Utama Blog Halaman 7

MAKLUM BALAS PERMOHONAN BANTUAN LZS DITOLAK

0

SHAH ALAM, 11 November 2022 – Berikut merupakan maklum balas Lembaga Zakat Selangor (LZS) berkenaan berita yang disiarkan di portal mStar bertajuk ‘Ke Hulu Ke Hilir, Duit Banyak Habis Demi Bantuan One-Off… Pelajar B40 Kecewa Permohonan Ditolak Sebab Sign Mencurigakan’ baru-baru ini.

Menurut mStar, tular dakwaan di facebook berkenaan seorang penuntut di Institut Pengajian Tinggi (IPT) menggunakan profil identiti Abdul Ghafur yang ditolak permohonan Sumbangan Pendidikan Zakat Anak Selangor (SPZAS) disebabkan cop pengesahan dan tandatangan bagi surat pengesahan belajar didapati meragukan.

Untuk makluman sebelum berita ini tersiar di mStar, LZS telah pun menghubungi pengadu melalui private message untuk mendapatkan maklumat butiran diri.

Hal ini kerana semakan LZS tidak dapat dilakukan berikutan profil identiti di facebook tersebut adalah palsu. Pengadu akhirnya berjaya dihubungi melalui private message dan memberikan maklumat butiran diri bagi tujuan semakan.

Sehubungan itu, LZS telah memberi penjelasan berkenaan kesilapan teknikal yang dilakukan beliau dalam penyediaan dokumen keperluan dan mempertimbangkan alternatif penyelesaian sewajarnya dalam membantu beliau memperbaiki perkara tersebut.

Sehingga kini, LZS telah menerima lebih 40,000 permohonan bagi SPZAS IPT yang masih dibuka hingga 3 Disember 2022. SPZAS diperkenalkan bertujuan membantu meringankan beban golongan bukan asnaf (fakir, miskin dan mualaf), khususnya dalam kelas B40 serta M40 yang memerlukan bantuan bagi menampung keperluan pendidikan menggunakan peruntukan di bawah asnaf fisabilillah.

LZS sentiasa berusaha menambah baik perkhidmatannya kepada pelanggan dari semasa ke semasa. Sebarang aduan boleh ajukan melalui saluran yang disediakan seperti berikut:
1. Talian Zakat Selangor 1 300 88 4343
2. Emel ke maklumbalas@zakatselangor.com.my
3. Borang maklum balas secara dalam talian di portal www.zakatselangor.com.my

LZS TERIMA KUNJUNGAN PPZ-MAIWP

0
SHAH ALAM, 19 Oktober 2022 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menerima kunjungan kerja Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) ke ibu pejabat LZS di sini.

Kunjungan yang disertai tujuh wakil PPZ-MAIWP diketuai oleh Pengerusi PPZ-MAIWP, Tan Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman dan disambut oleh Ketua Pengawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini.

Selain mengeratkan hubungan dua hala antara LZS dan PPZ-MAIWP, kunjungan kali ini turut bertukar-tukar pandangan berkenaan pengurusan zakat di negeri masing-masing.

Hadir sama dalam sesi ini, Ketua Divisyen Mohd Fikri Naim Harun, Timbalan Ketua Divisyen Pembangunan Asnaf, Mohd Nurhisyam Shamsir danTimbalan Ketua Divisyen Perkhidmatan Cawangan & Hab, Zulkepli bin Md Yarim

KAUNTER SEMENTARA CAWANGAN KUALA KUBU BHARU

0

Adalah dimaklumkan bermula 11 OKT  2022 Cawangan Lembaga Zakat Selangor Kuala Kubu Bharu akan beroperasi di Kaunter Sementara ZOW di Masjid Jamek Ar- Rahimah Kuala Kubu Bharu disepanjang kerja-kerja renovasi dijalankan.

KAUNTER SEMENTARA CAWANGAN SUNGAI BESAR

0

Adalah dimaklumkan bermula 11 OKT  2022 Cawangan Lembaga Zakat Selangor Sungai Besar akan beroperasi di Kaunter Sementara Pusat Pembangunan Zakat Sungai Besar disepanjang kerja-kerja renovasi dijalankan.

