Utama Blog Halaman 6

DYMM SULTAN SELANGOR PERKENAN TERIMA ZAKAT PERNIAGAAN RM10.2 JUTA

0

SHAH ALAM, 24 Mac 2023 – Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menerima zakat perniagaan berjumlah RM10,153,780.84 daripada lima syarikat korporat dalam satu program serahan zakat sempena Majlis Berbuka Puasa DYMM Sultan Selangor di sini hari ini.

Worldwide Holdings Berhad mendahului senarai syarikat menyerahkan zakat perniagaannya berjumlah RM2,894,100.00 diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datin Paduka Norazlina Zakaria diikuti oleh Kumpulan SIRIM yang diwakili Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Dato’ Indera Dr. Ahmad Sabirin Arshad menunaikan zakat perniagaan sebanyak RM 2,335,855.62.

Manakala Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Norita Mohd Sidek menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM2,316,185.22 diikuti Rafulin Holdings Sdn. Bhd. diwakili Pengarah Urusan, Dato’ Mohamed Raffe K Chekku menyerahkan zakat perniagaan RM1,607,640.00 dan Sime Darby Property Berhad menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM1,000,000.00 diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Ir. Mohamed Sohimin Mohd Alayedin.

Dalam majlis sama, Lembaga Zakat Selangor (LZS) turut menyalurkan sumbangan berjumlah RM2,414,000.00 kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi Sumbangan Ihya Ramadan Masjid dan Surau Negeri Selangor 2023. Daripada jumlah itu, sebanyak 417 masjid masing-masing akan menerima sumbangan sebanyak RM2,000, manakala 1,580 surau lagi menerima sumbangan sebanyak RM1,000 bagi menggerakkan aktiviti pengimarahan sepanjang Ramadan ini.

DYMM Sultan Selangor turut berkenan menyampaikan sumbangan hari raya kepada 80 orang asnaf fakir, 301 orang asnaf miskin dan 112 orang asnaf mualaf dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM246,500.00. Kesemua mereka menerima sumbangan RM500 setiap seorang.

Turut hadir Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof, Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Setia Dr. Anhar Opir, Pengerusi LZS, Tan Sri Dato’ Seri Syed Anwar Jamalullail dan Timbalan Pengerusi LZS, Tan Sri Dato’ Setia Ambrin Buang. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini.

LZS SALUR BANTUAN RAMADAN & SYAWAL RM30 JUTA KEPADA 64,819 ASNAF FAKIR, MISKIN DAN MUALAF

0

GOMBAK, 21 Mac 2023 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini mula mengagihkan bantuan zakat sebanyak RM30,069,600 kepada 64,819 ketua keluarga asnaf fakir, miskin dan mualaf di seluruh Selangor bagi membantu golongan tersebut membuat persiapan awal menyambut kedatangan bulan Ramadan dan Syawal pada tahun ini.

Simbolik penyerahan bantuan ini disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid kepada 10 orang penerima bersempena dengan Program Bantuan Ramadan dan Hari Raya Bagi Tahun 2023 bertempat di Dewan Besar Kolej Vokasional Gombak, Selangor di sini.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM9,051,650 diagihkan kepada 18,550 penerima dalam kalangan asnaf fakir, manakala sebanyak RM19,399,050 diagihkan kepada 41,770 asnaf miskin dan RM1,618,900 diagihkan kepada 4,499 asnaf mualaf.

Setiap penerima mendapat bantuan zakat di antara RM300 hingga RM1,000 bergantung kepada jumlah tanggungan sesebuah keluarga. Bantuan tersebut mula disalurkan hari ini sama ada melalui pembayaran yang dikreditkan ke akaun bank penerima atau menggunakan kaedah baucar tunai mahupun serahan tunai.

Penerima bantuan yang layak akan dimaklumkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) atau surat. Selain itu, mereka juga boleh membuat semakan status bantuan secara atas talian di ezo.zakatselangor.com.my.

