Utama Blog Halaman 52

LEMBAGA TABUNG HAJI SELANGOR SERAH ZAKAT PERNIAGAAN RM14.7 JUTA, TERTINGGI DI MALAYSIA

0

SHAH ALAM, 30 Mac 2016 – Lembaga Tabung Haji (LTH) hari ini menyerahkan cek zakat perniagaannya untuk negeri Selangor berjumlah RM14,739,426.67 kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS).  DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima zakat tersebut yang disampaikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif LTH, Tan Sri Dato’ Sri Ismee Ismail di Istana Bukit Kayangan di sini. 

Zakat perniagaan ini adalah bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015 dan merupakan jumlah yang tertinggi dibayar oleh LTH berbanding negeri-negeri lain dan tertinggi diterima LZS pada tahun ini.

Upacara penyerahan zakat LTH turut dihadiri Pengerusi LZS, Tan Sri Dato’ Seri Syed Anwar Syed Putra Jamalullail, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa dan Mufti Negeri Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid.

Turut hadir, Pengarah LTH Selangor, Mohd Sawal Abong dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Hussin Mohd Ali.

ZIARAH ASNAF: SELAMI PERMASALAHAN ASNAF ZAKAT

0

SUBANG, 28 Mac 2016 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) daerah Petaling mengadakan program ziarah ke rumah asnaf fakir dan miskin di sekitar Subang baru-baru ini.

Program ini bersifat turun padang bagi menyelami permasalahan hidup asnaf, di samping melihat keperluan lain yang layak disantuni oleh zakat. Dalam masa yang sama, LZS turut mengemas kini maklumat keluarga dan tanggungan hasil daripada ziarah tersebut. 

20292_10153931930546221_3888745331008887120_n

LZS turut mengunjungi salah seorang asnaf, Nur Syahirah Kamaruddin yang merupakan pesakit kanser payu dara tahap empat di Hospital Kuala Lumpur. Dalam pertemuan tersebut, LZS telah menyerahkan sumbangan bagi meringankan beban yang dihadapi.

77 ASNAF TERIMA SUMBANGAN CERMIN MATA

0

HULU SELANGOR, 22 Mac 2016 – Seramai 77 orang asnaf fakir dan miskin dari kawasan Bukit Beruntung dan sekitarnya menerima sumbangan cermin mata dari Lembaga Zakat Selangor (LZS) dalam satu majlis yang diadakan baru-baru ini.

Mereka yang menerima sumbangan ini terdiri daripada asnaf pelbagai peringkat usia sama ada warga emas, golongan dewasa serta kanak-kanak. Ia beri berdasarkan kepada keperluan asnaf lebih-lebih lagi mereka yang mengalami masalah penglihatan hingga menjejaskan aktiviti seharian.

photo_2016-03-24_12-09-11

Majlis penyerahan disempurnakan oleh wakil pengeluar zakat, Dato’ Roslee Jamaludin dan Datin Norsham Md Jani.

MAKLUM BALAS LZS: NUDRA SYAFINIE TELAH DIBANTU

0

SHAH ALAM, 21 Mac 2016 – Berikut merupakan maklum balas Lembaga Zakat Selangor (LZS) berkenaan viral seorang isteri yang mendakwa tidak mendapat layanan sewajarnya dari institusi zakat  yang tersiar di beberapa page facebook.

Menurut viral tersebut, Nudra Syafinie mendakwa permohonannya untuk mendapatkan bantuan zakat tidak dilayan, apatah lagi dengan keadaannya yang kesempitan kerana suaminya menghidap strok ketika itu. Kisah beliau ini pernah dimuat naik di facebook pada tahun 2015 dan telah diviralkan semula oleh beberapa pihak baru-baru ini.

step0005

Untuk makluman, kisah Nudra ini telahpun mendapat perhatian LZS apabila suaminya, Asri Mokhtar disantuni oleh zakat pada tahun 2015. LZS menyalurkan bantuan berupa hutang keperluan hidup bagi melunaskan tunggakan sewa rumah berjumlah RM2,000 dan tunggakan utiliti sebanyak RM800. Ia merupakan bantuan zakat di bawah asnaf gharimin.

Sehubungan dengan itu, LZS memohon semua pihak agar tidak terus menyebarkan maklumat yang diviralkan, selain menyemak terlebih dahulu kesahihan sesuatu viral itu. Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut hubungi Talian Zakat Selangor 1-300-88-4343 atau layari laman web www.zakatselangor.com.my dan facebook LembagaZakatSelangor.MAIS.

ZAKAT SANTUNI ADIK HAFIQ

0

KLANG, 18 Mac 2016 – Penderitaan adik Hafiq Qayyum, dua tahun, yang menghidap kanser darah mendapat perhatian Lembaga Zakat Selangor (LZS) apabila wakil LZS mengunjungi keluarga adik Hafiq baru-baru ini di rumahnya yang terletak di Telok Panglima Garang.

