Utama Blog Halaman 31

LZS PERKENAL MOBILE APPS MUDAHKAN PENOLONG AMIL FITRAH

0

SHAH ALAM, 5 Jun 2018 – Seiring dengan era teknologi digital, Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengorak selangkah ke hadapan, apabila memperkenalkan inovasi penggunaan mobile apps bagi memudahkan penolong amil fitrah (PAF) membuat kutipan zakat fitrah di Selangor.

Projek perintis yang diperkenalkan sepanjang bulan Ramadan ini, melibatkan 200 orang PAF terpilih di Selangor. Melalui mobile apps ini, PAF tidak lagi menggunakan kupon fitrah sebagai bukti bayaran zakat, sebaliknya menggunakan mobile apps bagi mengeluarkan resit bayaran zakat di lapangan.

Untuk itu, setiap PAF yang terlibat diberi kemudahan kad pintar, pencetak dan data internet sebanyak RM50. Para pengeluar zakat hanya perlu memberi kad pengenalan bagi imbasan maklumat untuk tujuan simpanan di LZS dan pihak PAF akan mencetak resit sebaik sahaja bayaran zakat fitrah dibuat.

Bagi Hasanudin Nasron, 36 tahun salah seorang PAF yang dilantik LZS bagi mengutip zakat fitrah di pasar raya memberitahu, inovasi yang diperkenalkan ini amat memudahkan PAF yang bertugas.

“Aplikasi yang digunakan ini disokong dengan pautan ke sistem LZS. Malah ciri-ciri keselamatan terjamin. Setiap maklumat peribadi pengeluar zakat direkod dengan lebih efisyen dan mudah ke dalam sistem LZS. Bukit bayaran melalui resit yang dikeluarkan serta-merta juga, meningkatkan tahap kepercayaan pengeluar zakat dengan LZS,“ katanya.

34162916_10156266661396221_385829187216211968_n

Tambahnya lagi, “Pengenalan mobile apps ini ternyata mengurangkan risiko kehilangan kupon fitrah kerana kupon berbentuk fizikal yang perlu dibawa ke mana sahaja. Malah ia lebih mudah kerana saya tidak perlu lagi ke LZS untuk sebarang penambahan kupon fitrah sekiranya ia telah habis.  Ini berdasarkan pengalaman saya sebelum ini.”

Berbeza pula bagi pengeluar zakat Norashikin Mohamad, 42 tahun yang berasa sangat teruja dengan pengenalan aplikasi mobile apps ini.

“Saya berasa teruja apabila pertama kali menerima resit bayaran sewaktu menunaikan zakat fitrah baru-baru ini. Selama ini saya hanya terima kupon yang dikoyakkan oleh PAF selepas bayaran zakat dibuat. Lebih menarik, maklumat berkenaan bayaran fitrah saya ini terus dimasukkan dalam rekod LZS. Mudah bagi saya untuk rebat cukai nanti kerana maklumat bayaran zakat telah ada direkodkan. Di tempat lain saya tidak pasti, namun invosi di Selangor nampak perbezaan ketara berbanding tahun sebelum ini,” katanya.

Sehubungan itu, bagi memudahkan umat Islam menunaikan zakat fitrah, LZS telah melantik seramai 2,760  PAF di seluruh Selangor sepanjang bulan Ramadan ini. Orang ramai juga dinasihatkan untuk menunaikan zakat fitrah hanya kepada amil dilantik oleh LZS yang dapat dikenal pasti melalui kad tauliah dan sijil lantikan sah.

SULTAN SELANGOR BERKENAN TERIMA BAYARAN ZAKAT PERNIAGAAN RM17.8 JUTA DAN SERAH SUMBANGAN HARI RAYA KEPADA FAKIR, MISKIN DAN MUALAF SEMPENA MAJLIS BERBUKA PUASA BERSAMA RAKYAT

0

SHAH ALAM, 30 Mei 2018 – Sultan Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah Alhaj berkenan menerima pembayaran zakat perniagaan daripada enam syarikat korporat berjumlah RM17,841,460.67 dalam Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong di sini hari.

Kumpulan DRB Hicom Berhad mendahului senarai syarikat telah mewakilkan Pengarah Urusan Kumpulan, Dato’ Seri Syed Faisal Albar Syed Ali Rethza Albar, menunaikan zakat perniagaannya dan anak syarikat berjumlah RM6,306,775.67, diikuti Bank Kerjasama Rakyat (Bank Rakyat) yang diwakili Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Shukry Mohd Salleh sebanyak RM4,745,578 dan PLUS Malaysia Berhad diwakili oleh Pengarah Urusan, Datuk Azman Ismail menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM2,697,757.