Daerah Petaling mencatatkan jumlah agihan zakat tertinggi melibatkan peruntukan sebanyak RM5,593,750 kepada 11,799 orang asnaf fakir, miskin dan mualaf. Ia diikuti daerah Klang dengan jumlah agihan sebanyak RM5,447,950 yang diagihkan kepada 11,743 asnaf di daerah tersebut dan daerah Hulu Langat yang memperuntukkan sebanyak RM4,433,400 kepada 9,415 asnaf.

Sementara daerah Kuala Selangor mengagihkan bantuan zakat sebanyak RM3,178,950 kepada 6,979 orang asnaf, diikuti daerah Gombak mengagihkan bantuan zakat kepada 6,775 asnaf melibatkan peruntukan agihan sebanyak RM3,161,250 dan daerah Hulu Selangor mengagihkan kepada 5,445 orang asnaf dengan agihan zakat sebanyak RM2,454,550.

Tiga daerah lain pula iaitu daerah Sabak Bernam mencatatkan seramai 4,956 asnaf yang menerima agihan zakat sebanyak RM2,183,400 diikuti dengan daerah Kuala Langat dengan jumlah asnaf seramai 4,708 melibatkan jumlah agihan sebanyak RM2,235,100 dan daerah Sepang yang mencatatkan jumlah agihan sebanyak RM1,381,250 kepada 2,999 orang asnaf fakir, miskin dan mualaf.

Pada bulan Februari lalu, LZS turut menyalurkan peruntukan zakat sebanyak RM32,615,896.00 bagi membiayai persiapan persekolahan 67,798 anak asnaf fakir, miskin dan mualaf sesi persekolahan 2023.

Turut hadir Orang Besar Daerah Gombak, Dato’ Paduka Raja Tan Sri Dato’ (Dr.) Wan Mahmood Pawan Teh dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini.

LZS SANTUNI AHLI KARIB MEMERLUKAN

0

BANGSAR, 18 Mac 2023 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menyantuni ahli Kelab Alumni Riong Bangsar (KARIB) yang memerlukan, dalam Majis Tautan Kasih bertempat di Pejabat New Straits Times Press (NSTP) di Bangsar di sini.

Dalam majlis itu, LZS menyerahkan sumbangan kotak makanan berupa barangan kering kepada ahli KARIB yang memerlukan disampaikan oleh Timbalan Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf, Md Yusmizan Yusuf. Di samping itu, LZS turut meluluskan bantuan kepada tiga ahli KARIB yang didaftarkan sebagai asnaf fakir dan miskin di Selangor.

Majlis ini telah menghimpunkan 160 bekas warga kerja Jabatan Pengarang termasuk bekas pengarang kumpulan, pengarang kanan dan wartawan selain jurugambar, sub editor serta grafik yang sebelum ini pernah berkhidmat di NSTP.

Turut hadir, Sasterawan Negara, Datuk Seri A Samad Said, Tokoh Wartawan Negara, Datuk A Kadir Jasin, bekas Pengarang Kumpulan BH, Datuk Manja Ismail dan Datuk Mahfar Ali, bekas Pengarang Kumpulan HM, Datuk Mustapa Omar dan Tuan Asri Tuan Hussein, kartunis legenda Datuk Mohammad Nor Khalid atau Datuk Lat serta Timbalan Pengarang Kumpulan BH, M Thilinadan.

LZS PERKENAL KUPON FITRAH BERWARNA

0

SHAH ALAM, 16 Mac 2023 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperkenalkan kupon fitrah berwarna berdasarkan nilai mata wang ringgit, seiring dengan tiga kadar fitrah mengikut harga beras yang dimakan pada Ramadan kali ini.

Kupon tersebut iaitu RM7 berwarna hijau, RM14 berwarna merah dan RM21 berwarna oren.

Dalam perkembangan sama, LZS melantik seramai 2,642 orang Penolong Amil Fitrah (PAF) di seluruh negeri Selangor sepanjang bulan Ramadan 1444H bagi memudahkan umat Islam di negeri Selangor menunaikan zakat fitrah.