Menurut ibunya, Siti Norashimah Uprejar, 30 tahun, Hafiq mula dikesan menghidapi kanser sejak bulan Ogos tahun lalu setelah kerap mengalami demam. Sejak itu, hospital menjadi rumah kedua buat adik Hafiq dan juga ibunya.

Dalam kunjungan tersebut, LZS dapat melihat sendiri keperluan adik Hafiq yang sebelum ini menjadi viral kerana dakwaan permohonan zakat tidak diberi layanan yang sewajarnya.

Berkenaan permohonan bantuan keperluan susu dan lampin pakai buang, LZS tidak dapat meluluskannya permohonan tersebut memandangkan keperluan susu dan lampin pakai buang untuk kegunaan harian. Untuk makluman, bantuan keperluan susu disalurkan untuk pesakit yang memerlukan susu khas, manakala bantuan lampin pakai buang hanya diperuntukkan untuk pesakit terlantar.

10380968_10153917442961221_6064210682375076654_n

Bagaimanapun, melihat kepada keperluan adik Hafiq, LZS akan menyalurkan bantuan bagi menampung kos ulang alik ke hospital di bawah asnaf gharimin. LZS turut menyumbangkan bantuan kecemasan sebanyak RM300 untuk keperluan sementara adik Hafiq. Semoga adik Hafiq cepat sembuh dan keluarga ini dapat menjalani kehidupan seperti biasa.

9155_10153917442911221_1374726363808405176_n

SKUAD JEJAK KEMISKINAN: CARI, SIASAT & BANTU KELUARGA YANG LAYAK

0

SELAYANG, 9 Mac 2016– Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini, mengadakan program Skuad Jejak Kemiskinan (SJK) siri ketiga bagi daerah Gombak bertujuan untuk mencari individu atau keluarga yang layak menerima bantuan zakat.

Operasi yang bersifat cari, siasat dan bantu ini bertujuan bagi mengenal pasti individu atau keluarga yang memerlukan bantuan zakat dan akan disenaraikan sebagai asnaf fakir atau miskin. Matlamat LZS ialah untuk menangani kemiskinan di Selangor, iaitu kepada golongan yang layak, namun tidak berdaftar dengan LZS atas faktor tidak tahu bagaimana dan di mana hendak memohon.

20160309_120149

Pengurus Daerah Gombak, Azhar Yahya Arif berkata, sebanyak 45 buah keluarga di sekitar Bandar Baru Selayang telah dibanci. Siasatan secara terus dari rumah ke rumah ini dijalankan dengan kerjasama ketua kampung dan penolong amil kariah di mana penduduk diminta mengisi borang bancian siasatan bagi menentukan haddul kifayah (garis penentuan kemiskinan) mereka.

Melalui dua siri SJK yang diadakan sebelum ini di daerah Gombak, seramai 27 buah keluarga telah didaftarkan sebagai asnaf fakir dan miskin. Mereka ini akan menerima bantuan Hari Raya dan pendidikan di samping bantuan lain bergantung kepada keperluan.

Untuk makluman sehingga bulan Januari 2016, seramai 3,011 keluarga asnaf fakir dan miskin di daerah Gombak telah disantuni oleh LZS.

45 PELAJAR ASNAF SERTAI PROGRAM KECEMERLANGAN PELAJAR

0

KUALA SELANGOR, 7 Mac 2016 – Seramai 45 orang pelajar terdiri daripada anak asnaf fakir dan miskin di Sekolah Kebangsaan Assam Jawa mengikuti Program Kecemerlangan Pelajar anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang diadakan di Kem Warisan Sembilang, Jeram di sini baru-baru ini.

851312915_96049

Ia bertujuan untuk menyuntik motivasi kepada para pelajar sekali gus memberi semangat untuk membuat yang terbaik dalam pelajaran agar dapat mengubah diri dan keluarga. Program ini merupakan antara usaha yang dilaksanakan oleh LZS bagi merealisasikan hasrat untuk membangunkan jiwa dan kecemerlangan pelajar asnaf LZS.

LAPAN KELUARGA MANGSA RIBUT TERIMA SUMBANGAN ZAKAT

0

BANTING, 7 Mac 2016 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyerahkan sumbangan zakat kepada lapan keluarga yang terlibat dengan kejadian ribut di Taman Changgang Jaya baru-baru ini.

Menurut Pengurus Daerah Kuala Langat, Mohd Shukri Hushin, “Daripada lapan mangsa yang terlibat dengan kejadian tersebut, dua merupakan keluarga asnaf fakir dan miskin di LZS. Sebanyak RM300 disalurkan oleh LZS bagi meringankan beban keluarga mangsa yang terlibat dengan musibah itu.”

