Kuala Lumpur – Dalam usaha memudahkan dan menggalakkan orang ramai membayar zakat, salah satu ejen kutipan zakat Lembaga Zakat Selangor (LZS) iaitu AmIslamic Bank melancarkan saluran pembayaran zakat terbaru iaitu membuat pembayaran menggunakan perkhidmatan tanpa wayar kepada pemegang kad kredit AmIslamic.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mahdi Murad berkata pelancaran kemudahan itu adalah tambahan kepada kemudahan pembayaran zakat lain yang ditawarkan pihaknya ketika ini, iaitu menerusi potongan akaun simpanan, akaun semasa dan kad kredit menggunakan perbankan dalam talian (AmOnline) dan perbankan mudah alih (AmGenie).

AmIslamic Bank mula bekerjasama dengan LZS sebagai ejen kutipan zakat sejak Disember 2002 dalam usaha memudahkan urusan pembayaran zakat di negeri ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof berkata, Disember adalah antara waktu yang sering menjadi pilihan orang ramai untuk membuat bayaran zakat dan pihaknya menyediakan pelbagai saluran bagi memudahkan orang ramai antaranya membuka 24 kaunter zakat tujuh hari seminggu selain kemudahan pembayaran zakat melalui internet, kad kredit dan lain-lain.

Melalui kerjasama dengan ejen kutipan zakat ini, pembayar zakat kini mempunyai pilihan yang lbih luas perkhidmatan untuk membuat pembayaran zakat.

Menurutnya, pada tahun lalu LZS mengutip zakat sekitar RM337 juta zakat dan meletakkan sasaran kutipan sebayak RM350 juta hingga akhir tahun ini.