Utama Blog Halaman 131

LZS PELAWA ANDA SERTAI ‘ZIKRA’

0

Program Ziarah Media, Korporat dan Asnaf (ZIKRA) kini kembali. ZIKRA merupakan acara dwi-tahunan Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang bersifat ‘turun padang’ bagi melihat sendiri kehidupan asnaf dan pelbagai projek agihan zakat yang dilaksanakan oleh LZS.

Sehubungan dengan itu, ZIKRA pada kali ini akan diadakan seperti berikut:

Tarikh: 9 Jun 2011 / Khamis / 7 Rejab 1432 Hijrah
Masa: 8.00 pagi – 5.00 petang
Lokasi lawatan: Shah Alam, Klang dan Petaling Jaya

Memandangkan ZIKRA sentiasa mendapat sambutan hangat daripada pihak masyarakat (sebelum ini penyertaan terdiri daripada pihak pembayar korporat, potongan gaji, ejen zakat dan pihak media), maka pada kali ini LZS mempelawa kepada semua pembaca yang berminat untuk turut serta di dalam ZIKRA demi merasai sendiri keberkesanan agihan zakat di Selangor. Namun, penyertaan adalah terhad dan LZS hanya membuka 30 penyertaan kepada umum dan ia bersifat ‘siapa cepat dia dapat’.

Oleh itu, sesiapa yang berminat sila menghantar email dengan maklumat diri dan segera mengirimnya kepada hamizul@e-zakat.com.my.

Maklumat Diri:
Nama:
No. Kad Pengenalan:
Alamat:
No. Telefon atau telefon bimbit:
Pekerjaan:

MENGINTAI HIKMAH ZAKAT DAN SEDEKAH

0

Oleh Ustaz Hamizul Abdul Hamid
Eksekutif Komunikasi Korporat,
Lembaga Zakat Selangor (MAIS)

Islam agama syariat, yang menjadi panduan hidup untuk seluruh umat. Syariat menunjukkan, bagaimana untuk kita menjalani tatih hayat di atas dunia, apa yang perlu dilakukan, apa yang wajib ditinggalkan, apa yang mendatangkan mudarat dan apa yang menimbulkan nikmat. Syariat menentukan kaitan antara dunia dan akhirat.

Dalam kepelbagaian aturan Allah SWT yang dinamakan syariat itu, kita wajar memahami bahawa salah satu perkara yang sangat penting ialah tatacara perhubungan sesama manusia. Dalam hal ini, Allah SWT telah mensyariatkan kepada kita apa yang dinamakan sebagai sedekah dan zakat.

Sedekah dan zakat, dua perkara yang sama namun berbeza. Sedekah itu meliputi sama ada sedekah sunat mahu pun sedekah wajib. Sedekah sunat adalah banyak, menghantar pisang ke masjid pada hari Jumaat misalnya, adalah sedekah. Zakat juga adalah sedekah, tetapi ia adalah sedekah yang wajib.

Allah SWT berfirman yang mafhumnya: “Ambillah sebahagian daripada harta mereka (umat Islam) sebagai sedekah, yang dengannya (ia dapat) menyucikan dan membersihkan mereka,” (at-Taubah: 103)

Kalimah ‘sedekah’ di dalam ayat di atas, bermaksud sedekah wajib, yakni zakat. Inilah pandangan ulama mufassirin yang menjadi dalil bagi terlaksananya kaedah pengambilan harta zakat waima secara paksa apabila keadaan memerlukan (insya-Allah hal ini akan kita diskusi pada lain kesempatan). Maka, fahamlah kita bahawa zakat adalah sedekah yang wajib yang pastinya mempunyai tatacara tertentu bersandarkan kehendak Islam semasa menunaikannya.

Dalam ruangan yang terbatas ini, kita ingin melihat rasional di sebalik pensyariatan zakat kepada umat Islam. Allah al-Khalik Maha Tahu, apakah keperluan manusia. Ini kerana, Dialah yang menjadikan kita maka pasti Dia jugalah yang tahu apa yang terbaik kepada kita. Termasuklah dalam hal-ehwal zakat ini.