Ia akan beroperasi di alamat berikut :

PUSAT PEMBANGUNAN ZAKAT SELANGOR
No.11-1(Tingkat bawah) Jalan Perwira 2,
Taman Perwira, 45300 Sungai Besar, Selangor

Segala kesulitan amat dikesali.

RM20 JUTA BANTUAN PENDIDIKAN MELALUI SPZAS 

0

SHAH ALAM, 3 Oktober 2022 – Sebanyak RM20 juta agihan zakat diperuntukkan untuk bantuan pendidikan umat Islam di Selangor melalui Sumbangan Pendidikan Zakat Anak Selangor (SPZAS) bagi sekolah rendah, menengah dan institusi pengajian tinggi (IPT) yang mula dibuka hari ini secara dalam talian.  

Permohonan boleh dibuat dengan melayari laman sesawang  www.zakatselangor.com.my/spzas sehingga 3 Disember 2022 ini.  

Ia terbuka kepada warganegara Malaysia yang beragama Islam, lahir dan menetap di Selangor atau bermastautin dan masih menetap di Selangor tidak kurang dari tiga tahun.  

Di samping itu, pendapatan seisi rumah pemohon hendaklah melebihi haddul kifayah iaitu garis kecukupan bagi penentuan sebagai asnaf, namun jumlah lebihan tersebut tidak melebihi nilai maksimum RM11,000.  

Setiap permohonan SPZAS sekolah rendah dan menengah akan menerima bantuan bergantung kepada jumlah tanggungan pada kadar RM200.00 seorang. Manakala bagi permohonan SPZAS IPT akan menerima bantuan sebanyak RM700 hingga RM2,500.  

Bagaimanapun, asnaf fakir, miskin dan muallaf yang menerima tajaan pendidikan daripada LZS tidak boleh memohon bantuan terbabit. Mereka boleh merujuk ke cawangan LZS yang berhampiran atau penolong amil kariah bagi bantuan pendidikan sekiranya memerlukan.  

SPZAS diperkenalkan bertujuan membantu meringankan beban golongan bukan asnaf (fakir, miskin dan mualaf), khususnya dalam kelas B40 serta M40 yang memerlukan bantuan bagi menampung keperluan pendidikan menggunakan peruntukan di bawah asnaf fisabilillah.   

Sebarang pertanyaan lanjut, boleh hubungi Talian Zakat Selangor 1 300 88 4343.

LZS TURUN PADANG KESAN KELUARGA MEMERLUKAN

0

KAJANG, 24 September 2022 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) daerah Hulu Langat hari ini turun padang bagi mengesan keluarga yang memerlukan dan layak didaftarkan sebagai golongan asnaf seterusnya disantuni dengan manfaat zakat dalam program Skuad Jejak Kemiskinan (SJK) di sini.

Ia melibatkan 45 keluarga di kariah Masjid At-Taqwa, Bandar Bukit Mahkota, Masjid Bandar Seri Putra dan Masjid Sungai Kembong Hilir.

Operasi rutin yang bersifat cari, siasat dan bantu ini bertujuan bagi mengenal pasti individu atau keluarga yang memerlukan bantuan dan akan disenaraikan sebagai asnaf fakir, miskin dan mualaf. Matlamat LZS untuk menangani kemiskinan di Selangor, iaitu kepada golongan yang layak, namun masih belum disantuni oleh LZS atas beberapa faktor.

Melalui operasi ini, siasatan secara terus dijalankan bagi menyemak keperluan berdasarkan haddul kifayah (garis penentuan kemiskinan) keluarga yang terlibat.

Seterusnya, keluarga yang layak didaftarkan sebagai asnaf, akan disantuni dengan bantuan zakat seperti bantuan yuran dan kelengkapan persekolahan, bantuan Ramadan dan Hari Raya serta bantuan lain bergantung kepada keperluan semasa keluarga tersebut. Selain itu, aktiviti turun padang turut menjejaki keperluan lain bagi umat Islam di kawasan sekitar melalui agihan wang zakat kepada asnaf gharimin dan fisabilillah.

