SHAH ALAM, 3 Oktober 2022 – Sebanyak RM20 juta agihan zakat diperuntukkan untuk bantuan pendidikan umat Islam di Selangor melalui Sumbangan Pendidikan Zakat Anak Selangor (SPZAS) bagi sekolah rendah, menengah dan institusi pengajian tinggi (IPT) yang mula dibuka hari ini secara dalam talian.  

Permohonan boleh dibuat dengan melayari laman sesawang  www.zakatselangor.com.my/spzas sehingga 3 Disember 2022 ini.  

Ia terbuka kepada warganegara Malaysia yang beragama Islam, lahir dan menetap di Selangor atau bermastautin dan masih menetap di Selangor tidak kurang dari tiga tahun.  

Di samping itu, pendapatan seisi rumah pemohon hendaklah melebihi haddul kifayah iaitu garis kecukupan bagi penentuan sebagai asnaf, namun jumlah lebihan tersebut tidak melebihi nilai maksimum RM11,000.  

Setiap permohonan SPZAS sekolah rendah dan menengah akan menerima bantuan bergantung kepada jumlah tanggungan pada kadar RM200.00 seorang. Manakala bagi permohonan SPZAS IPT akan menerima bantuan sebanyak RM700 hingga RM2,500.  

Bagaimanapun, asnaf fakir, miskin dan muallaf yang menerima tajaan pendidikan daripada LZS tidak boleh memohon bantuan terbabit. Mereka boleh merujuk ke cawangan LZS yang berhampiran atau penolong amil kariah bagi bantuan pendidikan sekiranya memerlukan.  

SPZAS diperkenalkan bertujuan membantu meringankan beban golongan bukan asnaf (fakir, miskin dan mualaf), khususnya dalam kelas B40 serta M40 yang memerlukan bantuan bagi menampung keperluan pendidikan menggunakan peruntukan di bawah asnaf fisabilillah.   

Sebarang pertanyaan lanjut, boleh hubungi Talian Zakat Selangor 1 300 88 4343.