Utama Blog Halaman 157

PUNCAK NIAGA BAYAR ZAKAT RM3.4 JUTA

0

Tarikh : 9/15/2008
Penulis : zool

Shah Alam – Puncak Niaga Holdings Berhad (Puncak Niaga) telah membayar zakat perniagaannya sebanyak RM3,482,016.02 kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS pada 12 September dalam satu majlis di sini.

DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima zakat bagi tahun berakhir 2007 tersebut daripada Pengerusi Eksekutif Kumpulan Puncak Niaga, Tan Sri Rozali Ismail.

AGIHAN RAMADAN DAN HARI RAYA FAKIR DAN MISKIN HAMPIR RM11 JUTA

0

Shah Alam – Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS mengagihkan zakat kepada golongan fakir dan miskin di Selangor menjelang Ramadan dan hari raya tahun ini sebanyak RM11,759,950.00 (juta) kepada 15, 913 keluarga fakir dan miskin.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM4,302,900 (juta) diagihkan kepada golongan miskin, manakala RM7,457,050.00 (juta) diagihkan kepada golongan fakir dengan masing-masing menerima di antara RM550 hingga RM1,000 setiap keluarga dalam bentuk wang tunai bergantung kepada jumlah tanggungan.

Di Selangor terdapat seramai 5,985 keluarga asnaf miskin berbanding 8,780 keluarga tahun lalu, manakala bagi asnaf fakir pula terdapat seramai 9,928 keluarga berbanding 672 keluarga fakir sahaja tahun lalu.

Peningkatan jumlah fakir yang tinggi ini berpunca daripada penggunaan haddul kifayah (garis kecukupan penentuan kemiskinan) yang telah dinaikkan bermula tahun ini.

Daerah Sabak Bernam mencatatkan bilangan paling ramai menerima bantuan iaitu kira-kira 3,432 keluarga dengan nilai bantuan sebanyak RM2,498,700 juta. Ini diikuti daerah Hulu Langat seramai 2,482 keluarga (RM1,838,950), Kuala Selangor 2316 keluarga (RM1,688,300), Petaling seramai 1,698 keluarga (1,316,950), Hulu Selangor seramai 1,481 keluarga (1,097,550), Gombak 1,379 keluarga (RM1,034,000) dan Kuala Langat seramai 1,378 keluarga (RM969,950).

Manakala bagi daerah Klang dan Sepang masing-masing seramai 1,174 keluarga dan 573 keluarga dengan nilai bantuan sebanyak RM899,600 ribu dan RM415,950.

Pengagihan bantuan ini telah bermula pada 16 ogos lalu dan dijangka berakhir pada 30 ogos ini yang melibatkan sebanyak 47 program di seluruh Selangor. Pengagihan bantuan ini dilaksanakan lebih awal bagi membolehkan penerima zakat membuat persiapan Ramadan dengan lebih sempurna disamping dapat menumpukan perhatian kepada melaksanakan ibadah di bulan Ramadan.

KONVOI AMAL BERI PENDEDAHAN AGIHAN KEPADA MASYARAKAT

0

Kuala Selangor–Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS Wilayah Utara menganjurkan program Konvoi Amal Berkereta (K-Car) bertujuan untuk memberi pendedahan kepada masyarakat amnya dan peserta konvoi khususnya tentang program agihan yang telah dilaksanakan oleh LZS (MAIS) pada 2 Ogos lalu bersempena Bulan Zakat Kebangsaan.

Antara Objektif diadakan program ini ialah:

-Mengeratkan silaturrahim sesama masyarakat Islam
-Memberikan pendedahan kepada golongan usahawan belia tentang peranan LZS (MAIS) dalam membasmi kemiskinan.
-Mewujudkan semangat bekerjasama antara golongan usahawan belia dan Asnaf Miskin.
-Memberikan pendedahan kepada masyarakat umum tentang keperihatinan LZS (MAIS) dalam usaha kerajaan menjadikan Selangor sebagai Negeri Maju.

Program ini telah disertai oleh ahli Skuard Dakwah Zakat (SDZ) LZS seramai 22 orang, pemilik kenderaan dikalangan kontraktor-kontraktor dan belia seramai 30 orang. Program ini telah dilancarkan di hadapan kaunter zakat Kuala Selangor pada pagi itu oleh Ketua SDZ, Rostam Arafat.

