Utama Blog Halaman 115

UCAPAN TAHNIAH SEMPENA PENGANUGERAHAN PINGAT

0

SHAH ALAM–Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengucapkan tahniah kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Tn. Hj. Marzuki Husein dan Ketua Pegawai Eksekutif Koperasi Pembiayaan Asyariah Angkasa Berhad merangkap Ahli Jawatankuasa Pemandu Kutipan LZS Profesor Madya Syed Mohd Ghazali Wafa Syed Adwam Wafa, kerana menerima Darjah Kelas Kedua, Darjah Kebesaran Dato’ Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S).

Darjah yang membawa gelaran Dato’ ini, diterima sempena Hari Ulang tahun Keputeraan yang ke-66 D.Y.M.M Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 10 Disember.

Tahniah di atas penganugerahan ini.

ZAKAT MEMBANGUNKAN DESA IMAN

0

Allah SWT pernah menyatakan: “Sesungguhnya orang-orang beriman itu bersaudara. Maka, damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan bertakwalah kepada Allah, supaya kamu mendapat rahmat.” (al-Hujurat: 10)

Ayat di atas menjadi tangkal ajaib, agar penulis tegar menelusuri jalan berliku meredah kampung dan estet, bagi menuju ke sebuah daerah yang asing dan kesing. Di situlah, di sebalik kehijauan alam yang berlatar belakangkan kebiruan pergunungan, juga mengalir tenang Sungai kerling, terselitnya sebuah perkampungan yang aman dan tenteram.

Itulah sebuah kampung kecil yang diberi nama Desa Iman, yang berdiri kukuh hasil wang zakat. Di situlah, penulis bersama kira-kira 80 orang peserta Ziarah Korporat dan Media Bersama Asnaf (ZIKRA) menemui ertinya pengorbanan dan perjuangan, lewat temu bicara singkat bersama Ustaz Mohd. Zulkifli Dawam, 51 Penggerak Orang Asli di Desa Iman, pada 30 November 2011 yang lalu.

“Sebagai penggerak masyarakat Orang Asli, saya memang berusaha melunakkan hati mereka kepada Islam. Alhamdulillah, Orang Asli di sini yang berketurunan Suku Temuan sudah ramai yang memeluk Islam, termasuklah Tok Batin mereka. Ada kira-kira 12 keluarga muallaf di sini. Lalu, apa yang menjadi cabaran kepada saya ialah, bagaimana untuk menarik mereka agar memahami dan menghayati ajaran Islam dalam kehidupan.” Demikianlah secebis luahan Ustaz Zul kepada para peserta kala mengisahkan suka-duka usahanya menjadi penggerak di situ.

“Masyarakat orang Asli ini memang sukakan hiburan. Bagi mereka, dengan joget itulah peluang untuk mencari pasangan. Maka, kebijaksanaan perlu ada dalam usaha dakwah. Jika terlalu keras, lain pula jadinya. Misalnya, apabila sudah memeluk Islam, maka mereka perlu sedar batas-batas dalam pergaulan.” Tambah beliau lagi.

Lalu penulis sendiri teringat sewaktu mengikuti sebuah program bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di sebuah penempatan orang Asli beberapa ketika dahulu, bagi memikat hati mereka untuk hadir ke program, JAIS terpaksa memainkan lagu-lagu dangdut. Penulis awalnya merasa pelik; namun salah seorang kenalan menyatakan, hiburan itu adalah strategi. Mungkin strategi inilah juga kunci kejayaan dakwah Islamiyyah para Wali Songo di Pulau Jawa ratusan tahun dahulu, fikir penulis lagi.

Hakikatnya, berat mata memandang maka berat lagi bahu yang menyandang. Amanah yang ditanggung oleh Ustaz Zul bukanlah mudah. Inikerana, kedudukan Desa Iman Kuala Kerling yang jauh dari jalan besar, menyebabkan tidak ramai pihak pendakwah yang sudi menjengah. Jika tidak salah kiraan penulis, kami terpaksa mengharungi perjalanan lebih enam kilometer ke dalam kawasan hutan sebelum tiba ke desa berkenaan.

