Utama Blog Halaman 158

BANK RAKYAT SERAH ZAKAT PERNIAGAAN LEBIH RM3 JUTA KEPADA LEMBAGA ZAKAT SELANGOR, TERTINGGI DI MALAYSIA

0

Shah Alam — Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat) hari ini menyerahkan cek zakat perniagaan berjumlah RM3,121,750.00 bagi tahun kewangan 2007 kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS). DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima zakat tersebut di Istana Bukit Kayangan di sini pada 6 Jun.

Bank Rakyat diwakili oleh Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi, YB Datuk Noh Omar. Zakat yang dibayar adalah berdasarkan bilangan pendeposit institusi berkenaan di Selangor. Jumlah ini adalah yang tertinggi berbanding zakat negeri lain di Malaysia.

Secara keseluruhannya Bank Rakyat menunaikan zakat di Malaysia berjumlah RM31.9 juta pada tahun kewangan 2007 berbanding sebanyak RM30.1 juta tahun kewangan sebelumnya.

Turut hadir, Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor yang juga Pengerusi LZS, Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa, Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Dato’ Prof. Dr. Syed Jalaludin Syed Salim, Pengarah Urusan Bank Rakyat, Datuk Kamaruzzaman Che Mat dan Pengurus Besar LZS, Hj. Ahmad Shahir Makhtar.

350 PESAKIT HOSPITAL TENGKU AMPUAN RAHIMAH TERIMA SUMBANGAN

0

Tarikh : 6/11/2008
Penulis : zool

Klang – Seramai 350 pesakit di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) menerima sumbangan berbentuk hamper daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) sempena Program Ziarah Hospital di sini pada 4 Oktober lalu.

Program ini merupakan sebahagian aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan LZS dengan kerjasama HTAR selain daripada aktiviti agihan yang biasa dilaksanakan. Sumbangan ini di harap dapat menyuntik semangat para pesakit agar lebih cepat sembuh disamping merasakan ada pihak yang prihatin terhadap dugaan yang mereka terima.

Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Ketua Jabatan Pembangunan Asnaf LZS, Abdul Samad Ibrahim dan Ketua Pengarah HTAR Dr. Hj. Ghazali Hasni Hj. Md. Hassan

Sementara itu, dalam tempoh Januari hingga Oktober tahun ini LZS telah memberikan bantuan kepada pesakit di HTAR ini berjumlah hampir RM700 ribu.

Daripada jumlah itu, RM57,000 telah diberikan kepada 25 orang yang menerima rawatan dialisis dan RM643, 118 ribu lagi telah diberikan kepada 85 orang yang memerlukan bantuan perubatan lain seperti manampung sebahagian kos pembedahan, pembelian kaki palsu, pembelian kerusi roda, rawatan sakit kronik dan sebagainya.

LZS sentiasa prihatin dengan nasib mereka yang menerima musibah penyakit ini dengan menyediakan bantuan perubatan dan sakit kronik bagi meringankan bebanan mereka. Tahun lalu LZS telah mengagihkan sebanyak RM15 juta bagi membantu pesakit kronik.

ENAM SYARIKAT TUNAI LEBIH RM600 RIBU

0

Shah Alam–Enam buah syarikat menunaikan zakat perniagaan lebih 600 ribu kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS di sini pada 29 Mei lalu.

LZS (MAIS) yang diwakili oleh YB Dato’ Dr Hj Hasan Hj Mohammad Ali, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal-ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam merangkap Timbalan Pengerusi MAIS menerima zakat perniagaan itu daripada Bank Islam (M) Bhd sebanyak RM300,000.00, Pos Malaysia Berhad (RM109,854.00); Etiqa Takaful (RM67,295.80); Selangor Industrial Corporation Sdn. Bhd. (RM66,106.00), Bank Simpanan Nasional (RM43,000.00) dan HNS Medical Supply (M) Sdn. Bhd., sebanyak RM20,706.65. Kesemuanya menunaikan zakat perniagaan sebanyak RM606,962.45 di sini hari ini.

