Kuala Selangor–Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS Wilayah Utara menganjurkan program Konvoi Amal Berkereta (K-Car) bertujuan untuk memberi pendedahan kepada masyarakat amnya dan peserta konvoi khususnya tentang program agihan yang telah dilaksanakan oleh LZS (MAIS) pada 2 Ogos lalu bersempena Bulan Zakat Kebangsaan.

Antara Objektif diadakan program ini ialah:

-Mengeratkan silaturrahim sesama masyarakat Islam
-Memberikan pendedahan kepada golongan usahawan belia tentang peranan LZS (MAIS) dalam membasmi kemiskinan.
-Mewujudkan semangat bekerjasama antara golongan usahawan belia dan Asnaf Miskin.
-Memberikan pendedahan kepada masyarakat umum tentang keperihatinan LZS (MAIS) dalam usaha kerajaan menjadikan Selangor sebagai Negeri Maju.

Program ini telah disertai oleh ahli Skuard Dakwah Zakat (SDZ) LZS seramai 22 orang, pemilik kenderaan dikalangan kontraktor-kontraktor dan belia seramai 30 orang. Program ini telah dilancarkan di hadapan kaunter zakat Kuala Selangor pada pagi itu oleh Ketua SDZ, Rostam Arafat.

Antara aktiviti K-Car ini ialah mengadakan gotong royong seperti menanam pokok bunga, mengecat bangunan asrama dan membersihkan kawasan di Asrama Baitul Hasanah Kuala Selangor. Asrama Baitul Hasanah merupakan asrama LZS (MAIS) yang menempatkan anak-anak fakir miskin bagi memudahkan mereka belajar.

Seterusnya aktiviti K-Car diteruskan ke rumah anak yatim di Sekendi untuk aktiviti penyerahan bantuan dan gotong royong.