KEMPEN KONGSI REZEKI DENGAN 2.5% GALAK UMAT ISLAM TUNAI ZAKAT BANTU ASNAF

0
254

SUBANG JAYA, 5 Disember 2022 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini melancarkan Kempen Kongsi Rezeki dengan 2.5% bermula 15 November hingga 31 Disember bagi menggalakkan dan memudahkan umat Islam menunaikan kewajipan zakat sebelum akhir tahun ini.

Kempen yang membawa tema ‘Sedikit Bagi Anda, Segalanya Buat Mereka’ bertujuan untuk
mengajak seluruh masyarakat yang layak menunaikan kewajipan zakat, bersama-sama LZS membantu golongan asnaf yang memerlukan.

Menerusi kempen ini, asnaf di Selangor akan dapat meneruskan kelangsungan hidup dalam
cabaran pasca pandemik COVID-19 dan membangunkan diri serta keluarga. Sehingga kini, LZS menyantuni lebih 67,000 keluarga asnaf fakir, miskin dan individu mualaf di Selangor.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini sewaktu Program Kongsi Rezeki Bersama Komuniti yang berlangsung di Masjid Darul Ehsan di sini.

Kempen Kongsi Rezeki dengan 2.5% bertujuan memberi pemahaman dan kesedaran kepada masyarakat bahawa ibadat zakat itu ringan serta tidak membebankan yang mana mereka hanya mengeluarkan 2.5 peratus daripada pendapatan atau harta yang mereka miliki.

Kemudahan menunaikan kewajipan ini turut dipelbagaikan bagi memberi pilihan kepada pengeluar zakat. Ia boleh dilaksanakan dengan mengunjungi cawangan LZS yang dibuka 7 hari seminggu sepanjang Disember ini. Selain itu, saluran dalam talian turut disediakan seperti aplikasi ZakatSelangor, EZakatPay, perbankan internet, aplikasi e-dompet, portal MYEG dan pos online.

Dalam pada itu, menerusi Kempen Kongsi Rezeki dengan 2.5% pengeluar zakat yang menunaikan zakat melalui pelbagai saluran pembayaran disediakan, bermula 1 hingga 31 Disember berpeluang menyertai peraduan ‘Kongsi Rezeki & Menang’ dan memenangi hadiah menarik.

Maklumat lanjut berkenaan kempen Kongsi Rezeki dengan 2.5% boleh diperoleh dengan melayari jom.zakatselangor.com.my atau melalui media sosial rasmi LZS.

Dalam majlis sama, LZS turut menyerahkan simbolik penyerahan Bantuan Zakat Selangor Peduli melibatkan RM77.7 juta menerusi 10 inisiatif bantuan.