Utama Blog Halaman 53

KENYATAAN AKHBAR PENCAPAIAN AGIHAN DAN KUTIPAN ZAKAT NEGERI SELANGOR 2015

0
  • Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
  • Terima kasih kepada wakil-wakil media yang hadir pada hari ini.
  • Sukacita saya ingin memaklumkan beberapa perkara mengenai pencapaian agihan dan kutipan zakat Negeri Selangor bagi tahun 2015.

1. PRESTASI KESELURUHAN KUTIPAN DAN AGIHAN ZAKAT 2015

Dalam usaha Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyantuni asnaf dan memudahkan pengeluar zakat, alhamdulillah LZS telah mengagihkan zakat sebanyak RM676.3 juta dan mengutip sebanyak RM626.6 juta pada tahun 2015.

2. KUTIPAN ZAKAT (HARTA DAN FITRAH)

Jumlah kutipan zakat di Selangor pada tahun 2015 telah melebihi sasaran, dengan jumlah kutipan sebanyak RM626.6 juta berbanding RM582.3 juta dalam tempoh yang sama pada tahun sebelumnya (2014).

Jumlah ini melebihi kutipan tahun 2014 dengan perbezaan sebanyak RM44.4 juta. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM605.2 juta dikutip daripada zakat harta, manakala RM21.5 juta daripada zakat fitrah.

Untuk makluman, LZS telah mensasarkan kutipan zakat sebanyak RM615 juta pada tahun 2015. Pecahan kutipan zakat adalah seperti berikut:

BIL JENIS ZAKAT RM (JUTA)
1. PENDAPATAN          385,894,374
2. PERNIAGAAN          117,169,148
3. SIMPANAN            38,084,068
4. HARTA            37,971,374
5. SAHAM            10,149,670
6. KWSP               9,727,930
7. EMAS               2,501,603
8. TANAMAN               2,486,838
9. QADA               1,062,054
10. TERNAKAN                    54,053
11. PERAK                    50,870
JUMLAH KUTIPAN ZAKAT HARTA 605,151,981
12. FITRAH 21,496,174
JUMLAH KESELURUHAN KUTIPAN ZAKAT 2015 626,648,155

3. JUMLAH PENGELUAR ZAKAT HARTA

Jumlah pengeluar zakat harta bagi tahun 2015, ialah seramai  256,540 orang (meningkat 3 peratus) berbanding tahun sebelumnya 2014 iaitu seramai 248,013 orang.

4. AGIHAN ZAKAT

Pada tahun 2015 yang lalu, MAIS melalui LZS telah mengagihkan wang zakat kepada golongan yang layak di selangor sebanyak RM676.3 juta berbanding RM595.7 juta pada tahun sebelumnya (2014). Jumlah pengagihan ini dilihat meningkat sebanyak 14 peratus dengan perbezaan sebanyak RM80.6 juta.

Pecahan agihan zakat mengikut asnaf adalah seperti berikut:

BIL ASNAF RM (JUTA)
1 Fakir 98,084,005
2 Miskin     202,072,866
3 Amil       78,331,019
4 Muallaf       53,745,549
5 Fisabilillah     161,011,983
6 Gharim       59,536,093
7 Ibnu sabil        1,202,193
8 Riqab       22,323,387
JUMLAH KESELURUHAN AGIHAN ZAKAT 2015   676,307,095

5. ASNAF FAKIR DAN MISKIN 

Bilangan asnaf fakir yang menerima bantuan pada tahun lepas (2015) ialah seramai 13,138 keluarga. Manakala bagi asnaf miskin adalah seramai 31,155 keluarga.

Oleh itu, jumlah keseluruhan fakir dan miskin pada tahun lepas (2015) adalah seramai 44,293 keluarga.

Dalam masa yang sama juga, LZS meneruskan program turun padang bagi mencari fakir dan miskin dikenali sebagai Skuad Jejak Kemiskinan (SJK).

