SHAH ALAM, 30 Mei 2018 – Sultan Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah Alhaj berkenan menerima pembayaran zakat perniagaan daripada enam syarikat korporat berjumlah RM17,841,460.67 dalam Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong di sini hari.

Kumpulan DRB Hicom Berhad mendahului senarai syarikat telah mewakilkan Pengarah Urusan Kumpulan, Dato’ Seri Syed Faisal Albar Syed Ali Rethza Albar, menunaikan zakat perniagaannya dan anak syarikat berjumlah RM6,306,775.67, diikuti Bank Kerjasama Rakyat (Bank Rakyat) yang diwakili Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Shukry Mohd Salleh sebanyak RM4,745,578 dan PLUS Malaysia Berhad diwakili oleh Pengarah Urusan, Datuk Azman Ismail menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM2,697,757.

Manakala Menteri Besar Incorporated (MBI) yang mewakilkan Ketua Pegawai Eksekutif, Raja Shahreen Raja Othman menyerahkan zakat perniagaannya berjumlah RM1,891,350, diikuti Seriemas Development Sdn Bhd yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif PNB Development Sdn BHd, Mohd Salem Kailany menunaikan zakat berjumlah RM1,200,000 dan Sime Darby Property Berhad yang diwakili oleh Pengerusinya, Tan Sri Abdul Wahid Omar menyerahkan zakat perniagaannya sebanyak RM1,000,000.

Dalam majlis sama, Sultan Selangor turut berkenan menyampaikan sumbangan zakat berjumlah RM2,500,000 kepada Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia di 17 buah hospital di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur. Sumbangan tersebut diserahkan kepada Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Dato’ Dr. Khalid Ibrahim.

Untuk makluman, Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah menyalurkan sumbangan zakat kepada Tabung Kebajikan Pesakit Malaysia sejak tahun 2008. Sumbangan ini bertujuan meringankan bebanan pesakit Islam yang kurang berkemampuan dan memerlukan kos pembiayaan bagi menjalani rawatan di hospital.

Selain itu, Sultan Selangor turut berkenan menyampaikan sumbangan zakat bagi elaun imam solat terawih sepanjang Ramadan ini di 1,000 buah surau terpilih di seluruh Selangor berjumlah RM2,000,000. Bantuan ini diserahkan kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor Dato’ Haris Kasim.

Pada majlis yang sama, Sultan Selangor turut berkenan menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada 83 orang asnaf fakir, 362 asnaf miskin dan 44 orang asnaf mualaf. Kesemua mereka menerima sumbangan zakat sebanyak RM500 setiap seorang, melibatkan jumlah zakat sebanyak RM244,500.

 

Turut hadir, Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Mohammed Khusrin Munawi, Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid serta Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Hadir sama, Officer in Charge (Ketua Pegawai Penyelaras), Abdul Basith Hamid.