SHAH ALAM, 12 April 2021 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini mula mengagihkan bantuan zakat sebanyak RM28,032,900 kepada 61,315 orang penerima asnaf fakir, miskin dan mualaf di seluruh Selangor bagi membantu golongan tersebut membuat persiapan awal menyambut kedatangan bulan Ramadan dan Hari Raya pada tahun ini.

Simbolik penyerahan bantuan disempurnakan oleh Timbalan Mufti Selangor, Dato’ Dr Anhar Opir kepada 10 orang asnaf fakir, miskin dan mualaf bersempena dengan Majlis Serahan Bantuan Ramadan dan Raya Lembaga Zakat Selangor 2021 di sini.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM8,667,350 diagihkan kepada 17,787 orang dalam kalangan asnaf fakir, manakala sebanyak RM18,079,900 diagihkan kepada 39,445 orang asnaf  miskin dan RM1,285,650 diagihkan kepada 4,083 orang asnaf mualaf.

Setiap penerima mendapat bantuan zakat di antara RM300 dan RM1,000 bergantung kepada jumlah tanggungan sesebuah keluarga. Bantuan tersebut akan disalurkan sama ada melalui pembayaran yang dikreditkan ke akaun bank penerima atau menggunakan kaedah V-Cash (baucar tunai) atau  serahan tunai.

Pemakluman berkenaan bantuan ini kepada penerima yang layak dimaklumkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) atau surat. Asnaf juga boleh membuat semakan status Bantuan Ramadan dan Raya 2021 dengan melayari ezo.zakatselangor.com.my ataupun dengan menghubungi Talian Zakat Selangor 1-300-88-4343.

Pada tahun ini, daerah Klang mencatatkan jumlah penerima bantuan tertinggi iaitu seramai 11,962 orang asnaf fakir, miskin dan mualaf melibatkan peruntukan agihan zakat sebanyak RM5,183,300. Ia diikuti daerah Petaling dengan jumlah penerima seramai 10,590 orang melibatkan peruntukan agihan zakat sebanyak RM4,927,850 dan daerah Hulu Langat mengagihkan sebanyak RM4,367,750 kepada 9,439 orang penerima.

Sementara daerah Kuala Selangor mengagihkan bantuan zakat sebanyak RM3,034,500 kepada 6,798 orang penerima, daerah Gombak mengagihkan bantuan zakat kepada 6,005 penerima melibatkan peruntukan agihan sebanyak RM2,740,400 dan daerah Hulu Selangor mengagihkan kepada 5,186 penerima dengan agihan zakat sebanyak RM2,367,400.

Tiga daerah lain iaitu daerah Kuala Langat mencatatkan seramai 4,832 penerima yang menerima bantuan Ramadan dan Hari Raya dengan jumlah agihan zakat sebanyak RM2,227,500 diikuti dengan daerah Sabak Bernam dengan jumlah penerima seramai 4,726 melibatkan jumlah agihan sebanyak RM1,997,600 dan daerah Sepang yang mencatatkan jumlah agihan sebanyak RM1,186,600 kepada 2,547 penerima fakir, miskin dan mualaf.

Turut hadir Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf, Abdul Basith Hamid.