Utama Blog Halaman 54

LZS SANTUNI KELUARGA AZIZAH SEJAK 2009

0

SHAH ALAM, 4 Januari 2016 – Berikut merupakan maklum balas Lembaga Zakat Selangor (LZS) berkenaan berita yang tersiar di Astro Awani pada 3 Januari 2016 yang memaparkan keperitan hidup ibu tunggal 14 orang anak dalam membuat persiapan persekolahan.

Menurut laporan berita berkenaan Azizah Ashaari, 52 tahun terpaksa meneruskan kelangsungan hidup untuk menyekolahkan anak-anaknya dengan hanya menerima bantuan kewangan bulanan sebanyak RM350 dari LZS.

Untuk makluman, keluarga Azizah merupakan asnaf miskin daerah Klang telah disantuni dengan bantuan zakat sejak tahun 2009 lagi. Beliau yang mempunyai 14 orang anak, di mana tujuh (7) orang masih lagi di bawah tanggungannya. Daripada jumlah tanggungan tersebut, hanya lima (5) orang sahaja anaknya yang bersekolah.

IBU TUNGGAL 14 ANAK

Selain menerima bantuan kewangan bulanan sebanyak RM350 seperti yang disebutkan dalam laporan berita berkenaan, beliau turut menerima bantuan bulanan makanan asas dan bantuan Hari Raya sebanyak RM850. Di samping itu, LZS turut menyalurkan bantuan pendidikan bagi yuran dan kelengkapan persekolahan untuk anak-anaknya. Pada tahun 2016, bantuan pendidikan sebanyak RM1,600 telah disalurkan kepada lima orang anaknya.

Sebagai tambahan juga, LZS akan menyalurkan bantuan tambang van untuk memberi kemudahan kepada anak-anaknya berulang-alik ke sekolah. Manakala bantuan kewangan bulanan keluarga ini dinaikkan kepada RM500 berdasarkan kepada jumlah semasa tanggungan Azizah.

Semoga bantuan yang disalurkan dapat meringankan beban keluarga ini. Selain itu, LZS juga berharap pihak berkaitan dapat merujuk kepada LZS terlebih dahulu untuk kesahihan sesuatu maklumat.

 

Sekian, terima kasih.

NORAJUN AINUN MOHD HASHIM

Pengurus Besar Komunikasi Korporat

WAKTU OPERASI 28 CAWANGAN LZS DILANJUTKAN PADA 30 & 31 DISEMBER

0

SHAH ALAM, 29 Disember 2015 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) melanjutkan waktu operasi perkhidmatan di 28 cwangannya pada 30 dan 31 Disember ini, bagi memudahkan orang ramai yang ingin menunaikan zakat sebelum berakhir tahun 2015.

Waktu perkhidmatan pada 30 Disember bermula pada 8.30 pagi sehingga 6.00 petang. Manakala pada 31 Disember, waktu perkhidmatan dilanjutkan sehingga 8.00 malam.

BAYARAN ZAKAT

Orang ramai boleh mendapatkan khidmat runding cara zakat, taksiran pelbagai jenis zakat harta dan juga bayaran zakat. Selain itu, LZS turut menyediakan kemudahan pembayaran zakat menerusi kad kredit dan kad debit.

LZS TERIMA ANUGERAH INOVASI KUTIPAN ZAKAT PERINGKAT KEBANGSAAN

0

SHAH ALAM, 16 Disember 2015 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerima Anugerah  Inovasi Zakat Terbaik (Kutipan) peringkat kebangsaan di Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Zakat dan Karnival Usahawan Asnaf Kebangsaan 2015 pada 8 Disember bertempat di Dataran Pusat Islam Melaka.

Anugerah ini disampaikan oleh Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka, Datuk Wira Haji Yaakub Md. Amin kepada Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Hussin Mohd Ali.