Manakala Menteri Besar Incorporated (MBI) yang mewakilkan Ketua Pegawai Eksekutif, Raja Shahreen Raja Othman menyerahkan zakat perniagaannya berjumlah RM1,891,350, diikuti Seriemas Development Sdn Bhd yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif PNB Development Sdn BHd, Mohd Salem Kailany menunaikan zakat berjumlah RM1,200,000 dan Sime Darby Property Berhad yang diwakili oleh Pengerusinya, Tan Sri Abdul Wahid Omar menyerahkan zakat perniagaannya sebanyak RM1,000,000.

Dalam majlis sama, Sultan Selangor turut berkenan menyampaikan sumbangan zakat berjumlah RM2,500,000 kepada Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia di 17 buah hospital di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur. Sumbangan tersebut diserahkan kepada Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Dato’ Dr. Khalid Ibrahim.

Untuk makluman, Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah menyalurkan sumbangan zakat kepada Tabung Kebajikan Pesakit Malaysia sejak tahun 2008. Sumbangan ini bertujuan meringankan bebanan pesakit Islam yang kurang berkemampuan dan memerlukan kos pembiayaan bagi menjalani rawatan di hospital.

Selain itu, Sultan Selangor turut berkenan menyampaikan sumbangan zakat bagi elaun imam solat terawih sepanjang Ramadan ini di 1,000 buah surau terpilih di seluruh Selangor berjumlah RM2,000,000. Bantuan ini diserahkan kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor Dato’ Haris Kasim.

Pada majlis yang sama, Sultan Selangor turut berkenan menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada 83 orang asnaf fakir, 362 asnaf miskin dan 44 orang asnaf mualaf. Kesemua mereka menerima sumbangan zakat sebanyak RM500 setiap seorang, melibatkan jumlah zakat sebanyak RM244,500.

 

Turut hadir, Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Mohammed Khusrin Munawi, Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid serta Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Hadir sama, Officer in Charge (Ketua Pegawai Penyelaras), Abdul Basith Hamid.

GALAKAN KELUARKAN ZAKAT FITRAH IKUT HARGA BERAS DIMAKAN

0

SHAH ALAM, 28 Mei 2018 – Bulan Ramadan adalah bulan yang penuh keberkatan dan kerahmatan. Bulan di mana masyarakat berlumba-lumba melakukan kebaikan. Selain ibadat puasa, Ramadan juga akan mengingatkan kita untuk melaksanakan satu lagi ibadat wajib iaitu mengeluarkan zakat fitrah.

Biarpun kadar zakat fitrah di Negeri Selangor bagi tahun 2018/1439H telah diumumkan kekal seperti tahun sebelumnya iaitu RM7, namun masyarakat Islam di Selangor amat digalakkan untuk mengeluarkan zakat fitrah mengikut harga beras yang dimakan.

Menurut Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid, keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor telah menetapkan kadar minima untuk zakat fitrah bagi tahun 2018, namun perbuatan mengeluarkan zakat fitrah mengikut beras yang dimakan adalah bertepatan dengan kehendak hadis.

“Dalil ini disebut di dalam hadis yang diriwayat oleh Imam Bukhari, Abu Said al-Khudri seorang sahabat nabi telah berkata bahawa mereka mengeluarkan zakat fitrah sebanyak satu sha’ makanan, mengikut apa yang mereka makan.”

Tambah beliau, “Secara logiknya, pastilah tidak sama orang yang memakan beras mahal dengan beras murah. Maka, bagi mereka yang mempunyai kekayaan dan mampu memakan beras mahal, amatlah wajar bagi mereka menunaikan zakat fitrah mengikut beras mahal yang mereka makan.”

Bagi menjelaskan lagi berkaitan perkara ini, Dato’ Setia Tamyes memberi contoh, “Misalnya, jika Encik Abu memakan beras Gred Super yang berharga RM8 sekilogram, maka 2.6kg x RM8 bersamaan RM20.80. Oleh itu, Encik Abu hendaklah memaklumkan kepada amil zakat fitrah, jumlah yang hendak ditunaikan. Pihak amil akan memberi kupon dalam jumlah gandaan yang sesuai. Misalnya, jika RM20.80 akan dibundarkan menjadi RM21. Oleh itu, jumlah kupon fitrah yang akan dikeluarkan ialah tiga keping, bersamaan RM21. Sekiranya Encik Abu mempunyai tiga ahli keluarga, maka jumlah bayarannya ialah RM21 x 3 orang bersamaan RM63 dan jumlah kupon fitrah mestilah menyamai RM63 iaitu sembilan keping.”