Sebanyak 21 siri SJK telah dilaksanakan di seluruh Selangor sepanjang tahun 2015. Melalui SJK 2015, seramai 477 keluarga telah ditemui dan didaftarkan sebagai asnaf fakir dan miskin di Selangor.

Pada tahun 2015, seramai 173 orang penerima bantuan zakat telah keluar dari kategori asnaf. Mereka ini terdiri daripada penerima bantuan modal perniagaan yang disediakan oleh lzs.

Sementara itu, 340 keluarga yang menjadi penerima zakat pada tahun 2015 turut keluar daripada kategori asnaf hasil daripada siasatan semasa yang dilaksanakan oleh LZS menggunakan garis penentuan fakir dan miskin iaitu haddul kifayah.

_MG_6418

6. SASARAN AGIHAN DAN KUTIPAN ZAKAT 2016

Mengambil kira faktor kesedaran mengeluarkan zakat yang semakin meningkat dalam kalangan masyarakat dan peningkatan jumlah asnaf fakir dan miskin serta asnaf-asnaf lain pada saban tahun, maka LZS meletakkan sasaran kutipan dan agihan zakat bagi tahun 2016 adalah sebanyak  RM645 juta.

7. LAIN-LAIN HAL

Dalam usaha meneraju perubahan bagi menyantuni asnaf dan memudahkan pengeluar zakat, beberapa inisiatif telah dilaksanakan. Ini termasuklah:

     a) Penambahan cawangan LZS

LZS telah menambah dua cawangannya iaitu di Klang dan Cyberjaya. Ini menjadikan keseluruhan cawangan LZSsebanyak 28 buah di setiap daerah. Penambahan cawangan ini bagi memberi kemudahan kepada asnaf dan pengeluar zakat berurusan dengan LZS.

     b) Pusat Dialisis Bukit Jelutong

LZS dengan kerjasama Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) akan membuka Pusat Dialisis MAIS bertempat di Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong, Shah Alam. Ia dibina bertujuan memberi perkhidmatan dan rawatan dialisis kepada asnaf fakir, miskin dan gharimin di mana kos rawatan ditanggung oleh LZS. Pusat dialisis ini dijangka akan beroperasi pada bulan April 2016.

     c) Pembinaan Rumah Kekal Kepada Asnaf Yang Terlibat Banjir Kelantan

LZS telah membina penempatan di satu kawasan baru bagi 60 keluarga fakir dan miskin di daerah Kuala Krai yang terbabit dengan banjir besar pada penghujung disember 2014 melibatkan sumbangan wang zakat berjumlah RM10.2 juta.

Antara kemudahan asas yang telah dibina ialah stesen TNB, tangki air, jaringan jalan raya, enam buah lot perniagaan, dewan serba guna dan sebuah surau yang boleh menampung jemaah seramai 300 orang.

Pembinaan Laman Seri Ehsan bertujuan untuk menyediakan kediaman selesa kepada asnaf fakir dan miskin yang ditimpa musibah banjir melalui manfaat daripada dana zakat di Selangor.

Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fa-Iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra berkenan menyampaikan kunci rumah di Majlis Perasmian Dan Pengurniaan Kunci Rumah Kepada Mereka Yang Ditimpa Musibah Banjir Di Laman Seri Ehsan, Kampung Telekong pada 26hb Januari yang lalu.

Sekian.

Kenyataan daripada:

Y.A.D Dato’ Setia Haji Mohamad Adzib Mohd Isa

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS)

Seminar Pengurusan Zakat dan Tahsinul Ibadah Didik Remaja Dekati Zakat

0

SABAK BERNAM, 29 Jan 2016 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menganjurkan Seminar Pengurusan Zakat bagi berkongsi pengalaman berkaitan pengurusan zakat melibatkan kira-kira 200 orang peserta bertempat di Politeknik Sultan Idris Shah di sini hari ini.