Selain LZS, enam lagi anugerah turut disampaikan kepada penerima yang dipilih oleh Jawatankuasa Anugerah Zakat Kebangsaan, iaitu:

  • Anugerah Ikon Asnaf Kebangsaan (Akademik) yang diberikan kepada YBrs. Dr. Muhamad Rozaimi bin Ramli dari negeri Perak;
  • Anugerah Ikon Asnaf Kebangsaan (Usahawan) yang diberikan kepada Encik Mohd Noh bin Zaini dari negeri Johor;
  • Anugerah Ikon Asnaf Kebangsaan (Usahawan Khas) yang diberikan kepada Encik Zulkapli bin Ahmad dari negeri Kelantan;
  • Anugerah Zakat Kebangsaan (Syarikat GLC) yang diberikan kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka;
  • Anugerah Zakat Kebangsaan (Syarikat Sendirian Berhad) yang diberikan kepada Selia Selenggara Selatan Sdn. Bhd. dari negeri Melaka;
  • Anugerah Zakat Kebangsaan (Syarikat Awam Berhad) yang diberikan kepada Far East Holdings Berhad dari negeri Pahang.

Bersempena dengan Sambutan Bulan Zakat Kebangsaan 2015 ini juga, turut diadakan Karnival Usahawan Asnaf 2015 peringkat kebangsaan dengan menghimpunkan para usahawan asnaf zakat dari seluruh negari bagi tujuan promosi dan jualan produk asnaf zakat negeri masing-masing

28 CAWANGAN LZS DIBUKA TUJUH HARI SEMINGGU SEPANJANG DISEMBER

0

SHAH ALAM, 8 Disember 2015 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) membuka kesemua 28 cawangannya di seluruh negeri Selangor tujuh hari seminggu termasuk pada cuti umum sepanjang bulan ini.

Sehubungan dengan itu, waktu perkhidmatan seluruh cawangan bermula dari 8.30 pagi sehingga 4.30 petang pada hari bekerja, manakala pada hari Sabtu dan Ahad serta cuti umum, cawangan LZS akan dibuka dari pukul 9.00 pagi hingga 3.00 petang.

Bagaimanapun waktu operasi pada cuti umum sempena Hari Keputeraan Sultan Selangor (11 Disember) dan Hari Krismas (25 Disember) akan bermula jam 9.00 pagi hingga 12.30 tengah hari.

Orang ramai boleh mendapatkan perkhidmatan runding cara zakat, taksiran pelbagai jenis zakat harta, bayaran zakat selain agihan zakat. Cawangan LZS turut menyediakan perkhidmatan pembayaran zakat menerusi kad kredit dan kad debit.

Selain daripada cawangan LZS, pembayaran zakat juga boleh dibuat dengan mengunjungi 12 kaunter zakat IPT yang dilantik. Kaunter tersebut terletak di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN). Kaunter IPT lain termasuklah di UNITAR International University, Cyberjaya Universitiy College of Medical Sciences, Universiti Multimedia (MMU), Infrastructure University Kuala Lumpur (IUKL), Universiti Selangor (UNISEL) dan Management Science University (MSU).

LZS berharap dengan perkhidmatan cawangan tujuh hari seminggu ini, dapat memudahkan orang ramai menunaikan ibadah zakat mereka sebelum berakhirnya tahun 2015.

25 SYARIKAT TUNAI ZAKAT PERNIAGAAN RM3.2 JUTA

0

SHAH ALAM, 7 Disember 2014 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menerima zakat perniagaan daripada 25 buah syarikat berjumlah RM3,191,390.31 Majlis bayaran zakat ini disempurnakan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa, bertempat di Shah Alam Convention Centre (SACC) dekat sini.

Northport (Malaysia) Bhd mendahului senarai syarikat yang menunaikan zakat perniagaan, telah menyerahkan zakatnya berjumlah RM1,661,353, diikuti Cyberview Sdn Bhd sebanyak RM1,000,000 dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor yang mengeluarkan zakat perniagaannya berjumlah RM500,000.

Manakala syarikat lain yang turut menyerahkan zakat perniagaannya termasuklah, Sirim QAS International Sdn Bhd yang mengeluarkan zakat sebanyak RM375,000, Koperasi Serbaguna Anak-Anak Selangor Berhad sebanyak RM116,937.84 dan KSS Otomobil Sdn Bhd sebanyak RM100,000.

Dalam majlis yang sama, LZS turut menyampaikan pelbagai jenis bantuan zakat berjumlah RM317,858.10. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM220,932.00 diagihkan bagi bantuan Dermasiswa Pelajaran dan Yuran IPT bagi pelajar asnaf fakir dan miskin yang melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Sementara itu, dua individu lagi menerima bantuan perubatan. Mereka ialah Abdul Salam Arifin yang menerima bantuan perubatan bagi pembelian implan untuk penyakit jantungnya berjumlah

RM37,100 dan Mohd Azlan Jamaludin menerima bantuan zakat berjumlah RM23,744 untuk rawatan pembetulan tulang belakang anaknya, Ainil Hawa Mohd Azlan. Manakala, Zuraini Ghazali menerima bantuan modal perniagaan berjumlah RM36,082.10 bagi menjalankan perniagaan makanan.