Bagaimanapun, Dato’ Setia Mohd Tamyes berkata, menunaikan zakat fitrah mengikut harga beras yang biasa dimakan ini bukanlah perkara baru. Hal ini kerana sebelum ini ia telah dibuat oleh pengeluar zakat yang berkemampuan. Malah, institusi zakat juga mengalu-alukan dan meraikan pengeluar zakat yang ingin berbuat demikian.

“Kewajipan zakat fitrah adalah pelengkap kepada ibadah puasa Ramadan. Memberikan harta dalam bentuk zakat memerlukan kekuatan iman. Andai kata kita menjadi pemurah dan mampu memberikan lebih banyak, misalnya mengeluarkan zakat fitrah lebih daripada RM7 mengikut beras yang kita makan, itu menjadi tanda penyakit bakhil telah berjaya kita kikis. Namun sekiranya masih berkira-kira, itu bermakna kita masih dikuasai nafsu.”

Sehubungan itu, bagi membantu masyarakat Islam untuk mengeluarkan zakat fitrah mengikut harga beras dimakan ini, Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah melantik seramai 2,760 penolong amil fitrah untuk membantu. Malah, cawangan LZS juga dibuka 7 hari seminggu sepanjang bulan Ramadan ini bagi memudahkan masyarakat menunaikan zakat fitrah dan harta.

Kata Mohd Tamyes lagi, “Saya juga menyeru, ambillah kesempatan menunaikan zakat fitrah lebih awal, setidak-tidaknya di malam Hari Raya agar kita tidak terlupa. Malah, tidak salah jika kita turut menunaikan zakat harta di bulan Ramadan yang mulia ini. Pahalanya berganda, berkatnya melimpah, Amin.”

 

SULTAN SELANGOR BERKENAN TERIMA BAYARAN ZAKAT PERNIAGAAN RM14.3 JUTA DAN SAMPAIKAN SUMBANGAN HARI RAYA KEPADA FAKIR, MISKIN DAN MUALAF SEMPENA MAJLIS BERBUKA PUASA BERSAMA RAKYAT

0

SHAH ALAM, 18 Mei 2018 – Sultan Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah Alhaj berkenan menerima pembayaran zakat perniagaan daripada empat syarikat berjumlah RM14,318,063.52 dalam Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat di Masjid Negeri di sini hari ini.

Empat syarikat tersebut ialah Tenaga Nasional Berhad yang diwakili Pengurus Besar Perkhidmatan Pelanggan Negeri Selangor, Dato’ Mohd Zahir Md. Nagoor menunaikan zakat perniagaan sebanyak RM4,713,330.99 dan diikuti Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Datin Paduka Noraida Mohd Yusof mengeluarkan zakat sebanyak RM4,395,538.03.

Manakala UMW Holdings Berhad yang diwakili oleh Pengerusi Kumpulan UMW, Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah Che Othman menunaikan zakat berjumlah RM2,699,194.50 dan Kumpulan Worldwide Holdings Berhad yang mewakilkan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datin Paduka Norazlina Zakaria menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM2,510,000. Kesemua syarikat ini menunaikan pembayaran zakat perniagaan bagi tahun kewangan berakhir 2017.

DSC_6791

Pada majlis yang sama, Sultan Selangor turut berkenan menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada 66 orang asnaf fakir, 204 orang miskin serta 171 orang asnaf mualaf. Kesemua mereka menerima sumbangan zakat sebanyak RM500 setiap seorang, melibatkan jumlah zakat sebanyak RM220,500.

 

Turut hadir, Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Mohammed Khusrin Munawi, Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Dato’ Haris Kasim serta Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Hadir sama, Officer in Charge (Ketua Pegawai Penyelaras), Abdul Basith Hamid

KADAR ZAKAT FITRAH DI SELANGOR KEKAL RM7

0

SHAH ALAM, 16 Mei 2018 – Kadar Zakat Fitrah yang ditetapkan untuk umat Islam di negeri Selangor pada tahun ini iaitu 2018M/1439H kekal RM7 seorang, sama seperti tahun sebelumnya.

Penentuan kadar zakat fitrah ini adalah berdasarkan kepada harga semasa bagi beras Super Tempatan Gred A seberat satu gantang Baghdad iaitu bersamaan 2.60kg.