Zakat adalah syariat yang bersangkutan di antara hubungan sesama manusia (hablumminannas). Zakat tujuannya tidak lain dan tidak bukan, ialah demi menjamin keseimbangan hidup. Ini kerana, orang-orang miskin dan kaya, akan sentiasa ada sampailah dunia ini menuju ke penghujungnya.

Golongan miskin ini hanya akan terhapus, apabila semboyan kiamat hampir ditiup oleh malaikat Israfil. Selagi itu belum terjadi, manusia kaya dan miskin akan terus wujud dan beriringan. Samalah seperti adanya malam dan siang, laut dan daratan, lelaki dan perempuan.

Dalam Islam, harta hendaklah diagihkan atau diedarkan secara saksama sesama manusia. Untuk itulah, maka Allah SWT menegah jika harta kekayaan itu hanya berlingkaran dalam kalangan orang-orang kaya sahaja. Ia demi mengelak daripada berlakunya manipulasi ke atas golongan yang lemah, sama seperti mana yang pernah berlaku lewat sebelum kedatangan Islam ke Kota Mekah. Kala itu, orang miskin terjerat dalam sistem pengumpulan harta oleh orang kaya, sehingga ada yang terpaksa menjadi hamba demi melunaskan hutangnya!

Maka Allah menyatakan: “Apa sahaja harta rampasan (fa’i) yang diberikan Allah kepada Rasul-Nya (daripada harta benda) yang berasal dari penduduk kota-kota maka adalah untuk Allah, untuk Rasul, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang dalam perjalanan, supaya harta itu jangan beredar di antara orang-orang kaya sahaja di antara kamu,” (al-Hasyr, 59: 7)

Zakat memastikan harta dapat dikongsi secara saksama. Setiap orang mempunyai hak, sama ada hak untuk memberi dan hak untuk menerima. Tiada sesiapa boleh menghalang seseorang daripada memberikan hartanya kepada orang lain. Begitu juga, tiada sesiapa boleh mendabik dada menegah hartanya daripada diambil demi kebaikan orang lain. Ini semua mampu terlaksana dengan adanya syariat zakat.

Inilah secebis keunggulan sistem yang dititipkan Allah azzawajalla kepada kita. Ia bukan sistem yang menindas apatah lagi memeras; sebaliknya satu sistem yang sangat cantik demi melestarikan keluk keseimbangan kehidupan manusia di atas muka bumi ini. Wallahua’lam.

MENJANA PERANAN WANITA DALAM ZAKAT – siri 2

0

Oleh Hjh. Adibah Abdul Wahab
Timb. Pengurus Besar,
Pejabat Kutipan, LZS

Di sinilah wanita-wanita yang bekerja memainkan peranan untuk turut sama menyumbang meningkatkan kutipan zakat dengan melaksanakan perintah Allah. Ini kerana daripada pendapatan yang diperoleh juga boleh menyumbang kepada zakat. Oleh kerana zakat pendapatan merupakan zakat yang diwajibkan, maka menjadi tanggungjawab wanita-wanita yang bekerja untuk menunaikannya.

Di samping itu, sudah tentu kebanyakan wanita-wanita yang bekerja akan mencarum di dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Maka, telah seperti yang telah diketahui sekiranya wang caruman tersebut dikeluarkan, hendaklah dizakatkan sebanyak 2.5 peratus. Sumbangan wanita dalam kedua-dua zakat ini amat bermakna sekali kerana daripada wang zakat itulah nasib asnaf-asnaf dapat dibela.

Selain itu juga, wanita hari ini semakin bijak untuk mengumpul harta. Apatah lagi kebanyakannya masing-masing bekerjaya yang mengizinkan mereka untuk mengembangkan harta. Maka mereka telah mempelbagaikan sumber harta tidak kira sama ada menyimpan emas, wang simpanan, membuat pelaburan dan sebagainya.

Jika dilihat dari segi syarak, wanita diizinkan untuk melaburkan hartanya mengikut apa-apa cara yang difikirkan baik. Mereka bebas dan tidak terikat dengan sesiapa untuk mentadbir harta miliknya. Dengan kata lain, tiada sesiapa yang boleh menghalangnya untuk melabur dan mengembangkan harta peribadinya.