“Sedih juga hati saya, jika di penempatan lain, ramai pihak pendakwah, sama ada dari Badan Bukan Kerajaan (NGO) mahu pun pertubuhan muallaf yang datang berkunjug. Tetapi di Desa Iman Kuala Kerling ini, amat jarang sekali. Mujurlah Lembaga Zakat Selangor (LZS) sudi mengadakan program seumpama ini, maka setidak-tidaknya dapatlah ia mengembirakan para penghuni di Desa Iman ini.

“Misalnya pada sambutan Hari Raya Aidiladha baru-baru ini, puas juga saya mencari-cari mana-mana pihak yang sudi menyedekahkan seekor lembu untuk dikorbankan. Sayangnya, hingga habis hari raya, seekor pun saya tak dapat.

“Surau pun agak jauh dari sini. Sebab itulah, saya terfikir juga untuk membina sebuah pentas terbuka siap berbumbung di bahagian hadapan Desa Iman ini. Nanti, jika ada sebarang program, sama ada nasyid, ceramah dan sebagainya, kita boleh adakan di situ.” Tambah beliau lagi dengan nada penuh harapan.

Hakikatnya, Desa Iman ini adalah sebuah penempatan berkelompok yang dibangunkan khusus untuk asnaf muallaf di Selangor. Di samping Desa Iman di Hulu Selangor ini, ada dua buah lagi penempatan muallaf, iaitu Desa Mansuriah, di Sepang dan Baitul Hidayah, di Hulu Langat. Kesemua penempatan ini dibina dengan wang zakat, demi menyediakan suasana yang lebih kondusif untuk para asnaf muallaf memulakan kehidupan beragama Islam.

Di samping LZS, Bahagian Pembangunan Insan, di bawah Majlis Agama Islam Selangor juga turut bertanggung jawab memantau keadaan. Surau juga telah dibaik pulih dan dilengkapi dengan prasarana yang lebih baik, cuma sayangnya ia agak jauh dari rumah penghuni. Sementara itu, Ustaz Zul sendiri merupakan penggerak masyarakat yang dititip khas oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), bagi mengadakan pengisian dan memandu para muallaf ini demi menjalani kehidupan sebagai muslim yang sejati.

“Mungkin tuan-tuan dan puan-puan mempunyai idea lebih bernas untuk kemajuan desa ini, maka berikanlah kepada saya agar dapat saya realisasikan di sini. Puas sudah saya memerah minda, namun realitinya membangunkan manusia bukanlah mudah. Mudah-mudahan, Allah SWT memberkati usaha kita ini.” Tutup bicara beliau di petang yang dingin, setelah hujan berhenti membasahi bumi di Desa Iman, Kuala Kerling yang hening dan sunyi.

Nota: Mana-mana individu atau pertubuhan sukarela yang berminat mengadakan misi dakwah dan menyalurkan bantuan ke penempatan ini, silalah berhubungan dengan Ustaz Mohd. Zulkifli Dawam di talian 019-2735641.

RM14.5 JUTA BANTU PERSEDIAAN SEKOLAH 27 RIBU ANAK ASNAF

0

Shah Alam–Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS menyalurkan bantuan zakat sebanyak RM14,542,160.00 kepada seramai 27,953 orang pelajar asnaf fakir miskin bagi membantu meringankan bebanan ibu bapa terutamanya bagi membiayai kelengkapan dan yuran persekolahan untuk sesi persekolahan 2012.

Bantuan di bawah Program Pembangunan Pendidikan ini bermula dari 21 November 2011 hingga 29 Disember 2011 di seluruh negeri Selangor dengan jumlah keseluruhan 29 program.

Setiap keluarga akan menerima bantuan keperluan peralatan persekolahan berbentuk baucher dan yuran persekolahan mengikut jumlah tanggungan; maksimum sehingga RM2,000 bagi sebuah keluarga.

