Utama Blog Halaman 13

LZS SERAH SUMBANGAN ZAKAT RM255 RIBU KEPADA HOSPITAL DAN PUSAT JAGAAN WARGA EMAS

0

SELAYANG, 16 April 2021– Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menyerahkan sumbangan zakat berjumlah RM255,000.00 kepada enam buah hospital dan lima buah pusat jagaan warga emas dalam Majlis Serahan Dana Hospital Mesra Ibadah dan Pelancaran Bakul Qaseh Ramadan di sini.

Enam buah hospital tersebut ialah Hospital Selayang, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Hospital Ampang, Hospital Shah Alam, Hospital Serdang dan Hospital Sungai Buloh yang masing-masing menerima sumbangan zakat berjumlah RM10,000 dengan jumlah keseluruhan sumbangan sebanyak RM60,000.00.

Sumbangan yang disalurkan ini akan digunakan bagi tujuan pelaksanaan aktiviti seperti latihan ibadah kepada pesakit, waris dan jururawat hospital, kaunseling kepada pesakit serta lain-lain aktiviti keagamaan di bawah program Hospital Mesra Ibadah.

Manakala, lima buah pusat jagaan turut menerima sumbangan zakat dalam bentuk geran iaitu Pusat Jagaan Al-Fikrah, Pusat Jagaan Siti Noraini dan Pusat Jagaan Mahmudah yang masing-masing menerima sebanyak RM50,000.00 setiap satu. Sementara Pusat Jagaan Nurhasanah pula menerima sumbangan zakat sebanyak RM25,000.00 dan Pusat Kebajikan Penyayang Hani menerima sebanyak RM20,000.00.

Ia bagi membantu mereka melaksanakan operasi dan aktiviti di pusat jagaan tersebut, lebih-lebih lagi di dalam situasi pandemik yang sedang melanda negara sekarang.

Untuk makluman pada tahun 2020, LZS telah menyumbang sebanyak RM1.3 juta dalam bentuk geran tahunan kepada rumah-rumah kebajikan warga emas, pertubuhan Islam bukan kerajaan (NGO-i) dan pertubuhan anak-anak yatim yang berdaftar dengan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Dalam perkembangan sama, LZS melancarkan program Bakul Qaseh Ramadan bagi mengimarahkan lagi bulan mulia ini. Sebanyak 3,000 pek juadah berbuka puasa akan diedarkan di tiga buah hospital yang terpilih sepanjang Ramadan ini, iaitu Hospital Selayang, Hospital Serdang dan Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Program ini merupakan program tahunan LZS pada bulan Ramadan bagi menyantuni kakitangan hospital dan waris dengan mengagihkan juadah berbuka kepada mereka. Ia secara tidak langsung menjadi platform dakwah LZS kepada masyarakat.

Turut hadir dalam majlis ini, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Dato’ Indera Dr. Sha’ari Ngadiman, Timbalan Pengarah Hospital Selayang, Dr. Tengku Intan Norleen Tengku Sharif dan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Perubatan LZS, Tunku Dato’ Dr. Muzafar Shah Tunku Jaafar. Hadir sama, Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf LZS, Abdul Basith Hamid.

LZS AGIH BANTUAN ZAKAT RM28.0 JUTA KEPADA 61,315 ASNAF FAKIR, MISKIN DAN MUALAF BAGI PERSIAPAN RAMADAN & HARI RAYA

0

SHAH ALAM, 12 April 2021 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini mula mengagihkan bantuan zakat sebanyak RM28,032,900 kepada 61,315 orang penerima asnaf fakir, miskin dan mualaf di seluruh Selangor bagi membantu golongan tersebut membuat persiapan awal menyambut kedatangan bulan Ramadan dan Hari Raya pada tahun ini.

Simbolik penyerahan bantuan disempurnakan oleh Timbalan Mufti Selangor, Dato’ Dr Anhar Opir kepada 10 orang asnaf fakir, miskin dan mualaf bersempena dengan Majlis Serahan Bantuan Ramadan dan Raya Lembaga Zakat Selangor 2021 di sini.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM8,667,350 diagihkan kepada 17,787 orang dalam kalangan asnaf fakir, manakala sebanyak RM18,079,900 diagihkan kepada 39,445 orang asnaf  miskin dan RM1,285,650 diagihkan kepada 4,083 orang asnaf mualaf.

Setiap penerima mendapat bantuan zakat di antara RM300 dan RM1,000 bergantung kepada jumlah tanggungan sesebuah keluarga. Bantuan tersebut akan disalurkan sama ada melalui pembayaran yang dikreditkan ke akaun bank penerima atau menggunakan kaedah V-Cash (baucar tunai) atau  serahan tunai.