Di sinilah wanita dapat menjana peranannya dalam zakat dengan menunaikan zakat seperti zakat simpanan, zakat emas, zakat saham dan sebagainya sebagaimana yang telah ditetapkan. Bayangkanlah betapa besar jumlah zakat yang dapat dikumpul hanya daripada sumbangan kaum wanita sahaja.

Tidak ketinggalan bagi wanita-wanita yang berniaga. Hari ini, semakin ramai wanita yang menjadi usahawan berjaya. Mereka ini mewarisi bakat wanita-wanita Islam pada zaman dahulu seperti Khadijah binti Khuwailid dan Shifa’ binti Abdullah yang merupakan contoh dua orang peniaga dan pengurus perniagaan berjaya dan cekap.

Tidak hairanlah kini ramai wanita-wanita yang cenderung untuk berniaga tidak kiralah sama ada perniagaan kecil atau besar. Keupayaan mereka untuk merealisasikan impian menjadi usahawan yang berjaya tidak harus diperlekehkan. Oleh itu, tidak hairanlah jika ada di antara usahawan-usahawan ini mampu untuk mengeluarkan zakat perniagaan untuk ‘dikongsi’ bersama asnaf yang memerlukan. Walaupun, sumbangan mereka kecil, tetapi nilainya tetap besar di sisi Allah s.w.t.

Membela ibu tunggal

Peranan wanita-wanita yang menjadi ibu tunggal juga tidak harus diketepikan. Keprihatian yang ditunjukkan oleh lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi membela nasib ibu-ibu tunggal misalnya wajar diberi perhatian. Dengan tertubuhnya D’Asnaf Kraf iaitu salah satu pembangunan ekonomi asnaf zakat melibatkan ibu-ibu tunggal yang mempunyai kemahiran kraftangan menggunakan surat khabar.

Di sinilah ibu-ibu tunggal akan mengembangkan kemahiran ada untuk menjana ekonomi keluarga mereka. Mereka tidak sekali-kali menggunakan status ibu tunggal untuk mengalah. Seharusnya ketabahan mereka ini untuk berjaya menjadi contoh kepada umat Islam dan kaum hawa yang lain.

Kesimpulan

Memetik tulisan saudari Aliza Jaafar dalam buku Perjuangan Wanita Kini: Hala Tuju dan Peranan Wanita Islam, “Mulailah dengan iman, turutilah dengan rasa cinta sesama manusia, justeru iringilah lagi iman kepada Allah dengan solat yang kusyuk lalu berzakatlah bila sampai masanya dan teguhlah memegang janji serta sabar dalam memikul tugas hidup. Beriman kepada Allah dan berbakti kepada masyarakat. Barulah kita terhitung sebagai seorang yang benar dan tinggi kedudukannya di sisi Allah.”

Jelas petikan tersebut menyuntik jiwa kaum wanita agar menjadi muslimah sejati. Sesungguhnya wanita adalah makhluk istimewa anugerah daripada Allah S.W.T. Apa yang penting, terserahlah kepada manusia untuk menilai dan memanfaatkan kehadiran mereka di muka bumi ini. Dan untuk wanita-wanita di Malaysia, teruslah melangkah agar terlakar sumbanganmu dalam rekod sejarah. Semoga semangat dan iltizam untuk membangunkan ummah menerusi zakat terus membara.

ZIARAH: LIHAT KEHIDUPAN ASNAF ZAKAT

0

Kuala Selangor, 19 April — Lembaga Zakat Selangor (LZS) daerah Kuala Selangor mengadakan aktiviti Ziarah Asnaf bagi melihat perkembangan kehidupan mereka dan secara tidak langsung dapat mengeratkan siraturahim di antara LZS dan penerima bantuan di sini hari ini.

Dua keluarga diziarahi iaitu rumah Roslan bin Halim di Bukit Belimbing dan Rusli bin Ahmad di Bukit Hijau.

“Kami amat berterima kasih di atas kunjungan ini dan berasa amat gembira. Apabila LZS datang berkunjung secara tidak langsung kami dapat berkongsi masalah secara terus dengan pegawai LZS,” ujar Roslan.  Roslan adalah penerima bantuan Persiapan Ramadan dan Persekolahan.  Beliau turut menerima bantuan bina rumah baru daripada LZS.

