Utama Blog Halaman 47

TUAS 2016: SUNTIK MOTIVASI 300 USAHAWAN ASNAF

0

SHAH ALAM, 16 Ogos 2016 – Seramai 300 usahawan asnaf berhimpun bersempena dengan program Transformasi Usahawan Asnaf (TUAS) 2016 anjuran Teraju Ekonomi Asnaf (TERAS) dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor (LZS) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC). Program dirasmikan oleh Pengerusi TERAS merangkap ahli Jawatankuasa Operasi Agihan Zakat, Dato’ Ibrahim Md. Yusof.

Program ini mensasarkan usahawan asnaf zakat yang menerima bantuan ekonomi LZS dan berpotensi untuk keluar dari kategori asnaf.

Selain menyuntik motivasi dalam kalangan usahawan asnaf, ia  menjadi platform untuk usahawan ini membina jaringan perniagaan yang lebih luas di samping memberi pendedahan berkenaan peluang pembiayaan kewangan dan pengembangan perniagaan dari agensi-agensi lain.

Dalam program yang sama, tiga orang usahawan zakat yang merupakan bekas asnaf LZS menerima penghargaan atas kejayaan mereka dalam perniagaan. Mereka ialah Zamri Kasim, Rasman Nordin dan Sharifuddin Meon yang masing-masing menerima sijil penghargaan atas kecemerlangan mereka dalam perniagaan.

Pada tahun 2015, seramai 173 orang usahawan sukses telah terbentuk menerusi pakej bantuan ekonomi LZS dan bagi tahun ini, LZS menyasarkan seramai 200 asnaf bakal keluar daripada kategori asnaf fakir dan miskin.

Turut hadir, Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Dato’ Siti Maslamah Osman dan Pengurus Besar Agihan, Abdul Basith Hamid.

Zakat Selangor Terima Kunjungan IMZ

0

SHAH ALAM, 10 Ogos 2016 – Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) menerima kunjungan dari Indonesia Magnificence of  Zakat (IMZ) ke ibu Pejabat Zakat Selangor di sini baru-baru ini.

Kunjungan ini adalah untuk berkongsi pengalaman dan bertukar pandangan bagi memartabatkan lagi institusi zakat. Delegasi seramai 30 orang diketuai oleh Pengarah IMZ, Kushardanta Susilabudi  telah diberi taklimat dan penerangan mengenai pengurusan kutipan dan agihan zakat di Selangor yang telah disampaikan oleh Eksekutif Dakwah dan Syariah, Ustaz Hamizul Abdul Hamid.

Di samping itu, para delegasi turut dibawa melawat ke kaunter zakat bagi melihat sendiri operasi kutipan dan agihan Zakat Selangor.

BANTUAN WANG SAKU KEPADA MAHASISWA FAKIR & MISKIN IPTA/S SESI JULAI DISEMBER 2016

0

SHAH ALAM, 5 Ogos 2016 – Bantuan wang saku bagi sesi Julai-Disember 2016 kepada mahasiswa asnaf fakir dan miskin di Selangor yang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam dan swasta terpilih disalurkan ke akaun bank masing-masing sejak 15 Julai 2016.

Bantuan akan disalurkan secara berperingkat kepada 5,500 orang mahasiswa setelah proses semakan keputusan peperiksaan mereka dilakukan. Bantuan ini dijangka selesai disalurkan ke akaun bank selewat-lewatnya 31 Ogos 2016.

Setiap mahasiswa ini akan menerima bantuan wang saku maksimum RM1,500 bergantung kepada keputusan peperiksaan mereka dan tempoh tamat pengajian. Namun begitu bagi mahasiswa yang menerima sebarang pinjaman dan tajaan lain, tidak layak untuk menerima bantuan tersebut.

Bantuan wang saku merupakan salah satu bantuan zakat yang disalurkan bagi menyantuni pendidikan anak-anak asnaf fakir dan miskin di Selangor

KENAPA PERLU SIASAT?

0

“Zakat Selangor ini sengaja nak menyusahkan aku. Semua nak siasat. Bagi sahajalah.” Rungut Pak Madun. Dia memarkir motor cub tuanya di tiang bendera di depan surau. Kopiahnya senget kerana dia beberapa kali menggaru dahinya yang tidak gatal. Sambil menahan marah, beberapa kali dia mendengus-dengus.

