunjungi mana-mana ATM bank yang terletak di 28 cawangannya di seluruh negara.

Menurut Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif OCBC Bank, Dato’ Albert Yeoh, OCBC Bank berhasrat memastikan pelanggan Islam dapat memenuhi kewajipan membayar zakat dengan cara yang paling mudah dan menyenangkan. “Pelancaran serentak perkhidmatan pembayaran zakat ini adalah salah satu daripada usaha kami untuk mengamalkan prinsip perbankan Islam yang sebenar demi manfaat pelanggan kami.”

Pada majlis itu juga, OCBC Bank menunaikan kewajipan berzakat dengan menyerahkan cek bernilai RM13,585.29 kepada wakil LZS (MAIS), Prof. Madya Dr. Hailani Muji Tahir sebagai bayaran zakat bagi tahun berakhir 2006.

MAJLIS PENYAMPAIAN HADIAH BAGI BAGI PEMENANG ZAKAT CIMB CLICK 2006

0

Kuala Lumpur – Satu majlis penyampaian hadiah bagi Pemenang Kempen Membayar Zakat melalui CIMB Click 2006 telah dijalankan di Menara SBB, Bukit Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Peraduan Perbankan Internet LZS bersama CIMB Bank telah berjalan pada dengan jayanya sepanjang tahun lepas. Pemenang akan dipilih berdasarkan jumlah bayaran zakat yang dibayar menggunakan perbankkan internet CIMB Click dalam tempoh tertentu. Pemenang hadiah utama menerimasebuah Hand Phone M.Mobile yang ditaja oleh Hajj Phone dan juga Hamper produk D’Asnaf Kraf. Ia telah dimenangi oleh Datuk Prof. Dr. Zainur Abidin bin Md. Shariff yang juga merupakan bekas Timbalan Cancelor, UNITEN.

Selain itu juga disampaikan hadiah pemenang bagi hadiah bulanan iaitu dari bulan Ogos, September dan Oktober yang juga mendapat hadiah handphone berjenama M.Mobile. Manakala bagi tempat kedua dan ketiga akan memperolehi hadiah berupa CD lagu nasyid keluaran dari Telaga Biru Sdn. Bhd. dan cenderahati istimewa dari Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Majlis ini telah disempurnakan oleh Pengarah Eksekutif, CIMB Bank Tunku Ahmad Burhanuddin dan bagi pihak Lembaga Zakat Selangor (MAIS) telah diwakili Encik Aidi Munawir Ahmed Shukri selaku Timb. Pengurus Besar,LZS (MAIS).

PANGSAPURI BARAKAH: USAHA LZS (MAIS) TANGANI KEMISKINAN BANDAR

0

Puchong – Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS menyerahkan 20 unit rumah yang dikenali sebagai Pangsapuri Barakah kepada 20 keluarga yang merupakan asnaf fakir dan miskin dalam usaha menangani kemiskinan kawasan bandar dalam satu majlis di Pangsapuri Enggang, Bandar Kinrara 6 pada 1 Julai.

Pengurus Besar LZS (MAIS) memberitahu, Pangsapuri Barakah merupakan rumah yang dibeli oleh LZS (MAIS) untuk menampung keperluan fakir dan miskin yang tidak mempunyai rumah di kawasan bandar.

“Memandangkan di kawasan bandar harga tanah terlalu tinggi, maka sebagai alternatif LZS (MAIS) membeli rumah-rumah kos rendah untuk dijadikan penempatan asnaf ini,” jelas beliau.

Menurut Ahmad Shahir, Setiap satu unit rumah berharga RM42,000.00 lengkap dengan kemudahan bekalan elektrik dan air. Rumah itu juga dilengkapi dengan alatan elektrik seperti kipas angin serta perabot asas seperti dapur, katil, meja makan dan hiasan dalaman yang bernilai RM5,000.00.

“Keseluruhan LZS (MAIS) membelanjakan RM940,000 untuk rumah di Pangsapuri Enggang ini sahaja dan mereka akan dibenarkan tinggal di sini maksimum sehingga dua tahun dan boleh dilanjutkan atas budi bicara pihak LZS (MAIS),” jelas beliau lagi.

Menurut Ahmad Shahir lagi, di seluruh negeri Selangor terdapat tujuh pangsapuri yang meliputi 80 unit rumah pelbagai lokasi yang dijadikan Pangsapuri Barakah. Walau bagaimanapun, setakat ini hanya 36 keluarga sahaja yang mendiami unit-unit tersebut.