Nilai baucher yang diberikan kepada setiap pelajar lelaki sekolah kebangsaan berjumlah RM150 dan sekolah agama rakyat pula sebanyak RM130. Manakala bagi sekolah menengah sebanyak RM180. Manakala bagi pelajar perempuan, sekolah kebangsaan sebanyak RM170, sekolah rendah agama (RM150) dan sekolah menengah sebanyak RM200. Manakala pelajar tadika menerima baucher bernilai RM100 setiap seorang.

Manakala bagi yuran persekolahan, bagi sekolah kebangsaan dan rendah agama mereka menerima masing-masing sebanyak RM150 seorang, sekolah menengah RM250 setiap seorang dan tadika RM100 setiap seorang.

Pada sesi persekolahan 2010, LZS menyalurkan sebanyak RM12.54 juta bagi membanti 34,787 anak-anak fakir/miskin.

LZS DAN MASJID DARUL EHSAN ANJUR KHATAN PERDANA

0

SUBANG JAYA–Seramai 150 orang anak fakir miskin daerah Petaling menyertai program Khatan Perdana anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan kerjasama Masjid Darul Ehsan yang diadakan di sini pada 28 November. Program ini dirasmikan oleh Datuk Emran Kadir, Orang Besar Daerah Petaling.

Program berkhatan ini merupakan sebahagian daripada aktiviti tahunan LZS khususnya bagi meringankan bebanan ibu bapa daripada kalangan asnaf zakat yang harus mengkhatankan anak-anak lelaki mereka. Kos bagi dibiayai oleh pihak LZS sebanyak RM120.00 seorang.

Aturcara berkhatan ini dimeriahkan lagi dengan aktiviti berarak dan mandi hujan beramai-ramai. Program ini juga mendapat liputan secara langsung dari pihak Malaysia Hari Ini, TV3.

Sebanyak tujuh program berkhatan diadakan di seluruh Selangor pada tahun ini yang melibatkan 697 orang peserta. Selain Petaling, daerah lain yang terlibat ialah Sabak Bernam (197), Hulu Langat (50), Gombak (60), Kuala Selangor (100), Klang dan Kuala Langat, masing-masing 70 orang.

Turut hadir ialah Mohamed Izam Mohamed Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif LZS.

ZIKRA 2.0 CATAT KENANGAN MANIS

0

SHAH ALAM, 30 NOV – Hampir 80 orang peserta daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM), Koperasi Angkasa dan wakil-wakil media, iaitu Bernama Radio 24, Berita Harian, Utusan Malaysia, Sinar Harian dan TV al-Hijrah telah menyertai Program Ziarah Korporat dan Media Bersama Asnaf (ZIKRA 2.0) yang diadakan buat kali kedua pada tahun ini. Kira-kira 20 orang kakitangan Lembaga Zakat Selangor (LZS) turut mengiringi konvoi ini.

Program ZIKRA 2.0 pada kali ini telah memilih tujuh buah lokasi di Shah Alam, Rawang dan Hulu Selangor sebagai destinasinya. Di Shah Alam, para peserta bermula dari Bangunan Zakat Selangor dan melawati Pusat Dialisis MAIS dan Dobi Point yang diusahakan oleh asnaf zakat di Seksyen 3.

Lokasi berikutnya ialah Restoran Selera Utara di Rawang yang juga diusahakan oleh seorang ibu tunggal asnaf zakat. Para peserta telah menikmati makan tengah hari di situ. Setelah itu, para peserta langsung dibawa menuju ke Hulu Selangor.

Di Hulu Selangor, destinasi pertama adalah Desa Iman, iaitu penempatan berkelompok asnaf muallaf dari kalangan orang asal yang berketurunan Suku Temuan. Terdapat 12 keluarga yang memeluk Islam di sini.