Antara aktiviti K-Car ini ialah mengadakan gotong royong seperti menanam pokok bunga, mengecat bangunan asrama dan membersihkan kawasan di Asrama Baitul Hasanah Kuala Selangor. Asrama Baitul Hasanah merupakan asrama LZS (MAIS) yang menempatkan anak-anak fakir miskin bagi memudahkan mereka belajar.

Seterusnya aktiviti K-Car diteruskan ke rumah anak yatim di Sekendi untuk aktiviti penyerahan bantuan dan gotong royong.

ZIARAH ASNAF ERAT HUBUNGAN

0

Subang Jaya – Bagi mengeratkan lagi hubungan institusi zakat dan asnaf satu program ziarah Asnaf diladakan di Bukit Lanchong di sini pada 2 Julai yang melibatkan lima buah rumah asnaf.

Asnaf tersebut ialah Harun Mat, Haron Hussin, Norehan Zubir yang merupakan ibu tunggal dan dua orang OKU iaitu Sewah Samidjo dan Aziz Ishak

Program Ziarah Asnaf ini merupakan aktiviti aktiviti bulanan Lembaga Zakat Selangor di setiap wilayah bertujuan untuk mengenali lebih rapat atau bertanyakan khabar dan permasalahan yang dihadapi oleh mereka.

Program tersebut bermula pada pukul 9.00 pagi dan berakhir pada pukul 12.00 tengah hari.

Turut menyertai program tersebut Adun Sri Muda, YB Shuhaimi Shafie.

BULAN ZAKAT KEBANGSAAN DILANCAR

0

Kuala Lumpur – Buat julung kalinya, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) dengan kerjasama Pusat Zakat Negeri – Negeri dan Majlis Agama Islam Negeri – Negeri termasuk Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS bekerjasama menganjurkan kempen zakat di peringkat Nasional melalui Bulan Zakat Kebangsaan 2008.

Kempen Bulan Zakat Kebangsaan ini akan berlangsung di seluruh negara mulai 1 Ogos – 30 Ogos dengan tema “Zakat Memerdekakan Kemiskinan”. Majlis Pelancaran akan disempurnakan oleh YAB Dato` Seri Dr. Zahid Hamidi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 1 Ogos 2008 di Masjid Wilayah Persekutuan.

Pelbagai pengisian telah diatur di peringkat Nasional, antaranya:
a. Pertandingan Pidato
b. Persidangan Zakat dan Cukai
c. Forum Perdana Ehwal Islam
d. Kuiz Zakat Online
e. Seminar Zakat Kontemperori
f. Pameran Pusat Zakat dan Usahawan Asnaf Zakat
g. Penyerahan Bantuan Zakat Kepada Asnaf

Manakala di peringkat negeri–negeri juga turut diadakan pelbagai pengisian antaranya :
a. Konvoi Rakan Mesra Zakat
b. Larian Amal Zakat
c. Futsal Bersama Majikan
d. Kempen di Pasaraya – Pasaraya
e. Program Kembara Zakat
f. Khutbah Khas Zakat
g. Majlis Penyerahan Dana Zakat Seluruh Negara
h. dan pelbagai lagi aktivit mengikut negeri masing-masing
Bagi negeri Selangor antara aktiviti yang dilaksanakan sepena BZK ini ialah K-Car 2008 yang diadakan pada 2 Ogos menlibatkan lebih 30 kereta mini, Forum Perdana, Pelancaran Qada’ Zakat dan Majlis Mesra PBT pada 22 Ogos, Agihan sempena Ramadhan dan Aidilfitri bermula 16 Ogos sehingga pertengahan Ramadahan, Kempen Bantuan Zakat sepanjang bulan Ogos sehingga hujung tahun, Dailong Zakat Niaga pada 13 Ogos
Program bersepadu selama sebulan di seluruh negara akan dapat menyemarakkan kesedaran berzakat kepada semua umat Islam di Malaysia seterusnya memberi manfaat dan impak yang besar kepada pembayar dan penerima zakat, seterusnya memartabatkan ekonomi umat Islam.