Dalam masa sama, LZS turut menjalankan semakan status terkini keluarga asnaf fakir dan miskin sedia ada bagi memastikan bantuan zakat yang disalurkan bertepatan dengan keperluan sesebuah keluarga Operasi SJK hari ini turut mendapat kerjasama daripada Penolong Amil Kariah (PAK) LZS. Untuk makluman, PAK ini merupakan individu yang dilantik oleh LZS bagi menjalankan tugas-tugas bancian, semakan dan menjaga kebajikan orang Islam yang layak menerima zakat dalam dikategorikan asnaf fakir, miskin dan mualaf.

Sebagai mata dan telinga kepada LZS, PAK amat berperanan sebagai pemudahcara antara LZS dengan masyarakat terutama golongan asnaf.

Sehingga Jun 2022 seramai 59,991 keluarga keluarga asnaf fakir dan miskin telah disantuni oleh LZS. Daripada jumlah tersebut, 8,887 adalah keluarga asnaf di daerah Hulu Langat.

Turut hadir, Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Dato’ Dr. Abdul Rahman Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini.

BARISAN PENGURUSAN TERTINGGI LZS LAFAZ IKRAR BEBAS RASUAH

0
SHAH ALAM, 15 September 2022 –  Barisan Pengurusan Tertinggi Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini melafazkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sebagai tanda komitmen melaksanakan tugas dengan penuh amanah sekaligus meningkatkan iltizam menjauhkan penyalahgunaan kuasa terutamanya rasuah dalam satu program ringkas di sini.
Lafaz ikrar ini diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini sambil disaksikan oleh Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Selangor, Dato’ Alias Salim dan seterusnya menandatangani IBR.
Menurut Mohd Sabirin dalam ucapannya, program ini merupakan inisiatif LZS bagi membudayakan kepimpinan berintegriti dalam kalangan pengurusan tertinggi di samping menjadi peringatan menjauhi rasuah.

“Siri-siri kesedaran integriti turut dilaksanakan di peringkat warga kerja LZS agar setiap tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada mereka dilaksanakan dengan penuh integriti lebih-lebih lagi dalam menyantuni golongan asnaf. Ia seiring dengan langkah persediaan LZS ke arah pensijilan MS ISO 3701:2016 Sistem Pengurusan Anti Rasuah,” jelasnya.

25 KELUARGA DIKESAN SEBAGAI ASNAF BARU DAERAH HULU SELANGOR 

0

HULU SELANGOR, 1 September 2022 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengesan seramai 25 keluarga sebagai asnaf baru bagi daerah Hulu Selangor dalam operasi Skuad Jejak Kemiskinan (SJK) yang diadakan melibatkan dua buah pangsapuri di Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung baru-baru ini.  

Secara keseluruhan seramai 42 ketua keluarga telah disiasat dan dibanci menerusi operasi ini bagi menyemak keperluan berdasarkan haddul kifayah dengan kerjasama penolong amil kariah dan ketua blok.  

Senarai keluarga ini terlebih dahulu telah kenal pasti berdasarkan kepada beberapa kriteria seperti jumlah tanggungan ramai dan berpendapatan rendah.  

Keluarga yang layak akan didaftarkan sebagai asnaf fakir dan miskin seterusnya disantuni dengan bantuan zakat seperti bantuan yuran dan kelengkapan persekolahan, bantuan Ramadan dan Hari Raya serta bantuan lain bergantung kepada keperluan semasa keluarga tersebut.  

Operasi SJK ini diadakan bagi mengesan golongan yang layak menerima bantuan zakat namun masih belum disantuni oleh LZS. Sehingga kini, sebanyak tiga kali operasi yang sama telah diadakan di daerah Hulu Selangor dan akan diteruskan dari semasa ke semasa.    

Untuk makluman, pada tahun 2021 seramai 5,084 keluarga asnaf fakir dan miskin daerah Hulu Selangor telah disantuni oleh LZS.  