Rombongan ZIKRA 2.0 telah disambut oleh Ustaz Zul Dawam, yang merupakan Penggerak Masyarakat di sini. Dalam ucapannya, beliau amat berharap program ziarah seumpama ini diadakan lebih kerap, memandangkan Desa Iman yang terletak di Kerling ini agak jauh ke pedalaman dan kurang mendapat kunjungan masyarakat luar, khususnya para pendakwah dan organisasi Islam. Di sini, ZIKRA 2.0 telah menyampaikan pelbagai jenis bantuan kepada masyarakat orang asli di sini.

Destinasi selanjutnya adalah Baitul Iman dan Baitul Hasanah yang terletak berdekatan di Kuala Kubu Bharu. Baitul Iman merupakan Pusat Pemurnian Akidah yang dikendalikan oleh Majlis Agama Islam Selangor dan merupakan satu-satunya institusi yang bersifat sedemikian di Malaysia. Baitul Iman dibiayai oleh LZS di bawah asnaf riqab.

Baitul Hasanah pula merupakan penempatan bagi anak-anak asnaf fakir dan miskin, yang diwujudkan demi memberikan mereka peluang memperolehi pembelajaran yang lebih baik. Baitul Hasanah Hulu Selangor diwujudkan sejak tahun 2006 lagi dan kini menempatkan 26 orang pelajar, iaitu 12 orang lelaki dan 14 orang perempuan.

Destinasi terakhir ZIKRA 2.0 adalah Pusat Latihan Asnaf Selangor atau PLAS. PLAS merupakan sebuah pusat latihan yang baharu sahaja disiapkan pada tahun 2010. Terletak di Jalan Ulu Yam, ia menjadi mercu tanda kejayaan agihan zakat di Selangor. Di PLAS inilah, pelbagai program latihan dan kursus untuk para asnaf zakat akan dilangsungkan. PLAS turut dibuka kepada masyarakat luar dengan kadar bayaran yang tertentu.

ZIKRA 2.0 hakikatnya telah berjaya mencapai matlamatnya, kerana berdasarkan maklum balas peserta, mereka menjadi bertambah yakin terhadap LZS bersandarkan kesungguhan LZS mengagihkan zakat di Selangor.

LZS turut mengucapkan terima kasih dan penghargaan yang tinggi kepada pihak Polis DiRaja Malaysia, Bahagian Trafik, IPK Selangor, kerana telah sudi menyediakan tiga motorsikal peronda bagi mengiringi dan melancarkan trafik konvoi ZIKRA 2.0 pada kali ini.

Kepada semua peserta dan mereka yang terlibat, LZS mengalungkan ucapan terima kasih dan semoga ziarah ini memberikan kita sedikit pencerahan terhadap usaha-usaha LZS dalam memperkasakan kutipan dan agihan zakat di negeri ini.


BAYAR ZAKAT TANPA WAYAR MELALUI KAD KREDIT

0

Kuala Lumpur – Dalam usaha memudahkan dan menggalakkan orang ramai membayar zakat, salah satu ejen kutipan zakat Lembaga Zakat Selangor (LZS) iaitu AmIslamic Bank melancarkan saluran pembayaran zakat terbaru iaitu membuat pembayaran menggunakan perkhidmatan tanpa wayar kepada pemegang kad kredit AmIslamic.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mahdi Murad berkata pelancaran kemudahan itu adalah tambahan kepada kemudahan pembayaran zakat lain yang ditawarkan pihaknya ketika ini, iaitu menerusi potongan akaun simpanan, akaun semasa dan kad kredit menggunakan perbankan dalam talian (AmOnline) dan perbankan mudah alih (AmGenie).

AmIslamic Bank mula bekerjasama dengan LZS sebagai ejen kutipan zakat sejak Disember 2002 dalam usaha memudahkan urusan pembayaran zakat di negeri ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof berkata, Disember adalah antara waktu yang sering menjadi pilihan orang ramai untuk membuat bayaran zakat dan pihaknya menyediakan pelbagai saluran bagi memudahkan orang ramai antaranya membuka 24 kaunter zakat tujuh hari seminggu selain kemudahan pembayaran zakat melalui internet, kad kredit dan lain-lain.

