Shah Alam – Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS mengagihkan zakat kepada golongan fakir dan miskin di Selangor menjelang Ramadan dan hari raya tahun ini sebanyak RM11,759,950.00 (juta) kepada 15, 913 keluarga fakir dan miskin.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM4,302,900 (juta) diagihkan kepada golongan miskin, manakala RM7,457,050.00 (juta) diagihkan kepada golongan fakir dengan masing-masing menerima di antara RM550 hingga RM1,000 setiap keluarga dalam bentuk wang tunai bergantung kepada jumlah tanggungan.

Di Selangor terdapat seramai 5,985 keluarga asnaf miskin berbanding 8,780 keluarga tahun lalu, manakala bagi asnaf fakir pula terdapat seramai 9,928 keluarga berbanding 672 keluarga fakir sahaja tahun lalu.

Peningkatan jumlah fakir yang tinggi ini berpunca daripada penggunaan haddul kifayah (garis kecukupan penentuan kemiskinan) yang telah dinaikkan bermula tahun ini.

Daerah Sabak Bernam mencatatkan bilangan paling ramai menerima bantuan iaitu kira-kira 3,432 keluarga dengan nilai bantuan sebanyak RM2,498,700 juta. Ini diikuti daerah Hulu Langat seramai 2,482 keluarga (RM1,838,950), Kuala Selangor 2316 keluarga (RM1,688,300), Petaling seramai 1,698 keluarga (1,316,950), Hulu Selangor seramai 1,481 keluarga (1,097,550), Gombak 1,379 keluarga (RM1,034,000) dan Kuala Langat seramai 1,378 keluarga (RM969,950).

Manakala bagi daerah Klang dan Sepang masing-masing seramai 1,174 keluarga dan 573 keluarga dengan nilai bantuan sebanyak RM899,600 ribu dan RM415,950.

Pengagihan bantuan ini telah bermula pada 16 ogos lalu dan dijangka berakhir pada 30 ogos ini yang melibatkan sebanyak 47 program di seluruh Selangor. Pengagihan bantuan ini dilaksanakan lebih awal bagi membolehkan penerima zakat membuat persiapan Ramadan dengan lebih sempurna disamping dapat menumpukan perhatian kepada melaksanakan ibadah di bulan Ramadan.