Orang ramai juga diingatkan untuk menunaikan zakat fitrah hanya kepada amil yang dilantik oleh LZS. Identiti PAF LZS dapat dikenal pasti melalui kad tauliah dan sijil lantikan yang disahkan.

Seiring era digitalisasi, LZS mengorak selangkah ke hadapan dengan memperluaskan penggunaan mobile apps dalam kalangan PAF di seluruh masjid negeri Selangor.

Sehubungan itu, PAF yang dilantik diberikan latihan khusus berkaitan gerak kerja kutipan zakat fitrah dan penggunaan mobile apps tersebut. Sesi pengukuhan dan latihan ini telah dijalankan sebanyak 10 siri melibatkan sembilan daerah di negeri Selangor yang bermula dari 8 Febuari hingga 28 Febuari 2023.

KADAR ZAKAT FITRAH DI SELANGOR IKUT HARGA BERAS DIMAKAN RM7, RM14, RM21

0

SHAH ALAM, 15 Mac 2023 – Kadar Zakat Fitrah di Negeri Selangor pada bulan Ramadan tahun 2023 bersamaan 1444 Hijrah adalah mengikut harga beras yang dimakan iaitu RM7, RM14 dan RM21 seorang.

Penetapan kadar zakat itu adalah berdasarkan kepada harga beras mengikut gred dan jenis yang dimakan kebanyakan umat Islam Selangor pada kadar timbangan satu gantang Baghdad bersamaan 2.6 kilogram beras.

Kadar zakat fitrah RM7 seorang adalah untuk umat Islam yang menjadikan makanan harian beras jenis ‘super special’ tempatan dan ia merupakan kadar wajib minima sebagaimana diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor.

Manakala kadar RM14 seorang adalah daripada beras jenis super import, beras perang, beras pulut, herba ponni dan beras wangi. Bagi kadar RM21 pula adalah untuk umat Islam yang menjadikan makanan hariannya beras jenis basmati, beras Jepun, beras merah dan setaraf dengannya.

Untuk makluman, galakan menunaikan zakat fitrah mengikut harga beras yang dimakan ini telah dilaksanakan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) sejak tahun 2018 lagi.

Sehubungan itu, LZS memperkenalkan tiga jenis kupon fitrah berwarna bersandarkan nilai mata wang ringgit Malaysia. Kupon fitrah berwarna hijau bernilai RM7, kupon berwarna merah bernilai RM14 dan kupon berwarna oren bernilai RM21.

Bagi memudahkan umat Islam menunaikan zakat fitrah, LZS melantik seramai 2,642 orang Penolong Amil Fitrah (PAF) di seluruh Selangor sepanjang Ramadan ini. Orang ramai diingatkan untuk menunaikan zakat fitrah kepada PAFyang dilantik berdasarkan kad tauliah dan sijil lantikan yang disahkan oleh LZS.

Zakat fitrah juga boleh ditunaikan melalui 17 Penolong Amil Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan 92 Maahad Tahfiz serta Sekolah Agama Swasta di negeri Selangor.

Di samping itu, LZS turut menyediakan pelbagai platform pembayaran dalam talian yang lebih pantas dan selamat. Antara saluran pembayaran zakat yang boleh dilakukan secara dalam talian adalah melalui:

1. EZakatPay dengan melayari https://fpx.zakatselangor.com.my

2. Perbankan internet

3. Portal MyEg

4. Pos Online

5. Aplikasi e-dompet GoPayz dan Boost

 

Bersempena Ramadan ini, LZS turut menyediakan Zakat On Wheels di lokasi strategik seperti di masjid, bazaar Ramadan, pasar tani, pasar raya dan sebagainya di sekitar Selangor bagi memudahkan umat Islam yang memerlukan perkhidmatan LZS.

Dalam perkembangan yang sama, LZS akan membuka 18 cawangannya di seluruh Selangor selama tujuh hari seminggu termasuk cuti umum sepanjang Ramadan ini. Ini bagi memudahkan masyarakat yang mengambil kesempatan menunaikan zakat harta dan fitrah pada bulan Ramadan. Waktu urusan pada hari bekerja bermula dari 8.30 pagi hingga 4.30 petang. Manakala pada hari Sabtu, Ahad dan cuti umum, cawangan LZS akan dibuka bermula 9.00 pagi hingga 3.00 petang.