 

MAHRAJAN AMAL ISLAMI: PLATFORM LAHIR PENDAKWAH MUALAF BERKALIBER

0

SHAH ALAM, 17 Ogos 2022 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menghantar sembilan peserta mualaf mewakili Negeri Selangor bagi menyertai Mahrajan Amal Islami Mualaf Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Institut Latihan Islam Malaysia Wilayah Timur (ILTIM) Besut Terengganu bermula 18 Ogos hingga 19 Ogos 2022.

Pelepasan para peserta disempurnakan oleh Ketua Divisyen Pembangunan Asnaf, Dr. Adibah Abdul Wahab dalam satu majlis ringkas di sini.

Pada tahun ini, peserta LZS akan menyertai acara tilawah, hafazan, azan dan juga syarahan di mana mereka akan diuji kefahaman pengetahuan Islam saudara baru dari aspek al-Quran, hadis, akidah, akhlak dan fekah. Mereka ini terpilih setelah melalui program Kemahiran Amal Islami Muallaf (KAMIL) di peringkat daerah yang diadakan melibatkan peserta dalam kalangan pelajar kelas Fardhu Ain muallaf.

Untuk makluman program Mahrajan ini merupakan acara tahunan menghimpunkan para peserta terdiri daripada pelbagai bangsa yang telah memeluk Islam di seluruh Malaysia bagi memperkasakan mereka melalui tarbiyah Islamiyyah.

Program yang telah memasuki tahun keempat ini adalah cetusan idea daripada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bagi melatih saudara kita menjadi da’i yang profesional, dinamik dan berkaliber dalam menempuhi ranjau sebagai bakal pendakwah kelak.

KARNIVAL KERJAYA JOM KERJA LZS TAWAR LEBIH 6,000 PELUANG PEKERJAAN

0

SHAH ALAM, 6 Ogos 2022 – Karnival Kerjaya Jom Kerja Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) 2022 yang berlangsung hari ini, menawarkan lebih 6,000 peluang pekerjaan membabitkan 30 majikan daripada pelbagai sektor pekerjaan.

Karnival sehari ini menawarkan peluang kerjaya khususnya kepada pencari kerja dalam kalangan asnaf fakir, miskin dan mualaf yang produktif serta berdaftar dengan LZS. Ia secara tidak langsung membuka peluang kerjaya kepada asnaf meningkatkan pendapatan melalui platform tawaran jawatan kosong dan padanan pekerjaan membabitkan majikan dalam pelbagai sektor termasuk perkhidmatan, pembuatan, perdagangan borong dan peruncitan, automotif serta makanan dan minuman.

Di samping itu, turut diadakan sesi perkongsian ‘Career Talk: Bangkit Asnaf’ bagi memberi pemahaman dan meningkatkan pengetahuan pencari kerja asnaf mengenai kebolehpasaran mereka di dalam dunia pekerjaan, seterusnya mengubah diri serta keluar dari kategori asnaf.

Untuk makluman, inisiatif kerjaya LZS merupakan salah satu strategi pembangunan asnaf yang terkandung dalam Blueprint Pembangunan Asnaf bagi membantu golongan penerima zakat keluar dari garis kemiskinan dan menaik taraf kehidupan sehingga mampu menjadi pengeluar zakat.

Bagi menyokong pelaksanaan inisiatif tersebut, LZS menjalinkan kerjasama dengan PERKESO melalui Memorandum Kolaborasi (MoC) bertujuan membantu golongan sasar mendapatkan bantuan perlindungan keselamatan sosial yang lebih menyeluruh menerusi Program Sinergi Sosial.

Ini termasuklah mewujudkan jalinan kerjasama strategi dengan agensi berpotesi bagi membantu pemadanan dan penempatan pekerjaan golongan asnaf.

Pada masa sama, LZS pula berperanan menawarkan beberapa perkhidmatan kepada PERKESO seperti perkongsian data asnaf yang memerlukan bantuan keselamatan sosial, penyaluran prospek untuk caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) kepada golongan asnaf yang bekerja sendiri dan sebagainya.

Hadir sama, Pengarah PERKESO Negeri, Mustafa Draman dan Timbalan Ketua Divisyen Pembangunan Asnaf LZS, Mohd Nurhisyam Shamsir.

Berita Terkini