Pada majlis yang sama, lima orang penerima telah menerima bantuan zakat yang keseluruhannya berjumlah RM122,000.00. Para penerima itu ialah Muhammad Nor Zemi bin Osman dan Baharuddin bin Johari yang masing-masing menerima bantuan untuk pembinaan rumah berjumlah RM20,000.00 setiap seorang.

Sementara itu, Hussin bin Mat Jam dan Tengku Zainal Rashid bin Tengku Abdul Jalil masing-masing menerima sumbangan berjumlah RM20,000.00 dan RM30,000.00 bagi tujuan perubatan anak masing-masing. Manakala, Hairumin bin Muhidin pula menerima bantuan untuk rawatan jantung beliau sebanyak RM32,000.00.

Pada majlis berkenaan, LZS (MAIS) turut melancarkan Zakat KWSP. Produk ini adalah khusus disediakan kepada para pencarum di kWSP. Ia diharap akan meningkatkan bilangan pembayar zakat dan sekaligus meningkatkan kutipan zakat di negeri ini. Tahun lalu, kutipan zakat LZS (MAIS) adalah RM202.1 juta dengan jumlah pembayar 126 ribu orang.

Turut hadir ialah YAD Dato’ Setia Hj Mohamad Adzib Mohd. Isa, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor dan Haji Ahmad Shahir Makhtar, Pengurus Besar LZS (MAIS).

TIADA LAGI ALASAN TIDAK BERPENDIDIKAN

0

Shah Alam – Dalam usaha memastikan pendidikan menjadi tunjang utama kehidupan Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyediakan bantuan pendidikan untuk semua anak kelahiran negeri Selangor iaitu melalui asnaf fakir dan miskin dan asnaf fisabilillah.

Bagi mereka yang memang telah tersenarai sebagai penerima bantuan di bawah asnaf fakir dan miskin, LZS menyediakan satu pakej bantuan pendidikan yang lengkap bermula dari tahap awal pendidikan, iaitu pra-sekolah sehinggalah ke menara gading, iaitu Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sama ada awam mahu pun swasta, mereka layak mendapat bantuan pendidikan yang disediakan oleh LZS. Mereka dibantu sepenuhnya merangkumi kos pengajian, penginapan, teuisyen dan elaun sara diri dan elaun khas bagi setiap pelajar yang mengikuti kursus bahasa.

Manakala bagi asnaf fisabilillah, ialah mereka yang tidak tersenarai di bawah kategori fakir atau miskin; namun kurang mampu menyediakan dana pendidikan. Untuk golongan ini, LZS menyediakan dua jenis bantuan iaitu Bantuan Umum Pelajaran dan Dermasiswa pelajaran seperti pelajar di Timur Tengah (Mesir, Jordon dan Syiria) dan bagi mana-mana pelajar luar negara yang tidak mendapat bantuan Dermasiswa mereka boleh mendapatkan Bantuan Umum Pelajaran Belajar di Luar Negara iaitu sebanyak RM2,500 setahun.

Bagi bantuan umum pelajaran LZS memperuntukkan bantuan sebanyak RM700 setahun bagi kursus tahap diploma, ijazah Sarjana Muda RM1,000 setahun; Sarjana pula RM1,500 setahun dan Ijazah Doktor Falsafah sebanyak RM2,000 setahun.

Antara syarat-syarat permohonan bantuan umum pelajaran adalah beragama Islam, lahir di negeri Selangor, menetap di Selangor tidak kurang dari lima tahun, pendapatan Ibu Bapa kurang dari RM3,000 dan tidak mendapat sebarang bantuan dari mana-mana agensi seperti MARA, PTPN, JPA dan sebagainya.

Bagi mereka yang ingin memohon bolehlah mendapatkan borang permohonan di kaunter zakat berhampiran anda atau layari www.zakatselangor.com.my.

LZS SALUR RM400 RIBU BANTU ANAK FAKIR MISKIN SAMBUNG BELAJAR

0

Shah Alam – Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS menyampaikan sumbangan berjumlah RM416,720 kepada 20 orang anak asnaf fakir miskin untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kemahiran ke The Otomotif College, Petaling Jaya (TOC). Mereka merupakan pelajar yang gagal dalam pencapaian akademik, tetapi mempunyai potensi dalam bidang kemahiran pada 15 Mei.

