SHAH ALAM, 9 April 2020 – Kadar Zakat Fitrah yang ditetapkan bagi umat Islam di Negeri Selangor pada bulan Ramadan tahun 2021 bersamaan 1442 Hijrah ialah sebanyak RM7.00 seorang, sama seperti tahun sebelumnya (2020). Ia selaras dengan kelulusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang mengekalkan kadar fitrah pada tahun ini di Selangor.

Penetapan kadar zakat fitrah RM7.00 adalah berdasarkan kepada harga bagi 2.6 kilogram beras Super Tempatan Gred A yang lazimnya digunakan oleh masyarakat di Selangor.

Walau bagaimanapun, Lembaga Zakat Selangor (LZS) turut menggalakkan golongan yang berkemampuan untuk menunaikan zakat fitrah mengikut harga beras dimakan setiap hari bagi diri dan tanggungan. Secara tidak langsung, kita berpeluang untuk melakukan kebaikan dalam meraih keberkatan bulan Ramadan.

Kadar zakat fitrah tersebut adalah sebanyak RM14.00 seorang bagi individu yang memakan beras putih import/beras perang/beras pulut/herba ponni/beras wangi atau RM21.00 seorang bagi individu yang memakan beras basmathi/beras jepun/beras merah.

Untuk makluman, galakan menunaikan zakat fitrah mengikut harga beras yang dimakan ini telah dilaksanakan oleh LZS sejak tahun 2018 lagi.

Bagi memudahkan umat Islam di Selangor menunaikan bukan sahaja zakat fitrah malahan zakat harta pada bulan Ramadan, LZS telah menyediakan pelbagai platform pembayaran dalam talian yang lebih pantas dan selamat.

Oleh itu, orang ramai boleh membuat pembayaran zakat secara dalam talian melalui:

  1. EZakatPay dengan melayari https://fpx.zakatselangor.com.my
  2. Perbankan internet
  3. Portal MyEg
  4. Pos Online
  5. Aplikasi e-dompet GoPayz dan Boost

Di samping itu, LZS turut meletakkan QR Code di lokasi terpilih untuk memudahkan masyarakat mengakses terus ke platform pembayaran atas talian EzakatPay.