Pemakluman berkenaan bantuan ini kepada penerima yang layak dimaklumkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) atau surat. Asnaf juga boleh membuat semakan status Bantuan Ramadan dan Raya 2021 dengan melayari ezo.zakatselangor.com.my ataupun dengan menghubungi Talian Zakat Selangor 1-300-88-4343.

Pada tahun ini, daerah Klang mencatatkan jumlah penerima bantuan tertinggi iaitu seramai 11,962 orang asnaf fakir, miskin dan mualaf melibatkan peruntukan agihan zakat sebanyak RM5,183,300. Ia diikuti daerah Petaling dengan jumlah penerima seramai 10,590 orang melibatkan peruntukan agihan zakat sebanyak RM4,927,850 dan daerah Hulu Langat mengagihkan sebanyak RM4,367,750 kepada 9,439 orang penerima.

Sementara daerah Kuala Selangor mengagihkan bantuan zakat sebanyak RM3,034,500 kepada 6,798 orang penerima, daerah Gombak mengagihkan bantuan zakat kepada 6,005 penerima melibatkan peruntukan agihan sebanyak RM2,740,400 dan daerah Hulu Selangor mengagihkan kepada 5,186 penerima dengan agihan zakat sebanyak RM2,367,400.

Tiga daerah lain iaitu daerah Kuala Langat mencatatkan seramai 4,832 penerima yang menerima bantuan Ramadan dan Hari Raya dengan jumlah agihan zakat sebanyak RM2,227,500 diikuti dengan daerah Sabak Bernam dengan jumlah penerima seramai 4,726 melibatkan jumlah agihan sebanyak RM1,997,600 dan daerah Sepang yang mencatatkan jumlah agihan sebanyak RM1,186,600 kepada 2,547 penerima fakir, miskin dan mualaf.

Turut hadir Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf, Abdul Basith Hamid.

 

KADAR ZAKAT FITRAH DI SELANGOR KEKAL RM7

0

SHAH ALAM, 9 April 2020 – Kadar Zakat Fitrah yang ditetapkan bagi umat Islam di Negeri Selangor pada bulan Ramadan tahun 2021 bersamaan 1442 Hijrah ialah sebanyak RM7.00 seorang, sama seperti tahun sebelumnya (2020). Ia selaras dengan kelulusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang mengekalkan kadar fitrah pada tahun ini di Selangor.

Penetapan kadar zakat fitrah RM7.00 adalah berdasarkan kepada harga bagi 2.6 kilogram beras Super Tempatan Gred A yang lazimnya digunakan oleh masyarakat di Selangor.

Walau bagaimanapun, Lembaga Zakat Selangor (LZS) turut menggalakkan golongan yang berkemampuan untuk menunaikan zakat fitrah mengikut harga beras dimakan setiap hari bagi diri dan tanggungan. Secara tidak langsung, kita berpeluang untuk melakukan kebaikan dalam meraih keberkatan bulan Ramadan.

Kadar zakat fitrah tersebut adalah sebanyak RM14.00 seorang bagi individu yang memakan beras putih import/beras perang/beras pulut/herba ponni/beras wangi atau RM21.00 seorang bagi individu yang memakan beras basmathi/beras jepun/beras merah.

Untuk makluman, galakan menunaikan zakat fitrah mengikut harga beras yang dimakan ini telah dilaksanakan oleh LZS sejak tahun 2018 lagi.

Bagi memudahkan umat Islam di Selangor menunaikan bukan sahaja zakat fitrah malahan zakat harta pada bulan Ramadan, LZS telah menyediakan pelbagai platform pembayaran dalam talian yang lebih pantas dan selamat.

Oleh itu, orang ramai boleh membuat pembayaran zakat secara dalam talian melalui:

  1. EZakatPay dengan melayari https://fpx.zakatselangor.com.my
  2. Perbankan internet
  3. Portal MyEg
  4. Pos Online
  5. Aplikasi e-dompet GoPayz dan Boost

Di samping itu, LZS turut meletakkan QR Code di lokasi terpilih untuk memudahkan masyarakat mengakses terus ke platform pembayaran atas talian EzakatPay.

DYMM SULTAN SELANGOR PERKENAN TERIMA ZAKAT PERNIAGAAN RM37.4 JUTA

0

SHAH ALAM, 16 April 2020 – Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menerima zakat perniagaan berjumlah RM37,442,513.97 daripada dua syarikat korporat dalam satu program serahan zakat sempena Majlis Berbuka Puasa DYMM Sultan Selangor di sini hari ini.

Lembaga Tabung Haji (TH) mendahului senarai syarikat menyerahkan zakat perniagaannya berjumlah RM27,712,316.97 diwakili oleh Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff bagi tahun kewangan 2020.

Manakala Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang diwakili oleh Pengerusinya, Wan Hassan Mohamed Ramli menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM9,730,197.00 bagi tahun kewangan 2020.