Di dalam majlis itu juga, seramai empat orang asnaf telah menerima bantuan modal perniagaan bernilai RM23,000.00, iaitu Zauwiyah Ku Muda (RM5,000.00), Rosiah Mat Noor (RM5,000.00), Wan Zarina Wan Isa (RM10,000.00) dan Rosman Buyong Mustaffa (RM3,000.00).

Majlis penyerahan kunci dan bantuan telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Serdang, Dato’ Dr. Hj. Mohamad Satim Diman.

Sementara itu salah seorang penerima kunci rumah, Jamilah Ariffin, 47, sangat terharu dengan penerimaan kediaman sementaranya daripada LZS (MAIS). “Dengan ini saya dapat tinggal dengan selesa tanpa memikirkan lagi bagaimana hendak mencari duit untuk membayar sewa rumah.”

“Sebelum ini saya terpaksa menyewa RM350 di Taman Sri Puchong dan ia amat membebankan kerana saya tidak mempunyai pendapatan tetap kerana terpaksa berhenti kerja apabila kilang tempat saya bekerja ditutup,” jelas beliau dengan nada terharu.

Beliau yang juga berkerusi roda akibat kemalangan 30 tahun dulu berharap LZS (MAIS) terus komited di dalam membantu golongan yang susah dan senasib dengannya.

BPM SERAH ZAKAT RM32 RIBU KEPADA LZS (MAIS)

0

Shah Alam – Bank Pertanian Malaysia (BPM) telah membayar zakat perniagaannya bagi tahun berakhir 2005 sebanyak RM32,975 kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS pada 6 Mac lalu di sini.

Pengerusi MAIS, Y.A.D Dato’ Setia Haji Mohamad Adzib Mohd Isa menerima zakat tersebut bagi pihak LZS (MAIS) daripada Pengurus Besar BPM, Zainul Kamar Mohd Zain yang mewakili BPM.

Majlis penyerahan zakat tersebut turut disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan Negeri Selangor, Y.B.M Dato’ Raja Ideris Raja Ahmad yang sebelum itu merasmikan Seminar Usahawan Tani yang dianjurkan oleh BPM.

Dalam ucapannya Y.B.M Dato’ Raja Ideris telah mengingatkan kepada para peserta seminar usahawan Muslim supaya jangan lupa membayar zakat apabila berjaya di dalam bidang yang diceburi.

LZS (MAIS) DEKATI ASNAF MELALUI GOTONG-ROYONG

0

Banting — Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS terus berusaha meningkatkan kualiti kehidupan asnaf zakat khususnya fakir dan miskin menerusi program yang teratur dan terancang antaranya program gotong-royong bersama asnaf zakat yang diadakan di Desa Ehsan Permatang Pasir baru-baru ini.

Program yang diadakan bersempena dengan Bulan Zakat Negeri Selangor 1428 Hijrah ini melibatkan kakitangan LZS (MAIS), 30 orang sukarelawan dari persatuan Belia 4B Kg. Permatang Pasir, 20 orang ahli Skuad Dakwah Zakat LZS (MAIS), serta penduduk Desa Ehsan telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Morib, YB Tuan Hj. Hasiman Sidom.

Menurut Pengurus Besar LZS (MAIS), Tn. Hj. Ahmad Shahir Makhtar, program ini merupakan inisiatif bagi merapatkan ukhuwwah di antara masyarakat setempat dengan komuniti asnaf zakat. Ia diharap berupaya menimbulkan rasa kekitaan di antara institusi zakat, penerima zakat dan masyarakat khususnya dalam menaikkan jati diri asnaf untuk hidup lebih berdikari pada masa hadapan.

Lebih 100 batang pokok buah-buahan telah ditanam dan sebuah taman landskap dibina di sekitar kediaman Desa Ehsan tersebut.

Salah seorang penduduk Desa Ehsan yang ditemui, Siti Ramsiah Abdullah, 46 mengucapkan terima kasih atas usaha LZS (MAIS) menjalankan program gotong-royong di sini. “Apa yang lebih penting kesudian LZS (MAIS) dan juga masyarakat setempat untuk turun padang sama-sama menyumbang tenaga dalam aktiviti gotong-royong ini. Ia membuatkan kami berasa dihargai dan dekat dengan mereka.”

Turut hadir YAD Engku Penggawa Muda Paduka Maha Bijaya, Raja Dato’ Hj. Uzair Tengku Zainon Rashid Shah, Orang Besar Daerah Kuala Langat

Berita Terkini