“Apa yang kamu marahkan sangat ni Madun?” Tegur Hj. Husin yang kebetulan juga baharu sampai di surau. Haji Hussin imam yang sangat disegani di kampungnya.

“Semalam aku ke kaunter zakat di Klang. Nak minta bantuan. Punyalah banyak aturannya. Macam-macam dimintanya. Kena isi boranglah. Pengesahan pendapatanlah. Jumlah tanggunganlah. Aduhai, susah betul nak dapat zakat. Macam duit zakat itu mak ayah diorang yang punya.” Laju sahaja Pak Madun meluncurkan amarahnya. Jelas dia sangat tidak berpuas hati. Jika tidak berhadapan dengan Imam Hussin, entah apa lagi yang akan disemburnya.

PERSPEKTIF 2 SIASATAN

“Er, boleh aku tahu. Engkau minta bantuan apa Madun?” Tanya Imam Hussin lagi. Dia membetulkan ekor serbannya yang ditup angin sehingga beberapa kali mengganggu lubang hidungya. Hampir sahaja dia terbersin.

“Ala, aku minta bantuan untuk orang susahlah. Imam pun tahu aku anak ramai, isteri tak kerja. Harap gaji aku tukang kebun, berapalah sangat. Bela emak sakit pula tu. Bukan sikit duit aku nak pakai Imam…” Pak Madun terus mencurahkan rasa emosinya. Panas mentari asar yang kian meredup bagaikan panas jam 12 tengah hari yang terus memijarkan amarahnya. Meletup-letup otaknya barangkali. Bagaikan larva gunung berapi.

“Aku ini amil qaryah di kampung ini Madun. Kenapa engkau tak tanya sahaja kepada aku. Sudah banyak orang kampung yang aku bantu buat permohonan.” Tiba-tiba sahaja terdengar suara Bilal Seman. Rupa-rupanya Bilal Seman, muezzin tetap kampung itu juga baru sampai ke surau. Dia sedari tadi asyik menguping perbualan dua hamba Allah itu.

“Hah, ada engkau Seman. Sebelum aku jawab soalan engkau, aku nak tanya engkau dulu. Kenapa engkau tak datang rumah aku buat siasatan. Sepatutnya engkau lebih tahu keadaan aku kan? Maknanya engkau tak buat kerja….” Pak Madun terus marah-marah. Nampaknya, siapa sahaja yang menegur, akan disembur. Imam Hussin geleng kepala melihat ulah Pak Madun yang bagaikan lipas disembur racun serangga. Melompat-lompat bagaikan tak cukup udara.

“Aih kamu ni. Manalah aku tahu kamu nak memohon. Hari itu masa Zakat Selangor buat Ops Jejak Kemiskinan di kampung ini, aku ada tanya kamu. Kot le nak memohon. Kamu kata, tak payah. Kamu ingat tak? Kamu kata anak-anak kamu yang tiga orang itu boleh bagi kamu tiap-tiap bulan RM1500. Bukan main eksen lagi kamu waktu itu. Tiba-tiba hari ini kamu nak marah aku pula. Kata aku tak buat kerja. Hei, kamu ingat aku ni anak kamu ke?” Nampaknya Pak Madun silap langkah. Dia tersembur minyak tanah.

Bilal Seman yang memang terkenal Guru Silat Gayung Fatani di kampung itu tidak mudah kalah dalam berhujah. Pak Madun melirik, beberapa kali juga Bilal Seman mengemaskan penumbuknya. Pak Madun menelan ludah.

“Er…bukan macam itu bilal…” Pak Madun pun mengendurkan suaranya.

Imam Hussin bertambah geli hati melihat kelakuan dua orang jemaahnya. Dia mendiamkan diri sahaja. Asalkan mereka tidak berkuntau, dia sabar. Jika dah naik kaki tangan, dia akan mencelah. Imam Hussin pun bukan calang-calang orang. Dia bekas Komando. Aksi Tempur Tanpa Senjata (TTS) semasa menjadi askar dahulu masih berbekas di dadanya. Setakat dua hamba Allah ini, sekali hayun dua-dua jalan.

“Sudah-sudah. Kamu berdua ni dah macam budak-budak. Jom naik ke surau. Seminit dua lagi waktu Asar dah nak masuk. Seman cepat, azan Asar tu. Madun, kamu bentangkan sejadah.”