Bagi golongan yang berkemampuan, boleh memilih untuk menunaikan zakat fitrah mengikut harga beras yang dimakan bagi diri dan tanggungan.

Kadar zakat fitrah tersebut adalah sebanyak RM14.00 seorang bagi beras yang bernilai RM13.00 hingga RM44.00 (untuk harga beras seberat 5kg) dan RM21.00 seorang bagi beras yang bernilai melebihi RM44.00 (untuk harga beras seberat 5kg). Walau bagaimanapun, kadar bayaran zakat melebihi RM7.00 adalah sebagai galakan sahaja dan tiada paksaan kepada pengeluar zakat di Selangor.

Sehubungan itu, bagi memudahkan umat Islam menunaikan zakat fitrah, Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah melantik seramai 2,760 penolong amil fitrah di seluruh Selangor sepanjang bulan Ramadan ini.

Selain itu, orang ramai juga boleh menunaikan zakat fitrah di 27 buah cawangan LZS di seluruh Selangor, di samping beberapa pasar raya terpilih di sekitar Lembah Klang. Zakat fitrah juga boleh ditunaikan melalui penolong amil institut pengajian tinggi (IPT) di 14 buah IPT di seluruh Selangor.

 Dalam perkembangan yang sama, LZS akan membuka 27 cawangannya di seluruh Selangor selama tujuh hari seminggu termasuk cuti umum sepanjang Ramadan ini. Ini bagi memudahkan masyarakat yang mengambil kesempatan menunaikan zakat harta dan fitrah pada bulan Ramadan. Waktu urusan pada hari bekerja bermula dari 8.30 pagi hingga 4.30 petang. Manakala pada hari Sabtu, Ahad dan cuti umum, cawangan LZS akan dibuka bermula 9.00 pagi hingga 3.00 petang.

KASIHKU ZAKAT SELANGOR: WORLDWIDE HOLDINGS BERHAD DAN SIRIM BERHAD SERAH SUMBANGAN

0
 
 
KUALA LANGAT, 12 Mei 2018 – Asnaf di Lembaga Zakat Selangor bakal mendapat manfaat daripada wang zakat Worldwide Holdings Berhad dan SIRIM Berhad yang diterima melalui sumbangan program ‘Kasihku Zakat Selangor’ di sini hari ini bersempena Majlis Serahan Bantuan Ramadan & Raya Perdana 2018 serta Penutup Karnival Pendidikan & Kerjaya LZS
 
Replika cek ‘Kasihku Zakat Selangor’ disampaikan oleh Ketua Bahagian Komunikasi Korporat Worldwide Holding Berhad, Ami Nardin Ishak berjumlah RM127,597.96 dan Head of Engagement & Industrial Relations, Group Human Resources, Rajiah Mohamed Taib yang mewakili SIRIM Berhad berjumlah RM10,000 kepada Ketua Pegawai Penyelaras LZS (Officer In Charge), Abdul Basith Hamid.
 
Program ‘Kasihku Zakat Selangor’ ini merupakan inisiatif LZS yang diperkenalkan bagi meraikan pengeluar zakat terutama syarikat korporat mengagihkan semula 3/8 daripada jumlah zakat yang dikeluarkan untuk disampaikan kepada asnaf fakir, miskin, fisabilillah, muallaf dan gharimin sedia ada di Selangor. Program ini juga memberi ruang kepada syarikat korporat menjalankan tanggungjawab korporat mereka bersama LZS dalam usaha menyantuni asnaf-asnaf secara langsung.
Turut hadir dalam majlis tersebut,  Timbalan Pengerusi LZS, Dato’ Dr. Aizuddin Ahmad dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Profesor Emeritus Dr. Muhamad Awang. Hadir sama, Ketua Pegawai Penyelaras LZS (Officer In Charge), Abdul Basith Hamid. 

 

KARNIVAL KERJAYA: PELUANG ASNAF FAKIR, MISKIN DAN MUALAF MELANJUTKAN PENGAJIAN

0
 
KUALA LANGAT, 12 Mei 2018 – Seramai 1,000 orang pelajar lepasa Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam kalangan asnaf fakir, miskin dan mualaf menyertai Karnival Pendidikan & Kerjaya anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang diadakan bertempat di Universiti MAHSA di sini hari ini. 
Karnival yang mendapat kerjasama Universiti Mahsa ini mensasarkan pelajar asnaf lepasan SPM yang mendapat keputusan kurang memberangsangkan antara tiga kredit dan ke bawah serta tidak dapat melanjutkan pengajian ke mana-mana IPTA.
 