Turut diadakan penyampaian hadiah kepada pemenang sempena Kempen eZakat Online (eZO). Rosmawati Ali berjaya memenangi hadiah berupa pakej umrah setelah diumumkan sebagai pemenang hadiah utama.

Manakala, Nor Farah Hidayah Ramlan dan Masri EE Hashim EE masing-masing mendapat hadiah tempat pertama dan kedua yang bawa pulang hadiah berupa pakej pelancongan, dan Amilia Afzan Mohd Jamil mendapat tempat ketiga membawa pulang sebuah gajet.

Untuk makluman, kempen eZo ini diadakan bermula 18 Jun dan berakhir 18 November lalu. Ia bertujuan menggalakkan pengeluar zakat untuk mendaftar di eZakat Online bagi membolehkan mereka menyemak maklumat bayaran zakat sepanjang tahun, mengemas kini maklumat individu, mencetak penyata zakat dan menunaikan zakat melalui e-zakatpay. Selain mendaftar, mereka perlu menunaikan zakat harta atau fitrah secara talian sepanjang tempoh kempen berlangsung.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS), Husin Mohd Ali.

KEMPEN ZAKAT DI HATI DILANCARKAN

0

SHAH ALAM, 7 Disember 2015 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini melancarkan kempen ‘Zakat Di Hati’ bertemakan ‘Bersama Kami Membantu Asnaf’ bagi menanam roh zakat dalam kalangan masyarakat agar kesedaran tentang kewajipan berzakat dapat disampaikan kepada golongan sasar.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Dato’ Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali bersempena dengan Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan-Jabatan Kerajaan Negeri Selangor bertempat di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz di sini.

Penganjuran Kempen Zakat Di Hati merupakan kali keempat diadakan, dilihat sebagai medium menyebarluaskan informasi berkaitan kutipan dan agihan zakat kepada masyarakat di Selangor. Ia akan berlangsung selama sebulan bermula 16 November hingga 16 Disember ini dengan menyediakan pelbagai aktiviti menarik untuk masyarakat Islam di Selangor.

Lebih 37 program disusun sepanjang kempen berlangsung di setiap daerah. Di antaranya aktiviti dakwah, kuiz zakat, operasi khas bersama majikan, forum perdana, kempen taksiran zakat niaga, khutbah zakat, agihan zakat dan slot bicara zakat@IKIM.FM.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berkaitan aktiviti kutipan dan agihan zakat sepanjang kempen berlangsung, boleh melayari laman web LZS di https://www.zakatselangor.com.my/zakatdihati atau hubungi Talian Zakat Selangor di 1-800-88-5353 atau melayari https://facebook.com/LembagaZakatSelangor.MAIS.

Sementara itu, LZS turut menyerahkan simbolik sumbangan elaun bagi guru-guru Kelas Fardu Ain (KAFA) berjumlah RM26,000,000 dan sumbangan bayaran buku teks sekolah rendah agama di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berjumlah RM500,000. Manakala, seorang individu, Iman Aisya Shaharom turut menerima bantuan perubatan bagi pembelian implan berjumlah RM30,000.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Mohamed Khusrin Munawi, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa, serta Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS), Husin Mohd Ali.

PEMAKLUMAN PENGHANTARAN DOKUMEN POTONGAN GAJI BAGI BULAN DISEMBER 2015

0

Dokumen bayaran caruman Disember 2015 hendaklah dihantar ke Ibu Pejabat Lembaga Zakat Selangor sebelum atau pada 10hb Januari 2016.

Kelewatan penghantaran dokumen berkenaan akan memberi kesan kepada penyata bayaran zakat tahun 2015.

Jika terdapat sebarang bayaran yang tertunggak, ianya mestilah dijelaskan juga sebelum atau pada 10hb Januari 2016.