Program berbentuk didikan awal oleh LZS kepada pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) ini bertujuan memberi pendedahan kepentingan pengurusan kewangan agar kita boleh menunaikan zakat. Ia mensasarkan pelajar dalam pengajian Ekonomi Islam sebagai peserta. Antara pengisian seminar adalah perkongsian pengalaman bersama Eksekutif Dakwah LZS, Hamizul Abdul Hamid dan forum bertajuk Pembangunan Zakat dan Kesannya Terhadap Ekonomi Islam.

seminar

Program dimulakan dengan mengadakan aktiviti Tahsinul Ibadah pada malam 28 Januari yang mensasarkan kepada anak-anak asnaf yang belajar di sini. Hampir 600 orang peserta menyertai program ini yang berkisar berkaitan peranan remaja Islam.

 

LZS TINGKAT KESEDARAN KEWAJIPAN ZAKAT

0

SHAH ALAM, 27 JANUARI 2016 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengadakan sesi ceramah kepada 300 anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi memberi kefahaman tentang kewajipan berzakat bertempat di Dewan Ababil, Pangkalan Udara Subang baru-baru ini.

Penceramah LZS, Ustaz Hamizul Abdul Hamid menyampaikan ceramah berkaitan kepentingan menunaikan ibadah zakat dan penerangan ringkas tentang zakat.

Hadir sama dalam program tersebut wakil TUDM, Pegawai Laksana Pangkalan, Leftenan Kolonel Omar Dawami dan wakil LZS, Eksekutif Operasi Daerah, Fadzli Muji.

20160127_103326

Sementara itu, LZS turut membuka kaunter sementara bagi memberi peluang kepada anggota TUDM yang ingin membuat taksiran zakat dan potongan gaji. Sambutan daripada audian amat menggalakkan apabila seramai 70 anggota mula mencarum termasuk penambahan caruman melalui Skim Potongan Gaji (SPG).

Dengan adanya program sebegini, LZS dapat menyebarluas dakwah zakat kepada seluruh umat Islam terutamanya yang berada di negeri Selangor.

60 KELUARGA ASNAF MUSIBAH BANJIR KUALA KRAI TERIMA RUMAH LZS

0

KUALA KRAI, 26 Jan 2016 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) membina penempatan bagi 60 keluarga fakir dan miskin di daerah ini yang terbabit dengan banjir besar pada penghujung Disember 2014 melibatkan sumbangan wang zakat berjumlah RM10.2 juta.

Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fa-iz Petra ibni Sultan Ismail Petra berkenan menyampaikan kunci rumah di Majlis Perasmian dan Pengurniaan Kunci Rumah Kepada Mereka Yang Ditimpa Musibah Banjir di Laman Seri Ehsan, Kampung Telekong di sini hari ini.

Pembinaan Laman Seri Ehsan bertujuan untuk menyediakan kediaman selesa kepada asnaf fakir dan miskin yang ditimpa musibah banjir melalui manfaat daripada dana zakat Selangor.

IMG_4133

Pemilihan 60 keluarga asnaf ini dilakukan melalui satu sesi bancian yang dilaksanakan pada Oktober hingga November 2015.  Ia bagi memastikan kelayakan mereka memenuhi kriteria dan syarat yang telah ditetapkan dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Kelantan (MAIK) dan Majlis Daerah Kuala Krai.

Rumah dengan keluasan 869 kaki persegi mempunyai tiga bilik tidur dan dua tandas serta dilengkapi perabot dengan anggaran nilai keseluruhan RM62,000 sebuah. Laman Seri Ehsan turut dilengkapi dengan infrastruktur yang kondusif seperti surau, dewan serba guna dan enam lot kedai serta kemudahan bekalan air bersih dan elektrik.

Serentak dengan majlis tersebut, penempatan ini akan diuruskan oleh pihak MAIK selaku pemegang amanah dengan pemantauan LZS bermula pada hari ini.