Manakala bagi Rusli pula dengan bantuan zakat yang diterima dapat meringankan bebanan mereka sekeluarga.  Terutamanya bantuan pendidikan untuk anak-anaknya. Beliau amat berterima kasih terhadap pembayar zakat.

Sedikit sumbangan diberikan semasa aktiviti ziarah ini.  Turut hadir, Ketua Kampung dan Nazir Masjid.

        

MENJANA PERANAN WANITA DALAM ZAKAT – siri 1

0

Oleh Hjh. Adibah Abdul Wahab
Timb. Pengurus Besar,
Pejabat Kutipan, LZS

Mungkin ada benar pepatah Melayu mengatakan ‘Tangan yang menghayun buaian juga mampu menggoncangkan dunia’. Itulah senario wanita-wanita pada hari ini. Kini wanita bukan lagi dianggap sebagai ‘penghuni tetap’ ceruk dapur semata-mata tetapi telah menjadi salah satu entiti penting dalam pembangunan ummah. Kredibiliti mereka tidak dipandang enteng lagi kerana keupayaan wanita mampu membuatkan mereka duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan kaum lelaki yang lain.

Lihat sahajalah nama seperti Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, Datuk Dr Ainum Mohd Saaid, Datuk Siti Norma Yaacob, Dr Mashitah Ibrahim, Datuk Dr Mazlan Othman dan sebagainya. Mereka inilah wanita-wanita besi yang menjadi tunjang negara. Ketokohan mereka menjadi sumber inspirasi kepada wanita-wanita lain di Malaysia.

Berdirinya wanita-wanita di Malaysia pada hari ini sedikit sebanyak merupakan kesinambungan daripada ‘keperkasaan’ wanita di dalam sejarah Islam. Wanita-wanita Islam dahulu telah membuktikan bahawa mereka bukanlah calang-calang orang. Sumbangan mereka terhadap pembangunan ummah amnya dan Islam khususnya, tidak dapat dipertikaikan lagi.

Nama-nama seperti Khadijah, Aisyah, Fatimah, Ramlah Abu Sufyan, Ummu Salamah, Siti Zubaidah, Maryam Jameelah, Zainab al-Ghazali dan sebagainya menjadi sebutan kerana pencapaian serta sumbangan yang amat bermakna kepada Islam.

Anjakan nilai wanita

Dewasa ini, anjakan nilai hidup menyebabkan berlakunya perubahan kepada wanita. Ini menyebabkan kaum wanita perlu mempersiapkan diri bagi memenuhi cabaran dan saingan globalisasi itu. Kepesatan pembangunan negara menyebabkan peranan wanita juga turut berubah.

Mereka kini lebih bersifat multi-functional disebabkan peranan mereka yang pelbagai. Merekalah anak, isteri, ibu, kakak atau adik dan dalam masa sama juga bertindak sebagai wanita berkarier yang menyumbang kepada pembangunan negara. Oleh kerana ramai wanita pada masa ini yang menunjukkan kebolehan dan kepimpinan yang membanggakan menyebabkan sumbangan mereka amat diperlukan.

Penglibatan kaum wanita sebagai pencari rezeki sudah diterima sebagai suatu realiti dalam masyarakat Islam moden, khususnya di negara maju dan membangun. Mungkin kerana kos kehidupan yang semakin meningkat terutamanya di bandar menyebabkan kaum wanita harus sama-sama keluar mencari rezeki untuk keluarga.

Oleh itu tidak hairanlah ketika ini, ramai wanita yang mempunyai pekerjaan kerana masing-masing memerlukan sumber pendapatan untuk membantu ekonomi keluarga. Memperoleh pendapatan daripada sumber yang bersih akan lebih berkat sekiranya kewajipan zakat itu dapat ditunaikan. (BERSAMBUNG…)

LZS ANJUR KARNIVAL SUKAN MAIS

0

Bandar Seri Putra, 16 April 2011 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menganjurkan Karnival Sukan Tahunan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Anak Syarikat 2011 yang diadakan di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) di sini hari ini.

