SHAH ALAM, 18 Mei 2018 – Sultan Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah Alhaj berkenan menerima pembayaran zakat perniagaan daripada empat syarikat berjumlah RM14,318,063.52 dalam Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat di Masjid Negeri di sini hari ini.

Empat syarikat tersebut ialah Tenaga Nasional Berhad yang diwakili Pengurus Besar Perkhidmatan Pelanggan Negeri Selangor, Dato’ Mohd Zahir Md. Nagoor menunaikan zakat perniagaan sebanyak RM4,713,330.99 dan diikuti Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Datin Paduka Noraida Mohd Yusof mengeluarkan zakat sebanyak RM4,395,538.03.

Manakala UMW Holdings Berhad yang diwakili oleh Pengerusi Kumpulan UMW, Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah Che Othman menunaikan zakat berjumlah RM2,699,194.50 dan Kumpulan Worldwide Holdings Berhad yang mewakilkan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datin Paduka Norazlina Zakaria menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM2,510,000. Kesemua syarikat ini menunaikan pembayaran zakat perniagaan bagi tahun kewangan berakhir 2017.

DSC_6791

Pada majlis yang sama, Sultan Selangor turut berkenan menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada 66 orang asnaf fakir, 204 orang miskin serta 171 orang asnaf mualaf. Kesemua mereka menerima sumbangan zakat sebanyak RM500 setiap seorang, melibatkan jumlah zakat sebanyak RM220,500.

 

Turut hadir, Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Mohammed Khusrin Munawi, Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Dato’ Haris Kasim serta Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Hadir sama, Officer in Charge (Ketua Pegawai Penyelaras), Abdul Basith Hamid