Shah Alam – Seramai 36 wakil firma audit dan percukaian telah menyertai Taklimat dan Bengkel Ejen Cukai dan Firma Audit anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS yang diadakan pada 22 Julai.

Program sehari itu memberikan fokus penerangan aspek-aspek teknikal ejen zakat di samping penyampaian tauliah perlantikan ejen serta penghargaan khas kepada dua buah firma percukaian yang telah mempamerkan komitmen tinggi sebagai ejen zakat.

Bagi memantapkan kefahaman para peserta, dua kertas kerja iaitu Prestasi Kutipan dan Analisis dan Tatacara Kerja telah dibentangkan oleh Ketua Jabatan Dakwah dan Kutipan, Adibah Abdul Wahab dan Ketua Bahagian Perniagaan, Mohamad Amin Ibrahim. Turut diadakan sesi Berkongsi Pengalaman bersama Hj. Termili Dollah Kusni dan Pn. Fatimah Rusli, yang telah dipilih sebagai ejen terbaik pada tahun 2007.

Turut hadir dalam program tersebut Pengurus Besar LZS (MAIS), Haji Ahmad Shahir Makhtar, Presiden Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia, Hj Abdul Aziz Abu Bakar dan Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor, Datuk Dr. Mokhtar Shafie.