Sebarang pertanyaan, sila hubungi Encik Mohd Rosli (0355227816), Puan Norhalita (03-55227852), Puan Nazlia (03-55227860) atau emel kami di kutipan@e-zakat.com.my

MAKLUM BALAS LZS BERKENAAN BANTUAN RUMAH ORANG ASLI

0

SHAH ALAM, 2 Disember 2015 – Berikut adalah maklum balas Lembaga Zakat Selangor (LZS) terhadap berita yang tersiar di akhbar Sinar Harian bertarikh 2 Disember 2015. Menurut berita berkenaan, Orang Asli mualaf di Kampung Orang Asli Gurney mendakwa permohonan untuk membina rumah tidak mendapat perhatian sewajarnya dari LZS.

Sehubungan itu, LZS telah mengambil tindakan segera menghantar pegawai menemui dua Orang Asli yang terlibat pada hari yang sama bagi menjalankan siasatan.

Hasilnya didapati bahawa keluarga Dona Hakimi Abdullah, 41 tahun dan Zaki Mohd Rafi, 32 tahun telah disantuni sebagai asnaf fakir dan miskin di LZS sejak tahun 2012.

Antara bantuan zakat yang telah diterima oleh Dona ialah bantuan Hari Raya dan bantuan pendidikan.

Scan 122

Berkaitan dengan kenyataan beliau tentang permohonan bantuan yang tidak diberi respon sejak 2007, dimaklumkan bahawa daripada rekod LZS mendapati Dona telah menghantar borang permohonan tersebut pada bulan November lalu. Namun, setelah semakan borang permohonan dilakukan didapati borang tersebut tidak lengkap. Beliau tidak menyertakan dokumen berkaitan tapak tanah untuk pembinaan rumah dan hal ini telah dimaklumkan kepada beliau sebelum ini.

Sehubungan dengan itu, LZS telah mendapatkan kerjasama daripada pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk membantu beliau menyelesaikan urusan tapak tanah tersebut.

Manakala berhubung permohonan Zaki, semakan LZS mendapati beliau tidak pernah membuat sebarang permohonan bantuan pembinaan rumah sebelum ini.

Untuk makluman, beliau kini menetap di rumah tinggalan bapanya yang telah dibina oleh LZS 10 tahun yang lalu. Daripada rekod LZS juga mendapati, beliau telah menerima bantuan dari LZS antaranya bantuan Hari Raya. Sehubungan dengan itu, LZS akan mempertimbangkan bantuan baik pulih rumah dan bantuan lain mengikut keperluan.

Untuk makluman di Selangor, seseorang itu adalah asnaf mualaf sekiranya tempoh keislamannya masih di bawah lima tahun dan diuruskan oleh Bahagian Pengurusan dan Pembangunan Mualaf, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS). Selepas tempoh tersebut, sekiranya seseorang itu masih memerlukan bantuan zakat, mereka boleh memohon bantuan di bawah asnaf lain terutamanya asnaf fakir dan miskin.

Sekian, terima kasih.

NORAJUN AINUN MOHD HASHIM

Pengurus Besar Komunikasi KorporatScan 122

0
SHAH ALAM, 2 Disember 2015 – Berikut adalah maklum balas Lembaga Zakat Selangor (LZS) terhadap berita yang tersiar di akhbar Sinar Harian bertarikh 2 Disember 2015. Menurut berita berkenaan, Orang Asli mualaf di Kampung Orang Asli Gurney mendakwa permohonan untuk membina rumah tidak mendapat perhatian sewajarnya dari LZS.

Sehubungan itu, LZS telah mengambil tindakan segera menghantar pegawai menemui dua Orang Asli yang terlibat pada hari yang sama bagi menjalankan siasatan.

Hasilnya didapati bahawa keluarga Dona Hakimi Abdullah, 41 tahun dan Zaki Mohd Rafi, 32 tahun telah disantuni sebagai asnaf fakir dan miskin di LZS sejak tahun 2012.

Antara bantuan zakat yang telah diterima oleh Dona ialah bantuan Hari Raya dan bantuan pendidikan.

Berkaitan dengan kenyataan beliau tentang permohonan bantuan yang tidak diberi respon sejak 2007, dimaklumkan bahawa daripada rekod LZS mendapati Dona telah menghantar borang permohonan tersebut pada bulan November lalu. Namun, setelah semakan borang permohonan dilakukan didapati borang tersebut tidak lengkap. Beliau tidak menyertakan dokumen berkaitan tapak tanah untuk pembinaan rumah dan hal ini telah dimaklumkan kepada beliau sebelum ini.