Melalui karnival ini, ia memberi pendedahan kepada para pelajar asnaf tentang peluang-peluang menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dan institut kemahiran awam dan swasta (ILKA/S) yang menjadi panel LZS. Ia menawarkan pelbagai jenis kursus berasaskan kemahiran dan industri yang sesuai dengan minat dan keputusan peperiksaan yang diperoleh. 
 
Sebanyak 40  buah IPTS dan ILKA/S menyertai karnival ini, di mana para pelajar asnaf lepasan SPM dapat berinteraksi dan berpeluang mendalami bidang pengajian yang bersesuaian dengan minat. Apa yang menarik, LZS akan mengeluarkan terus surat tawaran bantuan biasiswa kepada para pelajar yang membuat pilihan melanjutkan pelajaran di IPTS dan ILKA/S terlibat pada hari ini. 
 
Dalam masa yang sama, seramai sembilan orang pelajar asnaf menerima bantuan Dermasiswa LZS untuk menyambung pengajian di pelbagai IPT. Setiap pelajar menerima bantuan di antara RM22,000 sehingga RM53,000 bergantung kepada tawaran pengajian mereka. Ini menjadikan bantuan keseluruhan Dermasiswa LZS berjumlah RM280,913. Bantuan dermasiswa tersebut disampaikan oleh Pro-Canselor merangkap Pengerusi Eksekutif Universiti MAHSA, Profesor Tan Sri Datuk Dr. Mohamed Haniffa Abdullah sewaktu Majlis Serahan Bantuan Ramadan & Raya Perdana 2018 serta Penutup Karnival Pendidikan & Kerjaya LZS. 
 
Salah seorang penerima yang ditemubual Siti Nur Aisyah binti Masren, 18 tahun, “ Saya sangat bersyukur dengan bantuan zakat yang diterima, Bantuan ini akan meringankan beban kewangan sewaktu pengajian saya nanti. Saya berharap bantuan ini dapat merealisasikan cita-cita dan saya tidak akan sia-siakan peluang yang diberikan ini” katanya yang menerima bantuan dermasiswa berjumlah RM22,620 untuk menyambung pengajian di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS). 
 
Turut hadir, Timbalan Pengerusi LZS, Dato’ Dr. Aizuddin Ahmad dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Profesor Emeritus Dr. Muhamad Awang. Hadir sama, Ketua Pegawai Penyelaras LZS (Officer In Charge), Abdul Basith Hamid. 

LZS AGIH RM35.1 JUTA BANTUAN ZAKAT UNTUK ASNAF FAKIR, MISKIN DAN MUALAF PERSIAPAN RAMADAN & HARI RAYA

0

KUALA LANGAT, 12 Mei 2018 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) mula mengagihkan bantuan zakat sebanyak RM35,084,750 kepada 44,246 ketua keluarga asnaf fakir dan miskin serta 5,777 orang asnaf mualaf di seluruh Selangor bagi membantu golongan tersebut membuat persiapan awal menyambut kedatangan bulan Ramadan dan Hari Raya pada tahun ini.

Simbolik penyerahan bantuan disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi LZS, Dato’ Dr. Aziuddin Ahmad di hadapan 200 orang asnaf fakir dan miskin di Universiti Mahsa bersempena dengan Majlis Serahan Bantuan Ramadan dan Raya Perdana 2018 serta Penutup Karnival & Kerjaya LZS di sini hari ini.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM9,519,690 diagihkan kepada 12,528 ketua keluarga asnaf fakir, manakala sebanyak RM23,459,640 diagihkan kepada 31,718 ketua keluarga asnaf miskin dan RM2,105,420 diagihkan kepada 5,777 asnaf mualaf.

Setiap penerima menerima bantuan zakat di antara RM550 dan RM1,000 bergantung kepada jumlah tanggungan. Bantuan ini diagihkan sama ada menerusi kredit ke akaun bank atau menggunakan kaedah V-Cash (Vaucher Tunai) atau serahan tunai di program.

Pada tahun ini, daerah Klang mencatatkan jumlah penerima bantuan tertinggi seramai 8,856 orang asnaf fakir, miskin dan mualaf melibatkan peruntukan agihan zakat sebanyak RM6,154,670. Ia diikuti daerah Petaling dengan jumlah penerima seramai 7,948 orang melibatkan peruntukan agihan zakat sebanyak RM5,612,110 dan daerah Hulu Langat mengagihkan bantuan zakat kepada 7,658 penerima dengan jumlah agihan sebanyak RM5,279,780.

