SELAYANG, 16 April 2021– Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menyerahkan sumbangan zakat berjumlah RM255,000.00 kepada enam buah hospital dan lima buah pusat jagaan warga emas dalam Majlis Serahan Dana Hospital Mesra Ibadah dan Pelancaran Bakul Qaseh Ramadan di sini.

Enam buah hospital tersebut ialah Hospital Selayang, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Hospital Ampang, Hospital Shah Alam, Hospital Serdang dan Hospital Sungai Buloh yang masing-masing menerima sumbangan zakat berjumlah RM10,000 dengan jumlah keseluruhan sumbangan sebanyak RM60,000.00.

Sumbangan yang disalurkan ini akan digunakan bagi tujuan pelaksanaan aktiviti seperti latihan ibadah kepada pesakit, waris dan jururawat hospital, kaunseling kepada pesakit serta lain-lain aktiviti keagamaan di bawah program Hospital Mesra Ibadah.

Manakala, lima buah pusat jagaan turut menerima sumbangan zakat dalam bentuk geran iaitu Pusat Jagaan Al-Fikrah, Pusat Jagaan Siti Noraini dan Pusat Jagaan Mahmudah yang masing-masing menerima sebanyak RM50,000.00 setiap satu. Sementara Pusat Jagaan Nurhasanah pula menerima sumbangan zakat sebanyak RM25,000.00 dan Pusat Kebajikan Penyayang Hani menerima sebanyak RM20,000.00.

Ia bagi membantu mereka melaksanakan operasi dan aktiviti di pusat jagaan tersebut, lebih-lebih lagi di dalam situasi pandemik yang sedang melanda negara sekarang.

Untuk makluman pada tahun 2020, LZS telah menyumbang sebanyak RM1.3 juta dalam bentuk geran tahunan kepada rumah-rumah kebajikan warga emas, pertubuhan Islam bukan kerajaan (NGO-i) dan pertubuhan anak-anak yatim yang berdaftar dengan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Dalam perkembangan sama, LZS melancarkan program Bakul Qaseh Ramadan bagi mengimarahkan lagi bulan mulia ini. Sebanyak 3,000 pek juadah berbuka puasa akan diedarkan di tiga buah hospital yang terpilih sepanjang Ramadan ini, iaitu Hospital Selayang, Hospital Serdang dan Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Program ini merupakan program tahunan LZS pada bulan Ramadan bagi menyantuni kakitangan hospital dan waris dengan mengagihkan juadah berbuka kepada mereka. Ia secara tidak langsung menjadi platform dakwah LZS kepada masyarakat.

Turut hadir dalam majlis ini, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Dato’ Indera Dr. Sha’ari Ngadiman, Timbalan Pengarah Hospital Selayang, Dr. Tengku Intan Norleen Tengku Sharif dan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Perubatan LZS, Tunku Dato’ Dr. Muzafar Shah Tunku Jaafar. Hadir sama, Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf LZS, Abdul Basith Hamid.