SHAH ALAM, 28 Disember 2020 – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bekerjasama dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS)  bagi mengagihkan wakalah zakat PTPTN di bawah program ‘Kasihku Zakat Selangor’ dalam bentuk akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) dengan peruntukan berjumlah RM96,500.00.

Ia bagi membantu golongan pelajar asnaf di negeri Selangor melibatkan dua program iaitu Program Pembangunan Pendidikan Asnaf (Fakir dan Miskin) di Selangor dan Program Pembangunan Pendidikan Pelajar Asnaf Bait Al-Hasanah.

Sebanyak RM50,000.00 agihan wakalah diperuntukkan di bawah Program Pembangunan Pendidikan Asnaf bagi membantu 500 orang anak-anak asnaf yang masing-masing akan menerima simpanan SSPN-i berjumlah RM100.00 setiap seorang. Anak-anak asnaf ini terdiri daripada 100 pelajar pra sekolah, 150 pelajar sekolah rendah dan 250 pelajar sekolah menengah.

Manakala bagi Program Pembangunan Pendidikan Pelajar Asnaf Bait Al-Hasanah pula, sebanyak RM46,500.00 diberikan kepada seramai 155 pelajar dalam bentuk simpanan SSPN-i sebanyak RM300.00 setiap seorang.

Penyerahan wakalah ini disempurnakan oleh Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid, kepada Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop dalam satu majlis yang diadakan di sini.

‘Kasihku Zakat Selangor’ diperkenalkan bagi memberi ruang kepada pengeluar zakat terutama dalam kalangan syarikat korporat bersama-sama menyantuni keperluan penerima zakat di Selangor yang semakin meningkat.

Melalui ‘Kasihku Zakat Selangor, syarikat berkaitan boleh memohon agihan semula 3/8 atau 37.5 peratus daripada jumlah bayaran zakat yang dikeluarkan pada tahun semasa untuk diagihkan kepada asnaf fakir dan miskin berdaftar dengan LZS.

Sehingga November 2020, sebanyak 30 syarikat menyertai Kasihku Zakat Selangor dan bersama-sama LZS menyantuni asnaf melalui pakej bantuan pendidikan, bantuan modal, bantuan perubatan dan bantuan sosial.