LZS TERIMA KUNJUNGAN BADAN AMIL ZAKAT NASIONAL

0
SHAH ALAM, 10 Mac 2023 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menerima kunjungan daripada Badan Amil Zakat Nasional, Kabupaten Padang Pariaman, Indonesia.
Kunjungan yang disertai  13 orang delegasi  yang diketuai Ketua Badan Amil Zakat Nasional Dr. Rahmat, Tk, Sulaiman dan disambut oleh Ketua Divisyen Kutipan, Muhd Fikri Naim Harun dan Ketua Jabatan Profilan & Pengurusan Data Divisyen Operasi Agihan Asnaf, Muhamad Rizal Jalil.
Dalam kunjungan tersebut, delegasi diberi taklimat berkaitan pengurusan kutipan dan agihan zakat di Selangor yang dilaksanakan oleh LZS, selain bertukar-tukar pandangan mengenai pengurusan zakat.

Di samping itu, para delegasi turut dibawa melawat ke kaunter LZS bagi melihat sendiri operasi kutipan dan agihan zakat.

14 SYARIKAT KORPORAT TUNAI ZAKAT LEBIH RM24 JUTA

0

SHAH ALAM, 24 Februari 2023 – Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima serahan zakat perniagaan dari 14 syarikat korporat kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) berjumlah RM24,017,551.11 dalam satu upacara yang diadakan di Istana Bukit Kayangan di sini hari ini.

Gas Malaysia Berhad yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Ahmad Hashimi Abdul Manap mendahului senarai syarikat, menyerahkan zakat berjumlah RM3,500,000.00, diikuti DRB-HICOM Berhad yang mewakilkan Pengarah Urusan Kumpulan, Dato’ Sri Syed Faisal Albar Syed A.R Albar menunaikan zakat sebanyak RM2,865,000.00 dan Northport Malaysia Berhad diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Azman Shah Mohd Yusof sebanyak RM2,642,100.00.

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan UMW, Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah Che Othman yang mewakili UMW Holdings Berhad menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM2,197,812.50, Tenaga Nasional Berhad diwakili Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Indera Ir. Baharin Din menunaikan zakat sebanyak RM2,050,903.68, CelcomDigi mewakilkan Ketua Pegawai Sumber Manusia, Azmi Ujang (RM1,642,262.00), Malaysia Airports Holdings Berhad diwakili oleh Pengerusinya, Tan Sri Datuk Zainun Ali (RM1,395,000.00) dan QSR Brands (M) Holdings Berhad diwakili oleh Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Mohd Khairul Izzad Mohammed Shamsudin menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM1,321,179.00.

Ini diikuti oleh Cyberview (RM1,287,319.00), Nuemera (M) Sdn Bhd  (RM1,091,598.50) dan  Koperasi Kakitangan Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad (RM1,024,376.43). Manakala CIMB Islamic Bank Berhad, Kumpulan Semesta Sdn Bhd dan KMF Network masing-masing membuat serahan zakat perniagaan sebanyak RM1,000,000.00.

Turut hadir dalam upacara tersebut Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof dan Pengerusi LZS Tan Sri Syed Anwar Jamalullail.

ZAKAT SELANGOR PEDULI: LZS PERUNTUKAN RM77.7 JUTA SANTUNI ASNAF DAN GOLONGAN TERKESAN

0

SHAH ALAM, 5 Disember 2022 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntukkan agihan zakat sebanyak RM77.7 juta menerusi 10 inisiatif bantuan di bawah Zakat Selangor Peduli (ZSP) bagi menyantuni asnaf dan golongan B40 serta M40 termasuk institusi di Selangor yang terkesan dengan cabaran pasca pandemik COVID-19 dan bencana banjir tahun lepas.