Sementara itu, Mariam Majid, 46 berkata sumbangan rumah dari LZS ini amat bermakna buat beliau sekeluarga. “Setelah kehilangan harta benda semasa bah dahulu, saya amat berterima kasih kepada pengeluar zakat di Selangor yang prihatin dengan nasib asnaf di sini.”

Hadir sama, Pengerusi LZS, Tan Sri Dato’ Seri Syed Anwar Tuanku Syed Putra Jamalullail, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa, ahli-ahli Dewan DiRaja Selangor dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Hussin Mohd Ali.

LZS ZIARAH ADIK NURAISYAH

0

KLANG, 21 Januari 2016 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) bersimpati dengan musibah menimpa adik Nuraisyah Sahrin 13, yang putus kedua-dua kaki selepas digilis lori dalam satu kejadian kemalangan di Parit 16, Sungai Panjang, Sabak Bernam pada Isnin, 18 Januari lalu.

Oleh itu, LZS yang diwakili Pengurus Daerah Klang, Saiful Annuar Abdullah Salleh bersama beberapa eksekutif LZS telah menziarahi adik ini pada 20 Januari  dan menyampaikan sumbangan berjumlah RM500.

Menurut Saiful, LZS akan menyalurkan bantuan susulan seperti kerusi roda dan kaki palsu mengikut keperluan Noraisyah.  “Kami akan melihat keperluan adik Nuraisyah memandangkan banyak agensi yang turut ingin menyumbang bantuan.  Kami ada akan berbincang dengan keluarga Nuraisyah bagi melihat keperluan adik ini yang boleh LZS bantu,” katanya semasa pertemuan semalam.

851331266_74323 (1)

Tambahnya, “Bantuan yang akan disalurkan kepadanya adalah di bawah asnaf gharimin iaitu bantuan hutang perubatan memandangkan keluarga ini bukan asnaf fakir atau miskin.”

LZS BANTU AZUMI

0

SABAK BERNAM, 19 Januari 2016 – Berikut merupakan maklum balas Lembaga Zakat Selangor (LZS) berkenaan berita bertajuk ‘Jaga Ayah Selagi Kudrat Ada’ yang tersiar di Sinar Harian pada 19 Januari 2016.

Pihak LZS telah sedia maklum berhubung perkara ini dan satu ziarah telah dilaksanakan pada 11 Januari 2016. Hasil siasatan mendapati Azumi Sarikin layak menerima bantuan perubatan, di samping bantuan kewangan bulanan dan baik pulih rumah.

Berhubung aduan bantuan perubatan yang ditolak sebelum ini, pihak LZS pernah menerima permohonan beliau, tetapi dokumen tidak lengkap dan maklum balas telah disampaikan kepada pemohon untuk melengkapkan permohonan tersebut. Namun sehingga tempoh yang ditetapkan, tiada sebarang maklum balas daripada pemohon diterima.

Berkenaan dengan aduan pemohon yang mendakwa telah memohon bantuan kewangan bulanan dan baik pulih tandas rumah dengan LZS sebelum ini, dimaklumkan bahawa tiada sebarang rekod permohonan yang diterima di LZS.

Sekian, terima kasih.

NORAJUN AINUN MOHD HASHIM

Pengurus Besar Komunikasi Korporat

 

MAKLUM BALAS LZS BERKENAAN VIRAL BANTUAN UMUM PELAJARAN

0

SHAH ALAM, 11 Januari 2016 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menafikan maklumat berkenaan bantuan RM400 yang diberikan kepada ibu bapa mempunyai tiga anak bersekolah pada tahun ini, seperti yang tersebar dan menjadi viral melalui aplikasi WhatsApp dan Facebook sejak awal Januari.

Untuk makluman selain bantuan pendidikan kepada asnaf fakir dan miskin, LZS menyediakan bantuan umum pelajaran (BUP) di bawah asnaf fisabilillah. Permohonan bantuan tersebut terbuka kepada warganegara Malaysia yang beragama Islam, lahir dan menetap di Selangor atau bermastautin dan masih menetap di Selangor tidak kurang dari tiga tahun.