PERMODALAN NASIONAL BERHAD SERAH ZAKAT PERNIAGAAN RM3.6 JUTA

0

SHAH ALAM, 4 Ogos 2008 – Permodalan Nasional Berhad (PNB) hari ini menyerahkan cek zakat perniagaannya untuk negeri Selangor berjumlah RM3.6 juta kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS). DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima zakat tersebut yang disampaikan oleh Pengerusi PNB, Tun Dato’ Seri Ahmad Sarji Abdul Hamid, di Istana Bukit Kayangan di sini.

Zakat yang dibayar PNB adalah bagi tahun kewangan 2006 dan 2007.

Tahun lalu PNB telah menunaikan zakat perniagan untuk negeri Selangor berjumlah RM2.9 juta bagi tahun kewangan 2003, 2004 dan 2005.

Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Tan Seri Dato’ Abdul Khalid Ibrahim, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Dato’ Dr Haji Hassan Hj Mohamed Ali, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Hj. Mohamad Adzib Mohd Isa.

Hadir sama, Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid serta Pengerusi Lembaga Zakat Selangor, Dato’ Seri Syed Anwar Ibni Syed Putra Jamalullail.

36 FIRMA AUDIT DAN PERCUKAIAN SERTAI TAKLIMAT DAN BENGKEL ZAKAT

0

Shah Alam – Seramai 36 wakil firma audit dan percukaian telah menyertai Taklimat dan Bengkel Ejen Cukai dan Firma Audit anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS yang diadakan pada 22 Julai.

Program sehari itu memberikan fokus penerangan aspek-aspek teknikal ejen zakat di samping penyampaian tauliah perlantikan ejen serta penghargaan khas kepada dua buah firma percukaian yang telah mempamerkan komitmen tinggi sebagai ejen zakat.

Bagi memantapkan kefahaman para peserta, dua kertas kerja iaitu Prestasi Kutipan dan Analisis dan Tatacara Kerja telah dibentangkan oleh Ketua Jabatan Dakwah dan Kutipan, Adibah Abdul Wahab dan Ketua Bahagian Perniagaan, Mohamad Amin Ibrahim. Turut diadakan sesi Berkongsi Pengalaman bersama Hj. Termili Dollah Kusni dan Pn. Fatimah Rusli, yang telah dipilih sebagai ejen terbaik pada tahun 2007.

Turut hadir dalam program tersebut Pengurus Besar LZS (MAIS), Haji Ahmad Shahir Makhtar, Presiden Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia, Hj Abdul Aziz Abu Bakar dan Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor, Datuk Dr. Mokhtar Shafie.

LZS LANTIK RAKAN DAKWAH ZAKAT TINGKAT KUTIPAN ZAKAT

0

SHAH ALAM, 17 Julai 2008 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini melantik 110 syarikat swasta terutamanya yang berdaftar di bawah Selangor State Investment Centre Bhd (SSIC) sebagai Rakan Dakwah Zakat (RDZ) bagi meningkatkan lagi kutipan zakat pendapatan dan perniagaan.

RDZ bagi majikan sektor swasta merupakan mekanisme dakwah yang pertama kali diadakan di Selangor bertujuan memberi pengiktirafan kepada majikan swasta agar dapat memberikan kerjasama melancarkan urusan zakat.

Melalui RDZ mereka diharap dapat memudahkan urusan pembayaran zakat melalui potongan gaji (Skim Berkat) kakitangan muslim di syarikat mereka seterusnya melunaskan zakat perniagaan. Majikan juga diharap dapat berkerjasama membantu menyebarluaskan dakwah zakat di kalangan kakitangan muslim di syarikat mereka dan di masyarakat di sekitar mereka.

Selain itu, melalui RDZ juga diharap Majikan akan menjadi penyalur maklumat kepada LZS bagi membantu mereka yang berada di dalam kesusahan, ditimpa musibah seperti sakit kronik, memerlukan bantuan pendidikan dan sebagainya.

Mengikut statistik, tahun lalu hanya 124 syarikat yang berdaftar di bawah SSIC yang yang menunaikan zakat sama ada pendapatan atau perniagaan berbanding 1833 syarikat yang beroperasi di Selangor.

Majlis pelancaran disempurnakan Pembantu EXCO Hal Ehwal Islam dan Adat-adat Melayu, Dr. Shafie Abu Bakar yang mewakili Dato’ Dr Haji Hassan Hj Mohamed Ali, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri Selangor di sini.

Turut diadakan program Wacana Ilmu Bersama Dato’ Dr. Mokhtar Shafie, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor dan bengkel zakat perniagaan dan Skim Berkat bagi mendedahkan majikan dengan aspek pengiraan zakat.