Bantuan berbentuk dermasiswa ini bertujuan menampung keperluan yuran pengajian, makan minum dan penginapan dalam tempoh pengajian selama setahun. Pelajar yang terpilih adalah mereka yang telah mengikuti pengajian kemahiran peringkat pertama di Kolej INPENS yang juga dibiayai sepenuhnya oleh LZS.

Pemilihan TOC adalah berdasarkan kepada pengalaman melahirkan pelajar mahir bidang automotif dan pelajar lepasannya dijanjikan peluang pekerjaan setelah tamat pengajian.

Dalam perkembangan berkaitan, LZS (MAIS) turut membiayai seramai 90 orang pelajar anak fakir miskin di Kolej INPENS dengan bantuan sebanyak RM5,000 seorang bagi tempoh enam bulan tahun ini

MAYBANK2E.NET -CARA PEMBAYARAN ZAKAT KORPORAT TERKINI

0

Kuala Lumpur- Kini pembayar zakat korporat di Selangor diluaskan lagi kemudahan pemayarannya melalui kaedah pembayaran terkini iaitu membayar zakat terus secara dalam talian melalui Maybank2e.net.

Memorandum perjanjian (MoA) antara Maybank2e.net, LZS (MAIS), Pusat Pungutan Zakat (MAIP) dan Pusat Zakat Negeri Sembilan telah ditandatangani pada 14 mei baru-baru ini.

Melalui perkhidmatan yang ditawarkan Maybank2e.net, orang ramai tidak perlu lagi ke kaunter pembayaran zakat untuk menunaikan tuntutan agama itu.

Para pelangan korporat yang menggunakan perkhidmatan Maybank2e.net boleh membuat pembayaran zakat terus kepada LZS (MAIS).

Pembayaran zakat juga boleh dibuat bagi pihak kakitangan mereka melalui pemotongan gaji yang secara tidak langsung memudahkan para kakitangan daripada perlu pergi sendiri ke kaunter zakat bagi tujuan tersebut.

95 KELUARGA MANGSA BANJIR TERIMA BANTUAN ZAKAT

0

Meru-Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS mengadakan majlis penyerahan sumbangan bantuan agihan kepada mangsa banjir bagi kawasan Meru dan Kampung Bukit Kapar di Masjid As Shariff baru-baru ini.

Seramai 95 keluarga mangsa banjir tersebut menerima sumbangan yang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Meru, Dr Abdul Rani Osman.

Bantuan zakat yang diberikan mangsa banjir berjumlah antara RM100 hingga RM200 bagi setiap keluarga berdasarkan keperluan dan kerugian yang dialami oleh mereka.

Turut hadir, Penolong Ketua Operasi Wilayah Barat LZS (MAIS), Nor Anuar bin Mohd Azam.

PERADUAN ZAKAT AND FLY

0

Tarikh : 5/11/2008
Penulis : Editor

Assalamualaikum wbt.

Terima kasih kepada semua pengunjung portal LZS. Bagi menggalakkan lagi orang rami untuk membayar zakat LZS telah mengadakan satu peraduan Zakat & Fly.

Kempen tersebut bermula 1 Nov – 31 Dis 08. Pembayaran menerusi Maybank2u.com.my, Amonline.com.my, RHBislamicbank.com.my, Cimbclicks.com.my dan Bankislam.biz serta fpx. Penganjur berhak menggunakan nama, gambar, no. kad pengenalan pemenang untuk tujuan publisiti.

Tiada borang penyertaan atau slogan diperlukan. Pemenang layak memenangi satu hadiah sahaja. Pihak penganjur berhak menggantikan sebarang hadiah dengan hadiah lain yang sama nilainya. Hadiah-hadiah tidak boleh dipindah milik. Tiket penerbangan tidak termasuk sebarang cukai airport atau kos lain. Tiket diberikan sebanyak 12 tiket pergi balik ke destinasi pilihan bagi laluan domestik dan ke Indonesia.

Tapi AWAS!!! Sekiranya didapati berlaku sebarang penipuan dan pemalsuan maklumat, penyertaan akan dibatalkan dan hadiah akan ditarik balik.

