SHAH ALAM, 17 Julai 2008 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini melantik 110 syarikat swasta terutamanya yang berdaftar di bawah Selangor State Investment Centre Bhd (SSIC) sebagai Rakan Dakwah Zakat (RDZ) bagi meningkatkan lagi kutipan zakat pendapatan dan perniagaan.

RDZ bagi majikan sektor swasta merupakan mekanisme dakwah yang pertama kali diadakan di Selangor bertujuan memberi pengiktirafan kepada majikan swasta agar dapat memberikan kerjasama melancarkan urusan zakat.

Melalui RDZ mereka diharap dapat memudahkan urusan pembayaran zakat melalui potongan gaji (Skim Berkat) kakitangan muslim di syarikat mereka seterusnya melunaskan zakat perniagaan. Majikan juga diharap dapat berkerjasama membantu menyebarluaskan dakwah zakat di kalangan kakitangan muslim di syarikat mereka dan di masyarakat di sekitar mereka.

Selain itu, melalui RDZ juga diharap Majikan akan menjadi penyalur maklumat kepada LZS bagi membantu mereka yang berada di dalam kesusahan, ditimpa musibah seperti sakit kronik, memerlukan bantuan pendidikan dan sebagainya.

Mengikut statistik, tahun lalu hanya 124 syarikat yang berdaftar di bawah SSIC yang yang menunaikan zakat sama ada pendapatan atau perniagaan berbanding 1833 syarikat yang beroperasi di Selangor.

Majlis pelancaran disempurnakan Pembantu EXCO Hal Ehwal Islam dan Adat-adat Melayu, Dr. Shafie Abu Bakar yang mewakili Dato’ Dr Haji Hassan Hj Mohamed Ali, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri Selangor di sini.

Turut diadakan program Wacana Ilmu Bersama Dato’ Dr. Mokhtar Shafie, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor dan bengkel zakat perniagaan dan Skim Berkat bagi mendedahkan majikan dengan aspek pengiraan zakat.

Majlis penutup telah disempurnakan oleh Hajjah Adibah Abdul Wahab, Ketua Jabatan Dakwah dan Kutipan. Turut hadir Aidi Munawer Ahmed Shukri, Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) LZS dan Nurliana Mohd Kamil, wakil Selangor State Investment Centre Bhd (SSIC).