Imam Hussin akhirnya terpaksa memintas perdebatan yang baru sahaja mahu terjadi. Kedua-dua orang ahli jemaahnya patuh. Mereka tahu kederat Imam Hussin, daripada tak pasal-pasal ditampar di muka, lebih baik naik ke atas surau.

Petikan kisah di atas, adalah antara cebisan realiti. Namun, nama-namanya hanyalah rekaan. Apa yang ingin dikongsikan di sini, benarkah susah memohon zakat? Kenapakah pihak Zakat Selangor perlu menyiasat? Kenapa pemohon perlu melampirkan macam-macam dokumen? Kenapa tidak diberikan begitu sahaja bantuan. Mudahkan, jangan payahkan. Gereja lebih mudah membantu. Kenapa zakat pula yang menyusahkan? Amboi mak, begitulah bunyinya.

Ya, sekali imbas macam betul. Betul bahawa zakat perlu diagih dengan mudah. Buang segala peraturan. Mudahkan. Sampai ada yang berhujah, Allah SWT sendiri menginginkan kemudahan dan bukannya kepayahan kepada kita. Kenapalah Zakat Selangor nak menyusahkan pula semua permohonan? Untuk menjawabnya, mari saya bawakah sketsa lanjutan di bawah.

“Abah, minta RM15,000.” Sepulangnya dari surau, Apandi anak Pak Madun berusia 15 tahun menerpa. Bukan main terkejut lagi Pak Madun. Dia baru teringat mahu membodek isterinya meminjamkan RM50 untuk membeli helmet baru. Helmet lamanya, tali pun dah putus. Sudah dua kali JPJ memberi amaran. Jika dia degil, alamat kena saman!

“Apa? Kamu nak buat apa duit sampai RM15,000 tu Pandi? Kamu ingat abah ni tukang cop duit ke? Mengarut. Kamu ingat sikit ke jumlah tu?” Pak Madun pun terus menyambung rasa marahnya di rumah. Perbuatan anak bongsunya si Apandi menerpa tanpa salam, bagaikan terpetik suis lampu. Menyala terus emosi orang tua separuh abad itu. Apa lagi, membebellah.

“Ala abah ni, anak sendiri pun nak berkira. Bukannya banyak pun, RM15,000 je pun…” Balas Apandi endah tak endah dengan perasaan Pak Madun.

“Apa, kamu kata RM15,000 tak banyak?!” Tengking Pak Madun. Urat marih di lehernya pun naik semula.

“Er, sorry abah. Er…bukan RM15,000…er…RM15 ringgit je abah…” Balas Apandi, sambil menyedari kesilapannya.

“Huish, budak ni. Kamu nak buat apa RM15. Bukan ke abah baru sahaja bagi kamu RM5 semalam. Takkanlah dah habis? Kamu kena belajar bercermat Pandi. Susah nak dapat duit. Abah kamu ni tukang kebun sekolah ja…” Balas Pak Madun sedikit lembut. Hatinya bagaikan disiram embun pagi mendengar jumlah RM15 bukannya RM15,000.

Baik, apa yang kita dapat semak dalam kisah di atas? Ya, sikap Pak Madun apabila anaknya meminta duit. Jelas Pak Madun terkejut dan bertanya, apa keperluannya. Jika perlu, Pak Madun mungkin merujuk kepada guru di sekolah, apakah gerangannya sampai banyak sekali meminta duit daripada ibu bapa.

Demikianlah di Zakat Selangor. Setiap permohonan tidak boleh semudah-mudahnya diluluskan. Jika Pak Madun pun perlu menyiasat permintaan itu, sedangkan itu anaknya sendiri, maka bagaimana mungkin Zakat Selangor tidak perlu menyiasat permohonan Pak Madun. Sedangkan pegawai di Zakat Selangor langsung tiada apa-apa hubungan dengan Pak Madun. Jelas, siasatan adalah satu keperluan.

Kesimpulannya, Pak Madun sendiri sepatutnya sedar, bahawa Zakat Selangor tidak berhak meluluskan apa sahaja permohonan jika tiada keabsahan (kesahihan) maklumat. Kesalahan meluluskan tanpa kesahihan, sehingga menyebabkan zakat tersalah agih, maka dosanya akan ditanggung oleh Zakat Selangor. Jika hal ini disedari, pastilah aman jadinya. Wallahua’lam.