Para pemenang dipilih berdasarkan:

Tempat Pertama: Jumlah transaksi terbanyak dan jumlah pembayaran zakat tertinggi dalam tempoh kempen.
Tempat Kedua: Jumlah pembayaran zakat tertinggi dan pembayaran pelbagai jenis zakat terbanyak dalam tempoh kempen.
Tempat Ketiga: Jumlah transaksi terbanyak dan pembayaran pelbagai jenis zakat terbanyak.

Semoga dengan peraduan seperti ini dapat menggalakkan lagi orang ramai untuk membayar zakat di Lembaga Zakat Selangor(MAIS) seterusnya dapat diagihkan kepada asnaf-asnaf yang layak menerimanya.

Wassalam.

PUSAT DIALISIS DIBUKA DI KLANG

0

Klang – Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS telah membuka pusat dialisis yang ketiga bagi memudahkan penerima bantuan dialisis mendapatkan rawatan yang terletak di Klang. Pembukaannya dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam, Belia dan Mesra Rakyat, Y.B Dato’ Haji Abdul Rahman Palil baru-baru ini.

Pembinaan pusat dialisis ini dilaksanakan di bawah Program Pembangunan Sosial yang menelan belanja sebanyak RM630 ribu. Ia dilengkapi dengan sembilan unit mesin dialisis di mana sembilan orang pesakit boleh menjalani rawatan serentak. Sehingga kini seramai 32 orang pesakit telah menjalani rawatan tetap di sini yang diawasi oleh dua orang jururawat.

Sebelum ini, LZS (MAIS) telah mempunyai dua pusat dialisis yang terletak di Shah Alam dan Sungai Besar. LZS (MAIS) kini sedang menunggu kelulusan pihak Kementerian Kesihatan untuk membuka empat lagi pusat dialisis iaitu di Taman Melawati, Kuala Selangor, Sepang dan Kajang.

Menurut statistik, jumlah pesakit yang mendapatkan rawatan dialisis tajaan LZS (MAIS) pada tahun 2006 sebanyak 456 orang dan jumlah tersebut bertambah pada tahun 2007 sebanyak 710 orang. Sepanjang tahun lalu, LZS (MAIS) membiayai kos rawatan dialisis sebanyak RM1.03 juta sebulan dan ia mencecah RM12.3 juta setahun.

Penubuhan pusat dialisis ini dilihat bukan sahaja dapat menjimatkan kos bahkan dapat menyediakan suasana Islamik, kondusif serta lebih mesra kepada prara pesakit sekaligus dapat menjadi model sebuah pengurusan pesakit secara Islam.

RM45,700 DIPERUNTUKKAN UNTUK MANGSA RIBUT, BANJIR

0

Gombak Setia – Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS dan Tabung Bencana Pejabat Daerah Gombak mengadakan majlis penyerahan sumbangan agihan kepada mangsa banjir di pusat kebajikan Gombak setia baru-baru ini.

Sebanyak RM45,700 diperuntukkan sebagai sumbangan kepada 67 keluarga mangsa bencana tersebut dalam menghadapi musibah yang menimpa mereka. Sumbangan bantuan itu disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia merangkap Exco Negeri Selangor, Datuk Dr Hassan Ali.

Bantuan yang disampaikan adalah lanjutan daripada sumbangan yang telah disalurkan kepada 55 buah keluarga berjumlah RM31,000 sebelum ini.

Menurut Ketua Operasi Wilayah Timur LZS (MAIS), Muhammad Rizal Shah Harudin, bantuan keseluruhan adalah sebanyak RM23,700 di mana RM300 diberikan kepada keluarga yang mengalami bencana ribut dan sebanyak RM100 pula kepada mangsa banjir. Selain itu, sebanyak RM22,000 lagi bantuan daripada tabung bencana turut disampaikan kepada mereka yang mengalami bencana alam.

Turut hadir, Penolong Pegawai Daerah Gombak Shahimin Ghazali, Penghulu Mukim Setapak Zuraimi Mohani dan wakil (JKM).

Berita Terkini