Karnival Sukan MAIS ini diadakan dua tahun sekali yang melibatkan MAIS, LZS, KUIS dan MAIS Corporation. Pada kali ini seramai 456 orang peserta dan 13 acara dipertandingkan seperti bowling, badminton, ping pong, bola tampar, bola jarring, bola sepak, sepak takraw, karom, dam dan congkak.

Di antara objektif karnival sukan ini diadakan ialah sebagai wahana bagi kakitangan MAIS dan semua anak syarikatnya membina jaringan dan kerjasama korporat yang lebih baik dan dinamik demi menyediakan perkhidmatan yang lebih efisien kepada umat Islam di negeri Selangor.

Ia juga diharap mampu mengukuhkan jalinan silaturahim yang lebih erat di antara semua peserta, apatah lagi MAIS merupakan organisasi induk yang bertanggung jawab secara terus mengendalikan pelbagai kepentingan umat Islam di negeri ini dan perlu menjadi organisasi contoh kepada lain-lain pihak.

Majlis Perasmian Penutup dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Datuk Mohamad Adzib Mohd. Isa, Pengerusi MAIS.

Turut hadir, Mohamed Izam Mohamed Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Prof. Datuk Dr. Aziuddin Ahmad, Rektor KUIS dan Ab. Azis bin Ab. Llah, Pengurus Korporat Kumpulan MAIS Corporation.

PEMENANG KUIZ ZAKAT @ RADIO 24 TERIMA HADIAH

0

Kelana Jaya – Seorang jurutera, Wan Asrul Afendi Mohammad berjaya menjadi pemenang Kuiz Zakat @ Radio 24 dengan memenangi wang tunai bernilai RM3,000 tajaan Maybank Islamic menewaskan pemenang bulanan dan mingguan yang berlangsung sepanjang Disember 2010 dan Januari 2011 anjuran Lembaga Zakat Selangor.

Sebagai pemenang bulan Disember, beliau mendapat hadiah bernilai RM1,000 di samping hadiah mingguan sebanyak RM100 dan hadiah tambahan sebanyak RM100 kerana membayar zakat di LZS.

Selain itu, seramai sembilan orang pemenang mingguan turut menerima hadiah berupa RM100 setiap seorang.

Majlis penyampaian diadakan di Kompleks Tabung Haji yang disampaikan oleh Ahli Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Profesor Madya Dato’ Dr. Abdul Halim Tamuri.

LZS ZIARAH TIGA NEGERI PERKASA ASPEK AGIHAN ZAKAT

0

Shah Alam, 12 April 2011 – Seramai 15 orang delegasi kakitangan Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang diketuai Shamsuri Ashari, Eksekutif Pejabat Agihan LZS, telah melakukan lawatan kerja tiga hari (3, 4 dan 5 April 2011) ke tiga buah negeri di Utara Semenanjung Malaysia, iaitu Kedah, Pulau Pinang dan Perlis.

Lawatan ini bertujuan mencari idea dan pendekatan baharu dalam aspek pemerkasaan agihan zakat di samping bertukar-tukar pandangan dalam pelbagai aspek lain dalam usaha memperkasakan pengurusan zakat di Selangor.

Ketibaan delegasi LZS di Jabatan Zakat Negeri Kedah telah disambut oleh YBhg Dato’ Syeikh Ghazali bin Haji Yaacob, Setiausaha Jawatankuasa Zakat Kedah. Sesi taklimat telah disampaikan sendiri oleh beliau dan seterusnya kakitangan LZS telah dibawa melawat ke Pusat Jahitan Asnaf dan juga Pusat Bimbingan Islam Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (PUSBA), sebuah institusi pendidikan khusus kepada kalangan saudara baru bagi mendalami agama Islam.

