SHAH ALAM, 11 November 2022 – Berikut merupakan maklum balas Lembaga Zakat Selangor (LZS) berkenaan berita yang disiarkan di portal mStar bertajuk ‘Ke Hulu Ke Hilir, Duit Banyak Habis Demi Bantuan One-Off… Pelajar B40 Kecewa Permohonan Ditolak Sebab Sign Mencurigakan’ baru-baru ini.

Menurut mStar, tular dakwaan di facebook berkenaan seorang penuntut di Institut Pengajian Tinggi (IPT) menggunakan profil identiti Abdul Ghafur yang ditolak permohonan Sumbangan Pendidikan Zakat Anak Selangor (SPZAS) disebabkan cop pengesahan dan tandatangan bagi surat pengesahan belajar didapati meragukan.

Untuk makluman sebelum berita ini tersiar di mStar, LZS telah pun menghubungi pengadu melalui private message untuk mendapatkan maklumat butiran diri.

Hal ini kerana semakan LZS tidak dapat dilakukan berikutan profil identiti di facebook tersebut adalah palsu. Pengadu akhirnya berjaya dihubungi melalui private message dan memberikan maklumat butiran diri bagi tujuan semakan.

Sehubungan itu, LZS telah memberi penjelasan berkenaan kesilapan teknikal yang dilakukan beliau dalam penyediaan dokumen keperluan dan mempertimbangkan alternatif penyelesaian sewajarnya dalam membantu beliau memperbaiki perkara tersebut.

Sehingga kini, LZS telah menerima lebih 40,000 permohonan bagi SPZAS IPT yang masih dibuka hingga 3 Disember 2022. SPZAS diperkenalkan bertujuan membantu meringankan beban golongan bukan asnaf (fakir, miskin dan mualaf), khususnya dalam kelas B40 serta M40 yang memerlukan bantuan bagi menampung keperluan pendidikan menggunakan peruntukan di bawah asnaf fisabilillah.

LZS sentiasa berusaha menambah baik perkhidmatannya kepada pelanggan dari semasa ke semasa. Sebarang aduan boleh ajukan melalui saluran yang disediakan seperti berikut:
1. Talian Zakat Selangor 1 300 88 4343
2. Emel ke maklumbalas@zakatselangor.com.my
3. Borang maklum balas secara dalam talian di portal www.zakatselangor.com.my