Turut hadir dalam majlis ini, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan Pengerusi Lembaga Zakat Selangor (LZS), Tan Sri Dato’ Seri Syed Anwar Jamalullail. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop.

LZS CAWANGAN KAJANG BERPINDAH KE LOKASI BARU

0

SHAH ALAM, 12 Mac 2021 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) cawangan Kajang berpindah ke lokasi baharu bertempat di G-08 & 1-08 Jalan Reko Saville Kajang bermula 12 Mac hari ini.

Perpindahan ini bagi memberi keselesaan dan perkhidmatan yang lebih baik dalam urusan zakat khususnya kepada asnaf dan pengeluar zakat yang berkunjung ke cawangan tersebut.

Waktu operasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) iaitu pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, bermula pada jam 9.00 pagi hingga 3.30 petang dan tutup pada hari Sabtu dan Ahad.

Antara perkhidmatan yang disediakan di cawangan ini termasuklah urusan taksiran dan pembayaran zakat, khidmat rundingan berkaitan agihan zakat, fidyah, wakah, sedekah serta wang tidak patuh syariah. Selain itu, LZS cawangan Kajang turut menyediakan saluran pembayaran zakat melalui kad kredit Islamik dan debit.

Untuk pertanyaan lanjut, hubungi Talian Zakat Selangor 1 300 88 4343.

LZS TERIMA KUNJUNGAN PENGERUSI MAIS BAHARU

0

SHAH ALAM, 24 Februari 2021 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menerima kunjungan hormat daripada delegasi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) ke Ibu Pejabat LZS bertempat di Presint ALAMi, Seksyen 13 di sini.

Delegasi MAIS yang diketuai oleh Pengerusi MAIS, Tan Sri Dato Seri Abdul Aziz Mohd Yusof diiringi Setiausaha MAIS, Dr. Haji Ahmad Shahir Makhtar berserta Anggota MAIS, Tengku Seri Paduka Shah Bandar Tengku Dato Ardy Esfandiari Alhaj dan Tan Sri Dato’ Hashim Meon.

Kunjungan hormat MAIS ini disambut oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Dr. Abdul Rahman Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M.Yusop.

Ini merupakan kunjungan sulung Pengerusi MAIS ke LZS selepas menjawat jawatan pengerusi yang baharu, menggantikan Dato Setia Mohammed Khusrin Munawi.

Dalam kunjungan tersebut, delegasi diberi taklimat mengenai pengurusan dan gerak kerja operasi LZS khususnya kutipan dan agihan di Selangor.

LZS BANTU LIMA SEKELUARGA TERPUTUS BEKALAN MAKANAN

0

KUALA LANGAT, 15 Februari 2021 – Lima sekeluarga yang terputus bekalan makanan kerana dikuarantin di rumah akibat positif COVID-19 mendapat perhatian Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Hasil daripada maklumat yang disalurkan, Operasi Agihan Asnaf daerah Kuala Langat segera menyantuni keluarga ini dengan menyalurkan bantuan makanan harian bagi menampung keperluan sepanjang tempoh kuarantin tersebut.

Ketua keluarga ini turut terjejas pendapatan setelah gajinya dipotong oleh majikan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Sehingga kini, seramai 11 keluarga terjejas akibat pandemik COVID-19 di daerah Kuala Langat telah disantuni. LZS akan sentiasa memantau keperluan mereka yang terjejas ini terutamannya keluarga yang dikenakan kurantin di rumah agar mereka dapat menjalani kehidupan seperti biasa.

LZS SANTUNI PETUGAS BARISAN HADAPAN HOSPITAL

0

SHAH ALAM, 12 Februari 2021 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyantuni petugas barisan hadapan Hospital Sungai Buloh dan Hospital Selayang dengan mengagihkan sumbangan pek makanan kepada 1,250 orang petugas sepanjang tempoh empat minggu bermula 10 Februari.

Sumbangan pek makanan yang diagihkan tiga kali seminggu iaitu setiap hari Isnin, Rabu dan Jumaat adalah sebagai tanda sokongan dan menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan hospital yang bertungkus-lumus mengawal penularan pandemik COVID-19 sejak Mac tahun lalu.

Menariknya, pek ni disediakan oleh usahawan-usahawan trak makanan LZS yang menyumbang tenaga menyediakan enam menu berbeza sepanjang tempoh tersebut. Dalam masa sama, ia turut menjana pendapatan kepada usahawan yang terjejas ekoran pandemik melanda negara.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop, sumbangan pek makanan di kedua-dua buah hospital ini bagi meringankan bebanan petugas barisan hadapan yang menghadapi kekangan mendapatkan makanan ketika bertugas pada waktu malam.

“Tambahan pula ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, kantin hospital dan premis makanan di luar beroperasi dalam waktu yang singkat.”