Dalam kunjungan ke Perlis, delegasi LZS telah diraikan oleh YBhg Dato’ Abu Bakar Ahmad, Pengerusi Baitulmal Perlis dan juga kakitangan Baitulmal Perlis. Sesi taklimat telah disampaikan sendiri oleh beliau dan diikuti sesi muzakarah yang mengutarakan pelbagai isu semasa di Perlis dan Selangor mengenai urusan zakat. Delegasi LZS turut dibawa melawat ke Kompleks Islam Perlis, Persiaran Jubli Emas, Kangar yang menempatkan pejabat zakat di Baitulmal Perlis. Delegasi LZS kemudiannya juga dibawa ke Daerah Chuping yang merupakan tapak pembinaan penempatan berkelompok asnaf miskin di Perlis.

Lokasi terakhir LZS adalah ke Pusat Urus Zakat Pulau Pinang (PUZ) dan delegasi LZS disambut sendiri oleh Pengurus Besar PUZ, Dr. Hj. Azman Abdul Samat dan beberapa orang kakitangan PUZ. Sesi penerangan dilakukan dengan menerangkan tugas utama PUZ. Dalam sesi perbincangan, turut ditekankan peranan ‘stake holder’ ke atas institusi zakat dan juga fungsi institusi zakat dalam mendepani cabaran di alaf baharu.

Delegasi LZS kemudiannya dibawa ke beberapa projek asnaf PUZ, seperti Pusat Hemodialisis PUZ, Gerak Asnaf Niaga dengan projek PUZ Mart, Rumah Warga Emas dan Kompleks Pendidikan Asnaf di Kepala Batas.

Untuk bacaan lanjut, para pengunjung dipelawa melayari blog zakat di https://blog.e-zakat.com.my atau klikdi sini.

4 HARI 3 MALAM KE UTARA – siri 1

0

Oleh Hamizul Abdul Hamid yang turut serta dalam delegasi ke Utara dari 2 – 5 April 2011

3 April 2011 (Ahad)

Ziarah sambil belajar dan silaturrahim Lembaga Zakat Selangor (LZS) ke utara Semenanjung berjalan lancar. 15 orang kakitangan daripada pelbagai jabatan menyertai delegasi ke tiga negeri, Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

Bas Baitul Hasanah milik LZS mendesit laju di lebuh raya. Hasrat LZS hanya satu, iaitu menerokai ruang-ruang baharu dalam dunia agihan zakat yang mungkin belum diterobos oleh LZS dan juga menjalin komunikasi pelbagai hala yang mungkin dapat dimanfaatkan demi pembangunan zakat di setiap negeri.

Hari Ahad, subuh hening lagi delegasi LZS sudah tiba di perkarangan Masjid Albukhari, Kedah. Masjid cantik dengan senibina indah ini dijadikan lokasi pertama rombongan LZS. Usai solat Subuh berjamaah dan merapikan diri, kami meneruskan tujuan ke Menara Zakat.

Menara Zakat adalah bangunan milik penuh Jabatan Zakat Negeri Kedah (JZNK). Uniknya, di Kedah institusi zakat mereka tidak diletakkan di bawah Majlis Agama Islam Kedah; sebaliknya berdiri sendiri sebagai sebuah jabatan. Unggulnya juga JZNK ini, kerana merekalah satu-satunya institusi zakat di Malaysia yang awal-awal lagi sudah mempunyai gedung sendiri. Sebuah menara yang gagah berdiri di pinggiran jalan raya dan menjadi intaian semua orang. Ia dibina dan siap pada 1987.

Ketibaan delegasi LZS di JZNK telah disambut dengan ceria oleh YBhg Dato’ Syeikh Ghazali bin Haji Yaacob, Setiausaha Jawatankuasa Zakat Kedah dan juga kakitangan JZNK. Kami dibawa bersarapan dan selepas itu ke Dewan Aras 1 bagi mengikuti taklimat.

Taklimat telah disampaikan oleh Y.Bhg Dato’ Syeikh Ghazali bin Haji Yaacob. Beliau menyatakan LZS merupakan contoh bagi pusat zakat seluruh negara dan banyak perkara yang boleh dipelajari daripada LZS. ‘Kembang’ jugalah hati dan hidung kami delegasi LZS dipuji begitu. Hakikatnya, LZS sendiri masih banyak kelompangan yang perlu diperbaiki. Atas dasar itulah LZS mahu mencari pengalaman di negeri orang.