Melalui kerjasama dengan ejen kutipan zakat ini, pembayar zakat kini mempunyai pilihan yang lbih luas perkhidmatan untuk membuat pembayaran zakat.

Menurutnya, pada tahun lalu LZS mengutip zakat sekitar RM337 juta zakat dan meletakkan sasaran kutipan sebayak RM350 juta hingga akhir tahun ini.

LZS DAN PLUS BERHAD RAI FAKIR MISKIN

0
Subang–Sempena sambutan Aidil Adha baru-baru ini, Plus Berhad  dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengadakan program ‘Sehari Bersama Plus’ di Kompleks Plus Wilayah Tengah di sini pada 10 November.Program ini  adalah salah satu aktiviti bagi menunaikan tanggungjawab sosial  korporat Plus Berhad dan salah satu bentuk program bersama komuniti bagi mengeratkan siraturahim di antara LZS dan Plus Berhad.Seramai 50 orang asnaf fakir miskin dari Pangsapuri Baraqah, Subang Bestari menerima sumbangan wang tunai dan hamper semasa program. Seekor lembu juga dikorbankan untuk dikongsi bersama fakir miskin, kakitangan Plus Berhad dan LZS yang turut hadir.

Selain itu, program dipenuhi dengan ceramah bertajuk Sedekah dan Kelebihannya yang disampaikan oleh Ustaz Hamizul Abdul Hamid, Eksekutif LZS. Di samping itu melalui program ini kakitangan Plus juga dapat beramah mesra dengan asnaf fakir miskin yang hadir.

Turut hadir, Ahmad Fuad Ahmad Shahimi Pengurus Wilayah Tengah Plus dan Abdul Malek Awang Besar, Ketua Jabatan Pembangunan Asnaf, LZS.

BADAN AMIL ZAKAT INDONESIA LAWAT LZS

0

SHAH ALAM–Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerima lawatan dari Badan Amil Zakat, Kabupaten Luwu, Indonesia di sini pada 11 November bagi berkongsi tentang pengurusan zakat di Selangor.

Delegasi seramai 29 orang itu diberi taklimat tentang operasi kutipan dan agihan zakat yang dilaksanakan di Selangor dan dibawa melawat ke kaunter zakat untuk melihat sendiri proses kutipan dan agihan dilaksanakan. Mereka juga mengambil peluang ini untuk mengajukan pelbagai soalan berkaitan pengurusan zakat.

Menurut ketua Delegasi, Mujahidin MA, “mereka kagum melihat perkembangan LZS dalam mengurus kutipan dan agihan zakat sehinggakan LZS dikenali di tempat mereka. Ilmu yang mereka peroleh akan digunakan untuk menambahbaik pengurusan zakat di tempat mereka nanti,” ujarnya.

Lawatan diakhiri dengan penyampaian cenderahati dan bahan informasi kepada delegasi.

RM215.6 JUTA ZAKAT DIAGIHKAN SEPANJANG JANUARI HINGGA SEPTEMBER

0

Shah Alam, 14 Nov – Lembaga Zakat Selangor (MAIS) mengagihkan sebanyak RM215.6 juta kepada lapan asnaf dari Januari sehingga September 2011 melalui lima program pembangunan yang disediakan.

Lima program pembangunan tersebut adalah sosial (RM101.5 juta), pendidikan (RM62.2 juta), insan (RM7.2 juta), institusi agama (RM6.8 juta) dan ekonomi sebanyak RM3.5 juta.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM24 juta diagihkan kepada asnaf fakir, RM44.7 juta diagihkan kepada asnaf miskin, RM11.2 juta (asnaf mualaf) dan RM34.2 juta (asnaf amil).

Manakala bagi asnaf fisabilillah sebanyak RM69.6 juta, RM29.5 juta (asnaf gharimin), RM1.9 juta bagi asnaf riqab dan RM0.6 juta bagi ibnu sabil.

Berita Terkini