Ia merupakan sumbangan bagi meringankan beban kewangan yang ditanggung oleh pelajar yang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) dalam dan luar negara serta ibu bapa atau penjaga yang membiayai persekolahan anak-anak mereka setiap tahun. Permohonan adalah tertakluk kepada garis panduan dan syarat kelayakan yang telah ditetapkan.

viral wasap

Pemohon boleh memohon bantuan tersebut pada bulan Januari hingga Mac bagi pelajar pra sekolah, sekolah rendah, sekolah menengah dan pelajar IPT. Manakala permohonan pada bulan Julai hingga September hanya dibuka bagi pelajar IPT sahaja. Walau bagaimanapun, permohonan BUP bagi pelajar tahun pertama di IPT dibuka sepanjang tahun. Pemohon hanya boleh memohon sekali dalam tempoh setahun.

Sehubungan dengan itu, LZS memohon semua pihak agar tidak terus menyebarkan maklumat yang diviralkan. Sebarang kenyataan rasmi LZS dikeluarkan melalui laman web www.zakatselangor.com.my atau facebook LembagaZakatSelangor.MAIS. Pertanyaan dan maklumat lanjut hubungi Talian Zakat Selangor 1-800-88-5353.

KELUARGA NORAZURA DIBANTU LZS

0

SHAH ALAM, 6 Januari 2016 – Merujuk kepada kisah ibu tunggal, Norazura Roski yang disiarkan di Malaysia Hari Ini (MHI), TV3 pada 5 Januari 2016, memaparkan kesukaran hidup ibu kepada lapan orang anak yang bergelap disebabkan bil elektrik yang tertunggak.

Untuk makluman, keluarga Norazura merupakan asnaf yang berdaftar dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS) sejak tahun 2006 lagi. Beliau mempunyai lapan orang anak, di mana tiga orang daripadanya masih bersekolah, seorang yang masih kecil, seorang masih menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) dan selebihnya melebihi usia 20 tahun serta masih belum bekerja.

12493572_10153762550931221_1148049080078469833_o

Selain menerima bantuan kewangan bulanan dari LZS, beliau turut menerima bantuan makanan bulanan, bantuan Hari Raya, bantuan pendidikan merangkumi kelengkapan dan yuran persekolahan, serta bantuan umum pelajaran anak di IPT. Semoga bantuan yang disalurkan ini dapat meringankan beban Norazura sekeluarga.

 

KELUARGA TINGGAL DI KHEMAH DIBANTU

0

AMPANG, 6 Januari 2016 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) baru-baru ini membantu keluarga Hairur Razi Suhur, 30 tahun yang tinggal bersama isteri dan anaknya di sebuah khemah di Taman Rimba Ampang, Bukit Belacan. Ia turut mendapat kerjasama dari AJK masyarakat, wakil pejabat Adun Lembah Jaya Utara dan penduduk setempat yang membantu keluarga ini dengan menempatkan mereka di  kediaman yang lebih selesa.

Hairur mempunyai tiga orang anak, di mana anak yang pertama berusia 10 tahun kini berada di bawah jagaan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak lapan tahun lalu. Manakala, anak kedua yang berusia lapan tahun  di bawah jagaan keluarga adiknya dan seorang lagi berusia tiga tahun di bawah jagaan mereka sendiri.

851312523_39153

Keluarga yang mengalami desakan hidup ini mendapat perhatian masyarakat sekitar yang sama membantu meringankan bebanan mereka. Hairur kini mendapat pekerjaan ebagai kontrak pemotong rumput dan menjaga padang di MSN Keramat.

Dalam pertemuan tersebut, LZS turut menyalurkan bantuan segera sebanyak RM500 kepada keluarga ini. Terima kasih pengeluar zakat yang menunaikan zakat di LZS. Dengan zakat anda, kami bantu mereka yang memerlukan.

 

Berita Terkini