“Pek makanan disediakan 100% oleh usahawan asnaf bermula dari memasak, membungkus dan mengedarkan kepada petugas barisan hadapan yang bekerja waktu malam mengikut ketetapan serta mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.

Untuk makluman, sumbangan pek makanan sepanjang tempoh tersebut menggunakan peruntukan amil dan tidak akan menjejaskan bantuan lain terutamanya asnaf fakir dan miskin.
Bagi usahawan trak makanan LZS, Mohd Najib Mohd Rais, 47 meluahkan rasa syukur diberi peluang untuk sama-sama menyumbang tenaga menyediakan makanan kepada petugas barisan hadapan ketika PKP dilaksanakan.

Beliau turut mengakui pendapatan terjejas ketika ini, namun tidak melemahkan semangat untuk terus berusaha mencari rezeki.

“Hampir 30 peratus pendapatan saya terjejas, namun rezeki masih ada untuk kami sekeluarga. Bagi penyediaan makanan ini, saya akan pastikan makanan akan dimasak di sini agar makanan masih panas ketika diedarkan kepada petugas. Sekitar pukul tujuh petang makanan akan siap dimasak untuk diedarkan kepada mereka yang akan memulakan tugas waktu malam, “ katanya yang ditemui di Hospital Selayang.

LZS BUKA 13 CAWANGAN SEPANJANG PKP

0

SHAH ALAM, 2 Februari 2021 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) membuka 13 cawangan meliputi sembilan buah daerah di Selangor sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Cawangan tersebut adalah cawangan ALAMi Seksyen 13 Shah Alam, Kompleks UTC Shah Alam, Subang Jaya, Seksyen 14 Petaling, Kompleks MAIS Klang, Banting, Bandar Baru Salak Tinggi, Bandar Baru Bangi dan Bandar Baru Ampang.

Selain itu, cawangan yang beroperasi termasuklah Bandar Baru Selayang, Kuala Kubu Bharu, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

Kesemua cawangan tersebut beroperasi dari hari Isnin hingga Jumaat bermula jam 10 pagi hingga 2.00 petang kecuali Kompleks UTC Shah Alam yang beroperasi setiap hari bermula dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

Sehubungan itu, orang ramai yang berurusan dengan LZS diseru untuk mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan terutamanya ketika berada di cawangan LZS.

Sebarang pertanyaan hubungi Talian Zakat Selangor 1 300 88 4343 atau emel di maklumbalasaduan@www.zakatselangor.com.my atau melalui webchat di portal LZS www.zakatselangor.com.m

KASIHKU ZAKAT SELANGOR: PELAJAR ASNAF LZS TERIMA MANFAAT ZAKAT PTPTN

0

SHAH ALAM, 28 Disember 2020 – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bekerjasama dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS)  bagi mengagihkan wakalah zakat PTPTN di bawah program ‘Kasihku Zakat Selangor’ dalam bentuk akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) dengan peruntukan berjumlah RM96,500.00.

Ia bagi membantu golongan pelajar asnaf di negeri Selangor melibatkan dua program iaitu Program Pembangunan Pendidikan Asnaf (Fakir dan Miskin) di Selangor dan Program Pembangunan Pendidikan Pelajar Asnaf Bait Al-Hasanah.

Sebanyak RM50,000.00 agihan wakalah diperuntukkan di bawah Program Pembangunan Pendidikan Asnaf bagi membantu 500 orang anak-anak asnaf yang masing-masing akan menerima simpanan SSPN-i berjumlah RM100.00 setiap seorang. Anak-anak asnaf ini terdiri daripada 100 pelajar pra sekolah, 150 pelajar sekolah rendah dan 250 pelajar sekolah menengah.

Manakala bagi Program Pembangunan Pendidikan Pelajar Asnaf Bait Al-Hasanah pula, sebanyak RM46,500.00 diberikan kepada seramai 155 pelajar dalam bentuk simpanan SSPN-i sebanyak RM300.00 setiap seorang.

Penyerahan wakalah ini disempurnakan oleh Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid, kepada Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop dalam satu majlis yang diadakan di sini.

‘Kasihku Zakat Selangor’ diperkenalkan bagi memberi ruang kepada pengeluar zakat terutama dalam kalangan syarikat korporat bersama-sama menyantuni keperluan penerima zakat di Selangor yang semakin meningkat.

Melalui ‘Kasihku Zakat Selangor, syarikat berkaitan boleh memohon agihan semula 3/8 atau 37.5 peratus daripada jumlah bayaran zakat yang dikeluarkan pada tahun semasa untuk diagihkan kepada asnaf fakir dan miskin berdaftar dengan LZS.

Sehingga November 2020, sebanyak 30 syarikat menyertai Kasihku Zakat Selangor dan bersama-sama LZS menyantuni asnaf melalui pakej bantuan pendidikan, bantuan modal, bantuan perubatan dan bantuan sosial.

 

Berita Terkini