Penyaluran agihan zakat secara bersasar memberi keutamaan bagi mengurangkan beban kos sara hidup akibat inflasi dalam kalangan asnaf fakir, miskin dan, selain menyokong pemulihan institusi di Selangor.

Inisiatif ZSP ini telahpun dilaksanakan secara berperingkat bermula dari Oktober hingga Disember ini.

Melalui ZSP, LZS telah memperuntukkan sebanyak RM33.5 juta Bantuan Khas Keperluan Hidup (Inflasi) kepada 67,000 penerima asnaf fakir, miskin dan mualaf. Bantuan one-off sebanyak RM500 adalah bantuan tambahan daripada bantuan sedia ada yang diterima agar golongan itu dapat memanfaatkan bagi keperluan hidup susulan peningkatan kos sara hidup pada masa ini. Bantuan dikreditkan bermula hari ini ke akaun bank asnaf yang berdaftar dengan LZS.

Manakala, sebanyak RM2.0 juta turut diperuntukkan bagi memastikan tidak ada asnaf yang
kelaparan dengan menyalurkan Bantuan Makanan Bulanan kepada mereka.

Bagi meringankan beban perbelanjaan pendidikan golongan B40 dan M40 yang bukan dalam kalangan asnaf, peruntukan ZSP sebanyak RM20.0 juta disalurkan menerusi Sumbangan Pendidikan Zakat Anak Selangor (SPZAS) untuk pelajar sekolah rendah, menengah dan institusi pengajian tinggi (IPT). Sumbangan zakat ini dapat memberi manfaat kepada 20,000 penerima dalam memastikan kelancaran pengajian dan pembelajaran anak-anak dan mahasiswa B40 serta M40.

Di samping itu, melalui ZSP sebanyak RM9.95 juta juta disalurkan bagi memenuhi keperluan pengajian pelajar Huffaz di Negeri Selangor yang bakal memanfaatkan sehingga 5,300 pelajar.

Bagi menyokong pemulihan institusi yang terkesan, LZS turut menyantuni institusi pendidikan dengan menyediakan peruntukan sebanyak RM10.0 juta kepada Sekolah Rendah Agama (SRA) dan Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi menggantikan perabot sekolah yang uzur. Manakala, sumbangan RM1.0 juta diperuntukkan untuk menyokong tabungan pembinaan bangunan Sekolah Agama Rendah (SAR) KAFA Integrasi Puncak Alam.

Sejumlah RM430 ribu lagi disalurkan bagi tujuan pelupusan al-Quran dan buku agama yang rosak akibat banjir pada tahun 2021.

Manakala, sumbangan sebanyak RM180 ribu pula disalurkan kepada JAIS bagi pembelian set peralatan perlindungan diri (PPE) untuk kegunaan petugas-petugas pengurusan jenazah COVID19 di negeri ini. Sumbangan ini bagi menyokong keperluan pengurusan jenazah COVID-19 mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, sekali gus menyempurnakan tuntutan Fardu Kifayah.

Sejumlah peruntukan ZSP turut disalurkan bagi menaik taraf kemudahan yang uzur dan daif. Peruntukan melibatkan RM500 ribu bagi sumbangan menaik taraf Balai Islam Pulau Ketam yang menjadi pusat bagi aktiviti dakwah kepada komuniti Islam dan bukan Islam setempat dan kawasan sekitarnya. Manakala, RM180 ribu lagi disalurkan bagi menaik taraf Balai Pelawat di Hospital Ampang.

Untuk makluman, Inisiatif ZSP telah diperkenalkan pada tahun 2021 bagi menyalurkan bantuan secara bersasar bertujuan menyantuni asnaf dan golongan B40 terkesan, susulan penularan pandemik COVID-19 melibatkan agihan zakat sebanyak RM62.5 juta.

KEMPEN KONGSI REZEKI DENGAN 2.5% GALAK UMAT ISLAM TUNAI ZAKAT BANTU ASNAF

0

SUBANG JAYA, 5 Disember 2022 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini melancarkan Kempen Kongsi Rezeki dengan 2.5% bermula 15 November hingga 31 Disember bagi menggalakkan dan memudahkan umat Islam menunaikan kewajipan zakat sebelum akhir tahun ini.

