ZAKAT SELANGOR PEDULI: LZS PERUNTUKAN RM77.7 JUTA SANTUNI ASNAF DAN GOLONGAN TERKESAN

0
570

SHAH ALAM, 5 Disember 2022 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntukkan agihan zakat sebanyak RM77.7 juta menerusi 10 inisiatif bantuan di bawah Zakat Selangor Peduli (ZSP) bagi menyantuni asnaf dan golongan B40 serta M40 termasuk institusi di Selangor yang terkesan dengan cabaran pasca pandemik COVID-19 dan bencana banjir tahun lepas.

Penyaluran agihan zakat secara bersasar memberi keutamaan bagi mengurangkan beban kos sara hidup akibat inflasi dalam kalangan asnaf fakir, miskin dan, selain menyokong pemulihan institusi di Selangor.

Inisiatif ZSP ini telahpun dilaksanakan secara berperingkat bermula dari Oktober hingga Disember ini.

Melalui ZSP, LZS telah memperuntukkan sebanyak RM33.5 juta Bantuan Khas Keperluan Hidup (Inflasi) kepada 67,000 penerima asnaf fakir, miskin dan mualaf. Bantuan one-off sebanyak RM500 adalah bantuan tambahan daripada bantuan sedia ada yang diterima agar golongan itu dapat memanfaatkan bagi keperluan hidup susulan peningkatan kos sara hidup pada masa ini. Bantuan dikreditkan bermula hari ini ke akaun bank asnaf yang berdaftar dengan LZS.

Manakala, sebanyak RM2.0 juta turut diperuntukkan bagi memastikan tidak ada asnaf yang
kelaparan dengan menyalurkan Bantuan Makanan Bulanan kepada mereka.

Bagi meringankan beban perbelanjaan pendidikan golongan B40 dan M40 yang bukan dalam kalangan asnaf, peruntukan ZSP sebanyak RM20.0 juta disalurkan menerusi Sumbangan Pendidikan Zakat Anak Selangor (SPZAS) untuk pelajar sekolah rendah, menengah dan institusi pengajian tinggi (IPT). Sumbangan zakat ini dapat memberi manfaat kepada 20,000 penerima dalam memastikan kelancaran pengajian dan pembelajaran anak-anak dan mahasiswa B40 serta M40.

Di samping itu, melalui ZSP sebanyak RM9.95 juta juta disalurkan bagi memenuhi keperluan pengajian pelajar Huffaz di Negeri Selangor yang bakal memanfaatkan sehingga 5,300 pelajar.

Bagi menyokong pemulihan institusi yang terkesan, LZS turut menyantuni institusi pendidikan dengan menyediakan peruntukan sebanyak RM10.0 juta kepada Sekolah Rendah Agama (SRA) dan Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi menggantikan perabot sekolah yang uzur. Manakala, sumbangan RM1.0 juta diperuntukkan untuk menyokong tabungan pembinaan bangunan Sekolah Agama Rendah (SAR) KAFA Integrasi Puncak Alam.

Sejumlah RM430 ribu lagi disalurkan bagi tujuan pelupusan al-Quran dan buku agama yang rosak akibat banjir pada tahun 2021.

Manakala, sumbangan sebanyak RM180 ribu pula disalurkan kepada JAIS bagi pembelian set peralatan perlindungan diri (PPE) untuk kegunaan petugas-petugas pengurusan jenazah COVID19 di negeri ini. Sumbangan ini bagi menyokong keperluan pengurusan jenazah COVID-19 mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, sekali gus menyempurnakan tuntutan Fardu Kifayah.

Sejumlah peruntukan ZSP turut disalurkan bagi menaik taraf kemudahan yang uzur dan daif. Peruntukan melibatkan RM500 ribu bagi sumbangan menaik taraf Balai Islam Pulau Ketam yang menjadi pusat bagi aktiviti dakwah kepada komuniti Islam dan bukan Islam setempat dan kawasan sekitarnya. Manakala, RM180 ribu lagi disalurkan bagi menaik taraf Balai Pelawat di Hospital Ampang.

Untuk makluman, Inisiatif ZSP telah diperkenalkan pada tahun 2021 bagi menyalurkan bantuan secara bersasar bertujuan menyantuni asnaf dan golongan B40 terkesan, susulan penularan pandemik COVID-19 melibatkan agihan zakat sebanyak RM62.5 juta.