BANTUAN ZAKAT UNTUK ADIK NORAISYA

0

BANGI, 27 Julai 2016 – Kisah viral adik Noraisya, 6 tahun yang menghidap penyakit hydrocephalus (penyakit kepala berair) sejak usia tujuh bulan baru-baru ini telah mendapat perhatian Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor).

Ibunya, Nasnawati Aswi terpaksa membesarkan Noraisya dan seorang lagi anaknya bersendirian setelah suami hilang tanpa tiada perkhabaran berita lebih enam bulan lepas. Demi kelangsungan hidup, Nasnawati membuat kerja sampingan dengan memotong getah bagi menampung kos keperluan hidup.

adik aisha 1

Melihat kepada keadaan terdesak ini, Zakat Selangor menghulurkan bantuan segera berjumlah RM500, barangan keperluan berupa lampin pakai buang dan susu serta beras untuk mereka. Selain itu, keluarga ini turut menerima bantuan lain seperti sewa rumah, kewangan bulanan bagi meringankan beban, di samping bantuan katil bagi keselesaan adik Noraisya.

Semoga dengan bantuan Zakat Selangor dan masyarakat setempat ini dapat meringankan beban keluarga adik Noraisya.

 

PEMAKLUMAN PERTUKARAN NOMBOR TALIAN ZAKAT SELANGOR

0

SHAH ALAM, 19 Julai 2016 – Nombor Talian Zakat Selangor ditukar daripada 1800 88 5353 kepada 1 300 88 4343 mulai 1 Ogos ini.

Ia beroperasi dari jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang setiap hari Isnin hingga Jumaat. Melalui talian ini, para pelanggan Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) terutamanya asnaf fakir dan miskin boleh membuat panggilan bagi sebarang pertanyaan berkaitan kutipan dan agihan zakat.

Manakala untuk panggilan kepada kakitangan, pelanggan boleh menggunakan talian operator 03 8314 2222.

Kami mengucapkan terima kasih untuk sokongan berterusan ini dan akan terus berusaha untuk meningkatkan mutu perkhidmatan di Zakat Selangor.

VIRAL WHATSAPP BERKAITAN BANTUAN PENDIDIKAN ADALAH PALSU

0

SHAH ALAM, 29 Jun 2016 – Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) menafikan maklumat berkenaan bantuan RM400 yang diberikan kepada ibu bapa mempunyai tiga anak bersekolah seperti yang tersebar dan menjadi viral melalui aplikasi WhatsApp kebelakangan ini.

Untuk makluman selain bantuan pendidikan kepada asnaf fakir dan miskin, LZS menyediakan bantuan umum pelajaran (BUP) di bawah asnaf fisabilillah. Permohonan bantuan tersebut terbuka kepada warganegara Malaysia yang beragama Islam, lahir dan menetap di Selangor atau bermastautin dan masih menetap di Selangor tidak kurang dari tiga tahun.

Ia merupakan sumbangan bagi meringankan beban kewangan yang ditanggung oleh pelajar yang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) dalam dan luar negara serta ibu bapa atau penjaga yang membiayai persekolahan anak-anak mereka setiap tahun. Permohonan adalah tertakluk kepada garis panduan dan syarat kelayakan yang telah ditetapkan.

Namun permohonan bantuan tersebut telah ditutup. Pertanyaan dan maklumat lanjut hubungi Talian Zakat Selangor 1-300-88-4343.

SULTAN SELANGOR TITAH TUNAI ZAKAT DI ZAKAT SELANGOR

0

PETALING JAYA, 25 Jun 2016 – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan umat Islam di Selangor menunaikan zakat kepada Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) yang telah diberi tanggungjawab mengutip zakat dan mengagihkannya kepada asnaf yang layak dan mengikut syarak.

Dalam titah ucapannya sempena Majlis Berbuka Bersama Rakyat dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya kepada Asnaf di Masjid 51A, “Beta tidak berkenan umat Islam di negeri Selangor ini membayar zakat terus kepada asnaf tanpa melalui Zakat Selangor kerana dikhuatiri akan berlaku ketidakadilan kepada asnaf yang lain dan juga boleh menimbulkan kekeliruan.”