Sesi dialog menyaksikan banyak persoalan dibincangkan. LZS dan JZNK sebenarnya berkongsi senario yang sama dalam mengendalikan urusan zakat. Misalnya, bagaimana menangani isu kepercayaan masyarakat, cabaran dalam memperkasakan dakwah dan meningkatkan kutipan, memastikan agihan merata kepada semua yang berhak, isu kemiskinan yang tidak pernah lenyap, ketidak puasan hati penerima bantuan dan pelbagai lagi.

LZS telah melantik En. Ahmad Mustoffa selaku wakil dan beliau mengalungkan ucapan terima kasih kepada JZNK atas kesudian JZNK menerima kunjungan LZS. Beliau menegaskan bahawa lawatan kerja LZS bertujuan untuk mendapatkan pendedahan berkaitan operasi agihan dan kutipan zakat yang dilaksanakan di negeri Kedah.

Delegasi LZS kemudiannya dibawa berkunjung ke Bengkel Jahitan Asnaf JZNK yang merupakan antara projek pembangunan asnaf JZNK. Kami juga dibawa ke PUSBA.

Apakah PUSBA? Ia adalah singkatan kepada Pusat Bimbingan Islam Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (PUSBA). Awalnya ia dikenali sebagai Pusat Bimbingan dan Latihan Saudara Baru (PUSBA) yang bermatlamat menyediakan ruang dan kemudahan khsusus kepada kalangan saudara baru mendalami agama Islam.

Pembangunan PUSBA ini telah bermula pada 21 April 2003 dan telah siap sepenuhnya pada 14 Mei 2005 dengan kos sebanyak RM 3, 226, 721.70 yang menggunakan peruntukkan daripada JZNK.

Hingga kini, PUSBA dibiayai sepenuhnya oleh JZNK dan operasinya dijalankan oleh kakitangan lantikan Majlis Agama Islam Kedah. Kami didedahkan mengenai aktiviti di sini dan sempat berinteraksi dengan kalangan tenaga penggerak yang juga terdiri daripada kalangan saudara baru. Sehingga kini PUSBA menampung ramai pelajar mualaf termasuklah dari Selangor dalam mempersiapkan diri mereka demi mendepani hari-hari baharu yang pastinya amat mencabar.

Usai solat Zuhur berjamaah secara jamak dan qasar di surau PUSBA, kami meneruskan agenda untuk ke Perlis pula. (Bersambung)

KEMPEN TAMBAH CARUMAN ZAKAT: GALAK PEMBAYAR TUNAI ZAKAT IKUT JUMLAH YANG TEPAT

0

SHAH ALAM, 7 April 2011 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS hari ini melancarkan Kempen Tambah Caruman Zakat bagi menggalakkan pembayar zakat sedia ada menyemak semula jumlah potongan zakat bulanan agar bertepatan dengan jumlah sebenar yang wajib dibayar.

Kempen ini menyasarkan individu yang telah menunaikan zakat melalui potongan gaji dengan jumlah yang sama walaupun telah melebihi tiga tahun.

LZS berharap dengan adanya kempen ini, pencarum akan membuat taksiran semula pendapatan mereka dan membayar mengikut jumlah sebenar yang wajib ditunaikan selari dengan penambahan pendapatan bulanan mereka.

Melalui kempen ini LZS menyasarkan kenaikan jumlah zakat sebanyak 10 peratus iaitu RM13.4 juta daripada RM134 juta jumlah zakat pendapatan yang ditunaikan tahun lalu. Sepanjang tahun lalu seramai 110,715 orang telah menunaikan zakat pendapatan.

Selain itu, LZS juga menggalakkan orang ramai yang masih belum menunaikan zakat membuat taksiran pendapatan mereka sendiri bagi memastikan kelayakkan menunaikan zakat. Taksiran boleh dilakukan di 23 buah cawangan LZS atau menerusi laman sesawang LZS di e-zakat.com.my.

Pelancaran kempen ini telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof di Majlis Program Bicara Berkat Agensi Badan Berkanun yang diadakan di sini.

Turut hadir, Timbalan Pengurus Besar Pejabat Kutipan, Adibah Abdul Wahab.

Berita Terkini