Sementara daerah Hulu Selangor mengagihkan bantuan zakat sebanyak RM4,018,020 kepada 5,640 orang penerima, daerah Kuala Selangor mengagihkan bantuan zakat kepada 5,003 penerima melibatkan peruntukan agihan sebanyak RM3,580,780 dan daerah Gombak mengagihkan kepada 4,483 penerima dengan agihan zakat sebanyak RM3,055,740.

Tiga daerah lain iaitu daerah Kuala Langat mencatatkan seramai 4,149 penerima yang menerima bantuan Ramadan dan Hari Raya dengan jumlah agihan zakat sebanyak RM2,976,510 diikuti dengan daerah Sabak Bernam dengan jumlah agihan zakat sebanyak RM2,793,600 kepada 4,041 penerima dan daerah Sepang yang mencatatkan jumlah agihan sebanyak RM1,613,540 kepada 2,245 penerima fakir, miskin dan mualaf.  

 

134 PENOLONG AMIL KARIAH JALANI KURSUS INDUKSI

0
KLANG, 2 Mei 2018 – Seramai 134 orang Penolong Amil Kariah (PAK) dari 23 kariah di Petaling menghadiri Kursus Induksi bertempat di Hotel Aliya di sini baru-baru ini.
Ia merupakan kesinambungan bagi Projek Perintis At-Ta’awun 2.0 yang merupakan inisiatif program transformasi dalam memperkasakan PAK pada tahun 2017.
Kursus yang berlangsung selama dua hari ini, memberi pendedahan dan pemahaman berkaitan peranan PAK dalam membantu LZS terutama bagi menjalankan siasatan, bancian serta semakan permohonan asnaf fakir, miskin, mualaf dan gharimin. Pada masa sama, PAK turut diberi taklimat dan latihan berkenaan pelaksanaan had kifayah terkini di LZS.
Untuk makluman, pemerkasaan PAK melalui Projek Perintis At-Ta’awun diperkenalkan bertujuan untuk melahirkan PAK yang profesional lagi kompeten dalam membantu LZS mendepani agenda pemerkasaan ummah.
Melalui projek perintis ini, LZS membangunkan sistem pengurusan PAK dengan menyusun gerak kerja lebih sistematik dan efisien bagi menyantuni asnaf di Selangor. Ini termasuklah memperkasakan peranan PAK sebagai ‘pemudahcara’ antara LZS dengan masyarakat terutama asnaf.
Pada tahun 2018, projek ini telah diperluaskan ke 140 kariah di daerah lain melibatkan sebanyak 439 buah masjid yang berdaftar di Selangor. Sehingga kini, terdapat seramai 1,613 orang PAK dilantik bagi menyantuni golongan asnaf di Selangor.

17 PELAJAR DERMASISWA TAJAAN LZS LANJUT PENGAJIAN KE TIMUR TENGAH

0

SEPANG, 12 April 2018 – Seramai 17 orang pelajar yang mendapat tajaan Dermasiswa Lembaga Zakat Selangor (LZS) berlepas ke Timur Tengah untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Bahasa Arab dan Pengajian Islam.

Mereka terdiri daripada penghantaran pelajar pertama bagi tahun 2018 melibatkan enam orang pelajar asnaf fakir dan miskin LZS serta 11 orang lagi merupakan pelajar di bawah asnaf fisabilillah.

Officer In Charge LZS, Abdul Basith Hamid yang ditemui berkata, “Bantuan dermasiswa yang disalurkan ini meliputi yuran pengajian, kos penginapan dan pengangkutan. Semoga dermasiswa yang disalurkan ini dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh para pelajar.”

photo_2018-04-12_15-49-49

Tambahnya lagi, “Kepada para pelajar yang berhasrat untuk melanjutkan pengajian ke Timur Tengah, dinasihatkan untuk menggunakan saluran yang betul iaitu melalui permohonan di Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi mengelakkan ditipu oleh ejen-ejen yang mengambil kesempatan ke atas pelajar. Insya-Allah sekiranya menggunakan saluran yang betul, LZS dapat membantu para pelajar sekiranya layak dan menepati syarat.”

Turut hadir  meluangkan masa bertemu pelajar terbabit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ialah Pengarah Jabatan Agama Islam (JAIS), Dato’ Haris Kasim dan Officer In Charge LZS, Abdul Basith Hamid.

Berita Terkini