851335367_117928

Hadir sama sewaktu penyerahan sumbangan, Penghulu Mukim 12, Mohd Ezham Mohd Azmi dan Ketua Kampung Bukit Changgang, Sharif Ngatani.

ZIARAH ASNAF: ERATKAN HUBUNGAN LZS DENGAN ASNAF

0

SEPANG, 7 Mac 2016 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) daerah Sepang mengadakan aktiviti Ziarah Asnaf bagi melihat perkembangan kehidupan keluarga asnaf dan secara tidak langsung dapat mengeratkan siraturahim di antara LZS dan penerima bantuan di sini baru-baru ini.

Program kali ini memberi tumpuan keluarga asnaf di kawasan sekitar Pekan Sg. Pelek dan Kg. Bagan Lalang. Sebanyak 10 keluarga asnaf fakir dan miskin telah dikunjungi terdiri daripada keluarga ibu tunggal, warga emas sebatang kara, keluarga anak yatim yang kehilangan kedua ibu bapa dan juga asnaf yang menghidap sakit kronik.

Menurut Pengurus Daerah Sepang, Mohd Nur Fadhli Yohman, selain dapat mengeratkan hubungan dengan asnaf, aktiviti ini bertujuan untuk mendapat maklum balas terus di lapangan berkenaan bantuan zakat yang disalurkan.

851333408_110451

“Secara tidak langsung LZS dapat menyelami permasalahan yang dihadapi asnaf seterusnya melihat kecukupan bantuan zakat yang telah disalurkan kepada keluarga yang terlibat.”

Pada masa ini, seramai 44,293 keluarga asnaf fakir dan miskin disantuni oleh LZS dengan pelbagai bantuan zakat. Daripada jumlah tersebut, 1,831 keluarga merupakan asnaf fakir dan miskin bagi daerah Sepang.

PROGRAM PENDATAAN: ASNAF FAKIR DAN MISKIN DISERU KEMAS KINI MAKLUMAT PERIBADI

0

SHAH ALAM, 22 Februari 2016 – Seramai 27,000 asnaf fakir dan miskin di seluruh Negeri Selangor diseru untuk mengemas kini maklumat sempena Program Pendataan Asnaf Fakir dan Miskin 2016 yang diadakan di masjid terpilih di seluruh Selangor bermula awal Februari sehingga penghujung Mac.

Pendataan semula ini bertujuan untuk mengemas kini maklumat asnaf di Selangor agar penyaluran bantuan zakat dapat dilaksanakan dengan tepat mengikut jumlah tanggungan sebenar sesebuah keluarga.

Para asnaf yang terlibat akan dimaklumkan melalui pos dan diminta hadir ke masjid mengikut tarikh yang telah ditetapkan. Mereka perlu membawa salinan kad pengenalan diri dan tanggungan beserta salinan penyata Bank Islam dan pengesahan belajar sekolah anak-anak.

pendataan

Bagi asnaf yang tidak dapat hadir, boleh menghantar wakil untuk penyerahan maklumat tersebut. Kerjasama asnaf yang terlibat amat diharapkan bagi mengelakkan keciciran dalam pengagihan bantuan zakat. Walau bagaimanapun, bagi asnaf yang tidak menerima surat dari LZS bermakna data mereka telah lengkap.

Sehingga kini, tiga daerah iaitu Sepang, Gombak dan Kuala Selangor telah selesai mengadakan program ini. Manakala daerah bagi daerah Hulu Langat akan diadakan bermula 22 sehingga 26 Februari bertempat di Masjid Sultan Hishamuddin Alam Shah, Batu 14, Masjid Al-Azim Pandan Indah, Ampang, Masjid Cheras Jaya, Balakong dan Masjid Sungai Ramal Luar.

Sementara bagi daerah Kuala Langat akan diadakan bermula 29 Februari-2 Mac di Masjid Al-Islah, Kg. Sawah, Masjid Jamek Jamaiyah, Morib dan Masjid Ar-Rahman, Sg. Manggis.  Sabak Bernam pada 5-8 Mac di Masjid Makmuriah, Pekan Sg. Besar, Masjid Makmuniah Sg. Nipah, Simpang Lima, Masjid Ar Rahmaniah, Sg. Air Tawar dan Balai Raya Jalan Raja Wali, Taman Berjaya.

Bagi daerah Hulu Selangor akan diadakan pada 9-11 Mac di Masjid As-Salam Bukit Sentosa, Masjid Bandar Utama Batang Kali dan Masjid Ar-Rahman Ulu Bernam. Manakala daerah Petaling akan mengadakan program ini pada 14-18 Mac dan Klang pada 21-24 Mac.

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut berkaitan hal ini, boleh hubungi talian cawangan LZS di daerah masing-masing.

 

Berita Terkini