Majlis penutup telah disempurnakan oleh Hajjah Adibah Abdul Wahab, Ketua Jabatan Dakwah dan Kutipan. Turut hadir Aidi Munawer Ahmed Shukri, Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) LZS dan Nurliana Mohd Kamil, wakil Selangor State Investment Centre Bhd (SSIC).

HI-TEA TARIK MINAT AHLI KORPORAT

0

13 Julai – Penganjuran Hi-Tea bersama LZS pada 13 Julai lalu telah berjaya menarik minat glongan ahli-ahli korporat untuk menunaikan ibadah zakat mereka di LZS (MAIS). Majlis yang diadakan di Hotel De Palma, Ampang tersebut telah disertai hampir 50 peserta yang terdiri dari pelbagai latar belakang dan kerjaya.

Menurut pengarah program, Muhammad Rizal Shah Harudin, majlis tersebut dianjurkan bagi memberi ruang dan peluang kepada para peserta untuk berdialog secara terbuka bersama Pengurus Besar LZS, Tuan Haji Ahmad Shahir Makhtar tentang pengurusan dana zakat dan isu-isu yang berkaitan. Selain itu, YB Tuan Haji Saari Sungib, ADUN Hulu Kelang turut dijemput sebagai panelis dialog. Majlis turut dihadiri oleh OBD Gombak, Dato’ Paduka Raja Hj.Wan Mahmood Pawan Teh.

“Pelbagai soalan dan kemusykilan telah diajukan dan dari maklumbalas para peserta majlis tersebut telah berjaya meyakinkan mereka tentang ketelusan pengurusan dana zakat di Selangor” tambah beliau.

Para peserta majlis juga turut mengesyorkan agar LZS (MAIS) terus menganjurkan majlis serupa bagi menyebarkan maklumat zakat kepada ahli-ahli korporat yang sebahagian besarnya masih kabur tentang pengurusan zakat di Selangor. Para peserta telah diberikan pendedahan awal mengenai operasi LZS (MAIS) melalui tayangan persembahan multimedia sebelum berlangsungnya sesi dialog.

Berikutan dari pelbagai persoalan yang diajukan oleh para peserta, pihak penganjur telah menambah masa untuk sesi dialog dari 1 jam kepada 1 jam setengah. “Sambutan dan respon dari peserta amat menggalakkan dan pihak kami telah menerima banyak jemputan untuk mengadakan siri taklimat zakat dari para peserta di syarikat masing-masing,” jelas Muhammad Rizal.

Menurut Rizal lagi, majlis Hi-Tea bersama LZS ini akan terus dianjurkan pada masa akan datang sebagai salah satu usaha bagi menarik minat umat Islam untuk menunaikan ibadah zakat mereka di LZS (MAIS).

LZS (MAIS) BANTU NUR’AIN SYAFIKAH RM10 RIBU

0

Kuala Langat – Nasib seorang kanak-kanak Nur’ain Syafikah Mohamad Sajari, 3, yang mengalami masalah injap jantung bengkak mendapat perhatian Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS apabila menyampaikan bantuan sebanyak RM10,000 pada 4 Januari.

Bantuan telah disampaikan oleh Pengurus Besar LZS (MAIS), Ahmad Shahir Makhtar kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Sijangkang, Datuk Abdul Fatah Iskandar yang kemudiannya menyerahkan kepada bapanya Mohamad Sajari Ismail, 38.

“Saya terharu dengan bantuan ini dan berterima kasih kepada LZS (MAIS) dan Datuk Fatah atas keprihatinan mereka,” jelas Mohamad Sajari.

Sementara itu, Pengurus Besar LZS (MAIS), Ahmad Shahir Makhtar berkata, pihak LZS (MAIS) juga akan memberi bantuan untuk apa-apa kos rawatan susulan Nur’ain Syafikah selepas pembedahan ini.

“Bantuan LZS (MAIS) tidak terhenti setakat ini sahaja dan pihak LZS (MAIS) akan terus komited membantu Nur’ain Syafikah selepas ini,” jelas Ahmad Shahir lagi.

Nur’ain Syarfiqah disahkan mengalami masalah jantung dan dijadualkan menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN) pada 8 Januari ini membabitkan kos RM12,000.

Berita Terkini