Sehubungan dengan itu, LZS telah mendapatkan kerjasama daripada pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk membantu beliau menyelesaikan urusan tapak tanah tersebut.

Manakala berhubung permohonan Zaki, semakan LZS mendapati beliau tidak pernah membuat sebarang permohonan bantuan pembinaan rumah sebelum ini.

Untuk makluman, beliau kini menetap di rumah tinggalan bapanya yang telah dibina oleh LZS 10 tahun yang lalu. Daripada rekod LZS juga mendapati, beliau telah menerima bantuan dari LZS antaranya bantuan Hari Raya. Sehubungan dengan itu, LZS akan mempertimbangkan bantuan baik pulih rumah dan bantuan lain mengikut keperluan.

Untuk makluman di Selangor, seseorang itu adalah asnaf mualaf sekiranya tempoh keislamannya masih di bawah lima tahun dan diuruskan oleh Bahagian Pengurusan dan Pembangunan Mualaf, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS). Selepas tempoh tersebut, sekiranya seseorang itu masih memerlukan bantuan zakat, mereka boleh memohon bantuan di bawah asnaf lain terutamanya asnaf fakir dan miskin.

 

Sekian, terima kasih.

NORAJUN AINUN MOHD HASHIM

Pengurus Besar Komunikasi Korporat

LZS AGIH BANTUAN PENDIDIKAN LEBIH RM800 RIBU UNTUK 652 KELUARGA ASNAF DAERAH PETALING

0

SHAH ALAM, 26 November 2015 – Seramai 652 orang keluarga asnaf fakir dan miskin di daerah Petaling hari ini menerima bantuan pendidikan untuk anak-anak mereka bagi sesi persekolahan 2016 dari Lembaga Zakat Selangor (LZS) berjumlah RM854,920.00. Bantuan tersebut disampaikan oleh Orang Besar Daerah Petaling, Dato’ Haji Emran bin Haji Kadir.

Ia merupakan program yang keempat diadakan di daerah ini bersempena dengan Program Penyampaian Agihan Pendidikan bagi Sesi Persekolahan 2016 yang diadakan di seluruh Selangor bermula 17 November lalu.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM654,990.00 diserahkan kepada 502 keluarga asnaf miskin, manakala RM199,930.00 lagi diagihkan kepada 150 keluarga asnaf fakir. Ia bertujuan membantu meringankan bebanan ibu bapa terutamanya bagi membiayai kelengkapan dan yuran persekolahan anak-anak bermula dari peringkat pra sekolah hingga sekolah menengah pada tahun hadapan.

Melalui bantuan agihan tersebut, setiap anak asnaf yang bersekolah di sekolah rendah kebangsaan dan sekolah rendah agama masing-masing akan menerima sebanyak RM150 bagi membiayai yuran persekolahan, manakala sekolah menengah kebangsaan dan sekolah menengah agama pula akan menerima sebanyak RM250. Sementara bagi anak asnaf di peringkat pra sekolah akan menerima sebanyak RM100.

Di samping itu, setiap pelajar turut menerima bantuan pakaian sekolah dan peralatan sekolah bernilai di antara RM150 hingga RM200, di mana para penerima boleh mendapatkan keperluan tersebut di Pasar Raya Sakan, Mydin dan Jakel yang terpilih di sekitar Selangor dengan menggunakan MyKad ketua keluarga sebagai rujukan.

Bantuan agihan pendidikan hari ini adalah sebahagian daripada jumlah yang diperuntukkan oleh LZS untuk diagihkan kepada anak-anak asnaf fakir dan miskin menjelang sesi persekolahan 2016.

Pada tahun ini, LZS telah memperuntukkan sebanyak RM25,156,300 untuk diagihkan kepada 19,009 keluarga asnaf fakir dan miskin di seluruh Selangor melibatkan seramai 49,158 orang pelajar. Ia membabitkan sejumlah RM6,401,570 yang diagihkan kepada 13,030 orang pelajar asnaf fakir dan RM18,754,730 kepada 36,128 orang pelajar asnaf miskin.

Daerah Petaling mencatatkan jumlah pelajar tertinggi yang menerima bantuan zakat iaitu sebanyak 11,045 orang pelajar dengan jumlah keseluruhan agihan sebanyak RM5,458,080.00. Ia melibatkan seramai 939 keluarga asnaf fakir dan 2,889 keluarga miskin di daerah Petaling.

Berita Terkini