Tambahnya, LZS adalah sebuah organisasi yang telus di mana laporan tahunannya akan diaudit dan diumumkan kepada orang ramai secara terperinci mengenai jumlah kutipan yang diterima dan juga agihan yang dibuat setiap tahun. Sehubungan dengan itu, baginda menyeru supaya masyarakat tidak ragu-ragu mengeluarkan zakat kepada Zakat Selangor.

“Beta menyeru orang ramai agar turut bekerjasama dengan LZS untuk mengenal pasti dan menyalurkan maklumat tentang asnaf yang benar-benar layak menerima wang zakat supaya tindakan segera dapat diambil,” titah baginda.

Pada majlis yang sama, Sultan Selangor turut berkenan menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada 330 orang asnaf fakir dan miskin serta 150 orang asnaf mualaf. Kesemua mereka menerima sumbangan RM500 setiap seorang.

TUJUH SYARIKAT TUNAI ZAKAT PERNIAGAAN RM10.3 JUTA

0

SHAH ALAM, 27 Jun 2016 – Sultan Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah Alhaj berkenan menerima pembayaran zakat perniagaan daripada tujuh syarikat berjumlah RM10,349,925 dalam Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong di sini hari.

Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat) diwakili Pengerusinya, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Abdul Aziz Zainal (B) mendahului senarai syarikat, menunaikan zakat perniagaannya berjumlah RM4,752,421, diikuti Menteri Besar Incorporated (MBI) yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Raja Shahreen Raja Othman sebanyak RM1,328,629 dan KAF Investment Bank diwakili oleh Pengerusi KAF Seagroatt & Campbell Securities Sdn Bhd, Dato’ Ahmad Kadis menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM1,082,000.

Manakala Sime Darby Property Berhad yang mewakilkan Pengerusinya, Tan Sri Dato’ Abdul Ghani Otman dan Seriemas Development Sdn Bhd yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Haji Mohd Salem Kailany, masing-masing menyerahkan zakat perniagaannya sebanyak RM1,000,000.

Sementara itu, Kumpulan Perangsang Selangor Berhad yang diwakili oleh Pengerusinya Raja Dato’ Idris Raja Kamarudin menyerahkan zakat untuk dirinya dan anak syarikat sebanyak RM686,861.13 dan Jakel Trading Sdn Bhd yang mewakilkan Pengarah Urusannya, Dato’ Mohamed Faroz Mohamed Jakel menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM500,014.25.

Hadir sama dalam majlis ini, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa, Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Dato’ Haris Kasim dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS), Husin Mohd Ali.

DSC_8349 copy

 

DSC_8364 copy

SULTAN SELANGOR BERKENAN TERIMA BAYARAN ZAKAT PERNIAGAAN RM8.3 JUTA DAN SERAH SUMBANGAN HARI RAYA KEPADA FAKIR, MISKIN DAN MUALAF SEMPENA MAJLIS BERBUKA PUASA BERSAMA RAKYAT

0

SHAH ALAM, 20 Jun 2016 – Sultan Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah Alhaj berkenan menerima pembayaran zakat perniagaan daripada tiga syarikat berjumlah RM8,327,459.31

dalam Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat di Masjid Baru Seksyen 7 hari ini.

Tiga syarikat tersebut ialah Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang diwakili oleh Pengurus Besarnya, Datuk Ir. Mohd Azim Dato’ Haji Yusof menunaikan zakat perniagaan sebanyak RM3,471,071.20 bagi tahun kewangan berakhir 2015, diikuti Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) yang mewakilkan Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah NAFAS, Dato’ Seri Haji Saipol Bahari menunaikan zakat perniagaan bagi tahun kewangan berakhir 2014 sebanyak RM2,618,350.11.

Manakala Worldwide Holdings Berhad yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Datin Paduka Norazlina Zakaria menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM2,238,038.00 bagi tahun kewangan berakhir berakhir 2016.

Pada majlis yang sama, Sultan Selangor turut berkenan menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada 287 orang asnaf fakir dan miskin serta 150 orang asnaf mualaf. Kesemua mereka menerima sumbangan RM500 setiap seorang.

Turut hadir, Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa, Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Dato’ Haris Kasim serta Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS), Husin Mohd Ali.

IMG_9888

IMG_9900

Berita Terkini