Utama Blog Halaman 148

LZS LANTIK DPMMS DAN AS-SALIHIN TRUSTEE BERHAD SEBAGAI EJEN KUTIPAN ZAKAT

0

Tarikh : 2/3/2010
Penulis : Editor

Shah Alam, 29 Januari 2009 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini melantik Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Selangor (DPMMS) dan As-Salihin Trustee Berhad sebagai ejen kutipan zakat, menjadikan keseluruhannya 62 ejen setakat ini. Ini termasuklah 13 buah bank, empat buah IPTA, 42 firma audit dan cukai dan pejabat pos.

Melalui perlantikan ini DPMMS dan As-Salihin Berhad diberi hak untuk membuat kutipan zakat serta kempen di kalangan ahli-ahli DPMMS dan para pelanggan As-Salihin Trustee Berhad. Perjanjian perlantikan ditandatangani oleh Timbalan Pengurus Besar (Operasi), Sahadan Ishak bagi pihak LZS, manakala DPMMS oleh Setiausaha Kehormat, Othman Ismail dan As-Salihin Trustee Berhad oleh Pengurus Besarnya Jasmin Jamaluddin. Majlis menandatangani ini turut disaksikan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa.

Antara bank yang menjadi ejen LZS ialah Bank Islam, Maybank, Al-Rajhi serta CIMB Bank, manakala IPTA pula seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Putra Malaysia (UPM) serta Universiti Islam Antarabangsa (UIA). Pada tahun lalu LZS mengutip zakat sebanyak RM21.8 juta melalui ejen-ejen ini.

Turut hadir, Yang Dipertua DPMMS, Tan Sri Rozali Ismail.

KENYATAAN AKHBAR

0

Tarikh : 1/26/2010
Penulis : Editor

Kenyataan Akhbar
Y.Bhg Datuk Siti Maslamah Osman
Ahli Lembaga Pemegang Amanah Lembaga Zakat Selangor (LZS)
Mengenai Hal Ehwal Zakat Selangor
Pada 23 Januari 2010

• Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

• Terima kasih kepada wakil-wakil media yang hadir pada hari ini.

• Sukacita saya ingin memaklumkan beberapa perkara mengenai prestasi kutipan dan agihan zakat negeri Selangor bagi tahun 2009

1. Kutipan Zakat (Harta Dan Fitrah)

Alhamdulillah bagi tahun 2009, jumlah kutipan zakat di Selangor telah melebihi sasaran iaitu (RM235 Juta) dengan jumlah kutipan sebanyak RM283.6 Juta berbanding RM244.4 Juta dalam jangka masa yang sama pada tahun sebelumnya (2008). Jumlah ini meningkat sebanyak 16 Peratus dengan perbezaan sebanyak RM39.17 Juta. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM267.03 Juta dikutip daripada zakat harta, manakala RM16.6 Juta daripada zakat fitrah.

2. Zakat Harta

Pada tahun lepas (2009) kutipan zakat harta di Selangor meningkat sebanyak 15 peratus daripada kutipan pada tahun sebelumnya (2008). Di mana pada tahun lepas (2009) LZS mengutip zakat harta sebanyak RM267,03 berbanding RM232.2 pada tahun 2008.

Pecahan kutipan zakat harta mengikut jenis adalah seperti berikut:

Zakat Pendapatan RM153.9 Juta (RM153,964,561)
Zakat Perniagaan RM51.8 Juta (RM51,852,929)
Zakat Harta RM25.0 Juta (RM25,047,577)
Zakat W.Simpanan RM25.6 Juta (RM25,696,277)
Zakat KWSP RM5.7 Juta (RM5,757,899)
Zakat Saham RM1.4 Juta (RM1,457,210)
Zakat Tanaman RM1.9 Juta (RM1,969,863)
Zakat Emas, Ternakan, Perak dan Qadha Zakat RM1.2 Juta (RM1,289,426)

3. Jumlah Pembayar

Jumlah pembayar zakat harta bagi tahun lepas ialah seramai 154,905 orang (meningkat 10 peratus daripada tahun sebelumnya (140,231 orang). Daripada jumlah tersebut, seramai 29,622 orang merupakan pembayar baru.

4. Zakat Fitrah

Bagi tahun 2009, MAIS melalui LZS telah mengutip zakat fitrah sebanyak RM16.6 juta bagi tahun hijrah 1430 berbanding RM12.2 juta pada tahun 2008. Bilangan umat Islam yang membayar zakat fitrah pada tahun lepas (2009) ialah seramai 2.3 juta orang.

5. Sasaran Kutipan Tahun 2010

Mengambil faktor keadaan ekonomi yang semakin stabil dan kesedaran membayar zakat yang semakin meningkat, maka LZS meletakkan sasaran kutipan zakat bagi tahun 2010 adalah sebanyak RM300 juta iaitu kenaikan sebanyak 6 peratus berbanding kutipan tahun lalu.