Kempen yang membawa tema ‘Sedikit Bagi Anda, Segalanya Buat Mereka’ bertujuan untuk
mengajak seluruh masyarakat yang layak menunaikan kewajipan zakat, bersama-sama LZS membantu golongan asnaf yang memerlukan.

Menerusi kempen ini, asnaf di Selangor akan dapat meneruskan kelangsungan hidup dalam
cabaran pasca pandemik COVID-19 dan membangunkan diri serta keluarga. Sehingga kini, LZS menyantuni lebih 67,000 keluarga asnaf fakir, miskin dan individu mualaf di Selangor.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini sewaktu Program Kongsi Rezeki Bersama Komuniti yang berlangsung di Masjid Darul Ehsan di sini.

Kempen Kongsi Rezeki dengan 2.5% bertujuan memberi pemahaman dan kesedaran kepada masyarakat bahawa ibadat zakat itu ringan serta tidak membebankan yang mana mereka hanya mengeluarkan 2.5 peratus daripada pendapatan atau harta yang mereka miliki.

Kemudahan menunaikan kewajipan ini turut dipelbagaikan bagi memberi pilihan kepada pengeluar zakat. Ia boleh dilaksanakan dengan mengunjungi cawangan LZS yang dibuka 7 hari seminggu sepanjang Disember ini. Selain itu, saluran dalam talian turut disediakan seperti aplikasi ZakatSelangor, EZakatPay, perbankan internet, aplikasi e-dompet, portal MYEG dan pos online.

Dalam pada itu, menerusi Kempen Kongsi Rezeki dengan 2.5% pengeluar zakat yang menunaikan zakat melalui pelbagai saluran pembayaran disediakan, bermula 1 hingga 31 Disember berpeluang menyertai peraduan ‘Kongsi Rezeki & Menang’ dan memenangi hadiah menarik.

Maklumat lanjut berkenaan kempen Kongsi Rezeki dengan 2.5% boleh diperoleh dengan melayari jom.zakatselangor.com.my atau melalui media sosial rasmi LZS.

Dalam majlis sama, LZS turut menyerahkan simbolik penyerahan Bantuan Zakat Selangor Peduli melibatkan RM77.7 juta menerusi 10 inisiatif bantuan.

LZS HARGAI PENOLONG AMIL SELANGOR

0

SHAH ALAM, 12 November 2022 – Lembaga Zakat Selangor hari ini meraikan 200 penolong amil yang telah memberi komitmen dan sumbangan dalam memudahkan pengeluar zakat serta menyantuni golongan asnaf di Majlis Anugerah Ketua dan Penolong Amil Negeri Selangor 2021.  

Mereka yang diraikan ini terdiri daripada ketua dan penolong amil kariah, padi dan fitrah yang dilantik oleh LZS di sembilan daerah bagi membantu urusan kutipan dan agihan zakat di Selangor.  

Sebanyak 88 penerima menerima anugerah membabitkan lima kategori dalam majlis tersebut. Lima kategori tersebut adalah Anugerah Ketua Penolong Amil Kariah Terbaik, Anugerah Penolong Amil Kariah Terbaik, Anugerah Ketua Penolong Amil Fitrah Terbaik, Anugerah Penolong Amil Fitrah Terbaik dan Anugerah Penolong Amil Padi Terbaik.  

Setiap penerima anugerah akan menerima wang tunai, sijil penghargaan berserta plak yang mana mereka ini dipilih berdasarkan Penilaian Prestasi Tahunan 2021 yang dilaksanakan oleh LZS.  

Untuk rekod, sehingga kini LZS mempunyai seramai 1,926 penolong amil kariah, 2,747 penolong amil fitrah dan 24 penolong amil padi di seluruh Selangor. Mereka ini berperanan sebagai perantara dan pemudah cara LZS dengan masyarakat terutamanya yang melibatkan kariah.  

Turut hadir, Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid, Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mohamad Khair Zainal dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini.  

Berita Terkini