6. Agihan Zakat

Pada tahun 2009 yang lalu, MAIS melalui LZS telah mengagihkan wang zakat kepada golongan yang layak di selangor sebanyak RM275.8 juta berbanding RM188 juta pada tahun sebelumnya (2008). Jumlah pengagihan ini dilihat meningkat sebanyak 46 peratus dengan perbezaan sebanyak RM86.8 juta.

Pecahan pengagihan zakat mengikut asnaf adalah seperti berikut:

Asnaf Miskin RM70.5 Juta (RM70,500,904)
Asnaf Fakir RM34.8 Juta (RM34,843,962)
Asnaf Fisabilillah RM88.0 Juta (RM88,032,289)
Asnaf Muallaf RM15.9 Juta (RM15,924,938)
Asnaf Gharim RM29.9 Juta (RM29,919,668)
Asnaf Amil RM34.0 Juta (RM34,000,000)
Asnaf Riqab RM1.6 Juta (RM1,607,077)
Asnaf Ibnu Sabil RM1.0 Juta (RM1,068,019)

Bilangan asnaf fakir yang menerima bantuan pada tahun lepas (2009) ialah seramai 10,778 keluarga berbanding 11,495 keluarga pada tahun 2008, manakala bagi asnaf miskin adalah seramai 10,843 keluarga berbanding 7,140 keluarga pada tahun sebelumnya (2008).

LZS SERAH BANTUAN KEPADA PESAKIT JANTUNG DAN MANGSA KEMALANGAN

0

Tarikh : 1/22/2010
Penulis : editor

Bukit Sentosa – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyerahkan sumbangan berjumlah RM18,300 kepada pesakit jantung dan mangsa kemalangan bagi membantu meringankan beban yang dialami mereka baru-baru ini.

Sapri Ramli, 53 tahun yang baru menjalani pembedahan jantung Disember tahun lalu, menerima bantuan berjumlah RM14,500 bagi membiayai kos pembelian alat bantuan fungsi jantung. Manakala Nor Husnaini Mohd Rani, 22 tahun menerima RM3,800 bagi memberi bantuan alat Exogen Express.

Menurut Ketua Operasi LZS Daerah Hulu Selangor, Muhammad Helmi Damanhuri, “Bantuan ini diberikan setelah meneliti keperluan dan kemampuan mereka. Hasil siasatan didapati mereka layak untuk menerima bantuan berkenaan. Semoga dengan bantuan yang diberikan ini, meringankan kesusahan yang dihadapi oleh mereka.”

MAJLIS MESRA MAJIKAN: BUKTI LZS HARGAI SUMBANGAN

0

Tarikh : 1/16/2010
Penulis : Khairul Izwan Bin Bakeri

SHAH ALAM, 13 April 2010 – Seramai 125 peserta daripada 90 majikan yang mewakili pelbagai syarikat swasta, badan berkanun dan sektor kerajaan diraikan dalam Majlis Mesra Majikan SPG di sebuah hotel di sini hari ini. Majlis berkenaan bertujuan meraikan majikan yang telah menjalankan caruman Skim Potongan Gaji (SPG) bagi zakat pendapatan kakitangan di Selangor.

SPG adalah suatu kaedah paling berkesan dalam menggalakkan pembayaran zakat di kalangan umat Islam di Selangor. Pada tahun 2009, seramai 100,355 telah menunaikan zakat pendapatan mereka menerusi SPG. Ia menyamai jumlah kutipan sebanyak RM106.7 juta ataupun sebanyak 62.3 peratus.

Setakat ini, sebanyak 2,620 syarikat telah menyertai SPG dengan bilangan pekerja seramai 101,482 orang. Jumlah itu dijangka meningkat pada tahun ini.

Dalam majlis berkenaan, para majikan telah dihargai dengan penyampaian sijil penghargaan oleh Pengurus Besar Lembaga Zakat Selangor, Ahmad Shahir Makhtar.

TAKLIMAT KHAS PROGRAM SEKOLAH ANGKAT DAN HADDUL KIFAYAH

0

Tarikh : 1/16/2010
Penulis : Khairul Izwan Bin Bakeri

Shah Alam – Lembaga Zakat Selangor (MAIS) dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri Selangor telah menganjurkan satu Taklimat Khas Program Sekolah Angkat dan Haddul Kifayah bersama Pengetua dan wakil Sekolah-sekolah seluruh Selangor yang meliputi setiap daerah yang diadakan di Dewan Masjid Negeri Shah Alam baru-baru ini.

Objektif program ini adalah untuk memberi penerangan tepat mengenai pengiraan zakat berkaitan Haddul Kifayah dan jenis bantuan yang akan disalurkan kepada Sekolah Angkat disamping memberi pendedahan berkenaan pengurusan zakat di Selangor.

Taklimat ini telah dimulakan dengan ucapan oleh oleh Ketua Sektor Pendidikan Islam Jabatan Pelajaran Negeri Selangot (JPS) Tuan Haji Arifin bin Haji Mohd Amin . Ia diikuti dengan taklimat penting mengenai ‘Haddul Kifayah” oleh Timbalan Pengurus Besar (Operasi), Sahadan Ishak yang memberi penekanan pengiraan zakat di Selangor.
Taklimat kemudian diakhiri dengan sesi soal jawab oleh para peserta.

Turut hadir, Ketua Jabatan Pembangunan Asnaf, Abdul Samad Ibrahim

MAJALAH ASNAF TERBARU TELAH TERBIT

0

Tarikh : 1/12/2010
Penulis : Editor

Assalamualaikum wbt

Bertemu kita diruangan ini. Semoga semua pengunjung portal ezakat ini sentiasa berada dalam keadaan sihat sejahtera dan mendapat rahmat dari Allah. Masih belum terlambat untuk kami mengucapkan Selamat Tahun Baru 2010 kepada semua pengunjung portal LZS ini.

Alhamdulillah, tahun ini Lembaga Zakat Selangor (LZS) merayakan ulang tahun ke-15 penubuhannya. Sepanjang tempoh itu, banyak suka duka yang dilalui LZS dalam mengembangkan syiar zakat bukan sahaja di Negeri Selangor waima di Malaysia, bahkan meliputi Asia Tenggara.

Bermula sebagai sebuah entiti kecil yang hanya dianggotai lebih 10 pekerja, kini LZS berjaya meletakkan diri duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan institusi-institusi berjaya yang lain. Malah pada tahun lepas, LZS berjaya mengutip zakat sebanyak RM244.4 juta dan merupakan yang tertinggi dalam sejarah penubuhannya. Ini secara tidak langsung meletakkan LZS ke satu tahap yang membanggakan.

Kendatipun begitu, kejayaan ini bukanlah kejayaan LZS semata-mata, namun kejayaan institusi Islam secara keseluruhannya. Pada keluaran ini, Majalah Asnaf akan memfokuskan evolusi yang dialami oleh LZS sepanjang lebih sedekad ini. Para pembaca akan didedahkan dengan detik-detik awal penubuhan LZS sehinggalah ia
menjadi sebuah institusi zakat yang dikenali seperti hari ini.

Pelbagai inovosi yang diterokai oleh LZS dalam menjadikan institusi zakat bukan sekadar ‘tempelan’ tetapi tunjang kekuatan ummah. Niat LZS bukanlah ingin menjadi peneraju perubahan tetapi ingin meneraju perubahan agar institusi zakat terus berkembang dan memayungi ummah sehingga ke akhir zaman.

Semoga dengan paparan ini, para pembaca akan dapat menelusuri susur-galur 15 tahun perjalanan LZS menabur bakti khususnya untuk rakyat di negeri Selangor tercinta
ini. Doa umat Islam khususnya pembayar dan penerima zakat akan sentiasa menjadi kekuatan kepada LZS. Semoga LZS terus maju pada masa hadapan dan menjadi sebuah
institusi zakat yang berintergriti, Insya-Allah.

Majalah Asnaf terbaru ini boleh didapat secara percuma di kaunter-kaunter LZS sekarang. Pengunjung portal LZS (MAIS) yang ingin melihat keluaran terbaru majalah asnaf ini boleh klik di pautan ini:

MAJALAH ASNAF LZS MAIS

Sekian, terima kasih.

Wassalam

SEMAK REKOD ANDA SECARA ONLINE

0

Tarikh : 1/11/2010
Penulis : Editor

Assalamualaikum wbt.

Bertemu lagi kita di ruangan ini. Semoga pengunjung semua sentiasa berada di bawah limpahan rahmat dari Allah sentiasa. Selamat tahun baru LZS ucapkan kepada semua pengunjung portal ini.

Bagi memberi kemudahan kepada pembayar melihat serta mengemaskini rekod bayaran zakat mereka, unit ICT Lembaga Zakat Selangor (MAIS) telah menyediakan perkhidmatan Ezakat ONLINE yang boleh dicapai melalui laman hadapan portal Ezakat ini.

Kepada pembayar zakat yang masih belum mendaftar ke dalam sistem tersebut, bolehlah berbuat demikian bagi memudahkan setiap pembayar melihat sendiri rekod-rekod bayaran zakat mereka yang lepas. Sekiranya berlaku pertukaran alamat, pembayar juga boleh mengemaskini alamat terbaru mereka melalui sistem ini.

Hanya pembayar zakat yang membuat bayaran di Lembaga Zakat Selangor MAIS sahaja boleh menggunakan perkhidmatan secara Online ini. Pendaftaran boleh dibuat melalui link ini :SISTEM EZAKAT ONLINE.

Semoga dengan kemudahan ini dapat memudahkan pembayar zakat untuk melihat rekod bayaran mereka yang lepas. Kepada pembayar zakat yang membuat bayaran zakat secara potongan gaji (Skim Berkat), sila kemaskini alamat terbaru untuk tujuan penghantaran penyata rekod bayaran zakat untuk tahun 2009 yang akan dihantar dalam masa terdekat. Pengemaskinian juga boleh dilakukan menggunakan sistem online ini.

Wassalam

Berita Terkini